Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Bas ekspres: Tidak jual tiket raya suatu kesalahan
- Runtuh: Inkues mangsa tertimbus bermula
- Jahara dilantik Ketua Pembangkang Pulau Pinang
Bas ekspres: Tidak jual tiket raya suatu kesalahan Posted: 18 Jun 2013 02:50 AM PDT KUALA LUMPUR 18 Jun - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memberi amaran kepada semua pengendali bas ekspres agar tidak mengambil tindakan secara kartel untuk tidak menjual tiket bagi musim perayaan Aidil Fitri akan datang. Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, tindakan sedemikian adalah salah di sisi Akta Persaingan 2010. "SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah syarat-syarat pelesenan dan melaporkan perkara ini kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau berkata, SPAD memandang berat tindakan pengendali bas ekspres yang enggan menjual tiket pada musim perayaan. "Pihak pengendali bas ekspres tidak seharusnya mengambil kesempatan semasa musim perayaan ini untuk mendesak SPAD menaikkan harga tiket sehingga 30 peratus," katanya sambil menambah permintaan itu agak mustahil untuk ditunaikan sebelum hari raya kerana proses rundingan serta kajian komprehensif masih dijalankan dan keputusannya akan diumum sebelum akhir tahun ini. Syed Hamid berkata, soal kepentingan rakyat, reaksi persatuan pengguna serta kos operasi yang terpaksa ditanggung pengendali bas ekspres akan diambil kira dalam kajian itu. Bagaimanapun, katanya, SPAD sentiasa prihatin dan sedia maklum berkaitan peningkatan kos operasi yang ditanggung pengendali, justeru ia bersetuju mereka mengenakan caj tambahan 10 peratus bagi musim perayaan akan datang. Beliau berkata, kelulusan caj tambahan itu dikenakan bagi semua perjalanan dari 8 Julai hingga 8 September tahun ini merangkumi semua perkhidmatan bas ekspres dan bas tambahan. "Langkah ini dipercayai dapat membantu dan menampung kos pengoperasian syarikat yang perlu menyediakan perkhidmatan tambahan berdasarkan permintaan yang tinggi daripada pengguna, terutama semasa musim perayaan," katanya. Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) Datuk Ashfar Ali berkata, pihaknya terpaksa menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus berikutan semakan semula yang dilakukan dalam tempoh empat atau lima tahun sekali sejajar peningkatan kos operasi, yang kini didakwa mencecah 36 peratus. Syed Hamid meminta semua pengendali bas ekpres mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan supaya menjual tiket seperti biasa bagi mengelak tindakan tegas terhadap mereka diambil dan dilapor kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia. - BERNAMA |
Runtuh: Inkues mangsa tertimbus bermula Posted: 18 Jun 2013 02:26 AM PDT Oleh MOHD. FIRDAUS ISMAIL PULAU PINANG 18 Jun - Polis telah memulakan inkues bagi menentukan status Lim Chin Aik, 44, yang dikhuatiri hilang dalam lubang yang terbentuk selepas rod penebat kilat Menara UMNO jatuh ke Jalan Macalister semasa kejadian ribut pada Khamis lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan pada hari pertama hari ini membabitkan penelitian semula di tempat kejadian termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di hadapan Menara UMNO. "Siasatan merangkumi pelbagai aspek dan untuk memastikan mangsa berada di tempat kejadian, polis meneliti CCTV terbabit namun buat masa ini saya tidak dapat memaklumkan sama ada Chin Aik berada di tempat kejadian atau sebaliknya. "Selain itu, bukti-bukti lain seperti laporan seorang saksi yang berada di tempat kejadian dan mendakwa melihat kereta mangsa dihempap rod penebat kilat ketika ribut melanda juga akan diambil kira dalam inkues ini," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid mengumumkan penubuhan jawatankuasa inkues sebagai langkah terbaik bagi menentukan status mangsa selepas kerja-kerja mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan selain mendapat persetujuan keluarga. Dalam kejadian ribut terburuk yang pernah melanda negeri ini, dua terbunuh manakala lapan kenderaan lain di Jalan Macalister dihempap runtuhan rod konkrit penebat kilat berkenaan dan membentuk lubang besar. Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, nombor casis kereta yang ditemui ketika kerja-kerja mencari dan menyelamat juga didapati sepadan dengan kereta mangsa yang dilaporkan hilang oleh isterinya. - UTUSAN ONLINE |
Jahara dilantik Ketua Pembangkang Pulau Pinang Posted: 18 Jun 2013 02:23 AM PDT GEORGE TOWN 18 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Air Tawar, Datuk Jahara Hamid, dilantik ketua pembangkang Pulau Pinang yang baharu, menggantikan ADUN Penaga, Datuk Azhar Ibrahim yang bersara. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman berkata sebelum ini, pihaknya mengenal pasti beberapa calon untuk mengisi jawatan itu dan mengemukakannya kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak. "Setelah menunggu keputusan dari pucuk pimpinan, kita sudahpun mendapat keputusan bahawa Perdana Menteri telah memberi persetujuan memilih Jahara sebagai ketua pembangkang. "Kita amat gembira dengan pelantikan itu kerana ia menjadi sejarah di Malaysia apabila wanita dilantik sebagai ketua pembangkang di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata, pelantikan Jahara juga membuktikan UMNO mengiktiraf pemimpin wanita. Zainal Abidin berkata, UMNO Pulau Pinang juga memberi kepercayaan penuh kepada Jahara melakukan yang terbaik untuk rakyat di negeri ini tanpa mengira kaum dan bangsa. "Kita yakin dan percaya Jahara akan dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah ini dengan sebaiknya, serta menjadi wakil untuk semua kaum di negeri ini dalam apa jua isu untuk disuarakan di dalam DUN, dan pemilihan beliau dibuat berdasarkan pengalamannya dalam bidang politik," katanya. Jahara, yang pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Sukan kerajaan negeri semasa BN memerintah Pulau Pinang, merupakan wakil rakyat bagi Teluk Air Tawar sejak lima penggal lepas. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |