Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Jeram Padang tiada mesin ATM
- Kualiti udara tiga kawasan tahap sederhana
- Masalah jalan mendap akan segera diselesai
Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN Ong Peng Siang, Chew Kam Tu, L. Manickam JEMPOL 18 Jun - Penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang merayu institusi kewangan supaya menyediakan perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit wang (CDM) di situ. Ini kerana, kata mereka, banyak urusan berkaitan kewangan terpaksa dilakukan di sebuah stesen minyak di pekan Rompin, dekat Jeram Padang yang hanya menyediakan sebuah mesin ATM di situ. Seorang penduduk, Ong Peng Siang, 38, berkata, mesin ATM di situ sudah beroperasi sejak tahun 2009 dan ia tidak mampu lagi menampung urusan yang dibuat oleh penduduk, yang jumlahnya semakin meningkat. Kerap kali penduduk di Rompin dekat Jeram Padang ini terpaksa ke pekan Bahau yang jaraknya 20 kilometer hanya untuk mengeluarkan wang," tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Kata Peng Siang, wang yang terdapat dalam mesin ATM di stesen minyak berkenaan sering kehabisan, terutama di awal bulan. Sementara itu, pemilik stesen minyak Petronas, Chew Kam Tu berkata, pihaknya telah membuat permohonan di sebuah bank untuk menyediakan lebih banyak kemudahan mesin ATM dan CDM. Stesen minyak ini baharu diperbesarkan dan banyak ruang kosong. Saya harap mesin ATM dan CDM tambahan diletakkan di situ," ujarnya. Katanya, banyak reaksi negatif yang diterima daripada pihak bank dengan alasan tiada jaminan keselamatan terhadap mesin mereka. Dahulu, memanglah kawasan ini sunyi tetapi hari ini adalah laluan utama dari Bahau ke Gemas dan Tampin. Tahap keselamatan memang menjadi keutamaan di stesen minyak ini," tegasnya. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, L. Manickam berkata, pihaknya juga bimbang masalah ini akan berlarutan terutama apabila tiba musim perayaan. Saya hendak maklumkan, ketika ini terdapat lebih 30,000 penduduk di kawasan DUN Jeram Padang ini, termasuklah pekerja ladang. Bagaimana mereka mahu mengeluarkan wang, jika masalah keperluan mesin ATM dan CDM ini tidak mendapat kerjasama baik dari pihak institusi perbankan. Saya masih menunggu pihak bank mana yang mahu memberikan kerjasama itu demi kemudahan rakyat," tegasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Kampung Baru negeri. |
Kualiti udara tiga kawasan tahap sederhana Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT Kualiti udara di Port Dickson berada pada tahap sederhana, semalam. TELOK KEMANG 18 Jun - Kualiti udara di Nilai, Seremban dan Port Dickson yang sebelum ini tidak sihat pada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kini berada pada tahap sederhana. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Charanpal Singh berkata, bacaan IPU sehingga pukul 11 pagi ini bagi kawasan Nilai ialah IPU 57, Seremban dengan IPU 61 manakala Port Dickson, IPU 54. "JAS negeri ini menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta memantau pelepasan asap berlebihan dari kilang khususnya dalam kawasan kualiti tahap sederhana ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan peranginan Port Dickson dekat sini mendapati urusan harian orang ramai berjalan seperti biasa, biarpun kelihatan ada yang menutup mulut dengan tangan bagi mengelakkan pencemaran habuk dan asap. Seorang penduduk, Alan Daud, 46, berkata, fenomena jerebu itu bukan perkara baharu malah menjadi satu masalah kepada penduduk yang mendiami kawasan peranginan ini setiap kali pembakaran terbuka berlaku di negara jiran. ''Lebih teruk lagi jika ada dalam kalangan orang ramai melakukan pembakaran terbuka di kawasan perumahan, tempat pembuangan sampah mahupun pelepasan asap. Ini akan memburukkan lagi kualiti udara di pantai peranginan negara ini," katanya di Port Dickson dekat sini hari ini. Berikutan itu, katanya, tidak banyak aktiviti luaran dapat dilakukan ketika keadaan jerebu ini dan ia sekali gus menjejaskan ekonomi penduduk sekitar yang banyak bergantung kepada sektor pelancongan. "Tidak ramai yang hendak berkelah di pantai jika jarak penglihatan terhad dan udara tidak berkualiti serta panas," katanya. Rahim Duyung, 45 memberitahu, dengan keadaan cuaca panas dan kualiti udara tercemar, pasti mereka yang menghidap penyakit seperti lelah dan lainnya akan hanya memilih untuk duduk di rumah. "Aktiviti pelajar di sekolah juga akan menjadi terhad. Tiada aktiviti di padang, rekreasi mahupun di kawasan pantai. "Perkembangan ini amat mendukacitakan, apatah lagi punca berlakunya jerebu itu disebabkan kawasan kebakaran atau titik panas di Sumatera Tengah, Indonesia," tegasnya. Seorang belia, Azlan Md. Zain, 20, berkata, keadaan udara akan menjadi lebih teruk jika ada kilang yang membuat pelepasan asap tanpa kawalan. "Hal ini memerlukan pemantauan oleh JAS dan berharap kawalan pelepasan asap ketika keadaan jerebu atau pun tidak dapat dipatuhi oleh kilang-kilang di kawasan Port Dickson ini," tegasnya. |
Masalah jalan mendap akan segera diselesai Posted: 18 Jun 2013 12:33 PM PDT MELAKA 18 Jun - Kerajaan negeri akan mengambil langkah segera menyelesaikan masalah jalan mendap di Jalan Benteng di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru bagi mengelak masalah tersebut daripada terus berulang. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman berkata, masalah yang berlaku sejak 2008 itu sebelum ini telah diselesaikan sebanyak dua kali iaitu pada 2008 dan 2009. Bagaimanapun, katanya, usaha yang telah dilakukan itu gagal mengatasi masalah jalan mendap di kampung terbabit. Menurutnya, kali pertama ia diselenggara dengan menggunakan sistem tambak biasa dan diikuti dengan teknik geotextile membrane tetapi hanya mampu bertahan selama tiga tahun. "Kerajaan negeri sedang berusaha mencari jalan termasuk mengeluarkan peruntukan untuk mengatasi masalah tersebut secara muktamad kerana tidak mahu masalah sama berlanjutan. "Selain itu, bantuan daripada kementerian berkaitan juga perlu memandangkan usaha memperbaiki struktur jalan berkenaan memakan modal jutaan ringgit," katanya ketika ditemui di sini semalam. Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi berkata, penduduk diharap dapat bersabar kerana kerajaan mahu menyelesaikan masalah ini sepenuhnya agar ia tidak berulang lagi hingga menyebabkan pembaziran. Ujarnya, kerajaan negeri pada tahun lalu ada menyediakan peruntukan sebanyak RM275,000 untuk membantu menyelesaikan masalah itu namun ia tidak mencukupi untuk membuat penyelesaian muktamad. "Masalah ini akan cuba diselesaikan dalam masa terdekat dengan memperbaiki struktur jalan di bahagian yang terjejas terlebih dahulu. "Bagi mengelak masalah sama berulang, kita juga akan mengelak daripada kenderaan besar seperti lori dan bas melalui jalan ini apabila ia siap dibaiki nanti," tegasnya. Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, penduduk Jalan Benteng di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru terpaksa berhadapan dengan risiko kemalangan disebabkan masalah jalan mendap yang berlarutan sejak lebih lima tahun lalu. Jalan yang menghubungkan kampung tersebut dengan pekan Kuala Sungai Baru itu menjadi pilihan utama lebih 100 keluarga kampung berkenaan disebabkan jaraknya yang lebih dekat berbanding satu lagi jalan. Malah, ia turut menjadi laluan utama kepada para pelajar dan kakitangan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) di Kuala Sungai Baru. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |