Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pelaburan RM3 bilion di Sungai Melaka
- BN negeri failkan petisyen keputusan pilihan raya
- Jemaah haji perlu jaga imej negara - Khairy
Pelaburan RM3 bilion di Sungai Melaka Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT Oleh NURSURAYA ZULKIFLI Bot milik Jabatan Kerja Raya berupa sebuah lori menarik perhatian pengunjung ketika menyusuri sungai dalam Pertandingan Bot Berhias sempena Festival Sungai Antarabangsa di Melaka, semalam. - UTUSAN/Gaie Uchel MELAKA 2 Jun - Pelaksanaan pembangunan fasa kedua Sungai Melaka dijangka mampu menarik pelaburan berjumlah lebih RM3 bilion. Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, pelaburan tersebut adalah menerusi sektor hartanah seperti pembinaan hotel, apartmen dan bangunan-bangunan komersial lain. Katanya, transformasi dilakukan kerajaan negeri terhadap usaha pengindahan Sungai Melaka sejak awal tahun 2003 itu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui pembangunan pesat di kawasan sekitarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Festival Jemputan Sungai Melaka 2013 di Banda Hilir di sini kelmarin. Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob. Menurut Idris, penganjuran Festival Jemputan Sungai Melaka yang memasuki edisi ketujuh juga telah memperlihatkan banyak pembaharuan dan pembangunan di sepanjang sungai tersebut. "Saya percaya penganjuran festival selama sebulan ini akan dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke negeri ini dan secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada pencapaian sasaran sebanyak 14 juta pelancong tahun ini ke negeri ini," katanya. Menurutnya, statistik bilangan pelancong menunjukkan peningkatan daripada 8.9 juta orang pada tahun 2009 kepada 13.71 juta tahun lalu termasuk seramai 1.1 juta orang telah menaiki bot menyusuri sungai Melaka. "Saya berhasrat mahu menjadikan festival ini bukan hanya tersenarai dalam kalendar pelancongan dalam negara, malah disenaraikan dalam kalendar pelancongan dunia setanding dengan penganjuran Fiesta Sungai San Antonio di Texas Amerika Syarikat," katanya. Antara acara menarik yang diadakan sepanjang Festival Jemputan Sungai Melaka adalah perarakan bot berhias, Melaka Parade, Seminar Sungai Melaka, pertandingan perahu naga, bot kawalan jauh, badang dan persembahan kebudayaan yang mewakili pelbagai etnik. |
BN negeri failkan petisyen keputusan pilihan raya Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT Mohamad Hasan menyampaikan kain ihram kepada peserta Kursus Asas Haji di Masjid Bandar Baru Senawang, Negeri Sembilan, semalam. Turut kelihatan Mohd. Ghazali Abd. Wahid (kiri). SEREMBAN 2 Jun - Barisan Nasional (BN) negeri akan memfailkan dua petisyen berhubung keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) iaitu satu kerusi Parlimen dan satu lagi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Bagaimanapun Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan muktamad berkaitan perkara tersebut akan dibuat dalam mesyuarat perhubungan yang dijadual esok. "Dalam mesyuarat itu nanti kita akan bincangkan keputusan sama ada mahu memfailkan petisyen atau tidak berhubung keputusan pilihan raya lalu membabitkan kerusi Parlimen Telok Kemang dan DUN Sikamat. "Terpulanglah kepada keputusan mesyuarat dan jika semuanya bersetuju kita akan memfailkan petisyen tersebut di Mahkamah Tinggi dalam waktu terdekat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Pemimpin Peserta Kursus Haji Kariah Masjid Bandar Baru Senawang di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid. Mohamad yang juga Menteri Besar memberitahu, petisyen bagi dua kerusi itu dibuat berikutan terdapat banyak undi rosak dan meragukan. Dalam perkembangan lain, Mohamad turut melahirkan rasa kesal terhadap segelintir individu yang biadab dengan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah melalui laman sosial Facebook. "Bagi saya mereka yang menghina institusi beraja ini hidup tanpa panduan. Mereka yang lantang dan biadab ini perlu diambil tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). "Kenyataan seperti ini memperlihatkan kedangkalan individu terbabit tidak memahami institusi beraja di negara ini dan bagi saya ia perlu ditangani sebelum menjadi penyakit barah dalam masyarakat," katanya. |
Jemaah haji perlu jaga imej negara - Khairy Posted: 02 Jun 2013 11:23 AM PDT REMBAU 2 Jun - Bakal jemaah haji perlu menjaga nama baik negara dan menumpukan kepada amalan baik sepanjang berada di Tanah Suci. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keyakinan kerajaan Arab Saudi terhadap jemaah haji dari negara ini tidak harus dicalarkan dengan perbuatan merosakkan imej negara. Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berharap, setiap jemaah mengikuti arahan dan peraturan ditetapkan pihak pengurusan Tabung Haji. "Saya berharap agar semua jemaah haji supaya dapat mematuhi arahan dikeluarkan kerana apa yang dapat kita lihat kerajaan Arab Saudi melihat jemaah dari negara ini antara yang terbaik di dunia dari segi pengurusan dan tingkah laku. "Apa yang kita harapkan mereka yang terpilih ini dapat menunaikan ibadah sebaik mungkin dan tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti yang boleh mencemarkan imej negara," katanya. Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas menutup Kursus Asas Haji di Dewan Besar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abu Hasan Haji Sail Pedas dekat sini semalam. Pada masa sama, beliau menasihatkan bakal jemaah haji di daerah ini menjaga kesihatan diri dan mematuhi nasihat pegawai perubatan sepanjang menjalankan ibadat itu di Mekah. "Saya difahamkan cuaca musim haji kali ini lebih panas dan kita harapkan supaya para jemaah dapat mengikuti apa sahaja saranan dari pihak pegawai perubatan ditetapkan di sana dan kita harap supaya mereka yang terpilih ini selamat pergi dan kembali ke tanah air," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |