Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Ingin hadir perkahwinan Che Ta Posted: Ingin hadir perkahwinan Che TaBIARPUN umum sudah mengetahui Rozita Che Wan dan Zain Saidin bakal berkahwin tidak lama lagi, pelakon Singapura, Shah Iskandar masih dikaitkan dengan pasangan popular itu. Ini kerana baru-baru ini timbul cerita apabila Shah dikatakan berasa kecil hati dengan sikap dingin dan acuh tak acuh Rozita ketika mereka digandingkan sebagai penyampai di sebuah majlis anugerah. Sumber itu memberitahu, Shah sedih dan berasa kecil hati kerana sebelum naik ke pentas, Rozita yang pernah digosipkan bercinta dengannya itu begitu ramah melayannya. Sebaliknya, sebaik berada di atas pentas pelakon Kiah Pekasam itu bersikap dingin dan acuh tak acuh pula dengannya. Menurut sumber itu lagi, sikap dingin Rozita itu disebabkan dia risau kekasih hatinya, Zain, yang duduk di bawah pentas cemburu melihat dia bersama Shah. Malah, ada khabar mengatakan sememangnya Zain tidak selesa bakal isterinya itu digandingkan bersama Shah. Pemilik nama penuh Shah Iskandar Mahfuz yang ditemui pada majlis pratonton filem Oh Mak Kau di Cathay Cineplex Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, nyata terkejut dengan perkara tersebut. Dia sebaliknya menafikan pernah berkecil hati dengan Rozita. Bahkan, ujar Shah, dia sendiri tidak tahu menahu bahawa Zain berasa tidak selesa dirinya digandingkan dengan Rozita. "Saya tidak dengar ceritapun mengenai Zain tidak selesa saya digandingkan dengan Che Ta. Saya juga tidak berasa kecil hati seperti yang didakwa," ujarnya yang memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan Zain. Mengulas lanjut mengenai Rozita dan Zain, luah Shah, dia berasa kasihan terhadap pasangan itu kerana sering dilanda kontroversi. "Kadangkala saya kasihan dengan hubungan mereka yang sering dilanda kontroversi terutama di laman sosial. Saya gembira dengan berita perkahwinan mereka dan akan hadir sekiranya mendapat jemputan," ujarnya yang turut mendoakan yang terbaik kepada Zain dan Rozita.
Tidak kisah kekasih janda Dalam pada itu, Shah berharap selepas perkahwinan pasangan itu, gosip cinta yang pernah mengaitkan dirinya dengan Rozita akan terus terpadam. Ungkapnya: "Cukuplah satu gosip itu sahaja kerana saya mahu menjadi pelakon yang bersih daripada sebarang kontroversi mahupun gosip liar." Mengakui dirinya dengan Rozita sebelum ini tidak mempunyai sebarang hubungan, dedah Shah, sehingga kini dia masih solo tanpa kekasih. Begitupun, dia yang kini sudah berusia 31 tahun mempunyai sasaran untuk berkahwin dalam masa empat tahun lagi iaitu ketika usianya mencecah 35 tahun. "Saya masih solo. Buat masa ini saya masih mencari dan cuba mengenali ramai wanita. Mengenai gadis pilihan, kalau boleh saya mahukan gadis yang memahami kerjaya lakonan saya," ujarnya yang turut mengakui menyukai gadis cantik. Ditebak bagaimana sekiranya wanita yang ditemui berstatus janda, akui Shah, dia tidak kisah mengenai perkara itu asalkan berasa selesa ketika bersamanya. Tidak kecewa Mula berlakon di Malaysia sejak tahun 2009, walaubagaimanapun nama Shah tidak begitu menyerlah berbanding rakan senegaranya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra. Ditebak sama ada dia kecewa dengan nasibnya, ungkap pelakon berusia 31 tahun itu, dia tidak berasa kecewa biarpun namanya belum setanding dengan Aaron Aziz dan Adi Putra. Baginya, Aaron Aziz dan Adi Putra sudah lebih 10 tahun berada dalam industri berbanding dirinya yang masih hijau dan masih mencari identiti dalam membina kerjaya sebagai pelakon. Begitupun, Shah mengakui pencalonannya sebagai Artis Baru Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular baru-baru ini sedikit sebanyak membuka ruang dan keyakinan kepadanya untuk terus mencipta nama. "Saya tidak berasa kecewa biarpun nama saya idak begitu popular di sini jika dibandingkan dengan Aaron Aziz dan Adi Putra. Mereka juga mengambil masa yang agak lama untuk bertapak di sini. Saya rasa graf kerjaya saya di peringkat okey dan naik secara perlahan-lahan," akuinya yang meminati bidang pengacaraan. Berkongsi mengenai minatnya terhadap bidang pengacaraan, jelas Shah, dia mula bertapak dalam bidang seni sebagai pengacara di Singapura.
"Ketika di Singapura saya banyak terlibat dengan beberapa program di sana. Peluang di bidang pengacaraan adalah lebih menyerlah berbanding lakonan ketika di Singapura. Tetapi, di Malaysia terbalik pula kerana peluang berlakon lebih banyak diperoleh daripada mengacara," ujarnya yang mengakui rindu untuk mengacara dan tidak tolak sekiranya ditawarkan. Mengulas mengenai kerjaya lakonannya pula, ujar Shah, buat masa ini dia sering ditawarkan watak antagonis. Terbaharu, Shah bakal muncul membawakan watak antagonis dalam sebuah drama yang diadaptasi daripada novel berjudul Teduhan Kasih. Selain Shah, drama yang bakal ditayangkan di TV3 itu juga dibintangi oleh Adi Putra dan Sherry Ibrahim. Mengakui teruja dan selesa membawakan watak antagonis, ungkap Shah, dia tidak takut penampilannya bakal mendapat kritikan pedas daripada penonton. Taraf penduduk tetap Mengakui peluang berlakon lebih cerah di Malaysia berbanding di Singapura, Shah bertekad untuk terus mengembangkan bakat lakonannya di sini. Begitupun, dia tidak merancang untuk memiliki Taraf Penduduk Tetap (PR) dalam masa terdekat ini. "Memang ada rancangan nak mohon PR tapi bukan dalam masa terdekat ini. Saya juga faham, ia bukan mudah kerana ada prosedur dan syarat-syaratnya. "Saya sebenarnya tidak terlalu mengharap PR kerana masih bujang. Jadi saya tidak perlu risau tentang apa-apa kerana cukup dengan hanya visa lulus saya boleh cari makan di sini tanpa sebarang masalah. Lainlah seperti Aaron Aziz, dia ada keluarga malah, anak-anaknya juga bersekolah di sini. Jadi, dia sangat memerlukan kerakyatan," katanya yang pulang ke kota singa, sekurang-kurangnya sebulan sekali. | ||
Lisdawati berubah untuk kebaikan diri Posted: Lisdawati berubah untuk kebaikan diriOleh IZRINDA BADROLHISHAM
SETIAP manusia boleh berubah, sama ada seseorang itu menjadi lebih baik atau sebaliknya. Ramai dalam kalangan selebriti wanita berubah ke arah kebaikan, khususnya dengan berhijab. Terbaharu, tidak ketinggalan aktres dan isteri kepada aktor Fauzi Nawawi iaitu Lisdawati. Pada satu majlis pelancaran produk Selebriti Cosway di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor semalam, Lisdawati kelihatan anggun mengenakan hijab berwarna jingga. Kosmo! segera mendapatkan pelakon filem KL Menjerit ini. Ikuti temu bual bersama Lisdawati yang bercerita tentang perubahan penampilan dirinya ini. Kosmo!: Sejak bilakah Lisdawati berubah (dengan berhijab)? LISDAWATI: Sebenarnya niat untuk berubah sudah lama. Jadi, saya lakukan ia secara perlahan-lahan dan tidak mahu ia (dilakukan) dengan tergesa-gesa. Apa kata Fauzi Nawawi apabila Lisdawati kini berubah penampilan? Dia terkejut dan tak sangka bahawa saya akan berubah (penampilan ) secepat ini. Bagaimanapun, dia sentiasa beri saya semangat dan dorongan untuk berubah menjadi lebih baik. Kenapakah Lisdawati tiba-tiba ingin berubah penampilan? Saya berubah ini bukanlah kerana siapa-siapa. Saya berubah atas dasar niat saya adalah kerana Allah. Saya tidak mahu masyarakat pandang serong dengan perubahan yang dilakukan oleh saya sendiri. Mulut orang kita tak boleh tutup. Jadi, saya berubah dengan pelahan-lahan. Pada mulanya, saya ubah dari segi pemakaian. Saya tidak lagi pakai pakaian yang seksi dengan semua pakaian saya bertutup dan longgar. Sebab itu saya cakap, niat memang ada tetapi saya buat semuanya perlahan-lahan. Saya suka untuk menjadi diri sendiri dan bukan orang lain. Bagaimanakah pula dengan karier Lisdawati sebagai seorang pelakon selepas sudah mula berubah penampilan ini? Saya tetap berlakon kerana ia adalah punca rezeki saya selama ini untuk saya sekeluarga. Jadi, tidak menjadi satu masalah apabila berubah penampilan dan meneruskan karier lakonan. Malah, kebanyakan watak-watak yang saya raih adalah watak ibu dan yang seumpama dengannya. Saya hanya fikir positif, saya cari rezeki untuk anak-anak dan nawaitu saya adalah untuk mencari rezeki. Jadi, saya tak kisah sebab itu adalah rezeki yang diberikan Allah kepada saya. Apakah perancangan Lisdawati selepas ini? Saya teringin sangat mahu buka perniagaan sendiri. Perkembangan terbaharu Lisdawati? Saya sudah berehat daripada aktiviti seni selama dua bulan dan mulai minggu hadapan saya akan mula sibuk dengan penggambaran sebuah telemovie. Selama dua bulan ini, saya sibuk jaga anak-anak, suami dan uruskan rumah. | ||
Posted: Kekecewaan BunkfaceOleh KHAIRUL AMRI HASSAN BUNKFACE enggan mengambil risiko dengan terus menerbitkan album tetapi terlebih dahulu mengeluarkan beberapa single dan klip video baharu. ALBUM kedua Bunkface yang mula dipasarkan sekitar penghujung tahun 2012 berjudul Punk Not Dead barangkali dilihat sepi dalam industri hiburan tempatan. Mana tidaknya, masih ada peminat band muzik pop punk itu masih belum jelas akan perkembangan Bunkface sehingga ada yang meluahkan kekesalan terhadap perjuangan band itu yang prestasinya kian merosot sejak akhir-akhir ini. Bersetuju dengan dakwaan tersebut, ujar vokalis kumpulan Bunkface, Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar, perjuangan muzik dan band-band tempatan sepertinya tidak serancak dua tahun lalu. "Sambutan album pertama (Phobia Phoney) tiga tahun lalu lebih progresif jika dibandingkan dengan Punk Not Dead yang sangat perlahan. "Penerimaan peminat mungkin tidak agresif seperti dulu, permintaan pun tidak banyak. Begitu juga tawaran membuat persembahan. "Saya sedikit kecewa apabila peminat sudah semakin berkurang tapi saya akur, industri muzik kita seperti ombak. Ada naik turun," luah Sam yang ditemui ketika majlis pelancaran album kompilasi Baik Punya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sam muncul pada majlis tersebut bersama seorang lagi anggota Bunkface iaitu Paan sementara anggota ketiga kumpulan itu, Youk tidak dapat hadir. Album kompilasi Baik Punya terbitan Indigital Sdn. Bhd. dengan kerjasama Tropic Jaya mengandungi 14 buah lagu antaranya Cinta Bersatu (Liyana Jasmay), Jerrypah (Aizat), Memandang Awan (Sharifah Zarina), Aku Permata (Salma) dan lagu nyanyian asal Datuk Siti Nurhaliza berjudul Falling In Love yang dinyanyikan semula oleh Bunkface. Mengakui kini band yang ditubuhnya sejak tahun 2005 itu perlu berusaha lebih keras, Sam menelan hakikat bahawa monopoli industri muzik semasa dimiliki penyanyi solo, remaja dan muzik akustik. "Kami tidak tahu apa salah kami, mungkin peminat sudah tidak nampak muzik kami. Semua ada zaman masing-masing dan zaman muzik Bunkface sudah pun berlalu. "Sekarang peluang kepada generasi baharu dengan penerokaan muzik yang lebih santai dan mesej yang senang dicerna," ujar Sam. Biar risau akan hala tuju bandnya suatu masa nanti, Sam akur akan kehendak pasaran dan enggan memaksa peminat mengagumi hasil muziknya. Malah kata Sam, dia akan 'melembutkan' aliran muzik Bunkface selepas ini agar lebih senang didekati generasi sekarang dan kemungkinan besar akan berkolaborasi dengan beberapa penyanyi popular sekarang. Selain itu, Bunkface akan menggunakan resipi asas dunia muzik iaitu membuat satu persatu single dan klip video sebelum mengambil risiko mengeluarkan album. "Muzik kami akan kekal dan Bunkface tidak akan sesekali menukarkan stail kami. Kami tidak akan berputus asa dan sebagai sebuah band kami tidak boleh terlalu tamak," jelas Sam. Bunkface baru habis membuat persembahan di Festival Midem 2013 di Cannes, Perancis sekitar pertengahan bulan Februari lalu bersama beberapa penyanyi tempatan lain antaranya Hujan, Jaclyn Victor dan Amanda Imani. Dalam perkembangan lain, Bunkface akan memulakan siri konsert jelajah seluruh Malaysia iaitu Punk Not Dead Tour Malaysia bermula 1 Jun depan. Band yang terkenal dengan lagu Ekstravaganza itu akan beraksi bersama beberapa buah band tempatan di lapan buah negeri sekitar Semenanjung Malaysia sepanjang siri konsert jelajah itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |