Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
Posted: 08 Jun 2013 06:01 AM PDT Antara ahli MFX yang turut terlibat bagi menjayakan Program Motocross 1Malaysia sempena Festival Belia Malaysia di Taman Motocross Xtreme Putrajaya. KESERONOKAN menunggang motosikal jenis motocross pastinya lebih mendebarkan jika ia digunakan di atas jalan tanah merah yang tidak rata. Malah pengalaman yang dirasai setiap penunggang ketika meluncur laju sambil melompat dan mengatasi halangan cabaran di hadapan pasti menguji keberanian mereka yang mencubanya. Memandangkan motosikal ini direka dengan tempat duduk dan hendal yang tinggi, roda berjejari besar serta sistem suspensi lebih keras, mampu menyerap daya hentakan dan cengkaman yang kukuh, ia menjadi kelebihan kepada pemilik motosikal jenis ini untuk beraksi dengan pelbagai gaya tersendiri. Bagi yang berani, bolehlah cuba merasai pengalaman yang menakjubkan itu dengan mengunjungi Taman Motocross Xtreme yang terletak di Putrajaya. Di lokasi ini, pemilik motocross boleh menguji kemampuan jentera di kawasan seluas 2.4 hektar dan cabaran yang menanti pasti tidak pernah difikirkan sebelum ini. Presiden Malaysia Free Style Motocross Xtreme (MFX), Datuk Yusuf Abu Bakar @ Md. Talib berkata, sukan motocross amat popular di kebanyakan negara maju. "Pelbagai pertandingan motocross diadakan di seluruh negara tetapi kebiasaanya sukan ini hanya menonjolkan penunggang menguji cabaran berlumba di atas jalan tanah merah yang tidak rata. "Bagaimanapun, sukan free style motocross masih baru di negara kita kerana sukan ini menonjolkan aksi yang lebih mendebarkan. "Sebab itu, MFX cuba untuk menghidupkan sukan lasak ini memandangkan kini semakin ramai belia meminati motosikal daripada jenis scramble," jelasnya ketika ditemui selepas majlis perasmian Taman Motocross Xtreme Putrajaya pada Festival Belia Malaysia baru-baru ini. Memandangkan sukan ini baru sahaja diperkenalkan, buat julung kalinya MFX membawa empat penunggang profesional dari Jepun untuk mempamerkan pelbagai aksi scramble sedang terbang di udara dengan gaya yang mencabar dan di luar jangkaan pengunjung. "Empat rider profesional dari Jepun didatangi khas iaitu Suzuki Daisuke, Kota Kugimura, Shinichi Kaga dan Akira Kaga untuk bekerjasama dengan kami dalam mengadakan persembahan free style. "Di samping itu, mereka juga bakal bekerjasama dengan kami bagi melatih penunggang baru yang berminat di Akademik Latihan MFX yang baharu sahaja ditubuhkan awal tahun ini," katanya. Sebagai pengajar, keempat-empat penunggang profesional itu juga akan berkongsi pengalaman dan mengajar teknik serta kemahiran menunggang dengan lebih selamat. "Jalinan kerjasama ini bakal melatih peserta baharu tempatan yang berminat dengan aksi lasak bersama persatuan MFX. "Dengan pendedahan seperti ini juga, MFX berharap agar suatu hari nanti ada peserta Malaysia mampu bersaing dalam kejohanan bertaraf dunia sebagai rider yang boleh beraksi secara profesional. "Kami percaya dalam masa lima tahun akan datang, acara free style motocross akan lebih popular jika ia mendapat liputan meluas dalam kalangan peminat," katanya. Presiden Cilik Motor Sport, Razali Ahmad pula berkata, selain pertunjukan free style motocross, seramai 120 peserta dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan Karnival Motocross 1Malaysia yang diadakan pada hari yang sama. Tujuh kategori telah dipertandingkan termasuk acara ATV dengan penglibatan belia yang berumur daripada 10 hingga 40 tahun. "Sambutan tahun ini lebih menggalakkan berbanding tahun lalu kerana hampir 3,500 pemilik motosikal jenis sama hadir memeriahkan majlis termasuk wakil syarikat pengeluar barangan dan kelab motocross dari seluruh negara," katanya. - SYAHRIL/ AZLAN HADI ABU BAKAR |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |