{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Sukan Muhibah erat hubungan 2 negara

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Oleh HAPIZAH AZIZ
utusankelantan@utusan.com.my

Sebahagian daripada 298 atlet kontinjen Thailand yang disambut ketibaan mereka untuk menyertai Sukan Muhibah Malaysia-Thailand 2013 di Kuala Terengganu, kelmarin.

RANTAU PANJANG 8 Jun - Sukan Muhibah Malaysia-Thailand yang masuk edisi ke-14 penganjurannya, terus menjadi wadah perpaduan antara rakyat kedua-dua negara.

Pada tahun ini, giliran Malaysia menjadi tuan rumah dan sukan tahunan itu akan diadakan selama tiga hari di Kuala Terengganu bermula hari ini.

Sebanyak 298 atlet dari Thailand akan menyertai sukan tersebut dan ketibaan mereka di Stesen Teksi Rantau Panjang dekat sini semalam disambut meriah dan para peserta turut diraikan dengan jamuan makan tengah hari oleh pihak penganjur dari Malaysia.

Menurut Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Kelantan, Mohd. Aidil Afizie Daud, kontinjen Thailand itu akan mengambil bahagian dalam 10 jenis sukan iaitu bola sepak veteran dan terbuka, badminton, golf, wood ball, petanque, bola tampar lelaki dan perempuan dan futsal.

"Mereka juga akan menyertai acara sukan rakyat iaitu tarik tali, lari dalam guni, lari tiga kaki, kucing buta dan terompah gajah," katanya kepada pemberita di majlis meraikan kontinjen itu di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Penggalakkan Pelancongan Malaysia Negeri Kelantan, Zurina Abdul Samad.

Mohd. Aidil Afizie memberitahu, Sukan Muhibah dianjurkan bagi mengeratkan hubungan antara rakyat kedua negara.

"Sempena sambutan Tahun Melawat Terengganu 2013, maka sukan itu diadakan di Kuala Terengganu," katanya.

Sementara itu, Penasihat Gabenor Narathiwat, Nik Hassan Nik Hussin memberitahu, delegasinya turut disertai seramai 259 orang atlet.

Mereka merupakan wakil dari seluruh Thailand diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Chan Vit Pol Chi Win.

Katanya, penyertaan kontinjen pada sukan muhibbah itu untuk membantu membangunkan ekonomi serta sukan Thailand selain mendedahkan para peserta kepada peluang usahasama dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan.

Pelatih PLKN sertai program mengenal alam

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Sekumpulan pelatih PLKN Saujana Impian Jabi meneliti sejenis tumbuhan dalam program khidmat masyarakat 'Mengenal Alam' di Besut, Terengganu, semalam.

BESUT 8 Jun - Menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) merupakan satu peluang keemasan kepada golongan lepasan sekolah untuk memperkayakan kehidupan dengan pengalaman baru bersama rakan sebaya dari seluruh negara.

Antara usaha yang dijalankan di PLKN ialah khidmat masyarakat yang melibatkan interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat sebagaimana yang dilaksanakan oleh pengurusan Kem PLKN Saujana Impian Jabi di Kampung Gong Guchil dekat sini hari ini.

Dengan kerjasama Komuniti 1Malaysia Mukim Bukit Kenak, Program Mengenal Alam yang diadakan itu berjaya menarik minat seramai 62 pelatih ketika mendekati suasana kehidupan keluarga pesawah di kampung pedalaman.

Satu kawasan di hujung kampung itu yang boleh dilalui dengan berjalan kaki melalui batas sawah padi dipilih kerana mempunyai banyak pokok yang terdiri daripada tanaman herba dan pokok buah buahan.

Pengalaman berjalan kaki di atas batas sawah bagi sesetengah pelatih yang tidak pernah tinggal di kawasan pedalaman sememangnya sudah cukup mengujakan.

Pelbagai acara menarik diatur oleh Jawatankuasa Komuniti 1M di situ antaranya mendeklamasikan sajak, pertandingan mendirikan khemah, meneka jenis flora dan kegunaannya serta mengenali jenis flora yang terdapat kawasan itu.

Pelatih turut menikmati keenakan air kelapa muda yang dibawa bersama sebelum dijamu dengan juadah makan tengah hari yang disediakan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Pantai Irama tumpuan pengunjung cuti sekolah

Posted: 08 Jun 2013 11:10 AM PDT

Sebahagian pengunjung yang datang berkelah bersama keluarga di Pantai Irama, dekat Bachok, semalam.

BACHOK 8 Jun - Cuti sekolah selama dua minggu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh para pelajar serta ibu bapa dengan mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama di Pantai Irama, di sini hari ini.

Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, semakin ramai ibu bapa yang membawa anak masing-masing untuk menghabiskan masa bersama sebelum bermulanya sesi persekolahan esok.

Kebanyakan pengunjung yang ditemui amat gembira menyambut cuti persekolahan yang panjang kali ini kerana berpeluang membawa anak-anak untuk melakukan pelbagai aktiviti seterusnya merapatkan lagi ikatan kekeluargaan.

Kebersihan dan tempat rekreasi untuk kanak-kanak yang bersih juga menarik minat para ibu bapa untuk membawa anak mereka datang berkelah di Pantai Irama ini.

Menurut seorang pengunjung, Azuwa Ismail, 23, dia sering ke sini membawa anak saudaranya kerana keadaan taman permainan di kawasan pantai itu yang selamat, selain persekitaran pantai yang bersih.

"Pantai yang agak bersih juga mendorong saya membawa anak saudara ke sini kerana keselamatan mereka terjamin dan saya berasa gembira kerana dapat datang ke Pantai Irama untuk berehat dan menenangkan fikiran.

"Kalau di pantai ini diperbanyakkan aktiviti, saya yakin ia akan dapat menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi pengunjung, Nurul Kaizura Zainuabidin, 24, berkata, Pantai Irama memang menjadi tumpuan ramai, apatah lagi pada hujung minggu, cuti sekolah dan cuti umum.

"Kalau kita datang pada waktu malam pula, kadang kala jalan di sini penuh sesak. Kalau kita hendak mandi pula, kena datang awal untuk mendapatkan lokasi yang baik dan berkelah di bawah rimbunan pokok," katanya.

Dalam pada itu, Aida Azmani Omar, 24, berkata, pantai itu memang menjadi tumpuan ramai dan dia gembira menghabiskan cuti persekolahan dengan membawa adik-adiknya beriadah di sini.

"Saya telah melihat banyak perubahan dan sekarang sudah terdapat kawasan pejalan kaki di tepi pantai untuk kegunaan umum. Saya harap tahap keselamatan dipertingkatkan dan kemudahan asas seperti tandas awam lebih dijaga," jelasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat