{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Gerai makan turut terjejas

Posted: 24 Jun 2013 12:15 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusan.com.my

GERAI-GERAI makan di Kampung Baru, Kuala Lumpur kelihatan lengang berbanding kebiasaan, dipercayai disebabkan oleh cuaca berjerebu. Orang ramai tidak selesa untuk menjamu selera di premis terbuka, selain bimbang terdedah kepada risiko kesihatan. - UTUSAN/FARID JANUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jun - Masalah jerebu yang melanda ibu negara bukan sekadar menjejaskan aktiviti di kawasan terbuka, malah operasi gerai makanan turut berdepan situasi sama.

Tinjauan Utusan Malaysia di gerai makanan sekitar Kampung Baru kira-kira pukul 1 petang ini mendapati, lokasi yang mendapat jolokan 'syurga makanan KL' itu kurang dikunjungi orang ramai.

Malah, terdapat pengusaha yang memilih untuk memendekkan waktu operasi dan mengurangkan pilihan makanan kerana mahu menutup lebih awal berbanding hari biasa.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Fazilah berkata, perniagaan nasi campur yang diusahakannya sejak enam tahun lalu turut terjejas akibat cuaca berjerebu.

"Selalunya waktu begini sudah dipenuhi pelanggan, tetapi sejak dua hari lalu boleh dikira dengan jari kerana ramai pelanggan memilih untuk menjamu selera di tempat tertutup dan berhawa dingin kerana tidak mahu terdedah kepada jerebu.

"Bagaimanapun, saya tetap membuka kedai seperti biasa kerana ini sumber rezeki kami dan mengambil inisiatif untuk menutup lauk-pauk yang dihidang dengan kepingan plastik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, peniaga roti canai, Zaini Ilyas, 52, berkata, masalah jerebu yang melanda kini menyebabkan orang ramai lebih suka berada di dalam bangunan.

"Tetapi, saya mendapati pelanggan datang seperti biasa dan syukur perniagaan tidak begitu terjejas biarpun jerebu semakin teruk melanda ibu negara," katanya yang memulakan perniagaan pada pukul 6 pagi.

Kakitangan swasta, Faez Fakharie Abdul Halim, 26, berkata, dia tetap membeli makanan di gerai makanan namun memilih untuk menjamu selera di rumah atau pejabat.

"Risiko untuk dijangkiti penyakit berkurangan kerana kita tidak terlalu lama terdedah dengan asap jerebu dan pengusaha juga mengambil langkah-langkah yang sepatutnya termasuk menutup makanan yang dihidangkan," ujarnya.

Ahmad Mustaqim Murad, 25, pula berkata, orang ramai perlu memilih premis makanan yang tertutup buat masa ini untuk memastikan kesihatan tidak terjejas.

"Kita ada pilihan kedai yang tertutup berbanding gerai-gerai tepi jalan yang popular dan digemari ramai, tidak rugi kita elakkan berada di kawasan terbuka ketika musim jerebu ini," katanya.

Jerebu tidak jadi penghalang

Posted: 24 Jun 2013 12:15 PM PDT

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH
kota@utusan.com.my

PESERTA Floria Putrajaya 2013 turut menggubah bunga-bungaan kepada pelbagai bentuk termasuk haiwan, seperti beruang panda yang menarik perhatian dua pengunjung ini.

PUTRAJAYA 24 Jun - Jerebu teruk yang berterusan melanda Putrajaya tidak menjejaskan kehadiran orang ramai ke Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Putrajaya) 2013 yang sedang berlangsung di Persisiran Tasik, Presint 2 di sini.

Pengunjung yang bertali arus sejak awal pagi seolah-olah tidak menghiraukan cuaca panas dan berjerebu yang mencecah Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu 155.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati biarpun hari ini merupakan hari bekerja, orang ramai mengambil peluang bersama keluarga masing-masing untuk mengunjungi festival yang menampilkan lebih 400,000 bunga terdiri daripada pelbagai spesies.

Salah seorang pengunjung, Shafiqa Mohd. Ezani, 25, berkata, dia mengambil peluang cuti hari ini untuk melihat dan membeli bunga yang dijual di festival itu.

"Biarpun berjerebu saya tetap mengambil peluang ini untuk membeli bunga bagi program syarikat yang akan diadakan nanti," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Sharine Mohd. Yassin, 23, berkata, dia tertarik dengan kepelbagaian hiasan bunga yang dihasilkan oleh pereka tempatan dan antarabangsa pada festival kali ini.

"Saya kagum melihat kreativiti pereka yang bijak mengadunkan tema bunga orkid kali ini dengan pelbagai bentuk antaranya panda dan hidupan laut seperti ikan dan sotong," katanya.

Sementara itu, Perbadanan Putrajaya (PPj) dalam kenyataan akhbarnya hari ini memaklumkan, festival tersebut dibuka seperti biasa hari ini, tetapi pengunjung dinasihatkan memakai topeng mulut dan hidung.

Katanya, bagi kemudahan pengunjung pihaknya juga akan mengedarkan topeng tersebut di pintu masuk utama festival.

"Untuk keselesaan pengunjung semasa jerebu, pengunjung mempunyai pilihan untuk melawat tarikan utama Floria iaitu di Floria Pavilion yang ditempatkan dalam bangunan berhawa dingin," katanya.

Floria Putrajaya dibuka dari 22 Jun hingga 30 Jun bermula 9 pagi hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Khamis, dan 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

Mangsa kebakaran ditawarkan ke PPR

Posted: 24 Jun 2013 12:15 PM PDT

Tengku Adnan Tengku Mansor (tiga dari kiri) melawat mangsa kebakaran di Kampung Padang Balang, Sentul, Kuala Lumpur malam semalam.

KUALA LUMPUR 24 Jun - Sebanyak lima keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Padang Balang, Sentul di sini ditawarkan untuk berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu atau di Batu 5, Jalan Ipoh.

Untuk sementara waktu, semua mangsa ditempatkan di sebuah dewan berdekatan rumah mereka selain menerima bantuan asas seperti makanan dan minuman.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberi sumbangan sebanyak RM300 manakala beliau turut menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM500 kepada setiap keluarga berkenaan.

"Difahamkan, sebanyak enam buah rumah terbakar. Lima mangsa adalah warga tempatan dan sebuah rumah lagi disewa warga asing yang mempunyai permit.

"Saya boleh bantu lima mangsa sahaja untuk berpindah secepat mungkin ke PPR berkemungkinan esok," katanya ketika melawat mangsa di lokasi terbabit dekat sini malam tadi.

Kebakaran yang berlaku pada pukul 11.45 pagi semalam dipercayai akibat daripada masalah litar pintas namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa, Zulkifli Zakaria, 39, berkata, keseluruhan rumah tersebut yang terbakar hangus dijilat api.

"Saya antara orang pertama yang melihat kebakaran berlaku. Saya terdengar jiran menjerit menyebabkan saya panik ketika berada di dalam rumah," jelasnya.

Ayuni Jefri, 25, pula mengalami kerugian kira-kira RM3,000 apabila barang kemas dan perabotnya musnah.

"Saya sedang bekerja ketika kebakaran berlaku. Saya mendapat tahu (mengenai kejadian) apabila balik ke rumah. Buat masa ini saya akan menumpang di rumah kakak di kawasan sekitar sini," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat