Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Selepas 4 tahun, teater Putera Salang Ur akhirnya dipentaskan Posted: 14 Jun 2013 10:16 PM PDT KUALA LUMPUR 15 Jun - Setelah empat tahun menanti, hasrat kumpulan teater Suara Alam Selangor akhirnya tercapai apabila teater sulung mereka berjudul Putera Salang Ur dipentaskan di Panggung Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Teater bangsawan itu dipentaskan di bawah program Semarak Seni Bangsawan anjuran Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta DBKL selama tiga hari mulai semalam, pada pukul 8.30 malam. Pengarahnya, Mohd. Rosli Abd. Wahab berkata beliau tidak menyangka percubaannya selama empat kali menghantar karyanya kepada JKKN akhirnya diterima pada tahun ini untuk dipentaskan. "Tahun ini sangat bertuah kepada kami kerana akhirnya naskah bangsawan saya dapat dipersembahkan buat julung kalinya kepada orang ramai setelah empat tahun atau empat kali percubaan untuk menghantarnya dan ia merupakan satu penghargaan daripada pihak JKKN kepada kami. "Kami telah mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan bagi pementasan ini dengan krew seramai 70 orang, termasuk pelakon dan petugas di sebalik tabir," katanya kepada Bernama. Katanya, karya ini ditulis hasil olahan daripada cerita lisan rakyat yang berkaitan dengan asal-usul negeri Selangor. "Saya yakin tidak ramai yang tahu siapa putera yang pertama di negeri Selangor, jadi saya petik kisah ini untuk dipersembahkan dalam bentuk teater kepada orang ramai. "Jadi dengan cara persembahan teater itu dapat memberi pemahaman secara jelas kepada penonton tentang cerita lisan rakyat yang diolah secara unik itu," katanya. Katanya, teater berbentuk bangsawan sudah jarang dipersembahkan kepada orang ramai kerana kebanyakan teater dipersembahkan dalam bentuk moden. "Kebanyakan teater sekarang berbentuk moden, disebabkan teater bangsawan banyak menggunakan prop dan peralatan, jadi tidak ramai yang nak dimainkan. "Teater bangsawan ini secara tidak langsung dapat mendedahkan kepada generasi muda tentang budaya bangsa Melayu," katanya. Pementasan selama tiga hari itu antara lain mengisahkan perjalanan hidup putera Negeri Langkapura Tengku Daik yang membina negeri Salang Ur setelah dihalau oleh kekanda kembarnya, Tengku Muda akibat salah faham. Orang ramai yang ingin menyaksikan pementasan teater bangsawan Putera Salang Ur itu boleh mendapatkan tiket dengan harga RM5. - BERNAMA |
Darah muda Heart-A-Tack berbisa Posted: 15 Jun 2013 06:02 AM PDT Sambutan yang menggalakkan terhadap EP mereka yang dilancar Jun lalu membuatkan mereka lebih bersemangat untuk terus maju dalam industri muzik. PERSAHABATAN sejak di bangku sekolah tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya ahli kumpulan Heart-A-Tack terus bersama-sama tetapi dalam perkara berbeza iaitu memperjuangkan minat mereka dalam bidang muzik. Walaupun masih muda dan mentah dalam bidang muzik, namun mereka menjadikan banyak band tempatan dan antarabangsa sebagai idola seperti Bunkface dan juga Paramore untuk terus maju dan menghasilkan karya yang bagus. Menggunakan genre Pop Punk, kumpulan ini mula bergerak dengan enam ahli sejak 2008 iaitu Amir Shazrin Hashim, 21, (vokal), Mohamad Aiman Afzal, 21, (gitar), Muhammad Najmi Afifi Norizam, 21, (gitar), Muhd Hakimi Shairi, 21, (bass), Muhammad Faizul Rusli, 21, (keyboard) dan Aiman Aqwa Rozlan, 23, (drum). Menurut Amir Shazrin yang lebih dikenali sebagai Ayeen, persahabatan sejak zaman persekolahan menyebabkan mereka mempunyai persefahaman serta tidak kekok bersama, apatah lagi untuk membuat persembahan di hadapan khalayak ramai. Katanya, nama mereka mula dikenali bukan hanya kerana lagu tetapi kerana persembahan yang bertenaga, tambahan pula kesemua mereka masih berada pada usia awal remaja. Kami cuba membawa kelainan dalam setiap persembahan dan membuat yang terbaik adalah satu kewajipan bagi kami setiap kali melangkah ke atas pentas. Baru-baru ini juga bakat kami mendapat perhatian kumpulan Bunkface, jadi kami berpeluang untuk membuat persembahan bersama mereka melalui siri jelajah seluruh Semenanjung," katanya. Mengakui pengalaman mereka tidak seberapa jika dibandingkan dengan banyak band lain tetapi mereka sentiasa berusaha untuk tidak ketinggalan menghasilkan karya yang berkualiti. Pada Jun lalu, kami telah melancarkan EP yang mengandungi tiga single pada tahun 2011 dan tiga lagi pada 2012. Kesemuanya kami cipta sendiri, sekali gus membuktikan kami mampu dan sentiasa mencuba melahirkan hasil yang segar," katanya. Selain itu, katanya, mereka masih membuat perancangan untuk melancarkan satu lagi EP atau single pada awal tahun hadapan yang mana kesemua lagu dicipta sendiri. Walaupun usia kumpulan itu masih setahun jagung, namun kumpulan tersebut membuktikan mereka mendapat sokongan ramai peminat apabila muzik video bagi lagu Hilangkan mendapat sambutan yang menggalakkan, sekali gus menunjukkan muzik mereka diterima peminat muzik indie tempatan. Kepada pembaca .com yang ingin melihat sejauh mana bakat kumpulan ini, cuba dekati kumpulan ini di www.facebook.com/ HeartATackBand atau http://Twitter.com/HeartATackband. - AZRIN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |