{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Pantau, kaji keselamatan jalan

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU 17 Jun - Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji semula serta memantau aspek keselamatan jalan raya khususnya di kawasan yang sedang mengalami proses pembangunan pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, melalui penubuhan jawatankuasa itu, pihak-pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya akan tampil memberi idea bagi mewujudkan keadaan jalan raya yang lebih selamat.

Beliau berkata, tumpuan utama diberikan kepada Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) yang menghubungkan bandar raya ini dengan kawasan industri minyak dan gas di Pengerang, Kota Tinggi.

"Berdasarkan pemerhatian saya, beberapa lebuh raya yang menghubungkan kawasan pembangunan hanya menampilkan ciri-ciri keselamatan yang sangat minimum, sedangkan itu menjadi laluan utama bagi kenderaan berat yang membawa bahan-bahan berbahaya.

"SDE akan diberi keutamaan kerana dalam tempoh 10 tahun ini banyak kenderaan berat yang membawa bahan-bahan berbahaya melalui laluan berkenaan khususnya dari bandar raya ke Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Persidangan Lebuhraya dan Pameran Antarabangsa (PIECE 2013) di Pusat Informasi Iskandar Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Noorizah Abd. Hamid; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Ismail Md. Salleh dan Pesuruhjaya Persekutuan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Benjamin Hasbie.

Hasni berkata, selain melakukan kerja pemantauan terhadap kerja penyelenggaraan jalan yang dilakukan pada masa ini, JKR sedang melaksanakan proses audit bagi kerja dan pelaksanaan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Benjamin berkata, IRDA mengenal pasti 15 kawasan hitam di sekitar Iskandar Malaysia dan pihaknya akan bekerjasama dengan JKR negeri dan polis untuk memantau perkara terbabit.

"Kita mempunyai pemantauan holistik dengan dua pelan tindakan merangkumi usaha mengenal pasti kawasan hitam, keselamatan trafik dan reka bentuk jalan dalam memastikan ia dapat memberi keselesaan kepada pengguna," kata beliau.

ADUN Kukup guna pendekatan terus jumpa rakyat

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

Suhaimi Salleh melihat keadaan kaki kanan Abd. Ghani Ujang yang dipotong akibat penyakit kencing manis ketika melawatnya di Kampung Penerok, Pontian, kelmarin.

PONTIAN 17 Jun - Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh akan menggunakan pendekatan turun padang dengan menemui terus orang ramai tanpa menunggu mereka datang ke pusat khidmat beliau.

Menerusi pendekatan itu, beliau dapat bertemu pemimpin di peringkat akar umbi seperti penghulu, ketua kampung, pemimpin parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai bagi mendengar sendiri masalah mereka.

Namun, beliau tetap akan membuka sebuah pusat khidmat di Pekan Permas tidak berapa lama lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyampaikan permasalahan yang dihadapi mereka dan berjanji memastikan setiap aduan yang dikemukakan diberikan perhatian dalam tempoh seminggu, seterusnya dipanjangkan ke jabatan serta agensi yang berkenaan bagi tindakan selanjutnya.

"Saya akan mendengar sendiri setiap aduan serta keluhan sewaktu berdialog dengan wakil-wakil mereka dan akan cuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam setiap permasalahan yang dibangkitkan.

"Mereka juga diminta dapat mengemukakan permohonan atau aduan tanpa mengulangi perkara yang sama pada masa depan bagi memudahkan tindakan diambil oleh pihak berkenaan," katanya pada majlis dialog bersama pemimpin tempatan di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Dinar, di sini semalam.

Sebelum itu, Suhaimi turut melawat Timbalan Ketua UMNO Cawangan Jalan Bakti, Penerok, Abd. Ghani Ujang, 61, yang terpaksa dipotong kaki kanannya akibat menghidap penyakit kencing manis baru-baru ini dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung dan akan membantu mendapatkan kaki palsu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurutnya, selain membangkitkan isu infrastruktur dan kemudahan asas, pihaknya berharap pemimpin masyarakat turut membawa isu kepayahan hidup di kalangan penduduk termasuk yang menghidapi penyakit kronik dan berpanjangan.

HPSF perlukan 800 beg darah sebulan

Posted: 17 Jun 2013 11:11 AM PDT

MUAR 17 Jun - Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, memerlukan sekurang-kurangnya 700 hingga 800 beg darah sebulan bagi menampung keperluan pesakit termasuk dari Ledang, Segamat, Batu Pahat dan kawasan sempadan.

Bekalan darah itu bagi menggantikan darah mangsa kemalangan jalan raya, pesakit yang sedang menjalani pembedahan atau pesakit kronik yang memerlukan darah dari tabung hospital berkenaan.

Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abd Aziz berkata, bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan, kempen derma darah dianjurkan selain terus memberi kesedaran kepada orang ramai untuk menderma.

"Darah yang didermakan menerusi kempen atau program derma darah bukan sahaja membantu dalam usaha menyelamatkan nyawa para pesakit terutama yang kronik, malah membantu pesakit Thalasemia dan Anemia menjalani hidup yang lebih berkualiti," katanya ketika berucap dalam Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2013 di HPSF, di sini semalam.

Beliau berkata, dalam kempen derma darah tahun lalu, sebanyak 8,964 beg darah berjaya dikumpulkan manakala penggunaan sebanyak 8,526 beg darah bagi tempoh tersebut.

Daripada jumlah keseluruhan penderma, tambah beliau, sebanyak 3,809 orang merupakan penderma baharu manakala 5,155 pula adalah mereka yang pernah menderma darah.

"Pihak hospital harus bekerja keras memastikan bekalan darah yang diperoleh dapat memenuhi permintaan untuk kegunaan para pesakit. Sekiranya tidak dapat sokongan padu yang berterusan daripada penderma, mustahil untuk dijayakan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat