Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 14 May 2013 03:54 AM PDT Pada 19 Mei (Ahad), jam 10 malam bakal menyaksikan sebuah lagi program siaran Astro Ria yang bakal mencetuskan keghairahan di kalangan penonton iaitu Gadis Muka 2 (GM2). Diterbitkan oleh produksi I Like Entertainment Sdn Bhd yang berpayung di bawah Sedania Media Corporation, program realiti dengan matlamat Pencarian Selebriti Terunggul itu turut menyaksikan pembabitan Harian Metro sebagai rakan media. Mendukung mandat besar pihak penerbitan, Ahmad Awaluddin Ashaari, 32, atau lebih dikenali sebagai Awal Ashaari dipilih sebagai pengacara program ini. Menambah keterujaan Awal, tentunya apabila program ini turut membabitkan sahabat baiknya, Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar (Dynas), 30, yang akan memainkan peranan besar dalam membentuk sahsiah diri peserta selaku 'Big Sister'. DYNAS dan Awal sedia membantu peserta menyusuri laluan glamor. Selain Awal dan Dynas, Datin Sofia Jane (kanan sekali) dan Kak Zai turut dilantik sebagai juri GM2.
"Kembali mengacara program di Astro ada sejarah tersendiri buat saya kerana boleh dikatakan nama saya dikenali melalui program terbitan stesen penyiaran itu. "Satu lagi kelebihan yang saya lihat menerusi program ini, pembabitan Akhbar Nombor 1 berbahasa Melayu tempatan, Harian Metro yang bertindak sebagai rakan media. Pastinya juga lebih menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan sahabat baik sendiri iaitu Dynas," katanya. Akui Awal, format realiti yang diperkenalkan GM2 bukanlah asing baginya kerana sebelum bergelar artis, pengacara, pelakon dan penyanyi yang sedang hangat dengan drama Sedetik Cinta, turut dibintangi aktres muda, Hanez Suraya itu pernah melalui pengalaman yang sama. "Sejujurnya latar belakang sebelum ini banyak terbabit dalam program realiti khususnya hal di sebalik tabir misalnya untuk program Sehati Berdansa dan One In A Million. Malah, sebelum dikenali sebagai pengacara, saya sendiri pernah menyertai pelbagai program pencarian bakat termasuk realiti antaranya Malaysia Idol. "Ini antara sebab mengapa saya bersetuju mengacarakan GM2 kerana ia dekat di hati saya. Dengan pengalaman yang ada juga mungkin peranan saya di dalam program ini tidak terbatas sebagai pengantara saja, malah dapat berkongsi pengetahuan dan membimbing peserta kelak. "Melaluinya juga, saya boleh mempelajari sesuatu yang baru memandangkan konsep yang diperkenalkan GM2 terarah kepada pencarian ala ratu cantik dan dalam masa sama mencungkil bakat seni. Konsep penerbitan program realiti seperti ini masih asing," katanya. Menghala perbualan kepada Dynas, sama seperti sahabat baiknya itu, dia merebut peluang untuk terbabit dalam program ini kerana tugasan yang diberikan kepadanya itu dekat dengan keperibadian dan personalitinya di luar. "Sewaktu saya menerima panggilan daripada pihak penerbitan program ini yang menawarkan saya menjadi 'Big Sister' kepada peserta, saya rasa seronok kerana tugasan itu berkait rapat dengan personaliti atau keperibadian saya yang sebenar. "Saya seorang yang mengambil berat mengenai orang lain, selain suka melihat orang lain berjaya. Menerusi program ini, saya akan membimbing peserta sebagaimana seorang kakak mahukan adik mereka berjaya. "Ia tidak terbatas kepada idea saja tetapi menyelami personaliti setiap daripada mereka. Jika ada yang kurang berkeyakinan, saya akan membantu mereka mencari kelebihan mereka dan bagi yang terlalu berkeyakinan pula, saya akan mengingatkan mereka jangan terlalu yakin kerana ada kalanya terlebih yakin boleh memakan diri sendiri. "Sama ada mereka mahu mendengar ataupun tidak, tak mengapa kerana saya percaya orang yang sentiasa mendengar kata dan mahu memperbaiki diri sendiri, mereka ini adalah kelompok orang yang berjaya. "Saya seorang yang tegas, namun saya juga tidak kisah jika ada peserta yang 'playful'. Tetapi jika mereka diberikan tugasan mereka harus menyelesaikannya," katanya. 10 gadis berbakat bakal berentap Pada sidang media pengenalan 10 peserta, pengacara, tenaga pengajar dan juri program GM2 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Setia Alam, baru-baru ini, Dynas turut memuji peserta yang rata-ratanya menyerlah dari segi komunikasi. Mereka yang terpilih adalah Aidiliahilda Abdul Halim (Aidilia), 19, dari Rawang, Selangor; Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa), 19, Parit Buntar, Perak; Nur Syamera Ab Rasif (Myra), 21, Kota Tinggi, Johor; Alia Afiqah Abden (Lia), 21, Tawau, Sabah dan Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra), 21, Setapak, Kuala Lumpur. Termasuk, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah), 22, Ampang, Selangor; Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor; Siti Nor Izumi Salleh (Izumi), 23, Bangi, Selangor; Siti Nursyahira Nabila (She), 23, Subang Jaya, Selangor serta Nur Asikin Kamarudin (Ekin), 24, Masjid Tanah, Melaka. "Pakej lengkap saja kadang-kadang tidak cukup untuk terus bertahan dalam arena hiburan kerana kalau kita rasa kita bagus, akan ada lebih ramai bagus daripada kita. Yang penting peserta harus tahu apakah kelebihan mereka yang tidak dipunyai orang lain serta bijak memasarkan diri mereka," kata Dynas lagi. Apa yang menarik mengenai program itu, ia akan turut membabitkan dua individu yang berpengalaman dan bidang seni dan penampilan. Bintang filem handalan, Datin Sofia Jane bertindak sebagai juri tetap manakala Zaihani Zain (Kak Zai) pula akan menerajui sudut imej dan penggayaan bagi program itu. Rancangan ini juga mendapat sokongan daripada nama besar dalam dunia hiburan dan fesyen. Majalah fesyen popular In-Trend berbesar hati untuk menyumbangkan tenaga sebagai penasihat gaya bagi segmen yang membabitkan pereka fesyen terkenal seperti Rizman Ruzaini, Jovian Mandagie, Azura Couture Kuala Lumpur dan AzuraAzwa Couture. Juara GM2 kelak akan memenangi kontrak bernilai RM100,000 selain membawa pulang barang kemas Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan daripada Snips Academy of Arts sebanyak RM20,000 serta tiket penerbangan pergi dan balik ke Paris tajaan AirFrance. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/14 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |