{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Pemanah IPTA harumkan nama negara

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh NIK JASNI CHE JAAFAR
utusanterengganu@utusan.com

Pasukan memanah IPTA Malaysia yang dinobatkan juara keseluruhan pada Kejohanan Memanah Terbuka Surabaya kali kedua di Surabaya, Indonesia, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 25 Jun - Pasukan memanah institusi pengajian tinggi awam Malaysia yang menyertai Kejohanan Memanah Terbuka Surabaya kali kedua baru-baru ini telah mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Pasukan yang dianggotai 12 atlet dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu meraih 13 emas, sembilan perak dan enam gangsa.

Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Pusat Sukan dan Rekreasi UniSZA, Suhardi Abdullah berkata, UniSZA selaku Pusat Kecemerlangan Sukan (PKS) Memanah telah menghantar tujuh peserta yang bergabung tenaga dengan tiga pemanah UiTM dan dua dari UPM.

Katanya, setiap pemanah telah menjalani latihan di kampus masing-masing sejak awal tahun setelah pemilihan dibuat oleh pihak universiti berdasarkan penilaian terhadap penglibatan peserta dalam pelbagai program dan pertandingan.

"Ini merupakan kali kedua penganjur membuka penyertaan kepada pasukan dari luar Indonesia untuk merebut piala pusingan, Piala Wali Kota dan kita berbangga kerana berjaya mengharumkan nama Malaysia," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kejohanan tahunan ini diadakan sempena menyambut ulang tahun penubuhan kota Surabaya dan telah disertai 14 pasukan dengan dua daripadanya adalah dari Malaysia.

Katanya, para pemanah Malaysia ini telah menerima tunjuk ajar daripada dua jurulatih UniSZA, Abdul Razak Yaacob dan Nazrin Aizad Mat Nasir.

Mengulas tentang pertandingan itu, katanya, mereka menerima saingan sengit daripada tuan rumah yang turut menghantar pasukan pelapis kebangsaan serta atlet Sukan SEA negara itu.

"Bagaimanapun, kita berjaya menghadapi cabaran itu dan menjadi pendedahan penting kepada pasukan negara sebagai persediaan untuk Kejohanan Memanah Universiti Sedunia dan Sukan Universiti ASEAN tahun hadapan," katanya.

Pengguna bimbang harga barang naik

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

KOTA BHARU 25 Jun - Para pengguna di negeri ini menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan peniaga menaikkan harga barangan keperluan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Sehubungan itu, mereka berharap pihak berkuasa dapat bertindak bagi memastikan golongan pengguna tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan keperluan di luar kawalan yang dijangka berlaku dalam waktu terdekat.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah mendapati, rata-rata pelanggan dan pengunjung yang ditemui setakat ini masih lagi berpuas hati dengan harga barangan yang dijual namun menyuarakan kebimbangan kenaikan harga bakal berlaku.

Penjawat awam, Nor Syazrinie Che Hashim, 25, berkata setakat ini harga barangan di Pasar Siti Khadijah masih sama.

"Biasanya setiap kali tiba musim perayaan atau Ramadan peniaga akan menaikkan harga barangan keperluan sesuka hati dengan berbagai alasan. Sedangkan sekarang pun harga barangan tersebut memang sudah mahal.

"Saya menjangkakan harga akan naik Ramadan ini, memandangkan pada masa itu permintaan agak tinggi. Walau bagaimanapun, saya harap barangan seperti sayuran, ikan, ayam masih dapat dikekalkan dengan harga yang sama seperti sekarang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi Mohd. Zulhairi Ismail, 26, katanya, ketika ini harga barangan keperluan yang dijual masih lagi tidak dinaikkan.

"Sekarang semua barangan masih pada harga lama tetapi mungkin tidak lama lagi harga akan berubah selepas peniaga mengambil stok baru daripada pembekal.

"Jika harga barangan tersebut dinaikkan, ramai pelanggan yang akan merungut kerana harga yang dijual lebih mahal berbanding hari-hari biasa, tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa kerana pemborong menjual pada harga begitu.

"Saya harap harga barangan keperluan tidak lagi dinaikkan walaupun menjelang Aidilfitri nanti kerana akan membebankan orang ramai," ujarnya.

Kakitangan swasta, Hanifah Hamzah, 39, pula berkata, dia setakat ini masih lagi berpuas hati dengan harga barangan keperluan di Pasar Siti Khadijah.

"Setakat ini, barangan runcit seperti bawang dan minyak masak masih dijual dengan harga yang sama. Namun, saya percaya harga ayam di bandar ini dijangka meningkat menjelang Ramadan ini.

"Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi, diharap barangan tersebut tidak akan dinaikkan kerana akan membebankan orang ramai," katanya.

e-Learning bantu calon SPM, STPM

Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT

Ghazali Taib (dua dari kiri) menyampaikan anugerah kepada seorang penerima sambil diperhatikan Zakaria Hussin (kiri) dalam Majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu 2013 di Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 25 Jun - Selepas penggunaan buku elektronik e-Book bagi murid sekolah rendah, kerajaan negeri akan membantu memperkenal kaedah pembelajaran e-Learning khusus untuk pelajar tingkatan lima dan enam di negeri ini sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, modul itu dijangka mula dilaksana tahun depan dengan tumpuan sebagai kemudahan bagi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau memberitahu, buat masa ini, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) sedang dalam peringkat perbincangan bagi pelaksanaan ke arah meningkatkan lagi tahap kecemerlangan anak negeri.

"Pada masa ini kita masih dalam peringkat kajian bagi melaksanakan modul baharu itu (e-learning) dan kita tidak mahu tergesa-gesa kerana bimbang berlaku pembaziran.

"Jadi, kita perlukan masa untuk memastikan yang terbaik dan sesuai dengan kemampuan dalam melaksanakan sesuatu kaedah baharu untuk membangunkan bidang pendidikan di negeri ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Jasamu Dikenang dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu 2013 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin dan Timbalannya, Hashim Mohd. Zin.

Sebanyak 97 guru dan warga JPNT menerima anugerah perkhidmatan cemerlang manakala 186 guru yang telah dan bakal bersara turut diraikan dalam majlis itu.

Ghazali memberitahu, pelaksanaan modul e-Learning itu yang masih berteraskan kurikulum dan kokurikulum yang ditetapkan Kementerian Pendidikan akan lebih memudahkan proses pembelajaran untuk dimanfaatkan para pelajar tingkatan lima dan enam.

"Dengan kemudahan e-Learning ini, para pelajar khususnya mereka yang bakal menduduki SPM dan STPM boleh melayari internet mengikuti pembelajaran yang disediakan oleh JPNT," ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan negeri sentiasa menyediakan peruntukan besar bagi memastikan bidang pendidikan terus berkembang sejajar dengan hasrat Terengganu menjadi Negeri Anjung Ilmu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat