Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Peralatan baiki lif RM1.5j hilang Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS A. Prakash (tengah) menunjukkan salinan laporan polis kepada penduduk Taman Permai Indah berhubung kehilangan peralatan membaiki lif bernilai RM1.5 juta di Pelabuhan Klang semalam. - Utusan/Saharuddin Abdullah PELABUHAN KLANG 9 Jun - Penduduk Taman Permai Indah, Pandamaran Jaya di sini menuntut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri bertanggungjawab atas kehilangan peralatan membaiki lif di pangsapuri mereka bernilai RM1.5 juta pada tahun 2010. Presiden Persatuan Kemajuan India Malaysia (PKIM), A. Prakash, 41, mendakwa, penduduk sudah membuat pelbagai tindakan termasuk menghantar notis kepada Abdul Khalid dan kerajaan negeri sejak kejadian itu berlaku empat tahun lalu, namun tiada tindakan diambil sehingga kini. Jelas beliau, ekoran daripada aduan dan notis mereka tidak dilayan kerajaan negeri, pihaknya membuat laporan polis di Balai Polis Pandamaran di sini pagi ini. "Saya bersama 19 penduduk pangsapuri Taman Permai Indah mahu pihak polis menyiasat kehilangan peralatan untuk membaiki lif bernilai RM1.5 juta itu. "Ini kerana kami difahamkan bahawa kerajaan negeri telah mengeluarkan peruntukan untuk membaiki kerosakan lapan lif di empat blok pangsapuri ini. Malangnya kami dimaklumkan oleh badan pengurusan bersama (JMB) pangsapuri ini bahawa peralatan tersebut telah hilang," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Tambah Prakash, masalah kerosakan lif di pangsapuri itu bukanlah satu isu yang baharu kerana pihaknya telah mengemukakan aduan kepada kerajaan negeri selain pernah disiarkan oleh akhbar pada tahun 2010. Malah, pihaknya sebelum ini juga telah mengutarakan masalah tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad yang telah berjanji untuk menyelesaikan masalah itu pada Mac 2009. Bagaimanapun, sehingga kini tegas beliau, tiada sebarang kerja-kerja pembaikan dilakukan kecuali alasan yang diberikan pihak berkenaan kononnya peralatan membaiki lif berkenaan hilang dan rosak. "Sampai bila kami perlu berhadapan dengan masalah ini. Lif di empat blok pangsapuri itu sudah rosak dan kami bimbang tentang keselamatan penduduk di sini terutamanya golongan kanak-kanak dan juga warga emas," ujarnya. |
Tasputra Perkim akan dipertahankan Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT Johari Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Fauziah Idris beramah mesra dengan kanak-kanak kurang upaya ketika menghadiri program jualan amal anjuran Exim Bank di Tasputra Perkim, Kuala Lumpur semalam. KUALA LUMPUR 9 Jun - Tanah yang menempatkan pusat jagaan untuk kanak-kanak kurang upaya, Tasputra Perkim, Jalan Ampang Hilir, di sini akan dipertahankan daripada diambil semula oleh kerajaan untuk tujuan pembangunan. Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, beliau akan berusaha memastikan tanah kurang 0.4 hektar itu dikecualikan daripada sebarang projek pembangunan supaya peranan pusat tersebut dalam membela nasib 52 penghuninya dapat diteruskan. Menurutnya, beliau telah pun berbincang dengan pihak berwajib serta pakar bidang berkaitan dan mendapati, tanah yang menjadi pusat itu beroperasi sejak 1987 boleh diselamatkan daripada diambil semula. "Saya akan meminta kerajaan mewartakan tanah tersebut untuk Tasputra Perkim. Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam merealisasikan matlamat ini. "Kerajaan boleh melakukan pembangunan di kawasan sekitar tetapi tanah Tasputra Perkim jangan diambil kerana menjadi simbol terhadap usaha-usaha kebajikan dalam membela nasib kanak-kanak kurang upaya," katanya kepada pemberita pada program Charity Jumble Sale 2013 di pusat itu hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Tasputra Perkim, Elahe Norman; Presiden Pertubuhan Belia Kristian (YMCA) Kuala Lumpur, Leo Leslie Armstrong dan Presiden Wisma Harapan, Datin Fuziah Idris. Mengulas lanjut, Johari menjelaskan, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan berhubung notis yang dikeluarkan jabatan tersebut kepada Tasputra Perkim pada 17 April lalu. Dalam pada itu, Elahe berkata, buat masa ini pusat tersebut memerlukan kira-kira RM45,000 sebulan, termasuk untuk gaji kakitangan, penyenggaraan kenderaan serta rumah dan sebagainya. "Kami daripada Tasputra Perkim meminta jasa baik semua pihak termasuk korporat untuk bersama-sama meringankan beban pusat ini. Mari kita jamin masa depan yang cerah kepada penghuni-penghuni pusat ini," ujarnya. Pada majlis itu, Export-Import Bank of Malaysia Bhd. (Exim Bank) menyumbangkan sebanyak RM60,000 kepada pusat itu, Pusat Maju Diri Untuk Orang Pekak dan Wisma Harapan (SAMH). |
Posted: 09 Jun 2013 12:55 PM PDT KUALA LUMPUR 9 Jun - Pengguna telefon bimbit android yang mempunyai masalah berkaitan pengutipan sampah dan sisa kitar semula kini mempunyai cara lebih mudah untuk membuat aduan. Ini berikutan langkah pengendali sisa pepejal, Alam Flora Sdn. Bhd. yang memperkenalkan aplikasi Alam Flora 4U bagi memudahkan aduan disampaikan. Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan berkata, aduan yang diterima pihaknya melalui aplikasi itu akan dihantar terus ke sistem pusat khidmat pelanggan Alam Flora iaitu FloraCare. "Orang ramai yang memiliki telefon android boleh membuat aduan berkaitan dengan kutipan sisa domestik, pembersihan awam dan sisa kitar semula melalui aplikasi itu. "Empat jenis status laporan akan dipaparkan kepada pengadu dalam tempoh 24 jam selepas aduan dibuat iaitu aduan diterima, siasatan, tindakan dan penyelesaian dan aduan ditutup," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Menurut Mohd. Zain, petugas-petugas di FloraCare akan memastikan setiap aduan yang diterima disiasat oleh pasukan operasi Alam Flora terlebih dahulu. "Langkah itu bagi memastikan setiap aduan adalah di bawah skop kerja perkhidmatan dan kawasan Alam Flora sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya. Ujarnya, orang ramai boleh memuat turun aplikasi tersebut melalui Google Play atau laman sesawang www.alamflora.com.my. "Kami juga menyediakan pelbagai saluran lain untuk orang ramai membuat aduan iaitu melalui talian bebas tol 1800-88-7472, SMS, e-mel, Facebook dan Twitter Alam Flora," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |