{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


PKR terus perlekehkan pemimpin Pas

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

Pemimpin-pemimpin pembangkang diketuai Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, menyerlahkan sikap hipokrit mereka.

''Ada bangkai yang naik atas nama rakyat boleh keluar TV3 terima keputusan PRU... Lu memang c***i...." Demikianlah bahasa kesat yang digunakan oleh seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui posting dalam Facebook beliau, kelmarin (Rabu).

Walaupun pemimpin PKR itu tidak menyebut siapakah 'bangkai' yang dimaksudkan, namun penyokong-penyokong Pas mendakwa ia merujuk kepada Ketua Dewan Pemuda Pas yang juga Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan.

Kalau benarlah apa yang didakwa, maka ini kali kedua pemimpin Pas begitu mudah diperlekehkan oleh pemimpin PKR.

Kita masih ingat bagaimana baru-baru ini, ketika konvensyen PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) secara terbuka mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung soal kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Sememangnya, jika semua ini dilihat dalam perspektif lebih luas, jelaslah perasaan hormat pemimpin-pemimpin PKR terhadap pemimpin Pas semakin luntur.

Mungkin juga, pemimpin-pemimpin PKR masih marah dengan pendirian ulama-ulama Pas yang mahu rakyat menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan Allah.

Itulah yang juga dilakukan oleh Nasruddin yang menegaskan, Pas menerima keputusan PRU-13 sebab itulah mereka mengangkat sumpah, yang mereka tidak terima ialah apa yang didakwa kepincangan dan kepalsuan dalam pilihan raya.

Tidak apalah itu pendirian Pas tetapi kenapakah pemimpin-pemimpin PKR hendak memaki hamun pemimpin-pemimpin Pas sewenang-wenangnya?

Pemimpin-pemimpin PKR mungkin marah kerana sikap dan pendirian Pas itu telah memungkinkan impian mereka untuk mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah pilihan raya tidak ke mana.

Tanpa sokongan Pas, apa juga demonstrasi yang dianjurkan oleh pembangkang tidak akan membawa apa-apa makna kerana Pas sememangnya terkenal dengan kemampuan mengumpul ahli-ahlinya menghadiri majlis pembangkang.

Pemimpin PKR yang memaki hamun Nasruddin dalam Facebook tersebut sepatutnya menuju kemarahannya kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia memandangkan Anwar dan 27 lagi pemimpin PKR turut mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen.

Tindakan itu sekali gus membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin PKR jauh lebih hipokrit dan sewenang-wenangnya memperbodohkan penyokong-penyokong sendiri.

Seperti mana ditegaskan oleh banyak pihak, kalau betul PKR terus tegar mempertahankan berlaku penipuan dalam PRU sepatutnya mereka tidak mengangkat sumpah jawatan Ahli Dewan Rakyat termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri-negeri yang pembangkang menang.

Mengangkat sumpah bermakna mengiktiraf keputusan PRU-13 yang mereka dakwa berlaku kepincangan dan penipuan.

Namun seperti biasa, pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya PKR cakap tak serupa bikin, yang menjadi mangsa diperbodohkan oleh penyokong-penyokong mereka termasuklah penulis Facebook tersebut.

Seperkara lagi, terimalah hakikat berbanding Pas dan DAP, PKR merupakan parti yang paling banyak masalah dan paling tidak konsisten dalam perjuangannya.

Oleh itu tidak payahlah hendak melempiaskan kemarahan kepada orang lain sebaliknya persoalkan sikap dan tindakan pemimpin sendiri.

Pemimpin-pemimpin PKR perlu faham merekalah yang bertanggungjawab mewujudkan ketidakstabilan dalam arena politik negara.

Keghairahan dan sikap kemaruk pemimpin utama mereka untuk menjadi Perdana Menteri memungkinkan mereka berjaya mempengaruhi Pas dan DAP mengikut rentak politik mereka.

Tetapi sekarang kedua-dua parti itu sudah faham bahawa pilihan raya sudah tamat, sebarang pertikaian mengenai keputusan diselesaikan di mahkamah dan bukannya terus merancang agenda politik jalanan yang menyusahkan rakyat.

Sebab itulah Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang dilihat selari dengan pemimpin-pemimpin Pas apabila bercakap soal perdamaian nasional.

Beliau dan pemimpin DAP serta Pas pun semakin faham, rakyat sudah letih dengan mainan politik yang dicorakkan oleh PKR.

Justeru pembangkang perlu memahami peringatan Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerimaan secara muktamad oleh pembangkang terhadap keputusan pilihan raya umum lalu bukan sahaja menjadi asas tetapi merupakan premis utama dalam mencapai matlamat perdamaian nasional.

Perdana Menteri berkata, jika pembangkang berterusan mengadakan perhimpunan jalanan bagi mempertikai keputusan pilihan raya di peringkat pusat tetapi bersikap dwistandard di negeri dimenangi mereka, matlamat perdamaian nasional tidak akan berlaku.

Jelas Najib, selepas itu baru kerajaan boleh menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan diwakili pemimpin politik Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, tokoh-tokoh akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

Justeru dalam merealisasikan impian ini keikhlasan dan ketelusan perlu ada dalam kalangan pemimpin pembangkang khususnya PKR.

Jangan amalkan sikap lidah bercabang, mengamalkan watak sesumpah dan menikam dari belakang dalam mencari keuntungan politik.

Seperkara lagi janganlah terus hendak memperbodohkan rakyat dengan menyelewengkan fakta berhubung maksud undi popular dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mencapai cita-cita merebut kuasa.

Rakyat Malaysia bukan seperti rakyat di negara lain, mereka tidak harus diajar menjadikan demonstrasi jalanan sebagai pentas untuk membuat tuntutan.

Tidak usahlah melaungkan 'Malaysia Spring' kerana seperti mana ditegaskan oleh Najib, kerajaan tidak gentar dengan slogan berkenaan, sebaliknya tidak akan teragak-agak untuk bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba melangkaui batas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan demi memastikan kedaulatan serta kesejahteraan negara sentiasa dihormati.

Jika kerajaan bertindak demikian janganlah pula marah kerana kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan majoriti rakyat tidak tergugat hanya disebabkan oleh keghairahan golongan minoriti mahu mempolitikkan segala-galanya.

Dalam masa yang sama, apa yang dilakukan oleh pemimpin PKR ini sepatutnya menyedarkan pemimpin dan penyokong Pas bahawa secara realitinya, rasa hormat PKR terhadap Pas tidak pernah wujud, mereka hanya peralatkan Pas untuk menang pilihan raya sahaja.

Kalau mereka mempunyai perasaan hormat kepada pemimpin-pemimpin Pas khususnya golongan ulama, sudah pasti mereka tidak akan tergamak memaki hamun golongan itu.

Apa pun kepada pemimpin PKR yang tergamak memanggil sekutunya sebagai 'bangkai' banyak-banyaklah ingatkan Allah SWT, sesungguhnya apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya dan belajarlah bermuhasabah.

Bak kata seorang penyokong Pas yang membalas posting pemimpin PKR itu, ''Alhamdulillah, ada kebaikan pada ketentuan Illahi. Kami Bersyukur Ya Allah Kau Maha Mengetahui. Alhamdulillah beliau kalah dalam PRU lepas, kami tak rela ada pemimpin tak berakhlak seperti ini.'' - Mungkin ini juga majoriti doa orang Melayu dan umat Islam yang lain.

Jerebu cuaca akan berlalu, jerebu pemikiran lekit sekali

Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT

MALAYSIA sering diserang oleh jerebu akibat pembakaran yang tidak terkawal. Sehebat mana jerebu itu menyerang lambat laun ia akan berakhir. Jerebu cuaca meskipun berbahaya menyebabkan pandangan tidak jelas, kabur dan boleh mengganggu kesihatan tetapi kaedah mengatasinya ada dan ia bersifat sementara.

Masyarakat Malaysia juga sekian lama menghadapi jerebu pemikiran dan sikap sehingga ketidakjelasan dalam pemikiran menyebabkan persepsi dikaburi dengan sikap berbeza yang tajam dan rasa kebencian dan dendam kesumat yang mendalam. Ia juga membawa jerebu hati dan emosi. Iklim ini tidak baik bagi mewujudkan persefahaman.

Suatu ketika jerebu emosi itu menyerang sesama agama dan bangsa. Sekarang ini jerebu itu dibimbangi ibarat api dalam sekam yang meratah hubungan baik antara bangsa dan kelainan agama.

Membangun rasa perkauman dan rasis ibarat mengejutkan singa yang sedang tidur. Ia mudah mengaum ikut selera kebencian dan akhirnya boleh menyebabkan perpaduan yang dibina sekian lama berjerebu dan menyebabkan konflik mudah tercetus.

Yang perlu diperiksa ialah siapa dalam kalangan kita yang meniup api kebencian dan menyemarakkan asap dendam sehingga kedamaian yang dinikmati sekian lama menjadi kabur dan menyebabkan ramai yang kelabu pemikirannya.

Mengkaburkan hubungan sesama Islam dan bukan Islam bukanlah payah tetapi menjernihkan hubungan itu semula adalah susah kerana asap pertentangan sesuatu yang enak ditiupkan tetapi membina kecerahan adalah sesuatu yang merumitkan.

Contohnya apabila proses demokrasi tidak dihormati, ia boleh menimbulkan jerebu emosi yang tidak terkawal lalu tuduhan dibuat tanpa asas dan bukti yang kukuh. Kalau ada asas bukti dan fakta yang cukup salurkan kepada pihak yang berwajib melaksanakan undang-undang dan peraturan.

Apabila ada pembakar semangat yang menyebabkan jerebu pemikiran terjadi, berlakulah demonstrasi jalanan yang menyebabkan undang-undang dilanggar dan peraturan tidak diikuti terutama di kalangan generasi muda.

Kelompok pendidikan dan keselamatan negara berhempas pulas mencetuskan kesedaran di kalangan masyarakat dan pelajar-pelajar supaya patuh kepada prinsip seperti yang terkanun dalam Rukun Negara.

Tetapi dalam kalangan bloggers yang otaknya berjerebu tidak mudah untuk dijinakkan tentang harga kedamaian dan toleransi yang perlu dipertahankan supaya Malaysia yang sifat masyarakatnya berbilang tetap merasakan undang-undang dan peraturan perlu dihormati.

Bila perhimpunan berlaku tanpa ikut undang-undang untuk mendengar ceramah berapi-api dan kata-kata kesat di luar adab, ia akan mengapi-apikan masyarakat terutama dalam kalangan generasi muda dan boleh berakhir dengan sikap kekerasan yang merosakkan keamanan negara.

Mujur dalam konteks Malaysia warga keselamatan tidak mudah terjebak dengan provokasi yang dipasang. Kesabaran dan kebijaksanaan warga keselamatan negara dapat mengatasi provokasi dan terus mengambil tindakan terhadap penganjurnya.

Oleh itu jerebu pemikiran banyak terkait dengan kepentingan diri dan kelompok bukan sangat terkait dengan kepentingan masyarakat apa lagi umat. Ideologi politik yang didukung sifatnya bercanggah dan cenderung menimbulkan perpecahan.

Tokoh yang ingin mencetuskan jerebu politik tidak sabar untuk menduduki jawatan tertinggi dalam negara. Keputusan demokratik tidak dihormati malah memilih jalan anarki dan tidak menghormati undang-undang. Bagi masyarakat yang sebahagiannya sedang diselubungi dengan jerebu kegilaan kuasa semakin sedar, dan nampak akan taktik dan strategi kumpulan ini.

Kenyataan dan tuduhan yang dibuat terhadap kerajaan dan pihak yang berkuasa bagi orang berfikir dan mempunyai rasionaliti yang tinggi mula menyedari bahawa provokasi yang dibuat tidak masuk akal dan dilakukan atas kepentingan diri dan kelompok yang sempit hujah dan kehilangan arah dalam hala tuju perjuangan.

Tetapi peniup api kebencian dan dendam kesumat tetap terus menyemarakkan api kebencian dan dendam itu supaya jerebu pemikiran tetap teguh walaupun pertimbangan undang-undang diberi, pertimbangan keselamatan negara dinyatakan malah kenyataan ulama ilmuwan yang mengkritik gerakan demonstrasi jalanan terjadi namun yang masih berjerebu dengan cita-cita kekuasaan yang kabur tetap dengan pendirian mereka. Amat lekit atau liat untuk mengatasi jerebu pemikiran ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat