Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Enggan dikaitkan dengan Ashraf Muslim Posted: Enggan dikaitkan dengan Ashraf MuslimDIA baru sahaja mahu memulakan langkah di bidang lakonan selepas dua setengah tahun meninggalkannya kerana mencuba nasib di awan biru sebagai pramugari Qatar Airways, Sherry Ibrahim kini terpaksa berdepan dengan kontroversi. Pelakon drama Renjis yang kelihatan semakin cantik itu dikaitkan semula dengan bekas teman lelakinya, Ashraf Muslim. Sebelum kemunculan nama Sakinah yang mendakwa dirinya bakal mengahwini Ashraf yang kemudian dinafikan aktor kacak tersebut, ada beberapa pihak yang mengaitkan Sherry dengan isu panas itu baru-baru ini. Kesemuanya adalah ekoran Ashraf yang didakwa bakal berkahwin lain dengan keizinan isterinya, Noor Dayana Lokman, 26. Kosmo! menjadi akhbar pertama yang meraih respons daripada Ashraf iaitu pada 7 Mei lalu yang mana dia enggan mengulas tentang perkara itu tetapi mengakui rumah tangganya ada isu berbangkit. Meminta Sherry mengulas mengenai perkara itu ketika dia ditemui pada majlis pelancaran drama Teduhan Kasih di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, Sherry berharap agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan Ashraf. Luahnya, sejak putus cinta dengan Ashraf, 32, kira-kira empat tahun lalu, dia tidak pernah berhubung lagi dengan Ashraf "Sejak berpisah dengan dia (Ashraf) sekitar 2009, kami tidak pernah berhubung lagi. Semuanya sudah berlalu. Walaupun ramai yang kata saya pergi kerana kecewa, itu semua tidak benar. Saya tidak keluarkan apa-apa kenyataan. "Sejujurnya, saya tidak tahu mengenai gosip Ashraf itu. Sebabnya, saya tidak berapa suka baca gosip-gosip dalam media. Saya pun tidak tahu sudah tiga tahun dia berkahwin. Rasa macam dia baru kahwin sahaja," ungkapnya tentang Ashraf yang telah bernikah dengan Noor Dayana pada 30 Ogos 2011 di Mekah, Arab Saudi itu. Melanjutkan kata-kata yang lebih matang dari bibirnya, dia memberitahu, ia adalah hak Ashraf untuk berkahwin lagi kerana orang luar tidak tahu mengenai hal sebenar rumah tangga mereka.
Kekasih baharu Sudah mempunyai kehidupan sendiri, Sherry atau nama sebenarnya Syarizad Ibrahim, 30, juga mendedahkan, dia kini sudah mempunyai kekasih. Kekasihnya itu merupakan seorang lelaki Mauritius yang dikenalinya ketika bertugas sebagai pramugari sejak setahun lalu di syarikat penerbangan Qatar Airways. "Saya sudah ada kekasih dan kami telah menjalinkan hubungan sejak setahun lalu. Kami kenal ketika saya menetap di Doha," ujarnya yang enggan mendedahkan nama lelaki itu dan cukup sekadar orang tahu dia sudah berpunya. Tambah Sherry, buat masa ini dia belum terfikir dan merancang untuk berumah tangga. Mengakui kontrak perkhidmatannya sebagai pramugari Qatar Airways tamat sejak Mei tahun lalu, ujar Sherry, dia mendapat tawaran untuk melanjutkan kontrak tersebut tetapi dia menolaknya kerana ingin pulang ke Malaysia dan berehat panjang. Ceritanya lagi, kembalinya semula ke dunia lakonan bukan atas kehendaknya tetapi rezeki yang tiba-tiba datang bergolek. "Saya mula berlakon menerusi drama Setia Hujung Nyawa tetapi watak saya tidak banyak. Drama kedua lakonan saya iaitu Teduhan Kasih baru menguji kredibiliti sebagai pelakon," ujarnya yang membawa watak utama wanita di samping Adi Putra dan Shah Iskandar. Mengulas mengenai wataknya dalam drama tersebut, Sherry mengakui dirinya agak gementar berhadapan dengan lensa kamera pada awal sesi penggambaran. "Perasaan gugup itu memang tidak dapat saya elakkan tambahan pula saya diberi watak besar. Empat hari permulaan penggambaran saya akui tidak tahu memberi ekspresi pada watak Iffa. "Saya akui masih banyak perkara perlu diperbaiki dalam lakonan saya dan mengharapkan lakonan kali ini akan diterima baik penonton," katanya yang mula berlakon sejak tahun 2006 dan kemudiannya menjadi pramugari pada tahun 2010. | |
Posted: Status kontrak Pekin di MIGOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
BIARPUN baru berkecimpung dalam bidang lakonan, ternyata sudah timbul cerita sensasi mengenai pelakon Nik Uqasha Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen berkenaan kisah cintanya dengan Pekin Ibrahim. Kisah cinta pasangan tersebut didedahkan apabila gambar mesra mereka berdua sambil berpegangan tangan telah tersebar di internet selepas di muat naik ke Instagram. Bagaimanapun, ia telah menimbulkan rasa kurang senang pihak syarikat Metrowealth memandangkan Uqasha sudah mengikat kontrak dan kini bernaung di bawah MIG Talent (MIG). Sehubungan itu, Uqasha pernah membuat kenyataan mahu menamatkan kontrak berkenaan. Namun ada dakwaan mengatakan Pekin merupakan individu yang bertanggungjawab mempengaruhi kekasihnya itu. Sehubungan itu, apakah pula status kontrak Pekin yang sebelum ini juga mengikat kontrak dengan MIG? Bagi mendapat kepastian berhubung perkara tersebut, ikuti temu bual bersama Pekin dalam satu pertemuan sewaktu majlis pelancaran filem Tujuh yang diadakan baru-baru ini. Kosmo!: Bagaimanakah status kontrak Pekin dengan MIG sekarang ini? PEKIN: Kontrak saya dengan MIG sudah berakhir sejak bulan Februari lalu, tetapi saya bukan artis naungan mereka kerana kontrak yang diikat menyatakan saya akan berlakon sebanyak lima buah filem dengan mereka dalam tempoh setahun. Bagaimanapun, saya sempat berlakon tiga buah filem sahaja iaitu Cerita Kita, Legenda Budak Hostel dan Paku Pontianak. Kemudian saya ambil keputusan untuk tidak sambung dan pihak Metrowealth melepaskan saya dengan cara baik. Apakah pengalaman yang dilalui sepanjang bersama dengan MIG? Saya akui MIG merupakan sebuah syarikat yang sangat bagus dan banyak pengalaman yang saya dapat, termasuk merasai suasana kerja yang berbeza berbanding yang pernah saya alami sebelum ini. Selain itu, mereka turut memberi kebebasan kepada saya untuk memilih filem dan watak yang ingin saya lakonkan. Jika ditawarkan berlakon dengan Metrowealth lagi, saya sedia menerimanya. HUBUNGAN cinta yang terjalin antara Pekin dan Uqasha memberi impak kepada MIG. Adakah benar dakwaan yang mengatakan Pekin telah menghasut Uqasha supaya meninggalkan MIG? Sudah tentu dakwaan itu tidak benar kerana saya tidak pernah mencampuri urusan kerjaya lakonannya. Cuma, saya ada menasihatinya supaya berfikir terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Bagi saya ada kebaikannya juga kalau dia terus bersama MIG. Sebagai seorang pelakon baharu sudah tentu dia memerlukan pihak yang dapat menguruskan kerjayanya dengan lebih baik dan lancar. Bagaimanakah persepsi Pekin terhadap pembabitan Uqasha sebagai pelakon baharu? Apa yang saya cakap ini bukanlah disebabkan hubungan percintaan kami, tetapi secara jujurnya Uqasha mampu pergi lebih jauh dalam bidang ini kerana dia memiliki karisma dan tarikan tersendiri. Apakah keistimewaan Uqasha pada pandangan Pekin? Sebenarnya kami berdua sudah lama kenal sejak Uqasha menjadi seorang pramugari dahulu. Setelah tiga bulan menjalinkan hubungan percintaan saya rasa dia sangat istimewa dan pilihan yang terbaik untuk saya. | |
Posted: Uji tidak tarik diriOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
SEBELUM ini peminat Datuk Sharifah Aini, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid pasti teruja apabila ketiga-tiga bintang legenda negara itu bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva. Berita mengenai konsert tersebut sudah diuar-uarkan menerusi satu sidang akhbar yang diadakan pada 8 Mei lalu dan konsert tersebut dijadualkan bakal berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 12 Jun ini. Pada sidang akhbar berkenaan hanya Sharifah Aini dan Khadijah sahaja yang muncul, manakala pihak penganjur memberitahu Uji akan tiba lewat sedikit. Bagaimanapun, sehingga berakhir sidang akhbar itu, kelibat Uji masih lagi tidak kelihatan. Ia menyebabkan timbul tanda tanya dalam kalangan wartawan yang hadir pada sidang akhbar tersebut. Dalam laporan sebuah akhbar semalam pula mendakwa Uji tidak hadir pada sidang akhbar tersebut ekoran penyanyi yang popular dengan lagu, Semakin Hari Semakin Sayang itu telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada konsert berkenaan. Koordinator Persembahan dan Eksekutif Pemasaran Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva, Kit Rushuhaimin ketika dihubungi Kosmo! bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya Uji telah menarik diri daripada konsert tersebut. Menurut Kit, Uji akan tetap terus terlibat dengan konsert tersebut memandangkan kontrak sudah ditandatangani dan wang pendahuluan pula sudah diambil. "Sehari sebelum berlangsung sidang akhbar pada 8 Mei lalu saya dan Uji telah bertemu dan dia sudah memberi persetujuan untuk terlibat, meskipun mengetahuinya pada saat-saat akhir kerana pihak penganjur sekadar mendapat persetujuan daripada pengurus peribadinya. "Kemudian Uji ada memberitahu saya dia berkemungkinan besar tidak dapat hadir sama pada acara sidang akhbar yang diaturkan memandangkan sudah mempunyai komitmen lain," ujarnya. Jelas Kit, penyanyi itu menyatakan dia perlu menjayakan sebuah acara minum petang di Country Heights, Kajang, tetapi dia akan berusaha untuk hadir. Meskipun Uji akhirnya tidak muncul, Kit menyatakan dia memahami situasi yang berlaku memandangkan jarak yang jauh kerana sidang akhbar itu diadakan di Petaling Jaya. "Mengenai ketiadaan Uji itu saya memang langsung tidak menyalahkan dirinya dan saya percaya dia memang ingin turut serta bersama Sharifah Aini dan Khadijah Ibrahim pada sidang akhbar tersebut. "Jadi, saya agak terkejut pula apabila terdapat pula cerita yang mengatakan Uji mahu menarik diri, sedangkan perkara tersebut langsung tidak berlaku dan konsert itu tetap diteruskan seperti yang dirancang," ujarnya. Menurutnya, disebabkan cerita tentang penarikan diri itu dia telah dihubungi oleh pihak penganjur iaitu Sulaiman Ngah Dimin yang juga merupakan Pengarah Eksekutif Kaizen Asia. SIDANG akhbar Konsert Malam Amal Bersama 3 Diva yang diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Mei lalu berlangsung tanpa kehadiran Uji Rashid. "Sulaiman telah menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenainya dan saya telah jelaskan semuanya dan memberitahu bahawa cerita ini timbul kerana ketiadaan Uji pada sidang akhbar itu," jelasnya. Mengenai kenyataan daripada Uji pula, Kit memberitahu dia sudah menghubungi dan diberitahu bahawa penyanyi itu belum bersedia membuat kenyataan buat masa ini. "Uji ada meluahkan kepada saya yang dia berasa cukup terkilan dengan berita yang mengatakan dia ingin tarik diri, sedangkan dia tidak pernah membuat keputusan sedemikian. "Berkemungkinan besar pada minggu hadapan Uji akan mengadakan satu sidang akhbar untuk menjelaskan perkara yang sebenar supaya perkara ini dapat diselesaikan segera," ujarnya. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kaizen Asia, Sulaiman Ngah Dimin mengakui pihaknya agak terkejut dengan cerita tentang penarikan diri Uji dan menjelaskan konsert berkenaan akan tetap menampilkan ketiga-tiga penyanyi berkenaan. Jelas Sulaiman, isu tentang penarikan diri itu sepatutnya tidak harus ditimbulkan, meskipun Uji tidak dapat hadir pada sesi sidang akhbar yang berlangsung. "Apa yang saya tahu ketika ini ketiga-tiga penyanyi sedang dalam proses persiapan dan memilih lagu-lagu yang sesuai untuk dipersembahkan kepada tetamu. "Jadi, saya berharap agar peminat hadir memeriahkan konsert yang bakal berlangsung pada 12 Jun ini kerana ia akan memberi kenangan tersendiri apabila dapat menyaksikan tiga diva popular berkongsi pentas yang sama," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |