Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Johor kaji semula lesen hiburan Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT Oleh AZIZI MAJID MOHAMED Khaled Nordin melakukan pemeriksaan perbarisan polis Kontinjen Johor di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. - utusan/amin farij hasan JOHOR BAHRU 6 Jun - Kerajaan negeri akan mengkaji semula pengeluaran lesen perniagaan bagi pusat hiburan keluarga dalam usaha membanteras kegiatan jenayah dan gejala sosial di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian tersebut akan dilakukan pihaknya memandangkan banyak pusat hiburan keluarga telah disalah guna bagi kegiatan perjudian dan maksiat. "Sehingga kini terdapat sebanyak 155 pusat hiburan keluarga berdaftar di negeri ini dan kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk tidak mengeluarkan sebarang lesen sama pada masa hadapan sekiranya masalah berkenaan berterusan. "Kita tidak mahu kegiatan tidak bermoral yang berselindung di sebalik nama pusat hiburan keluarga ini merosakkan masyarakat khususnya rakyat di negeri ini, justeru perkara ini perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya," kata beliau. Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Obet Tawil dan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff. Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan di negeri ini demi menjamin kesejahteraan rakyat dan pelabur. "Saya diberi taklimat bahawa keadaan Johor adalah aman, selamat dan terkawal selain indeks jenayah menunjukkan penurunan selama lima tahun berturut-turut. "Masyarakat juga harus memainkan peranan masing-masing dengan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis memandangkan penglibatan seperti dalam Rakan Cop merupakan cara terbaik menangani jenayah," katanya. |
FAMA lahirkan 22 usahawan tani Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT ADHAM Baba (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada penerima Bantuan Azam Tani dan Projek Usahawan Peraih M3R sempena Majlis Pelancaran Pasar Tani Sanggar Kota di Taman Kota Besar, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. KOTA TINGGI 6 Jun - Program Azam Tani yang dilancarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kota Tinggi dua tahun lalu berjaya membantu sebanyak 22 usahawan tani membabitkan jumlah bantuan bernilai RM134,040. Pengarah FAMA Johor, Faridulatrash Md. Mokri berkata, penerima bantuan itu terdiri daripada penduduk miskin yang berdaftar dengan e-Kasih dan bantuan tersebut diberi dalam bentuk peralatan yang boleh menjana ekonomi. "Antara peralatan tersebut ialah mesin jahit, enjin bot dan banyak lagi. Bantuan yang diberikan juga adalah percuma dan dihadkan kepada jumlah maksimum sebanyak RM9,000. "Program bantuan ini diteruskan bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan sasar selain mengeluarkan peserta daripada belenggu kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasar Tani Sanggar Kota di Taman Kota Besar di sini kelmarin. Program itu dilancarkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba. Tambah Faridulatrash, permohonan menjalankan program itu akan terus dibuka di samping satu lagi program kendalian agensi berkenaan iaitu Motosikal Tiga Roda (M3R). Menurut beliau, setakat ini, sebanyak 60 orang dari seluruh Johor menerima bantuan Azam Tani dan M3R dengan nilai keseluruhan melebihi RM204,000 dan FAMA menggalakkan usahawan peraih di peringkat ladang menjual terus hasil kepada pembeli atau menghantarnya ke pasar. "Penerima bantuan M3R tersebut hanya perlu membayar separuh daripada harga asal kenderaan tersebut dalam tempoh tiga tahun manakala separuh lagi ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan," katanya. "Bantuan kemahiran turut diberikan dan mampu menjadi mata pencarian bagi mereka yang benar-benar komited untuk berjaya |
Posted: 06 Jun 2013 12:24 PM PDT MAS Imran Adam (kanan) membantu Suhaila Zakaria (tengah) dan anaknnya, Puteri Tiara Syakila membeli keperluan barangan di Pasar Raya Econsave di Muar, Johor, semalam. MUAR 6 Jun - Pasaraya Econsave menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui Program Econsave Prihatin yang memberi bantuan RM25,000 untuk 70 keluarga miskin di negeri ini sejak enam bulan lalu. Pengurus Operasi Econsave, Mas Imran Adam berkata, daripada jumlah itu, lapan keluarga Melayu serta dua keluarga India yang tergolong dalam keluarga miskin telah menerima RM1,000 dalam bentuk barangan. "Sementara 60 keluarga Cina dari Muar dan Skudai, masing-masing menerima baucar sebanyak RM250 pada Tahun Baharu Cina lalu. "Econsave yang mempunyai 13 cawangan di seluruh Johor akan terus melaksanakan CSR pada masa depan dan di Muar sahaja Econsave daerah sudah membantu empat keluarga miskin," katanya ketika ditemui di pasar raya tersebut di sini hari ini. Sementara itu, seorang penerima bantuan, Suhaila Zakaria, 36, menganggap sumbangan tersebut sebagai rezeki tidak dijangka dan sebaik sahaja dimaklum terpilih, dia merancang untuk mengenal pasti beberapa keperluan utama. Ibu kepada tujuh anak berusia antara setahun hingga 16 tahun itu mengutamakan perkakas elektrik seperti mesin pengisar, kipas dan periuk nasi elektrik kerana peralatan tersebut tidak dimilikinya akibat kesempitan hidup. "Sumbangan ini besar nilainya kepada kami. Saya hanya bekerja di kedai makan dengan gaji hari sebanyak RM30 dan anak sulung saya, Puteri Tiara Syakila, 16, turut membantu dengan bekerja di kedai makan selepas pukul 6 petang. "Bantuan Econsave ini secara tidak langsung akan meringankan beban kami menjelang bulan puasa nanti. Selain gaji sedia ada saya turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM450 dan RM400 daripada Baitulmal sejak awal tahun lalu," katanya. Dia yang menyewa di Kampung Benteng Darat, Parit Jawa di sini, merakamkan terima kasih atas keprihatinan pihak Econsave kerana prihatin dengan penderitaannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |