Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Tidak kisah digelar lesbianDIA sudah banyak melakonkan watak gadis yang bersikap cukup feminin dan terbabit dalam dilema cinta. Drama rantaian hebat Nora Elena dan Ruby sebagai contohnya yang telah menjadikan dirinya cukup sinonim dengan watak lakonan yang sebegitu. Namun aktres jelita, Siti Saleha nampaknya sudah bosan dengan hakikat tersebut. Dia kini mencabar diri untuk membawakan karakter lebih berat dalam karier lakonannya yang sudah bermula sejak tahun 2008 itu. Buat kali pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu membawa peranan sebagai seorang lesbian bernama Tina dalam filem Tujuh. Dia bersetuju menerima tawaran melakonkan peranan lesbian bukan disebabkan gagal dalam percintaan dengan adik lelaki kepada pelakon Sharifah Sofia iaitu Syed Adney Syed Hussein, yang juga penjaga gol pasukan bola sepak Terengganu. Sebaliknya, dia yang selesa dipanggil Saleha menjelaskan bahawa watak lesbian itu merupakan salah satu peluang untuknya menerokai sisi baharu dalam lakonannya. Mengulas mengenai karakter tersebut, dedahnya, Tina memerlukan dia 'merogol' seorang wanita bernama Suri (lakonan Marsha Milan). Bukan melakukan adegan seksual yang sebenar malah, tiada adegan cium bibir antara dirinya dan Marsha dalam filem itu. Begitupun, Saleha mengakui tiada sebarang masalah melakonkan adegan ranjang bersama Marsha. Dia juga menegaskan boleh bercium dengan Marsha, jika itu adalah kehendak skrip filem. Bunuh diri Pendirian yang agak tegas berani daripada pelakon berusia 23 tahun itu, namun adakah dia tidak berasa bimbang dengan pandangan masyarakat negara ini kelak apabila filem tersebut ditayangakan di pawagam? Sedar masyarakat Malaysia begitu sensitif apabila membabitkan nilai-nilai kerohanian, luah Saleha, dia bersedia menerima kritikan dan tidak kisah jika masyarakat mahu menggelarkan dirinya lesbian. "Ketika bersetuju menerima tawaran peranan lesbian ini, saya tidak terfikir langsung mengenai kontroversi yang akan timbul. "Walau bagaimanapun, saya bersedia dengan kritikan orang ramai terhadap watak Tina itu nanti.
"Saya juga tidak kisah jika masyarakat memanggil saya lesbian kerana ia hanya satu lakonan dan bukan diri saya yang sebenar," ujarnya yang mengakui cuma melakonkan watak lesbian tetapi turut menegaskan bahawa dia bukan seorang yang sebegitu. Berkongsi sedikit mengenai filem Tujuh, Saleha memberitahu filem seram itu berlatarkan pada tahun 1970-an. "Tujuh mengisahkan sekumpulan remaja yang menghabiskan percutian semester mereka dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah persinggahan keluarga di atas bukit. Rumah itu dijaga oleh Tok Batin dan anaknya, Suri. "Parti liar itu menjadi tidak terkawal apabila salah seorang daripada mereka telah merogol Suri. Sebaik sahaja parti itu tamat, Suri bersemuka dengan kumpulan remaja itu dan berjanji akan membalas dendam. Suri kemudian terjun membunuh diri. "Amaran yang dirasakan hanya gurauan itu menjadi benar apabila salah seorang daripada remaja itu iaitu Yasmin dijumpai mati tergantung keesokan harinya," ujarnya mengenai filem arahan Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin itu. Selain Saleha dan Marsha, Tujuh turut dibintangi Johan A'sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Riz Aminuddin, Cristine Suzanne dan Wan Hanafi Sue. Tidak kekok bertudung Dalam perkembangan kerjayanya, baru-baru ini Saleha dilantik menjadi duta produk Kotex untuk tahun 2013 bersama pelakon Nad Zainal. Selain dilantik sebagai duta, Saleha juga membawa peranan sebagai Nur Hawa menerusi drama Memberku Hawa musim kedua yang sudah bersiaran sejak 5 Jun lalu, setiap hari Rabu, pukul 10 malam di Astro Ria (saluran Astro 104). "Saya membawa watak Nur Hawa iaitu seorang wanita bertudung dalam drama ini dan dalam masa yang sama saya juga merupakan duta produk tuala wanita ini. "Selain komitmen saya melakonkan watak Nur Hawa, saya dan Nad juga perlu melakukan beberapa program luar bersama pengguna Kotex. "Namun begitu di alam realiti, saya tidak bertudung dan imej saya berbeza berbanding dalam drama berkenaan," ujarnya.
Saleha menegaskan tentang perkara itu kerana tidak mahu peminat keliru dengan imej dirinya yang bertudung dalam drama Memberku Hawa tetapi sebaliknya tidak mengenakan tudung dalam rutin kehidupannya. Mengulas lanjut, tuturnya, apa yang lebih penting adalah tanggungjawab sebagai jurucakap atau duta produk tersebut dalam memberi inspirasi kepada setiap wanita. Drama Memberku Hawa turut dibintangi oleh Bella Daly, Cristina Suzanne, Fattah Amin, Zain Hamid dan Sharifah Sofia. Kakak bekas kekasih Turut berlakon bersama dengan kakak Syed Adney iaitu Sharifah Sofia dalam drama tersebut, Saleha diajukan soalan sama ada hubungannya dengan Sharifah Sofia menjadi renggang atau tidak. Menurut Siti Saleha, dia tiada masalah berlakon dengan kakak bekas kekasihnya itu kerana hubungannya dengan keluarga Sharifah Sofia masih baik dan mereka tiada masalah untuk keluar bersama jika ada masa terluang. "Putus cinta tidak jejaskan hubungan baik saya dengan dia (Sharifah Sofia), malah kami sering keluar bersama. "Mungkin saya dengan Syed Adney tiada jodoh, tetapi saya masih baik dengan keluarganya," luahnya. Ditebak sama ada dia kini sudah ada pengganti, ujar Siti Saleha, dia masih solo dan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya selepas dua tahun hidup solo tanpa cinta. | ||
Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan Posted: Sabhi Saddi akui kahwini gadis Kelantan
PADA minggu lepas, dia menjadi bahan gosip apabila dikatakan sudah berkahwin. Penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Saddi didakwa telah berkahwin secara diam-diam dengan seorang gadis. Lebih mengejutkan, hasil perkahwinan pelantun lagu Nadiku itu dikatakan telah dikurniakan seorang cahaya mata yang juga dirahsiakan identitinya. Sebelum ini, Sabhi pernah dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan seorang penyanyi dari Indonesia bernama Vienna Fridiana. Namun cinta mereka itu putus di tengah jalan. Kedua-dua Sabhi dan Vienna pernah merakamkan sebuah lagu duet berjudul Seperti Dulu Lagi sekitar tahun 2011. Ikuti pengakuan eksklusif Sabhi, 29, kepada Kosmo! mengenai dirinya yang sudah bergelar suami kepada seorang gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan sejak Julai tahun lepas. Kosmo!: Benarkah Sabhi sudah berkahwin dengan seorang gadis dan telah dikurniakan seorang cahaya mata? SABHI SADDI: Ya, saya sudah berkahwin pada Julai tahun lepas di Kuala Lumpur. Isteri saya bernama Rosi Aswani Abdul Razak, 27, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Dia merupakan orang biasa. Kami diperkenalkan oleh kawan. Saya tak terfikir pun hubungan kami akan menjadi serius. Namun selepas rapat sebagai kawan selama setahun, kami ambil keputusan untuk berkahwin. Apa yang boleh saya katakan, ia sudah rezeki dan jodoh kami. Kami sudah dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia empat bulan, Sofea Reesya. Kenapakah Sabhi merahsiakan perkahwinan? Perkara ini (perkahwinan) merupakan hal peribadi. Jadi, saya tak mahu hebohkan kepada umum mengenainya kerana saya rasa tak perlu. Biarlah saya sahaja yang tahu mengenainya kerana ia merupakan privasi saya. Disebabkan perkahwinan Sabhi berjaya juga dihidu media, jadi bilakah anda mahu tampilkan isteri dan anak kepada umum? Insya-Allah hujung tahun ni. Sebelum ini saya bimbang kalau saya hebohkan tentang perkahwinan kami, orang akan kata macam-macam. Sebab, ada peminat suka saya berkahwin dan ada juga yang tidak suka. Sebelum ini, bagi saya, biarlah rakan-rakan rapat dan keluarga terdekat sahaja yang mengetahui tentang perkahwinan kami itu. Sabhi sudah bergelar suami kepada orang Kelantan. Jadi sempena Aidilfitri tahun ini, Sabhi akan pulang beraya di mana - Kelantan atau Sabah? Pada tahun ini, saya akan menyambut Aidilfitri di rumah keluarga isteri di Pasir Mas, Kelantan. Beralih sedikit mengenai perkembangan karier, apakah aktiviti anda sekarang? Saya sedang menjalani penggambaran telefilem untuk disiarkan di TV3 pada bulan Ramadan ini berjudul Walau Air Mata Darah bersama Nadiya Nisaa dan Fizz Fairuz. Selepas ini, saya akan terbabit dengan penggambaran drama bersiri yang belum disahkan lagi judulnya. Adakah ini langkah awal anda untuk terjun ke dalam bidang lakonan dengan lebih serius? Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Klip 3GP tahun lalu. Berlakon telefilem dan drama berbeza pengalamannya dan saya ingin merasai bidang tersebut. Namun, prioriti saya masih dalam bidang nyanyian dan apabila saya memilih untuk terbabit dalam bidang lakonan, saya telah menetapkan syarat untuk dibenarkan 'cuti' pada setiap hari Sabtu dan Ahad untuk aktiviti nyanyian saya. | ||
Posted: Elly tetap kunci mulutOleh RONI HIDAYAT RIDWAN ELLY enggan mengambil tahu tentang spekulasi berterusan terhadap status dirinya bersama tunangnya, Azmi. SEJAK penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mengikat tali pertunangan dengan pengarah Azmi Hata pada 29 Mei 2011, sudah acap kali kedengaran kisah kurang baik mengenai pasangan tersebut. Sepatutnya mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Februari tahun lalu, tetapi ia terpaksa ditangguhkan pada Disember pula atas sebab-sebab yang hanya diketahui oleh mereka berdua. Bagaimanapun, Elly dan Azmi tetap tidak melangsungkan perkahwinan seperti waktu yang dirancang, sehingga timbul spekulasi tentang hubungan mereka yang bermasalah. Ketika ditemui pihak wartawan semasa majlis pratonton filem Awan Dania The Movie pada Mac lalu, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlin Syed Hanafi mengambil keputusan untuk tidak memberikan sebarang komen tentang tarikh perkahwinannya. Setelah spekulasi berkenaan berlalu begitu sahaja, sebuah akhbar melaporkan bahawa hubungan antara Elly dan tunangnya itu sudah tidak dapat diselamatkan lagi dan harapan untuk berkahwin musnah. Bagi mendapatkan kepastian berkenaan perkara tersebut, Kosmo! lantas menghubungi Elly bagi mengesahkan laporan berkenaan. Kosmo!: Bolehkah ulas mengenai spekulasi yang mengatakan Elly tidak jadi berkahwin dengan Azmi? ELLY: Setakat ini saya memang tidak pernah membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak berkenaan dengan status hubungan saya sekarang ini dengan Azmi. Secara jujurnya saya langsung tidak ambil kisah terhadap sebarang cerita yang keluar mengenai hubungan kami berdua. Jadi, tidak ada apa yang perlu diperkatakan. ELLY belum boleh mengesahkan sama ada dia akan berkahwin dengan tunangnya, Azmi atau sebaliknya tidak jadi berkahwin. Jadi, bagaimanakah status hubungan anda dengan Azmi ketika ini? Seboleh-bolehnya saya tidak mahu ulas dengan panjang lebar mengenai perkara ini, tetapi apa yang boleh saya komen ialah meminta semua pihak bersabar sehingga tibanya hari yang baik dan bahagia buat diri kami berdua. Lagipun, spekulasi mengenai hubungan saya dan Azmi sedang berantakan sudah pernah dibangkitkan dan ditanya oleh pihak media sebelum ini. Saya tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas panjang. Adakah ia bermakna anda dan Azmi akan tetap melangsungkan perkahwinan? Itupun saya tidak boleh berkata apa-apa dan cukuplah dengan komen ringkas yang saya berikan. Apakah perkembangan terbaharu kerjaya anda sekarang? Buat masa ini, saya sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Mencari Cinta sebanyak 40 episod. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk babak di Malaysia. Kini saya berehat selama seminggu dan pada 17 Jun ini (hari ini) saya menyambung penggambaran drama berkenaan di Amsterdam, Belanda dan akan berada di sana selama sebulan. Memandangkan sekarang ini semakin sibuk berlakon, adakah anda mahu melupakan terus bidang nyanyian? Sudah tentu saya tidak melupakannya kerana pembabitan awal saya dalam dunia seni adalah sebagai penyanyi, malah single terbaharu saya sudah dilancarkan beberapa bulan yang lalu berjudul Sabarlah Hati. Namun begitu, rezeki saya kini lebih terarah kepada bidang lakonan dan mungkin saya akan kembali aktif menyanyi semula. Sekarang saya mahu fokus kepada promosi lagu Sabarlah Hati sebelum keluar dengan single yang baharu pada tahun hadapan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |