Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Kerajaan jangan lagi berlembut Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT KUALA LUMPUR 14 Jun — Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyarankan kerajaan supaya tidak lagi berlembut dan memberi muka kepada pembangkang yang berterusan memperlekeh sistem demokrasi negara. "Kita perlu keras sikit jangan bagi muka sangatlah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam sempena Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) 2013, di sini semalam. Beliau berkata, sikap pembangkang yang pada mulanya bersungguh-sungguh mahu mengiktiraf pilihan rakyat bertukar sekelip mata apabila mereka gagal memperoleh sokongan majoriti rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu. "Mereka hendak iktiraf pilihan rakyat tapi sekarang hendak jatuhkan kerajaan. Bila sistem demokrasi dilaksana mereka tolak sistem itu. Bagi mereka demonstrasi jalanan adalah demokrasi," katanya. LID 2013, yang berlangsung selama enam hari sejak Ahad lepas, disertai enam negara iaitu Namibia, Uganda, Kenya, Nigeria, Lesotho and Botswana. Sementara itu, dalam ucapannya bertajuk Transforming A Nation: The Malaysian Experience, Dr. Mahathir berkata, pelaksanaan dan penyelarasan yang betul oleh kerajaan Malaysia telah memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara. Beliau berkata, inisiatif kerajaan menerusi Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) telah mempertingkatkan daya saing dan peluang ekonomi Malaysia. "Ketika waktu saya, saya telah mengarahkan semua menteri turun ke akar umbi bagi memastikan semua perancangan dilakukan dengan sewajarnya," katanya. Dr. Mahathir berkata, strategi kerajaan juga termasuk menyediakan insentif kepada syarikat tempatan dan percutian bebas cukai kepada pelabur untuk menggalakkan lebih banyak kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI). "Apabila kita (Malaysia) mempunyai lebih banyak aliran masuk FDI dan kadar guna tenaga meningkat, FDI juga merangsang ekonomi kita," katanya. - BERNAMA |
Husam diminta berhenti sindir pemimpin Pas Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT KOTA BHARU 14 Jun - Pas Kelantan menyangkal dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang menuduh pemimpin parti yang tidak menyokong perhimpunan pakatan pembangkang di padang Majlis Daerah Ketereh malam kelmarin sebagai pengkhianat parti dan lupa asal-usul. Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, perhimpunan Blackout 505 bukan program parti tetapi inisiatif beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tidak melibatkan, malah tiada jemputan rasmi diberikan kepada Pas Kelantan. Mohd. Amar yang merupakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri turut meminta Husam supaya berhenti daripada menyindir pemimpin lain kerana kehadiran Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sudah membuktikan komitmen kerajaan Pas Kelantan dalam menentang penyelewengan pilihan raya. Menurutnya, pertama, program di Ketereh itu bukan anjuran parti, tetapi NGO dan Pas negeri tidak dirujuk untuk mengadakan program itu, sebaliknya hanya mendengar tetapi tidak ada sebarang perbincangan rasmi. "Saya sendiri hari Rabu itu terima panggilan telefon jemput hadir tapi last minute, saya tidak boleh hadirlah kerana ada komitmen lain. "Kalau kata kita tidak menyokong, menteri besar sendiri hadir, jadi kehadiran beliau adalah sokongan paling jelas terhadap program itu, bukan mesti semua orang hadir. Beliau mewakili negeri dan parti, jadi pada pandangan saya kehadirannya sudah cukup bermakna," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini hari ini. Beliau mengulas ucapan Husam dalam perhimpunan itu seperti dilaporkan akhbar hari ini yang mendakwa pemimpin Pas yang tidak menyokong program tersebut sebagai pengkhianat dan pemimpin yang lupa asal-usul serta bukan sahaja menolak semangat anak muda yang mahukan perubahan tetapi dakwah yang diasaskan oleh pimpinan Pas terdahulu. Malah dalam ucapannya itu, Husam turut mendakwa mana-mana pemimpin tidak menyokong perhimpunan tersebut sebagai golongan membawa suara UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan angkuh kerana membelakangkan 'saudara-saudara yang berlumuran darah' hasil penipuan. Ketika ditanya dakwaan Husam tersebut, Mohd. Amar sekali lagi bertegas menolak dan menafikannya. "Suara UMNO apanya? Kita semua tidak suka dengan penyelewengan ini, Pas Kelantan pun buat tiga petisyen di Kota Bharu, kita pun tidak puas hati dengan perjalanan pilihan raya," katanya. Perhimpunan tersebut turut dihadiri Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu serta beberapa pemimpin Pas dan PKR yang lain. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |