Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Enggan ungkit kontroversi lama Posted: 19 May 2013 07:26 AM PDT KETIKA ini hidupnya jauh lebih tenang. Suatu ketika dialah aktres paling menggemparkan di rantau ini gara-gara tersebarnya video aksi terlampau penyanyi Peter Pan, Ariel. Kini, si pemilik wajah jelita, Luna Maya optimis meneruskan kerjayanya dalam bidang seni untuk memulihkan kembali namanya yang sudah tercalar itu. Dia enggan lagi menoleh ke belakang. Bagi Luna, 30, tidak perlu lagi dia mengenang episod hitam dan kontroversi bersama Ariel yang kini bertukar nama kepada Noah. Terbaru, Luna berkunjung singkat ke Kuala Lumpur dari Jakarta semata-mata kerana Pintu Harmonika. Pintu Harmonika adalah filem terbitan dan arahan Luna yang bakal mengisi senarai tayangan di Astro First. Menariknya, Pintu Harmonika juga ditayangkan serentak di pawagam republik itu pada 23 Mei ini.
"Justeru saya begitu gembira dan rasa berbangga sekali apabila diberi peluang bergandingan dengan pihak Astro First untuk mempromosikan filem pertama terbitan syarikat saya sendiri. "Memandangkan Astro sebuah stesen TV berbayar yang turut bersiaran di Singapura dan Brunei Darussalam, secara tidak langsung ia memberi peluang kepada saya mempromosikan Pintu Harmonika di luar Indonesia," katanya. Pintu Harmonika yang diterbitkan Malka Pictures, dibarisi pelakon seperti Fauzan Nasrul, Karina Salim, Donny Damara, Barry Prima, Jenny Chang, Adam Putra Pertama dan Nasya Abigail. Pelanggan Astro yang ingin menonton hanya perlu membayar RM15 bagi setiap tempahan dan filem berkenaan akan ditayangkan dalam tempoh masa 48 jam selepas pembelian. Luna berkata, sekiranya Pintu Harmonika mendapat maklum balas yang baik daripada penonton, dia mungkin akan bekerjasama lagi dengan Astro untuk tayangan filem arahan keduanya pula. Sokongan terhadap Luna itu diluahkan Ketua Kumpulan Saluran Hiburan Astro, Azlin Reza Azmi yang berkata, ini kali pertama pihaknya membawa masuk filem Indonesia ke Astro First dan berharap saluran berkenaan akan dipelbagaikan dengan karya luar negara. Minat mengarah sejak 2011 Berkongsi lagi cerita mengenai bagaimana hatinya mula terdetik mengarah filem, wanita tinggi lampai ini berkata, semuanya bermula selepas dia memenangi Festival Filem Independent di Indonesia pada 2008. "Saya tidak sangka peluang mengarahkan filem pendek berjudul Suci And The City membuka hati saya untuk mengarah filem. Ketika itu mula timbul rasa minat yang begitu mendalam bagi mempelajari selok belok pengarahan. "Sejak itu mula terdetik di hati untuk mengarahkan filem layar lebar dan Alhamdulillah semuanya terlaksana apabila saya memulakan pasca produksi untuk menghasilkan filem Pintu Harmonika sejak Disember 2011. "Ketika itu juga saya terfikir untuk memecahkan plot cerita bagi memperlihatkan ia lebih menarik lagi justeru menambah dua lagi pengarah untuk sama-sama berkongsi idea menghasilkan jalan cerita masing-masing di mana pengakhiran cerita ia menjadi satu," katanya. Selain mula berjinak-jinak dengan bidang pengarahan wanita berasal dari Denpasar, Bali, Indonesia itu juga baru selesai merakamkan single baru yang belum berjudul. Ia single keempat yang dihasilkan Luna selepas pernah menghasilkan lagu berjudul Suara, Tak Bisa Bersamamu dan Sudah Biasa. "Saya menyanyi hanya sekadar suka-suka atas permintaan beberapa penerbit yang berminat menghasilkan lagu buat saya. Untuk menghasilkan album penuh saya tidak pernah terfikir. "Buat saya untuk sementara ini biarlah saya fokus terhadap pengarahan dulu kerana jika tiada halangan Insya-Allah saya akan mengarahkan filem kedua yang akan memulakan pasca produksi pada Oktober atau November tahun ini. "Untuk filem kedua ini idea dan jalan cerita adalah sentuhan saya sendiri yang berkisarkan tentang cinta. Kalau boleh saya mahu mencuba semua genre filem di samping mengikut pasaran penonton yang kini semakin meminati filem-filem bergenre kisah cinta dan biografi," katanya. Tidak hanya ligat di bidang peragaan, nyanyian dan kini pengarahan, Luna masih tidak melupakan bidang lakonan yang pernah menjadi sebahagian dari kehidupannya. Dalam pada sibuk dengan mengarah filem, Luna bakal mengubat rindu peminat dengan lakonan terbarunya menerusi filem usaha sama Indonesia dan Jepun berjudul Killers bergandingan dengan Oka Antara dan pelakon dari Jepun, Kazuki Kitamura yang akan ditayangkan pada Oktober ini. Masih berkawan dengan Ariel Meskipun pernah menyemai cinta selama bertahun-tahun dengan Ariel sehinggalah mereka terputus hubungan apabila Ariel dimasukkan ke penjara, Luna akui masih berhubungan sehingga kini atas sebab kerjasama mereka dalam perniagaan. Menurut Luna, masing-masing bersikap profesional menguruskan perniagaan fesyen baju di bawah jenama Hardware. Namun katanya, rakan kongsi Luna sebenarnya yang lebih banyak berhubungan dengan Ariel untuk bercakap soal perniagaan mereka. Luna memulakan perniagaan bersama Ariel selepas penyanyi kumpulan Noah itu dibebaskan dari penjara Julai tahun lalu dengan mengeluarkan produk kasut jenama ARL by Hardware dan LM by Hardware. "Hati saya masih belum terbuka untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki pun termasuklah Ariel kerana saya lebih selesa bergelar solo buat masa ini. Saya dan Ariel sekadar rakan kongsi dalam perniagaan, tidak lebih daripada itu. "Kami pun tidak mengambil peduli soal kisah lama yang pernah kami tempuhi sebelum ini dan pada masa sama tidak kisah dengan apa yang akan terjadi pada masa akan datang. "Cuma apa yang saya boleh katakan sekarang ini, saya lebih selesa solo. Biarlah masa dan takdir menentukan siapa jodoh saya. Lagipun apa-apa kemungkinan boleh berlaku," katanya. Walaupun semakin sibuk dengan jadual harian wanita yang memulakan karier sejak tahun 1999 itu berkata jika ada peluang dia akan menghabiskan masa berjalan-jalan di pusat beli-belah. "Waktu senggang saya terlalu terhad biasanya saya hanya bercuti pada hari Minggu. Kadang kala terfikir hendak ke Bandung atau Bogor tapi memikirkan jalan yang sesak teruk daripada saya membuang masa di dalam kereta saja lebih baik saya berjalan-jalan di pusat beli-belah bersama teman-teman atau seorang diri. "Jika mendapat cuti dua hari saya akan pulang ke Bali untuk membantu ibu menguruskan perniagaan pakaiannya di sana," katanya yang menggemari lakonan Aaron Aziz. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19 |
Posted: 19 May 2013 07:13 AM PDT Bahang persaingan program realiti TV terbaru dengan 'tagline' Pencarian selebriti terunggul, Gadis Muka 2 (GM2) musim pertama bermula malam ini (Isnin) menerusi episod pertama dengan memperkenalkan seramai 10 gadis berbakat besar yang berjaya menempatkan diri sebagai finalis sekali gus mengejar impian dalam bidang penyiaran tempatan. Rancangan berprestij membabitkan tujuh episod terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd yang bernaung di bawah Kumpulan Sedania dengan kerjasama Harian Metro (HM) ini akan disiarkan pada setiap Ahad jam 10 malam di saluran Astro Ria 104.
Barisan 10 finalis GM2, Aidiliahilda Abdul Halim (Aidilia), 19, dari Rawang, Selangor, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa), 19, Parit Buntar, Perak, Nur Syamera Ab Rasif (Myra), 21, Kota Tinggi, Johor, Alia Afiqah Abden (Lia), 21, Tawau, Sabah, Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra), 21, Setapak, Kuala Lumpur, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf (Sarah), 22, Ampang, Selangor, Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22, Subang Jaya, Selangor, Siti Nor Izumi Salleh (Izumi), 23, Bangi, Selangor, Siti Nursyahira Nabila (She), 23, Subang Jaya, Selangor dan Nur Asikin Kamarudin (Ekin), 24, Masjid Tanah, Melaka. Apa yang menarik, episod pengenalan rancangan menggilap bakat terpendam ini turut memaparkan perjalanan awal barisan 60 peserta ketika mula-mula melangkah kaki untuk menjalani sesi uji bakat, temuramah dan sesi fotografi dan disiarkan dalam HM sebelum ini.
Bagaimanapun, episod penyingkiran hanya bermula pada episod kedua dan episod seterusnya serta penampilan juri jemputan untuk memantapkan lagi rancangan ini. Majlis pengumuman barisan finalis berlangsung di Pusat Konvensyen Centre, Setia City, Shah Alam di sini, baru-baru ini. Ia turut dihadiri Ketua Eksekutif Kumpulan Sedania dan Pengasas GM2, Datuk Azrin Mohd Noor serta Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Encik Khairul Anwar Salleh. Selain Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam selaku penaja lokasi, penaja lain yang turut bermurah hati merealisasikan rancangan ini ialah Local Simkad. Tidak ketinggalan, pihak Snips Group yang akan sentiasa memastikan aspek penampilan wajah dan rambut finalis diberi tatarias yang betul. Cabaran-cabaran yang bakal di lalui peserta dalam program ini turut disokong oleh Inglot Cosmetic, Shu Uemura dan Loreal. Juara rancangan Gadis M2 akan memenangi kontrak artis lumayan bernilai RM100,000 dan bakal membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM30,000, tajaan pembiayaan dari Snips Academy of Arts sebanyak RM20,000 serta tiket penerbangan pergi dan balik ke Paris tajaan Air France. Artikel ini disiarkan pada : 2013/05/19 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |