Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD Ahmad Phesal Talib (kiri) dan Ang Say Tee memukul gong sebagai simbolik perasmian Majlis Ulang Tahun Ke-100 Jalan Petaling di Kuala Lumpur, malam semalam. - utusan/SHIDDIEQIIN ZON KUALA LUMPUR 18 Jun - Peniaga di Jalan Petaling diminta bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memastikan tahap kebersihan di kawasan tumpuan ramai itu sentiasa terpelihara. Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, ini kerana terdapat aduan daripada orang ramai mengenai masalah sampah-sarap selepas operasi perniagaan di situ tamat. "Kawasan ini amat terkenal dalam kalangan pelancong asing mahupun penduduk tempatan, jadi tahap kebersihannya harus selari dengan kerancakan perniagaan di sini. "Saya berharap peniaga-peniaga dapat bekerjasama rapat dengan DBKL termasuk tidak mengotorkan longkang, tidak membuang sampah merata-rata dan jaga kebersihan kawasan masing-masing," katanya. Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasmikan sambutan Ulang Tahun Ke-100 Jalan Petaling dan ulang tahun ke-60 Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Jalan Petaling, di sini malam tadi. Yang turut hadir, Pengerusi persatuan itu, Datuk Ang Say Tee dan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun. Tambah Ahmad Phesal, Jalan Petaling juga akan terlibat dengan projek River off Life (ROL) di bawah Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang. "DBKL juga sentiasa mengambil inisiatif untuk mengadakan proses pembersihan di kawasan ini, jadi perlu ada kerjasama dengan peniaga dan pengunjung untuk menjaganya. "Malah, kita juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas untuk memantau dan menjalankan kerja-kerja pembersihan kawasan ini dari semasa ke semasa," katanya. |
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Oleh SITI AINIZA KAMSARI Tengku Adnan Tengku Mansor menyampaikan anugerah khidmat cemerlang kepada salah seorang penerima, Iznariza Che Izham (kanan) dari Pejabat Pelajaran Wilayah Keramat, semalam. - bernama KUALA LUMPUR 18 Jun - Tidak dapat dinafikan kafe siber merupakan antara tempat yang membiakkan masalah sosial terutamanya apabila dijadikan tempat berjudi menerusi internet. Sehubungan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan membekukan sementara pengeluaran lesen kafe siber di Kuala Lumpur dan Labuan bagi membendung gejala judi dalam talian yang semakin menjadi-jadi. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, bukan sahaja lesen-lesen baharu tidak akan dikeluarkan lagi malah permohonan memperbaharui lesen juga tidak akan diluluskan. "Kita perlu menyemak semula segala peraturan dan memastikan segala peraturan dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi untuk meluluskan lesen tersebut. "Banyak perkara perlu diambil kira, yang penting saya tidak mahu mana-mana premis kafe siber ini menggunakan dinding kaca gelap bagi menghalang pandangan dari luar. "Tidak lagi boleh dibuat di tingkat atas bangunan, mesti di tingkat bawah dan sama sekali tidak boleh bersambung dengan premis perniagaan lain terutamanya pusat-pusat hiburan malah pusat urut mahupun kecantikan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini. Mengulas lanjut, Tengku Adnan berkata beliau menerima banyak aduan daripada warga pendidik bahawa kafe siber menjadi tempat pelajar yang ponteng sekolah. "Saya bertanggungjawab terhadap aduan dan rungutan para guru yang mendapati gejala judi dalam talian ini telah merebak di kalangan pelajar yang menjadi punca kepada masalah ponteng sekolah, perlakuan menjadi agresif dan pelbagai masalah disiplin yang lain," katanya. Malah kata Tengku Adnan, beliau sendiri baru-baru ini menyamar dan masuk ke sebuah kafe siber dan tidak menafikan pengusaha menawarkan permainan judi tersebut dengan perlu mendapatkan kata kunci di kaunter premis. Beliau mendakwa, di samping itu terdapat pengusaha kafe siber yang memberi gula-gula dipercayai mengandungi dadah kepada pengunjung termasuk pelajar yang menyebabkan bukan sahaja ketagih bermain judi malah di bawah pengaruh dadah. Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa tidak puas hati dengan agenda persatuan-persatuan penjaja di Kuala Lumpur yang mengagih-agihkan lesen perniagaan kepada warga asing termasuk tidak bertindak tegas terhadap ahli yang gemar mengambil warga asing sebagai pembantu dan jurujual. "Sekarang saya lihat rata-rata menggunakan warga asing termasuk di pusat beli-belah yang menjadi tumpuan pengunjung. "Sehinggakan tugas menggoreng mee pun diserahkan kepada warga Nepal sedangkan warga asing ini tidak menjaga kebersihan. Mereka jenis yang suka meludah dari bilik-bilik sewa di tingkat atas ke bawah. "Anda sendiri sedar betapa Kuala Lumpur begitu dikuasai warga asing setiap kali adanya cuti-cuti umum ekoran dari para majikan yang suka mengambil warga asing sebagai pekerja mereka. Sedangkan bukan tidak ada orang kita (tempatan) yang boleh diambil bekerja," katanya. Fenomena ini menyebabkan beliau tidak menghadiri Majlis Jamuan Ulang Tahun ke-100, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur yang diadakan di Jalan Petaling, malam tadi. "Tanda saya bantah kehadiran warga asing yang begitu ramai diambil sebagai pekerja dan jurujual termasuk di Jalan Petaling itu sendiri," tegas beliau. "Sebab itu untuk Bazar Ramadan tahun ini, kita tidak lagi mengeluarkan lesen perniagaan sementara mengikut kuota persatuan-persatuan penjaja, kita buka kepada semua bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan," katanya. |
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT KUALA LUMPUR 18 Jun - Sebuah insinerator berteknologi tinggi dan terkini dengan kapasiti untuk membakar 1,000 tan sampah sehari bakal dibina di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal, Taman Beringin, Kepong di sini tahun depan. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, insinerator itu dirancang untuk dibina bersebelahan stesen tersebut bagi mengurangkan keperluan pelupusan sisa pepejal. Sistem tender antarabangsa akan dilaksanakan secara terbuka kepada pihak kontraktor dan permohonannya dijangka dibuka mulai September ini," katanya. Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal di sekitar ibu negara hari ini. Yang turut hadir Ketua Pengarah Sosio Ekonomi DBKL; Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nadzri Yahaya; Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Arpah Abdul Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd. Zain Hassan. Terdahulu, menerusi program yang diberi nama Ops Fajar itu, beliau melihat sendiri kerja-kerja pembersihan termasuk mengutip sisa pepejal dan membersih longkang yang dijalankan oleh pekerja Alam Flora Sdn. Bhd. di Jalan Alor, Bukit Bintang, di sini seawal pukul 6 pagi. Beliau bersama-sama wakil kementerian, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Alam Flora dan petugas media berjalan sejauh 1.5 kilometer dengan memasuki lorong yang dipenuhi longgokan sampah di sekitar kawasan tersebut dan berakhir di Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Taman Beringin, Kepong di sini. Menurut Abdul Rahman, pemenang tender insinerator itu perlu mendapatkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) terlebih dahulu yang dijangka mengambil masa selama sembilan bulan sebelum pembinaan dimulakan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |