Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: 'Isabella' Armand, Amy
"SAYA harus pakai lampin kalau menyanyi seperti Amy," kata vokalis Gigi, Armand Maulana sewaktu diminta menyanyi gaya Amy Search oleh pengacara program Sejam Lebih Dekat di saluran TV One, Jakarta, Indonesia. Benar dakwaan ramai bahawa muzik itu mampu mendamaikan dua pihak, juga sebuah tanda penyatuan. Di saat gejolak berlaku dalam dunia lain seperti politik dan bola sepak, muzik bertindak sebagai gagasan yang merapatkan perpecahan. Lagu Isabella adalah penyatuan mereka. Walaupun kedua-dua penghibur ini berbeza tanah air namun mereka bersatu langit seni ini. Mereka bertemu buat kali pertama pada tahun 1999. Waktu itu, grup Gigi kelahiran Jakarta hadir ke Malaysia untuk tujuan promosi dan mengadakan persembahan. Gigi ketika itu baru berusia lima tahun sementelah Amy sudah mengharumkan nama di Malaysia dan Indonesia bersama Search selama 18 tahun. Program televisyen yang berlangsung selama satu jam pada 16 April lalu membuatkan Gigi yang terdiri daripada Armand, Dewa Budjana, Gusti Hendy dan Thomas Ramdhan berpelukan, bersalaman dengan Amy di pentas selaku sahabat dan anak muzik. Pencinta dan penggerak muzik ini berinteraksi dengan asyik, hangat dan akrab. Tidak dibuat-buat dan itulah magisnya seni yang menyatukan. Penghargaan dan minat terhadap Amy vokalis Search lahir jujur daripada reaksi dan senyuman gembira mereka. Bicara sang vokalis Seiring perjalanan kehidupan muzik itu sendiri, pelbagai trend datang dan pergi, namun persamaan antara Amy dan Gigi teguh. Mereka tetap berada dalam peringkat kekuatan dan pengaruh yang tersendiri, muzik dengan bunyi yang mengalami evolusi secara bertahap. Penulis memberi titik fokus kepada temu ramah Amy dan Armand selaku vokalis dua buah grup yang cukup besar di negara masing-masing. Tidak hanya itu nama grup Gigi harum di Malaysia dan Search seperti yang semua maklum ialah pemecah muzik rock di Indonesia. "Saya melihat Armand sebagai seorang vokalis yang cukup peramah. Muzik Gigi juga bagus, moden," kata Amy yang melihat Gigi antara grup kelahiran Indonesia yang cukup mengagumkan. Apabila ditanyakan tentang Amy daripada kaca mata Armand, dia menjawab: "Buat saya kalau seseorang namanya boleh bertahan sampai bertahun-tahun dan tetap terjaga dengan baik, bererti dia orang yang konsisten. Lebih daripada itu, dia juga seorang yang sangat hebat." Ujar Armand atau nama sebenarnya Tubagus Armand Maulana. Dia mengenali Amy sewaktu dia masih remaja. Waktu itu lagu Isabella berkumandang meriah di Indonesia. Kedua-duanya belum pernah bekerjasama namun mengharapkan magis itu terjadi. Dalam sesi 'kolaborasi' kali ini mereka berbicara topik vokalis seksi, ulang tahun grup serta makna angka dalam hidup mereka. Hayat grup Setiap kali menjelang ulang tahun grup, apa yang terlintas dalam kepala kalian? AMY: Lama perjalanan itu dan masuk ke angka 32 tahun. Saya selalu fikir untuk buat konsert yang lebih bagus daripada sebelum ini. Konsert adalah pernyataan yang besar. Kerap juga saya terfikir bagaimana mahu buat peminat beli tiket untuk menonton Search. Mahu didik mereka untuk konsert berbayar. ARMAND: Tahun ini pada tarikh 22 Mac lalu, Gigi masuk ke angka 19 tahun. Apa yang saya fikirkan adalah untuk membuat sesuatu yang besar tetapi belum pernah dilakukan pada acara ulang tahun sebelum ini. Perubahan paling besar yang dirasakan dalam Search/ Gigi buat Amy/ Armand sejak 32/19 tahun lalu? AMY: Saya tidak boleh lupa tentang revolusi dalam konsert. Ada satu ketika di mana di seluruh dunia, semua grup buat konsert 'reunion.' Search juga muncul dengan konsert reunion di Stadium Merdeka dan penerimaannya di luar jangkaan. Itu sebuah perubahan. ARMAND: Saya menjadi lebih dewasa dalam memandang dunia muzik. Boleh ceritakan transisi daripada keinginan menjadi vokalis sebuah grup hingga kini menjadi salah seorang vokalis popular yang disegani di Indonesia dan Malaysia. AMY: Dahulu memang berangan untuk jadi vokalis yang tidak akan dilupakan orang. Sukar untuk mempercayai kembali bahawa kini saya boleh menjadi seorang vokalis yang terkenal dalam industri. Bukan hanya di Malaysia tetapi di Indonesia juga saya rasa dihargai. Sewaktu pergi ke Indonesia pada hujung tahun 1989, saya tidak pernah terfikir tentang kegilaan orang terhadap saya seperti di waktu itu. Malah Isabella menjadi sebuah fenomena dan mengubah muzik Indonesia yang ketika itu cenderung jazz. Isabella ialah pernyataan terbesar Search untuk Indonesia. ARMAND: Wow, mudah sahaja buat saya. Buatlah sejujur mungkin dengan sepenuh jiwa. Insya-Allah orang akan menghormatinya. Usia dan vokal Apakah tafsiran usia untuk buat kalian? AMY: Bagi saya, usia menandakan bahawa perjalanan sudah sampai ke penghujung. Saya tidak tahu bila, tetapi makin lama waktu makin singkat. Banyak perkara yang perlu dilepaskan. Kita tidak boleh beradaptasi dengan perkara yang sama dan perlukan perubahan persekitaran. ARMAND: Buat saya angka terbahagi kepada tiga. Pertama ialah usia sebenar iaitu umur secara angka yang akan bertambah. Umur ini tidak boleh kita tolak kerana ini harus terjadi sampai Allah membawa kita. Kedua, umur cara hidup iaitu bagaimana kita mahu hidup sihat atau tidak. Boleh sahaja manusia angka usianya panjang tetapi cara hidupnya tidak sihat, dia akan sakit-sakit selama hidupnya. Kalau cara hidupnya sihat walaupun angka usianya pendek, dia akan hidup sihat dan segar sepanjang usia. Tetapi kebanyakan manusia yang cara hidupnya sihat, usianya akan panjang. Ketiga, umur dalam fikiran kita selalu positif. Insya-Allah akan berumur panjang. Sering diberikan jolokan seksi (sebagai lelaki dan vokalis), bagaimana penerimaan kalian? AMY: Bila menyanyi, saya adalah diri saya. Itulah Amy dan kalau berfesyen perlu berbeza daripada hari biasa. Saya tidak pernah rasa seksi atas pentas. Kalau khalayak rasa begitu, okey selagi tidak memudaratkan. Bagi saya, bakat dan suara ialah kurniaan Allah. Jika orang suka, itu juga kerja Tuhan, Yang penting ialah kejujuran. Perlu ada rasa dan perasaan dalam nyanyian. ARMAND: Saya cuma boleh kata Alhamdulillah (tertawa). Bagaimana melihat dunia daripada kaca mata sekarang? Bagaimana pula menepis segala godaan dunia hiburan? AMY: Jujurnya, dunia 'show business' sekarang makin mencabar. Siri jelajah selepas pelancaran album sudah susah untuk dapat. Industri agak teruk kerana tidak banyak persembahan dan sukar mendapatkan artis baharu yang mampu dapat menarik penonton dalam jumlah yang besar. Belum ada artis yang mampu menjadi magnet menarik penonton. Tentang godaan, semua tergantung diri sendiri. Dosa dan pahala, kita yang pilih tidak kiralah dalam dunia hiburan atau tidak. Jangan ambil kesempatan atas kedudukan dan perlu beringat agar tidak sombong dan bongkak. Saya sering ingatkan diri sendiri semua ini Allah yang beri. ARMAND: Dunia hanya sementara. Maka untuk menepis godaan itu, saya selalu berfikir bahawa dunia ini hanya sementara. Alhamdulillah, saya boleh menepis godaan itu. Walaupun ada sesekali saya tergoda tetapi Alhamdulillah dan insya-Allah saya boleh kembali lagi dan berbuat baik dengan semua pihak. | |
Posted: Adira dalami ajaran Islam
FIGURA Siti Adira Suhaimi yang lebih dikenali sebagai Adira berterusan dihimpit cerita sensasi. Tidak habis dengan kes percintaannya dengan penyanyi Alif Aziz, kini nama penyanyi itu terpalit satu lagi kisah kontroversi. Cerita terbaharu yang menjadi topik perbualan peminat sejak beberapa hari lalu ialah mengenai perubahan penampilan penyanyi lagu Ombak Rindu itu yang didakwa sudah mula berhijab. Beberapa keping gambar Adira yang mengenakan tudung sudah mula tersebar di internet sejak minggu lepas. Di sebalik cakap-cakap peminat itu, ada yang mengesahkan bahawa Adira sudah mula menutup aurat. Tidak mahu mereka terus berteka-teki, Adira lantas bersuara: "Saya masih belum bertudung sebenarnya. Gambar yang tersebar itu adalah ketika saya menghadiri kelas agama. Bagi menghormati majlis, saya telah mengenakan tudung." Menurut penyanyi berusia 22 tahun itu, isu tersebut mula timbul apabila akaun laman sosial Facebook miliknya digodam sehingga menyebabkan beberapa kenyataan mengelirukan dikeluarkan oleh penggodam. "Ini kali kedua akaun Facebook saya digodam. Sejak itu macam-macam kenyataan yang keluar di situ termasuklah kononnya saya sudah bertudung. "Oleh kerana tidak mahu nama saya terjejas dengan posting yang keterlaluan sebegitu, saya sudah membuat laporan polis beberapa hari lepas," katan penyanyi lagu Ilusi itu. Salah satu kenyataan yang dikeluarkan penggodam dan menjadi topik perbualan berbunyi: "Saya takut mimpi saya masa tidur tiga minggu lalu. Saya terbayang-bayang hingga sekarang. Saya melihat perempuan yang rambutnya panjang diseksa. Mereka menangis terjerit-jerit. Saya panik, lantas saya bangkit daripada tidur dan mulai terfikir-fikir mimpi saya itu. Alhamdulillah saya mulai memakai tudung yang saya tinggalkan sebelum menjadi artis." Kenyataan itu antara yang panas dan menimbulkan spekulasi dalam kalangan peminat Adira di internet. Dalam pada itu, gadis kelahiran Ranau, Sabah itu menegaskan bahawa dia belum bersedia untuk berhijrah atau tampil dengan gaya bertudung buat masa ini. "Insya-Allah, bila tiba masanya nanti saya akan bertudung juga tanpa dipaksa oleh sesiapa. Sekarang biarlah saya mendekatkan diri dengan ilmu agama dahulu. Tetapi karier saya dalam bidang nyanyian tetap diteruskan kerana ia adalah sumber pendapatan saya," katanya. Adira kini sering menyertai kelas agama Usrah Fitrah setelah dipelawa oleh rakannya yang merupakan peserta Akademi Fantasia musim kelima (AF5), Heliza Helmi. Dia tertarik setelah Heliza berkongsi pengalamannya ketika sama-sama mengadakan persembahan di Perlis baru-baru ini. | |
Posted: Cinta lelaki motosikal besarDUNIA permotoran dan hobi lelaki bermotosikal kuasa besar menjadi fokus dalam filem Bikers Kental yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 Mei nanti. DI layar perak, kisah lelaki peminat motosikal digambarkan dalam dua sudut, satu daripada perspektif negatif dan satu lagi penuh unsur negatif. Paling melekat dalam fikiran peminat dunia hiburan apabila Awie muncul memacu Harley Davidson dalam filem popular, Sembilu. Saat itu dan sampai hari ini, lelaki bermotor Harley masih mengingatkan khalayak terhadap Awie. Untuk khalayak hari ini pula, mungkin Adnan Sempit lakonan Shaheizy Sam pula segar menjadi jolokan penunggang kapcai. Jika ada yang masih ingat, Rosyam Noor juga antara penunggang motosikal yang berjaya dihidupkan dalam KL Menjerit 1 dan KL Menjerit 2. Tentunya watak Roy (Faizal Hussein) yang bermotor scrambler dalam Gila-Gila Remaja masih tiada tandingan. Itu antara nilai sentimental yang mengaitkan lelaki dan motosikal yang pernah disaksikan. Akan datang, sebuah filem pertama arahan Helmi Yusof bakal menemui peminat filem dan peminat motosikal berkuasa besar berjudul Bikers Kental. Bukan sebuah filem aksi atau drama romantik, filem yang menghidangkan kisah pengembaraan sekumpulan lelaki bermotor besar berkonvoi dari Kuala Lumpur sampai ke Krabi, Thailand itu sebalik sebuah filem komedi. Menariknya, selain pengaruh Awie yang sekali lagi dikembalikan sebagai hero bermotor besar, pelawak popular Zizan Razak dan aktor yang sedang meningkat, Zul Ariffin buat julung kali dipersembahkan sebagai 'bikers' yang kental semangat dalam filem itu. Bercakap tentang watak, filem, permotoran dan wanita, Zizan dan Zul Ariffin ada sasaran tersendiri untuk filem yang bakal menemui penonton di pawagam bermula 23 Mei nanti. Himpun kisah cinta Dalam filem Bikers Kental, Zizan membawakan watak Bidin Al-Zaifa yang digambarkan dekat dengan dirinya. Lebih membawakan karakter diri sendiri, Zizan menyifatkan ada persamaan antara mereka berdua terutamanya dalam minat terhadap dunia permotoran. "Saya memang sukakan motor dari dulu, dari zaman sekolah. Bidin pula ialah seorang pekerja kedai motor namun dia seorang yang 'loser,' selalu diherdik dan direndah-rendahkan oleh kawan-kawan. Namun ada suatu perkara yang membuatkan hidupnya bertukar," jelas Zizan yang selesa bekerja di bawah arahan Helmi. Buat Zizan, filem Bikers Kental memberi gambaran kepada khalayak tentang dunia geng motor besar. Dalam filem tersebut, mereka mengembara ke Krabi, Thailand untuk mengikuti Bike Weeks. "Jujurnya, filem Bikers Kental merupakan sebuah filem yang saya gemari. Saya memang pernah mengidam untuk terlibat dengan cerita sebegini," kata Zizan yang juga terlibat dengan empat buah filem tahun ini. Apabila ditanya tentang peranan yang lebih serius berbanding watak komedi yang sering dibawakan, Zizan mengaku dia melakukan sedikit kelainan dalam watak Bidin. "Dalam filem Tokan kelak, khalayak akan melihat saya lebih serius. Saya teringin membawakan watak serius tetapi saya perlu ambil berat penerimaan ramai kerana mereka yang mahu tonton. Kalau saya mahu bawakan watak serius biarlah cerita itu ada turun naik emosi seperti Kuch Kuch Hota Hai. Awalnya gembira dan akhirnya sedih. Tidak mahulah terlampau serius daripada mula," jelasnya yang memuji tenaga kerja Thailand yang banyak membantu dirinya dalam penggambaran Bikers Kental. Zizan menangis Semenjak popular baik dalam membawa tugasan sebagai tukang lawak, pelakon mahupun hos, jejaka kelahiran Terengganu ini tidak pernah terlepas dengan cerita wanita di sekelilingnya. Nama-nama seperti Leez AF, Juliana Evans, Kaka dan terbaharu Emma Maembong menjadi bunga yang berkembang bersama nama Zizan. Juara Maharaja Lawak ini menyatakan dia memang gemar berkawan. Pada petang temu ramah diadakan, nama Juliana Evans atau mesra dipanggil Ju tidak lekang daripada bibirnya. "Kami tidak pernah berpasangan sampailah Ju ke Amerika Syarikat (AS). Saya memang mahu berkahwin pada umur 30 tahun dan kini adalah masa untuk saya fokus dengan kerja. Kalau saya berkenan nanti, saya terus pinang sahaja," ketawanya lagi namun tidak berselindung. "Cinta pertama saya ialah waktu saya tingkatan empat dan kemudian diikuti dengan cinta kedua. Kedua-duanya meninggalkan saya. Lepas itu tidak ada sampailah saya jumpa Ju, saya menyukai dia tetapi tidak ada kata putus. Jujurnya, saya memang sedih, kecewa dan menangis waktu dia ke AS untuk menyambung pengajian. Berbulan juga saya ambil masa dan akhirnya saya alihkan kesedihan dengan menyibukkan diri," ceritanya lagi.
Diusik tentang gosip cinta dengan aktres Emma Maembong, Zizan mengakui mengenali Emma dua tahun lalu. Namun tiada perasaan istimewa yang lahir antara mereka setakat ini. Malah, dia turut hairan dengan gosip cinta yang tiba-tiba hadir membabitkan nama mereka berdua, "Dulu saya tunggu dia tetapi sekarang tidak. Dia seperti mahu menetap di sana. Tetapi kalau ada jodoh, saya tidak boleh cakap apa. Ibu saya juga menyenanginya," katanya yang mengaku pernah menangis sewaktu Juliana 'meninggalkan' dirinya. Seperti Zizan, Zul Ariffin, 29, tidak terlepas bermain gosip. Berlakon sejak tahun 2009 apabila diperkenalkan menerusi drama kepolisan terbitan Skop Production Sdn. Bhd., perlahan-lahan jejaka kelahiran Taiping, Perak itu mencari rentak. "Beberapa tahun dahulu, saya sedikit segan untuk menghadiri acara hiburan, majlis anugerah atau festival filem. Saya fikir saya belum kukuh tapi bermula tahun 2013 ini, perasaan saya sedikit berlainan. Tahun ini, lembaran saya sedikit berbeza. "Selama ini, saya berlakon drama. Habis penggambaran, tunggu drama ditayangkan di televisyen dan kemudian berlakon lagi untuk drama yang lain. Tapi berlakon filem beri pengalaman berbeza, bila hampir waktu tayangan begini, pelakon kena buat publisiti dan keluar bertemu khalayak. Sekarang, barulah saya rasa bahawa saya ini sebahagian daripada pelakon, maksud saya pelakon dalam industri perfileman," katanya sedikit berhati-hati. Lali cinta Abby Abadi Tidak seperti Zizan yang selesa berjenaka sambil berbual, nada pelakon drama bersiri Debunga Lalang itu berbunyi serius. Katanya, dia tidak merasa terpinggir jika tidak terlalu kerap menghiasi kaca televisyen asalkan permainannya boleh meresap ke jiwa penonton. "Biarpun susah untuk saya mengukir rentak dalam karier, susah menambat hati dan kepercayaan penonton, sampai hari ini, sebenarnya saya okey. Orang tidak terlalu kenal gaya lakonan saya, itu sedikit mudah sebenarnya. Jika tidak, saya pasti semakin sukar untuk pelbagaikan karakter," katanya yang seboleh-boleh cuba mengelak membawa watak bapa seperti yang telah diingati dalam Anak Rintik dan Sayang Abah, dua tahun lepas. Bercakap tentang Bikers Kental, Zul yang masih dalam nada merendah diri mempamerkan aura ceria. Katanya, filem yang memberikan nama Arbi kepada wataknya banyak nilai sentimental. "Tentu sebab saya dapat berlakon dengan Awie. Dulu sesiapa sahaja yang nampak mat motor besar, lilit bandan ke muka, pakai kaca mata hitam, mesti orang kata, 'eh, macam Awie'. Sekarang, saya berlakon dengan Awie dan sama-sama jadi mat motor. Pernah satu ketika, semasa kami berhenti rehat, ada orang nampak kami dan kata, eh, macam Awie. Bila Awie buka kaca mata, memang betul Awie. Kelakar," katanya. "Zizan pun nama besar, saya antara peminat lawak-lawak dia dan dalam filem ini, pertama kali saya berlakon dengan Zizan dan Awie. Kebetulan, Bikers Kental juga filem pertama arahan Helmi Yusof yang sebelum ini memang seorang pengarah sinematografi handalan. Saya juga pertama kali belajar naik motosikal kuasa besar sehingga sampai ke Krabi melalui filem ini. Banyak yang pertama dalam filem ini walaupun ini filem kedua saya selepas Evolusi KL Drift 2," katanya yang bakal muncul dengan sebuah lagi filem, namun berlainan genre berjudul Penanggal, sekitar hujung tahun nanti. Melihat Zul yang semakin larut dalam perbualan, kisahnya bersama Penerbit Eksekutif Tayangan Unggul Sdn. Bhd., Gayatri Su-Lin Pillai masuk menyisip. Tidak terusik sementelah Zul sendiri sedar perhubungan mereka bukan lagi rahsia, katanya, dia sudah terbiasa dengan kisah cinta. Mungkin sudah lali gara-gara pernah menganyam cinta bersama selebriti Abby Abadi satu ketika dahulu. "Semua pihak tahu hubungan kami, yang tinggal sekarang, bagaimana saya hendak mengimbang kisah cinta itu agar khalayak sedar bahawa saya juga seorang pelakon yang serius," ujarnya. Masih menanti beberapa projek filem yang belum diberikan hitam-putih, harapan Zul, dia mahu setidak-tidak Bikers Kental meninggalkan bekas positif ke atas kemunculannya di layar perak. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |