Harian Metro: Hati
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Hati |
Posted: 08 May 2013 06:46 AM PDT Riasan wajah semula jadi, kulit berseri dan tampak sihat menjadi nadi kepada himpunan warna aliran solekan di MAC bagi musim bunga dan panas (SS13) kali ini. Biarpun tampak semula jadi dengan sedikit suntikan neon, keseluruhan persembahan SS13 ini dicetuskan daripada aliran musim sebelumnya lalu diberikan nafas baru. Menerusi sesi pengenalannya oleh Pengarah Solekan Artistry Asia-Pasifik MAC, James Molloy yang berkunjung ke Kuala Lumpur, baru-baru ini, SS13 menampilkan empat zon aliran iaitu Sig-Nature, Nu-Ance, Sci-Chedelic dan Puri-Tan, yang tidak hanya menekankan kepada aspek solekan 'cantik dan sempurna' tetapi lebih kepada lagak wanita yang tampil penuh keyakinan tanpa calitan rona keterlaluan. Jelas Molloy, solekan bagi musim bunga dan panas tidak semestinya bertumpu kepada gaya ceria serta rona yang terlalu menonjol kerana trend musim ini lebih terarah kepada riasan segar dan lembut seakan-akan wajah 'dicium' sinaran matahari yang menyihatkan. JAMES Molloy pilih kesan keemasan minimum memperlihatkan kulit sihat bercahaya bagi trend musim ini. EMPAT trend solekan musim bunga dan panas 2013 di MAC yang terarah kepada riasan segar serta lembut. MINIMALIS Sci-Chedelic menonjolkan gaya grafik retro inspirasi era 1960-an. PURI-TAN disifatkan gaya baru untuk solekan gangsa yang menyerlahkan wajah berkilau tanpa kesan perang keterlaluan.
"Ia sesuai untuk keadaan cuaca panas dan lembap, selain kering dengan penyudah matte. Master juga sesuai untuk pemakaian tempoh lama dan tidak terlalu berat untuk sapuan menyeluruh," katanya. MAC tidak ketinggalan cuba kembali kepada solekan satu titik fokus di mana tumpuan diberikan pada satu bahagian contohnya kening. Kening dipantis sedikit bagi membolehkannya dirias penuh. "Untuk bibir pula lebih kepada olesan pucat atau sekadar layangan pengilat bibir rona semula jadi. "Saat trend SS13 ini dikembangkan lagi gayanya, ia sebenarnya memperlihatkan kecantikan semula jadi iaitu cara terbaik untuk memulakan peringkat solekan seterusnya," jelasnya. Nyata tiada betul atau salah dalam solekan tapi semuanya bergantung sama ada berani atau tidak untuk menggayakannya seperti yang ditegaskan Molloy. "Saya tidak percaya dengan 'kesilapan bersolek'. Bagi saya, ia lebih kepada keyakinan diri serta tabiat untuk lari daripada kebiasaan. "Setiap wanita mempunyai rutin penjagaan kecantikan dan solekan tertentu tapi ia boleh berubah mengikut masa atau keadaan. "Apa yang penting, jangan takut untuk mencuba. Solekan boleh dibersihkan bila-bila masa dan ulang semula riasan jika ia tidak menepati gaya yang diingini. Mudah, bukan?" ujarnya. TREND MAC #1 Sig-Nature berkisarkan kepada wajah yang bersih, sihat dan tampak manis dengan sedikit sapuan rona lembut pada pipi serta bibir. Ia seakan-akan kombinasi cerahnya patung mannequin dan kulit bak telur dikupas yang memberikan kesan kilauan memukau. "Ia memaparkan wajah segar dan imaginasi tanpa cela. Bayangkan wanita yang baru menjalani rawatan wajah dan pipinya berseri-seri. "Menariknya, wajah ini ditambah dengan sedikit gaya adrogini di bahagian kening dengan riasan penuh menggunakan warna yang sedikit gelap," jelas Molloy. Trend wajah ini menjadi pilihan di pentas peragaan bagi JW Anderson, Prabal Gurung, Tommy Hilfiger, Blumarine, Rick Owens, Tory Burch, Ruffian, Sportmax, Margaret Howell, edun, Costume National dan Antipodium. Produk pilihan: Bedak asas Mineralize Moisture SPF 15, Dirty Blonde Fluidline Brow Gelcreme, Golden Elixir Strobe Cream, bedak asas dan bedak debu Mineralize, gincu Posh Tone Mineralize Rich serta losen Face and Body. TREND MAC #2 Nu-Ance menjurus kepada wajah bersih dengan riasan semula jadi yang digabungkan bersama sedikit warna terang atau pastel di bahagian mata yang menceritakan mengenai kisah romantis wanita moden. Bagi menambahkan lagi gaya elegan, sapuan rona kelabu dan metalik menghasilkan aura futuristik segar. "Trend ini diilhamkan daripada palet warna alam yang kita lihat setiap hari. Biru, merah, jingga, perang semuanya diadun dengan lembut bagi menghasilkan gaya feminin. "Ia banyak memainkan pesona pastel dan menyerlahkan sisi berbeza wanita lembut," kata Molloy. Trend wajah ini diperagakan di pentas Blugirl, Ermanno Scervino, Francesco Scognamiglio, Gianfranco Ferre, Issey Miyake, Meadham Kirchhoff, Monique Lhuillier, Nicole Miller, Peter Som, Roksanda Ilincic, Sophie Theallet dan Tess Giberson. Produk pilihan: Pembayang mata Now Mustard!, pembayang mata Sunshine, pemerah pipi rona Poised, pelembap bibir dan pigmen kelabu atau metalik. TREND MAC #3 Minimalis. Tunggal. Reduksionis. Ia menonjolkan gaya grafik retro inspirasi era 1960-an. Punk tapi pada masa sama mengekalkan ciri chic dan elegan. "Banyak rujukan kepada gaya 60-an, The Beatles dan seumpamanya. Trend ini mengenai ekspresi diri menerusi warna dan semangat bebas yang diterjemahkan pada solekan mata atau bibir yang lain daripada biasa," katanya. Trend ini popular di pentas peragaan Mugler, Vivienne Westwood, Missoni, Aquilano Rimondi, Gareth Pugh, Haider Ackerman, Holly Fulton, Jean-Pierre Braganza, Moschino, Richard Chai dan Threeasfour. Produk pilihan: Pensel MAC Pro Chromographic rona Process Magenta, MAC Pro Acrylic Paint rona Yellow, Cyan dan Process Magenta, pigmen Electric Red, penggaris mata Auto-de-Bleu Technakohl dan pensel bibir Embrace Me. TREND MAC #4 Puri-Tan boleh disifatkan gaya baru untuk solekan gangsa. Ia disapu lembut bagi menyerlahkan wajah berkilau tanpa kesan perang keterlaluan. Palet warna terdiri daripada rona tanah dan padang pasir dengan riasan mata berteraskan kesan akuatik serta ton keemasan. "Puri-Tan adalah sisi lembut perang yang menggunakan ton madu untuk 'bronzing'. Cuma layangkan pada wajah berbanding melakukannya terlalu dramatik," kata Molloy. Trend ini digayakan penuh bersahaja di pentas peragaan Alberta Ferretti, Alexis Mabille, Christian Siriano, House of Holland, Mandy Coon, Max Mara, MSGM, Osklen, Proenza Schoulder, Rebecca Taylor, Theyskens' Theory dan Yigal Azrouel. Produk pilihan: Pembayang mata Must Have Brown, pemerah pipi rona Taupe Shape, pembayang mata Top Soil, gincu Mineralize Rich rona Luxe Naturals dan pigmen rona Golden Lemon. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08 |
Gigih berusaha, berani bersuara Posted: 08 May 2013 06:24 AM PDT Aksinya ceria dan penuh bertenaga. Andai tidak bertanya, pasti tidak menyangka Datuk Rosaline Ganendra baru menimang cahaya mata perempuan beberapa bulan lalu. Perkenalan pertama dengannya pada Anugerah Bella, Mac lalu, membuka peluang untuk terus mengatur pertemuan sekali lagi bagi menyelami kehidupan serta pencapaian Pengarah Minconsult Sdn Bhd ini.
Sebagai seorang daripada pengarah termuda dalam sebuah syarikat perundingan kejuruteraan terbesar di Malaysia, beliau sememangnya berdepan jadual padat, ditambah tugasan sampingannya selaku penceramah motivasi di institusi pengajian tinggi negara. "Saya percaya dengan kehidupan yang seimbang. Tapi saya berikan komitmen penuh dalam semua perkara yang saya lakukan," ujarnya ringkas memulakan bicara.
Firma itu kemudiannya meluaskan operasinya sehinggalah pembentukan Minconsult Sdn Bhd iaitu entiti perundingan kejuruteraan yang menawarkan perkhidmatan untuk pelanggan dalam dan luar negara. "Bapa saya bukan saja menjadi inspirasi kepada ramai orang tapi kami sekeluarga. Empat daripada lima adik-beradik saya juga jurutera dan boleh dikatakan ia mengalir dalam darah keluarga sejak dulu kerana bapa saudara dan sepupu saya juga terbabit dalam bidang sama. "Ketika masih kecil, saya suka mengikut bapa ke pejabat dan menghabiskan masa di mejanya. Saya teruja melihatnya mengendalikan mesyuarat, berbincang dan menyelesaikan masalah. "Memori itu menjadi pemangkin untuk saya meneruskan warisannya dan kini saya pula di tempatnya," ujar Rosaline. Tambah penerima Anugerah ACEM (anugerah khas bagi industri kejuruteraan Malaysia) ini, bidang yang diceburi itu turut membolehkannya berkhidmat kepada masyarakat. "Saya percaya jurutera adalah pembina negara. Apa yang perlu kami lakukan ialah mempunyai visi dan merealisasikan visi itu lalu membina negara yang sejahtera untuk didiami. "Pada masa sama, ia juga profesion yang membolehkan saya menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan komuniti," ujarnya. Bagaimanapun, apa yang dikecapinya hari ini tidak datang bergolek malah Rosaline terpaksa membuktikan kemampuannya di bidang yang sejak dulu dikuasai lelaki. "Prinsip saya mudah. Hargai diri sendiri terlebih dulu sebelum kita mahu dihargai orang lain. Apabila kita sudah mencapai apa yang diingini, jangan hentikan usaha kerana hidup ini perlu diteruskan. "Benar, pada mulanya sukar untuk saya buktikan kemampuan diri dalam bidang yang dikuasai lelaki ini. Tapi dalam apa jua yang kita lakukan, pastikan dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan perlu bekerja lebih keras berbanding biasa. "Kita perlu berusaha lebih daripada lelaki dan disebabkan kita wanita, kita mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa. Kita mampu melakukan kerja secara lebih terperinci, tabah dan sabar. "Saya percaya wanita lebih baik dari segi mengimbangi karier, keluarga dan kehidupan peribadi," jelasnya. Faktor komunikasi turut memainkan peranan penting dalam apa jua karier. Tambah Rosaline, wanita hari ini lebih berani menyuarakan pendapat serta keinginan mereka dan ia bukan lagi perkara tabu dalam masyarakat. "Kita kini menuju ke dunia yang lebih moden dan berintegrasi. Beranikan diri bersuara, beranikan diri memberitahu mengenai idea yang ingin diketengahkan dan beranikan diri untuk meminta bantuan apabila diperlukan. "Wanita sering memberi pelbagai alasan anak, suami, keluarga dan pelbagai lagi. Saya sendiri amat mementingkan keluarga dan kesihatan diri tapi apabila kita percaya pada kemampuan diri, tidak sepatutnya wujud alasan itu. "Kemahiran komunikasi juga amat penting di mana sektor perkhidmatan kini lebih pesat dan penguasaan lebih daripada bahasa pengantar serta bahasa kedua amat diperlukan dalam sektor pekerjaan global," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/08 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |