Berita Harian: Mutakhir
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Mutakhir |
Pasangan suami isteri dipenjara 15 tahun dera pembantu rumah Posted: 19 Jun 2013 02:33 AM PDT JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan memperdagangkan pembantu rumah warga Indonesia mereka, tahun lalu. Mohd Shukur Suradi, 29, seorang ahli perniagaan, dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan 10 kali manakala isterinya, Daeng Norulasyikin Bachok, 28, seorang guru, turut dikenakan penjara 15 tahun kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini, 22.
Hakim Nu'aman Mahmud Zuhudi memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan. Dalam penghakimannya, beliau berkata perbuatan kedua-dua tertuduh adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan serta tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang manusia kepada manusia yang lain. Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan kedua-dua tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu proses rayuan kes di Mahkamah Tinggi. Atas pertuduhan pertama, mereka didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Marsini dengan menggunakan pisau, kayu golf, tali pinggang, minyak panas, penyangkut baju, senduk dan sudu panas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan. Bagi pertuduhan kedua pasangan itu didakwa memperdagangkan Marsini bagi maksud eksploitasi dengan cara bekerja sebagai pembantu rumah di alamat yang sama kira-kira jam 12 tengah hari, 23 September lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir. - BERNAMA |
Tiada pencerobohan, pertempuran pasukan keselamatan negara dengan penceroboh Posted: 19 Jun 2013 02:15 AM PDT KOTA KINABALU: Tiada sebarang pencerobohan dan pertempuran berlaku antara pasukan keselamatan negara dan penceroboh Sulu seperti didakwa akhbar Filipina semalam, kata Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek. Sehingga kini, katanya, tidak berlaku lagi sebarang pencerobohan kerana kawasan perairan negara dikawal ketat oleh pasukan pertahanan dan keselamatan sejak berlaku kemasukan kumpulan penceroboh dari Selatan Filipina pada Februari lalu.
Beliau berkata, laporan itu hanya bertujuan untuk menunjukkan keadaan di kawasan di negeri ini tidak selamat selain mencetuskan huru-hara. Mohammad mengulas laporan akhbar tempatan Filipina yang mendakwa berlaku pertempuran membabitkan pasukan keselamatan Malaysia dengan kira-kira 400 tentera bersenjata Sulu di Kampung Dengan, Tungku, dekat Lahad Datu pada Isnin lepas. Jurucakap kumpulan bersenjata Sulu, Abraham Idjirani mendakwa pertempuran itu dilaporkan kepadanya oleh Agbimuddin Kiram yang juga adik Sultan Sulu, Jamalul Kiram. Abraham mengakui mereka memasuki Kampung Dengan, Tungku kira-kira jam 1 tengah hari sebelum bertembung dengan pasukan keselamatan Malaysia. Mohammad berkata, Ops Daulat masih berterusan dengan kawalan keselamatan di pintu masuk negara sentiasa dikawal ketat bagi menghalang sebarang pencerobohan.
"Siasatan ESSCOM mendapati tidak benar, tidak berlaku sama sekali (penculikan) dan dari segi siasatan awal ESSCOM mendapati ini lebih kepada masalah dalaman keluarga dan saya tidak boleh komen kerana ini masih lagi dalam siasatan polis," katanya. Mohammad turut meminta penduduk di kawasan terbabit mendapat maklumat yang tepat sebelum menyebarkan sebarang khabar angin. - BERNAMA
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |