{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Semua pihak boleh beribadat

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

Penduduk kampung bergotong-royong mengusung tiang simen bagi pembinaan menara tangki bekalan air di Masjid Kampung Changgung, Bachok, Kelantan, semalam.

BACHOK 16 Jun - Jawatankuasa Masjid Al-Hidayah, Kampung Changgung dekat sini menafikan tuduhan bahawa pihaknya menghalang golongan tertentu beribadah di masjid tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa masjid berkenaan, Mohd. Nor Senik menegaskan, masjid merupakan tempat beribadah dan mana-mana pihak bebas untuk mengunjunginya bagi tujuan tersebut.

Katanya, tuduhan bahawa pihaknya menghalang jemaah tertentu mengerjakan ibadah di masjid berkenaan disebabkan perbezaan fahaman politik adalah tidak benar sama sekali.

"Khabar angin itu adalah fitnah yang bukan sahaja cuba memburukkan jawatankuasa masjid yang selama ini menerima dana daripada UMNO Bahagian Bachok bagi pelaksanaan pembangunan dan prasarana yang diperlukan.

"Perkara ini dimanipulasi oleh pihak yang berbeza fahaman politik dengan kami. Kami berusaha menemui mereka untuk menyelesaikan kes ini menerusi satu mesyuarat baru-baru ini, namun mereka tidak hadir," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis gotong-royong membina menara tangki bekalan air di masjid berkenaan di sini hari ini.

Mohd. Nor berkata, penyebaran fitnah itu boleh menyebabkan berlakunya perpecahan dalam komuniti setempat dan sepatutnya soal fahaman politik yang boleh merenggangkan hubungan sesama umat Islam dibendung segera.

"Pihak yang menyebarkan fitnah ini sebenarnya mempunyai kepentingan tertentu sehingga sanggup menganjurkan kutipan derma bagi membina masjid baharu hanya beberapa meter dari masjid sedia ada.

"Ini adalah satu tindakan yang tidak betul dan cara halus untuk memecah-belahkan penduduk," katanya.

PPPIK sasar tambah 3,000 ahli - Mohd. Fared

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

KOTA BHARU 16 Jun - Persatuan Pemborong, Penjual Ikan Negeri Kelantan (PPPIK) mahu menambah keahlian persatuan sekurang-kurangnya seramai 3,000 orang bagi memperkasakan fungsinya.

Penaung persatuan itu, Datuk Seri Mohd. Fared Abd. Ghani berkata, penambahan ahli mampu mengukuhkan kedudukan persatuan dalam memperjuangkan nasib mereka melalui pelbagai aktiviti yang akan dijalankan pada masa hadapan.

"Selain itu kita akan mengkaji mekanisme untuk memacu sumber ekonomi ahli dan masyarakat atau peniaga-peniaga Melayu khususnya dengan lebih teguh melalui pelbagai aktiviti berpersatuan.

"Untuk itu, kita perlukan kerjasama daripada semua ahli dalam usaha mentransformasikan persatuan ke arah lebih cemerlang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohd. Fared yang juga Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Kelantan turut berharap mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan visi dan misi persatuan tercapai.

Beliau berkata, bagi memastikan matlamat perjuangannya tercapai, PPPIK turut merancang untuk memiliki bangunan sendiri bagi memudahkan operasi mereka.

Sementara itu, Pengerusi PPPIK, Long Aziz Long Omar menaruh keyakinan pelantikan Mohd. Fared sebagai penaung berkuat kuasa 1 Mei lalu, dapat memperkasakan lagi peranan persatuan yang ketika ini mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1977, PPPIK tidak pernah mempunyai penasihat atau penaung dan jawatan tersebut wajar diwujudkan dalam usaha memperkasakan lagi fungsi persatuan bagi membela nasib pemborong dan penjual ikan di negeri ini.

"Pihak persatuan percaya Mohd. Fared mampu menggalas tanggungjawab bagi menggerakkan fungsi persatuan dengan lebih efisien dalam menjaga kepentingan ahli terdiri daripada bumiputera," katanya.

GRV, PPPK kutip dana pendidikan RM288,000

Posted: 16 Jun 2013 10:06 AM PDT

VINCENT Chua (dua dari kanan) bersama Gan Yeong Shuoh (kanan), Yap Choo Tong (dua dari kiri) dan Ng Yoke Hua (kiri) bersama replika cek RM288,000 untuk disalurkan kepada Dana Pendidikan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina luar bandar bersama Pertubuhan Pendidikan Perihatin Kelantan (PPPK) di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

KOTA BHARU 16 Jun - Hotel Grand Riverview (GRV) berjaya mengutip RM288,000 untuk disalurkan kepada Dana Pendidikan Sekolah Rendah Kebangsaan Cina luar bandar bersama Pertubuhan Pendidikan Prihatin Kelantan (PPPK).

Kutipan dana ini dibuat melalui penjualan meja untuk majlis makan malam amal yang ditaja sepenuhnya oleh GRV bagi membantu pendidikan pelajar-pelajar luar bandar, khususnya tanpa mengira bangsa dan agama.

Sebanyak tiga sekolah jenis kebangsaan Cina yang terpilih untuk program ini iaitu Sekolah Chung Hwa Temangan, Machang; Sekolah Poy Hwa Pasir Parit, Pasir Mas dan Sekolah Kampung Pulai, Gua Musang.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran GRV, Raja Rusmin Raja Mahmud berkata, ini merupakan program kemasyarakatan kali ketiga yang dilancarkan oleh hotel berkenaan.

Menurutnya, selain makan malam amal, GRV turut menganjurkan program Hospitality Camp yang melibatkan pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah tersebut bagi memberikan pendedahan tentang dunia sebenar Hospitality Industry.

"Program ini merupakan kali keempat dianjurkan, melibatkan 82 murid termasuk 14 daripadanya adalah kaum Melayu.

"Untuk program kali ini, GRV telah menaja sejumlah 45 bilik penginapan dan dewan kegunaan secara percuma kepada pelajar, guru-guru, wakil dari Yayasan Pendidikan Prihatin Kelantan, penceramah motivasi serta fasilitator," katanya selepas Majlis Penyerahan Dana Pendidikan di sini, semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar Hotel GRV, Vincent Chua; Pengurus Residen GRV, Gan Yeong Shuoh; Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Prihatin Kelantan (PPPK), Yap Choo Tong dan Bendahari Pertubuhan Pendidikan Prihatin Kelantan (PPPK), Ng Yoke Hua.

Raja Rusmin berkata, para peserta berpeluang untuk tinggal dan bermalam di hotel selama empat hari tiga malam dengan mengikuti pelbagai aktiviti yang memberikan manfaat kepada mereka.

"Aktiviti yang kami sediakan lebih menjurus kepada program motivasi dan aktiviti luar yang dapat membantu mereka berinteraksi dengan orang ramai, bekerja secara kumpulan serta mencorak kemahiran diri masing-masing," katanya.

Tambah beliau, program ini juga memberikan peluang kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik bagi merasai sendiri pengalaman bermalam di hotel, selain memberikan motivasi kepada mereka untuk lebih berusaha dan berdaya saing.

"Saya berharap dengan bantuan dana pendidikan ini dapat mengubah masa depan generasi muda masa kini supaya lebih sedar tentang kepentingan pendidikan," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat