{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Masalah tangki air selesai

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
utusankedah@utusan.com.my

Masalah kedudukan deretan tangki berketinggian kira-kira lima meter yang menimbulkan kebimbangan penduduk akhirnya diselesaikan menerusi sesi dialog pada Program Turun Padang Mesra Rakyat MBAS di Taman Bersatu, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 20 Jun - Kebimbangan penduduk Taman Bersatu, Simpang Empat di sini terhadap kedudukan tujuh tangki air yang dilihat boleh membahayakan orang ramai sejak empat bulan lalu akhirnya berakhir apabila masalah berkenaan menemui jalan penyelesaian.

Masalah tersebut antara salah satu perkara yang dibangkitkan penduduk melalui sesi dialog yang diadakan dalam Program Turun Padang Mesra Rakyat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di taman berkenaan di sini hari ini.

Masalah itu mendapat perhatian Setiausaha MBAS, Mohd. Asri Redha Abdul Rahman dan hasil dialog berkenaan, pemilik sebuah kilang yang menggunakan tangki setinggi kira-kira lima meter tersebut untuk menadah air hujan berjanji akan mengalihkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Bersatu, Mohd. Isa Jusoh berkata, penduduk sebelum ini khuatir sekiranya tangki itu tumbang lalu menghempap pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Katanya, jalan itu merupakan laluan alternatif penduduk ke pusat bandar dan turut digunakan kanak-kanak untuk ke sekolah.

"Terdapat tujuh tangki bersaiz sama diletakkan begitu sahaja di situ tanpa diikat dengan sebarang tali, sebab itu penduduk khuatir terutama mereka yang menggunakan laluan tersebut.

"Sebelum ini, saya kerap menerima aduan penduduk yang melahirkan rasa bimbang mereka dan berharap agar masalah ini segera diselesaikan oleh pemilik kilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di taman tersebut sempena program berkenaan di sini hari ini.

Pelbagai acara diadakan sempena program tersebut termasuklah gotong-royong, pameran oleh jabatan kerajaan dan kutipan cukai pintu.

Menurut Mohd. Isa, mereka berasa lega apabila pemilik kilang tersebut berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sementara itu, pemilik kilang, Lim Chin Wee berkata, air hujan yang ditadah menggunakan tangki berkenaan bertujuan membasuh kenderaan berat kerana mampu mengurangkan perbelanjaan utiliti.

Berikutan masalah yang timbul, dia memohon maaf kepada penduduk atas apa yang berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan.

"Penduduk juga diharap dapat memberi tempoh kepada saya untuk mengalihkan tangki yang mungkin mengambil masa kira-kira dua bulan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Asri Redha berkata, program tahunan yang diadakan itu bertujuan merapatkan lagi hubungan penduduk dengan MBAS dan mendengar permasalahan yang dihadapi.

"Apabila kita turun padang, baharulah kita dapat dengar dan lihat sendiri masalah dihadapi penduduk yang mungkin selama ini tidak di jangkakan," katanya.

Staf Jabatan Kesihatan perlu beri khidmat terbaik

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

KEPALA BATAS 20 Jun - Kakitangan awam Jabatan Kesihatan diminta untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan organisasi.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali berkata, langkah itu perlu bagi memastikan perkhidmatan awam tidak tercemar dengan tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, dalam kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, semangat melampau berteraskan perkauman dan ideologi akan menjadi pemangkin terhadap perpecahan masyarakat dan menyebabkan ketidakstabilan sosio politik.

"Jika elemen ketaksuban masih berakar umbi dalam pemikiran dan tindakan, masyarakat tidak akan dapat mengimbangi serta menghayati intipati kehendak pemimpin untuk membangunkan negara.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita umat Islam berusaha ke arah perpaduan bagi menerokai kejayaan dan keberhasilan negara dengan menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup yang boleh diikuti kerana umat Islam yang berpegang kepada al-Quran dapat mempertahankan akidah daripada terpesong," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Tilawah Al-Quran Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di Dewan Produktiviti, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Seramai lapan qari dan qariah dipilih daripada 36 peserta menyertai tilawah bertemakan Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah itu.

Farida berkata, dengan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama dan pembinaan jati diri serta wasatiyyah ihsan sebagai perilaku, masyarakat Islam di negara ini akan menjadi umat yang maju setanding dengan bangsa lain.

Bekalan pisang makin kurang

Posted: 20 Jun 2013 11:33 AM PDT

ZULKIFLI Jaafar menyusun buah pisang di kedainya untuk diperam sebelum diedarkan kepada penjual pisang goreng di Kuala Kangsar, Perak, semalam.

KUALA KANGSAR 20 Jun - Para peniaga khususnya penjual pisang goreng di kawasan ini merungut sukar mendapatkan bekalan buah pisang untuk perniagaan mereka.

Menurut mereka, keadaan itu menjejaskan pendapatan berasaskan perniagaan yang bergantung kepada bekalan buah tersebut.

Seorang peniaga, Zulkifli Jaafar, 38, berkata, kenaikan harga buah pisang hampir 200 peratus sejak awal tahun ini tidak menghalang penjualannya kerana masih mendapat permintaan tinggi daripada penjual pisang goreng.

Namun katanya, masalah kini adalah untuk mendapatkan buah pisang kerana sukar diperolehi berikutan bekalannya berkurangan.

"Setiap hari saya memerlukan kira-kira 800 kilogram buah pisang terutamanya pisang abu, pisang raja dan pisang nangka untuk dibekalkan kepada kira-kira 25 penjual pisang goreng.

"Malangnya saya tidak dapat memenuhi permintaan mereka yang mahukan antara 30 hingga 40 kilogram buah pisang setiap hari kerana sukar mendapatkan bekalan sebanyak itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, harga buah pisang telah naik sejak awal tahun ini dan kenaikan itu melibatkan semua jenis buah pisang.

Sebagai contoh, katanya, harga pisang abu yang dulu dijual antara 30 sen dan 40 sen sekilogram kini meningkat kepada 80 sen hingga RM1 manakala pisang yang telah masak pula meningkat dari 80 sen kepada RM1.50 sekilogram.

"Pisang awak yang belum masak dulu dijual 30 sen sekilogram tetapi sekarang sudah 80 sen sekilogram. Pisang emas pula naik dari 80 sen sekilogram kepada RM1.20 sekilogram," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat