{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Jenayah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Jenayah


Perompak ditembak mati

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 9 Jun - Polis menembak mati seorang penjenayah, manakala rakannya berjaya meloloskan diri ketika mereka yang bersenjatakan pisau dan pistol cuba merompak sebuah kedai emas di Jalan Temenggong di sini pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Waja berhenti di hadapan kedai sebelum meluru masuk ke dalam premis.

Kedua-dua suspek termasuk seorang daripadanya memakai topi keledar kemudian mengacukan pisau ke arah pemilik premis dan pistol ke arah seorang kerani lalu mengarahkan mereka membuka ruang pameran barangan kemas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, secara kebetulan tiga anggota polis sedang menjalankan rondaan berhampiran kedai emas berkenaan dan terserempak dengan suspek.

Katanya, anggota itu kemudian menyerbu masuk dan sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa, kedua-dua suspek cuba melarikan diri menyebabkan seorang anggota melepaskan tembakan amaran di udara meminta mereka menyerah diri.

"Seorang daripada suspek yang bersenjatakan pisau cuba menyerang anggota itu menyebabkan dia ditembak di bahagian paha kiri. Suspek melarikan diri di lorong belakang kedai emas itu sebelum rebah kira-kira 15 meter dari tempat dia ditembak.

"Anggota lain yang sampai tidak lama selepas itu memberi bantuan kecemasan dengan mengikat paha suspek dengan kain bagi memberhentikan pendarahan. Kira-kira 20 minit kemudian ambulans sampai dan doktor mengesahkan suspek telah meninggal dunia," katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.

Menurut Jalaluddin, siasatan mendapati suspek yang mati ditembak ialah Mohd. Bustaman Ali, 31, berasal dari Kampung Gabus Tok Uban, Pasir Mas.

Tambah Jalaluddin, pihak polis kini memburu suspek yang meloloskan diri itu berdasarkan rakaman wajahnya melalui kamera litar tertutup (CCTV) di kedai emas berkenaan.

Pemilik kedai emas berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Lee, 38, berkata, dia diacukan pisau oleh seorang suspek manakala rakannya mengacukan pistol ke arah keraninya.

"Ketika kerani saya membuka ruangan pameran barangan kemas, tiba-tiba polis datang," katanya sambil memberitahu, suspek tidak sempat melarikan barangan kemas.

10 PATI Indonesia ditahan

Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 9 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dengan menggunakan sebuah bot pancung di perairan Tanjung Gemok, Kota Tinggi, semalam.

Pengarah Operasi Maritim Malaysia Daerah Maritim Tanjung, Komander Mustafa Kamal Abas berkata, bot yang dinaiki kesemua PATI berusia antara 19 dan 55 tahun itu dikesan anggotanya di perairan tersebut pada pukul 7.45 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian, anggota tersebut sedang mengawasi aktiviti memancing anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di perairan Tanjung Sedili.

"Mengikut laporan, ketika bot kita cuba menghampiri, dengan tiba-tiba bot yang mencurigakan itu berhenti serta-merta seperti tiada orang yang mengendalikannya.

"Namun apabila kita periksa bot tersebut terdapat 10 PATI lelaki warga Indonesia sedang berhimpit-himpit antara satu sama lain di dalam bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mustafa Kamal , siasatan awal mendapati mereka dipercayai dalam perjalanan keluar dari negara ini tanpa melalui pangkalan yang diwartakan.

"Kesemua mereka kemudian dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010) dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)

"Kita turut merampas sebuah bot pancung itu yang berukuran 16 meter panjang dan tiga buah enjin jenis Yamaha 200 kuasa kuda," ujarnya.

Mustapa Kamal berkata, pihaknya telah mempertingkatkan rondaan bagi membanteras kegiatan membawa keluar atau masuk PATI ke negara ini di samping membanteras aktiviti-aktiviti jenayah.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan tersebut supaya menyalurkan maklumat melalui talian 24 jam iaitu 07-8916590.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat