Berita Harian: Ratu
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Ratu |
Posted: 10 May 2013 05:02 PM PDT Impiannya tinggi, niatnya murni dan kata-katanya bernas memikat pendengaran umum. Begitulah keperibadian anak kelahiran Jengka, Pahang, merangkap juara wanita tunggal program realiti agama Da'i - Pendakwah Milenia musim pertama, Nor Adibah Rozain. Da'i bermaksud pendakwah atau orang yang melakukan kegiatan menyebarkan ajaran islam atau agamanya.
Memang kadang-kadang agak janggal juga kerana program bercorak dakwah ini kebiasaannya dikuasai lelaki. Tetapi gadis lemah lembut ini membuktikan dirinya juga mempunyai bakat dan bersemangat untuk menjadi pendakwah. Soal jantina dan umur diketepikan oleh Nor Adibah. Dia mempunyai keazaman dan caranya tersendiri untuk melakukan aktiviti berdakwah. Berhasrat meluaskan dakwah dalam bahasa Inggeris dan mendidik orang muda berfikiran matang, gadis berusia 21 tahun ini nyata bukan calang-calang wanita kerana berjaya menumpaskan saingannya sepanjang 12 minggu program realiti berkenaan dianjurkan. Mahasiswa tahun dua Sarjana Muda Fakulti Pendidikan Pengajian Bahasa Inggeris Bahasa Kedua (TESL), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini pernah tersingkir pada minggu ke tujuh program berkenaan namun, dimasukkan semula atas tiket ujian khat melawan peserta lelaki mendapat markah terendah.
"Impian jangka panjang adalah membuka perniagaan makanan Islamik di FELDA Jengka, Pahang sebagai hadiah buat mama," katanya menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi, sijil dan pakej umrah selama 12 hari 10 malam (dua orang) serta beberapa baucar sampingan. Suka bercakap tabiat sukar dikikis Peramah dengan senyuman, anak kedua daripada empat beradik iaitu Nur Asiyah (23), Nur Amardah (15), dan Mohd Aiman Syahir@Firdaus (10) amat rapat bahkan, berkongsi minat serupa iaitu bersembang dan membaca. Selain itu, gurau senda menjadi medium pengerat hubungan antara wanita bercita-cita melanjutkan pelajaran ke negara Timur Tengah ini dan ahli keluarga. Begitu juga cara dipraktikkan dalam menegur individu ketika berdakwah iaitu membuat baik, tidak memaksa, menjadikan mereka sebagai kawan sekali gus menunjukkan contoh dan teladan baik kepada individu berkenaan. Jelas Adibah, satu sikap yang sukar dikikis dalam dirinya adalah suka bercakap. Malah, dia terkenal sejak kecil dengan kecelotehan berbicara sehingga menjadi pilihan ke pertandingan bercerita, syarahan agama mahu pun debat. "Ketika zaman persekolahan ada rakan-rakan melemparkan kata-kata kesat dek sikap saya yang suka menegur secara berterus-terang. Berita lanjut dapatkan akhbar BH hari ini |
Posted: 03 May 2013 04:52 PM PDT Belai anak mengikut perkembangan usia Bagaimanakah bentuk hubungan terjalin antara kita dengan anak-anak? Kadang-kadang, ibu bapa hari ini tidak sedar kesibukan bekerja menyebabkan mereka gagal mendekati anak dalam 'erti' sebenar-benarnya.
Menurut laporan The Global Spirit of Childhood, ibu bapa di Malaysia lebih suka memperuntukkan masa bekerja daripada meluangkan masa bersama anak-anak mereka. Jangan biarkan kehidupan karier sibuk dan lingkungan persekitaran tertekan menghalang anda meluangkan masa berkualiti bersama anak kesayangan. Bertenang dan cuba isi waktu dengan kenangan istimewa. Ketahui juga cara sesuai meluangkan masa bersama anak-anak mengikut tahap perkembangan mereka. Bayi
Bayi mula memahami dan mengenali kehadiran anda dalam kehidupan mereka. Bayi pandai berkomunikasi jika anda membuat hubungan mata (eye contact) dan bercakap dalam bahasa difahaminya. Anak kecil (Toddler) Ketika ini anak kecil mengalami proses tumbesaran ketara. Seronok meluangkan masa dengan anak-anak dalam usia sebegini kerana 'sudah dapat kaki'. Biasanya, toddler sudah tahu membezakan ibu bapa, individu rapat, dikenali dan individu asing dengan mereka. Justeru, jangan hairan jika anak menangis apabila individu asing menegur mereka. Toddler ralit dalam dunianya sendiri, bermain permainan kesukaan, mula menyanyi dan meniru aksi ditontonnya. Sedikit pelukan dan sentuhan mengambil berat sudah menawan hatinya malah, mungkin menyebabkan dia tidak mahu berenggang daripada anda. Tadika Sepanjang tahun di tadika, si kecil kita ini membesar dengan diperdengarkan cerita dongeng 'Sang kancil dengan buaya' dan 'Gagak yang bijak'. Pemantulan pembelajaran mendidik mereka mengenal kualiti hidup, nilai kemanusiaan dan norma kehidupan seperti 'jangan mengambil kesempatan' dan 'menilai sesuatu daripada luarannya'. Pendidikan secara bercerita mampu memacu dan mengisi harapan ibu bapa sebagai langkah menempa kejayaan anaknya, kelak. Bersekolah rendah Apabila anak kita memasuki alam sekolah rendah, ikatan berkesan membabitkan aktiviti pembacaan, bermain permainan kuiz dan permainan perkataan seperti hangman atau wordsworm. Aktiviti menyeronokkan ini berupaya mengeratkan kasih sayang antara satu sama lain. Aktiviti memasak yang ringkas seperti membakar kek, membuat pizza buah-buahan atau meletakkan hirisan keju bakar memerlukan sedikit usaha. Bagaimanapun, jangan pandang rendah usaha sebegini kerana ia cara mempersembahkan kasih sayang sejati. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Ratu To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |