Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Wan Zack (kiri) menyatakan pendiriannya mahu terus menimba pengalaman bersama Ryukyu sekali pun hangat dikaitkan dengan sebuah pasukan tempatan sejak akhir-akhir ini. KUALA LUMPUR - 'Dalam setandan pisang yang rosak, masih ada yang elok' mungkin itu kata bidalan yang paling sesuai untuk menggambarkan pemain muda kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu, Wan Zack Haikal Wan Noor, yang membuktikan bukan semua pemain bola sepak negara 'lemah mental' di perantauan. Setelah hangat digembar-gembur akan meninggalkan Ryukyu, Wan Zack akhirnya tampil menyatakan pendiriannya akan terus kekal bersama kelab yang berpangkalan di Jepun itu. Jelas anak muda berusia 22 tahun terbabit, dia masih mempunyai kontrak dengan kelab yang berpangkalan di Okinawa tersebut dan akan terus kekal di sana selama mana yang boleh, semuanya hasil perbincangan dengan jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee. "Saya masih menghormati kontrak saya yang masih ada selama dua tahun dengan Ryukyu dan tidak akan terpengaruh dengan tawaran-tawaran lumayan sebegini. "Perkara ini saya telah bincang dengan penuh mendalam bersama Kim Swee bagi merangka hala tuju saya dalam bola sepak bagi beberapa tahun mendatang. "Seandainya saya terpaksa balik sekali pun (ke Malaysia), saya hanya akan pulang untuk beraksi bersama Harimau Muda, bukan dengan mana-mana pasukan lain," katanya ketika dihubungi, semalam. Isu pemulangan Wan Zack ke tanah air menjadi sensasi selepas dikhabarkan terdapat sebuah kelab dalam saingan Liga Malaysia mahu menebus kontrak pemain sayap Ryukyu itu bagi musim depan. Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad juga berasa kecewa dengan tindakan kelab berkenaan kerana boleh mengganggu program pembangunan pemain muda yang dirancang FAM. Malah, Kim Swee berasakan cukup serik untuk mencadangkan mana-mana pemain muda negara beraksi di luar negara jika trend ini berterusan pada masa akan datang. Menyentuh aksinya di Ryukyu, Wan Zack mengakui biarpun baru hanya sekali bermain sepanjang berada di sana, dia tetap yakin akan diberikan lebih banyak ruang selepas pulih daripada masalah kecederaan. "Peluang saya untuk bermain masih lagi ada jika sudah pulih daripada kecederaan nanti biarpun mungkin perbezaan bahasa menjadi sedikit halangan. "Saya akui masalah komunikasi ada mengganggu saya di sini terutama dengan pakar perubatan namun Ryukyu sudah mengetahui permasalahan itu dan akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin," katanya. |
Posted: 14 Jun 2013 11:14 AM PDT Oleh NORZIE MOHD. KHASBI LEE CHONG WEI KUALA LUMPUR - Tiada apa yang mengejutkan apabila Datuk Lee Chong Wei meneruskan kemaraan ke separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Indonesia, semalam. Namun, ada sedikit kemusykilan selepas tiada seorang wakil perseorangan dan beregu lelaki China menempatkan diri pada kedudukan empat terbaik. Turun dengan reputasi pilihan pertama, Chong Wei, juara 2011, 2010, 2009 dan 2007 itu melangkah mudah ke separuh akhir selepas menyingkirkan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana 21-10, 21-7 hanya dalam masa 27 minit. Kemenangan tersebut bakal menemukan jaguh No. 1 dunia itu dengan pemain tuan rumah, Dionysius Hayom Rumbaka yang melakar kejutan terbesar di Jakarta semalam apabila membenam pemain No. 3 dunia, Du Pengyu dari China 21-15, 15-21, 21-9. Kekalahan Pengyu, 22, menyusul dua hari selepas rakan senegaranya yang juga pemain No. 2 dunia, Chen Long disingkirkan seorang lagi pemain tuan rumah, Tommy Sugiarto 18-21, 16-21 pada pusingan pembukaan. Malah semalam, China turut mengalami kejutan besar dalam saingan beregu lelaki apabila juara Olimpik dan dunia, Fu Haifeng-Cai Yun tunduk 18-21, 13-21 kepada Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. Kekalahan pemain-pemain utama China itu menimbulkan tanda tanya, apakah mereka cuba bermain wayang dengan enggan menunjukkan kekuatan sebenar menjelang Kejohanan Dunia di Guangzhou, 5-11 Ogos ini. Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock sebelum ini mendedahkan, China tidak akan menunjukkan kekuatan sebenarnya pada Terbuka Indonesia mahupun Terbuka Singapura minggu depan sebagai permainan psikologi sebelum Kejohanan Dunia. Seu Bock turut menegaskan, Chong Wei sendiri tidak akan bermain berhabis-habisan untuk memburu kejuaraan kelimanya di Jakarta, bermakna kejayaan melangkah ke separuh akhir pada kejohanan bernilai AS$700,000 (RM2.18 juta) itu dilakar tanpa perlu mengerah permainan 100 peratus. Justeru, apakah akan ada kejutan turut menimpa Chong Wei hari ini atau dia tetap mampu meluncur ke perlawanan akhir, sesuatu yang menarik untuk ditunggu peminat badminton. Satu lagi separuh akhir hari ini akan menemukan Tommy dan pemain Jerman, Marc Zwiebler. Saya tidak fikir pemain-pemain China akan mendedahkan semua kekuatan mereka sekarang, jadi kita juga kena pandai main strategi. Kita akan cuba (menang Terbuka Indonesia) tetapi tidak mengharap sangat," kata Seu Bock sehari sebelum anak buahnya memulakan kempen di Jakarta. Sementara itu, Chong Wei menjadi wakil tunggal Malaysia meneruskan kemaraan selepas beregu campuran utamanya, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal menyaingi jaguh tuan rumah yang juga juara All England dua kali, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir 15-21, 16-21. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |