Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Lokasi ponteng sekolah terbongkar Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Oleh OTHMAN YAHAYA GELAGAT tiga pelajar yang dipercayai ponteng sekolah di atas sebuah rumah sampah terbiar di Taman Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam. KEPALA BATAS 25 Jun - Beberapa pelajar lelaki sebuah sekolah menengah dikesan menjadikan rumah sampah terbiar di Taman Penaga di sini sebagai lokasi ponteng sekolah. Mereka dikesan ponteng sekolah sejak awal pagi hingga waktu pulang dari sekolah tanpa bimbang walaupun sudah dinasihat oleh penduduk di situ. Kumpulan pelajar terbabit antara tiga hingga lima orang itu didapati merokok walaupun masih memakai pakaian seragam sekolah tanpa menghiraukan penduduk yang lalu-lalang di kawasan itu. Seorang penduduk kampung berdekatan taman itu, Asmiah Mohd Ali, 45, berkata, kegiatan tidak sihat membabitkan pelajar ponteng sekolah di rumah sampah terbiar itu telah berlaku sejak lama dahulu. "Tidak ada pihak pengurusan sekolah berhampiran melakukan rondaan mencegah kegiatan itu biarpun selalu dibangkitkan di dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan setiap tahun. "Ini membuatkan pelajar terbabit tidak merasa terancam, bersalah atau takut untuk meneruskan perbuatan mereka itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Bagi Saiful Anuar Sazali, 34, yang pernah terserempak dengan pelajar terbabit berkata, dia turut hairan dengan kegiatan tidak sihat yang seolah-olah tidak diberi perhatian serius oleh waris mereka. "Kita kesal kerana sebahagian besar dari pelajar yang ponteng ini terdiri daripada kaum Melayu. "Sepatutnya waris mereka mengambil berat tentang kehadiran anak masing-masing ke sekolah dengan selalu membuat pemeriksaan dengan pihak pengurusan sekolah," katanya. Biasanya, pelajar yang ponteng ini akan mula berada di situ sekitar pukul 8 pagi dan mereka turut pulang ke rumah bersama pelajar lain yang keluar selepas tamat sesi persekolahan pada waktu tengah hari sekitar pukul 1.45 petang. |
Penduduk mahu papan tanda tanah runtuh Posted: 25 Jun 2013 12:10 PM PDT Ahmad Tajudin Umat (kanan) bersama Othman Md. Noor menunjukkan arah jalan yang terputus akibat tanah runtuh di Jalan Pengkalan Hulu ke Batu 7, Rambong, Baling, kelmarin. BALING 25 Jun - Penduduk Kampung Kaki Bukit dan pengguna jalan raya meminta agar pihak berkuasa memasang papan tanda bagi memberi amaran tentang penutupan jalan lama dari Pengkalan Hulu ke Batu 7, Jalan Kroh, Rambong dekat sini berikutan kejadian tanah runtuh. Tinjauan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, rata-rata mereka mahu tindakan itu dijalankan segera bagi mengelak daripada berlaku kemalangan di pertengahan jalan itu yang tuntuh dan tidak boleh dilalui lagi. Wakil penduduk, Othman Md. Noor, 56, berkata, kejadian tanah runtuh berlaku sejak sepuluh tahun lalu tetapi sejak empat tahun kebelakangan ini runtuhan tersebut semakin serius sehingga jalan yang dilalui terputus terus hampir 50 meter jaraknya. "Kami merayu agar pihak berkuasa meletakkan papan tanda amaran ataupun penghadang di jalan yang runtuh dan di jalan masuk untuk mengelak kemalangan seperti kenderaan termasuk ke dalam gaung," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Menurutnya, dia telah dua kali melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkenaan tetapi sehingga sekarang tiada tindakan yang sewajarnya diambil. "Jangan sampai kemalangan maut berlaku, barulah tindakan tersebut diambil," katanya. Pencari madu, Kwok Ah Teik, 40, dari Taman Bersatu berkata, dia hampir terjunam ke dalam gaung yang kedalamannya lebih 1,500 meter bersama abangnya dua bulan lalu semasa melalui jalan tersebut kira-kira pukul 10 pagi. "Saya tidak tahu jalan ini sudah tidak boleh dilalui kerana berlaku tanah runtuh. "Jadi saya dan abang hampir jatuh ke dalam gaung, mujur sempat tekan brek kereta, jika tidak saya tidak tahu bagaimana nasib saya selepas itu," katanya di sini semalam. Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Kaki Bukit, Ahmad Tajudin Umat, 57, memberitahu, terdapat dua kejadian yang membabitkan dua penunggang motosikal cedera parah akibat terjunam ke dalam gaung tersebut. Katanya, dalam kemalangan kira-kira pukul 1 pagi itu kedua-dua mangsa terperangkap di dalam gaung tersebut bersama motosikal hampir tiga jam sebelum dibantu oleh anggota Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), Hospital Baling, polis dan orang kampung. Tambah Ahmad Tajudin, sebelum kejadian tersebut, seorang anggota tentera bersama kenderaannya turut menjunam ke dalam gaung pada waktu malam kerana tidak mengetahui jalan itu telah runtuh. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |