Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Berlakon bukan sebab duitKERJAYA tetap sebagai penganalisis pelaburan di sebuah bank terkenal di ibu kota Kuala Lumpur memaksa pelakon Redza Minhat bijak menguruskan waktu dan membahagikan dua dunia. Buktinya, sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini memaksa bintang utama filem KIL itu memperuntukkan seketika ruang masa selepas waktu pejabat untuk ke Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur. Melewati pukul 7 malam, Redza atau nama sebenarnya Shah Redza Minhat, 30, tiba bersama pasangan pelengkap filem KIL, Cristina Suzanne Stockstill. Pastinya kekangan masa yang merantai Redza melewati perjalanan seninya selama lebih lima tahun menyebabkan ramai pihak melabelkan pelakon kelahiran Ayer Tawar, Perak itu sebagai cerewet. Menjelaskan perkara itu, kata Redza, dia terpaksa meletakkan diri dalam situasi yang tidak terlalu terbuka kerana lakonan bukan kerjaya utamanya. "Saya bukan cerewet tetapi saya mempunyai tanggungjawab lain selain dunia lakonan. Tengok sahaja fotografi hari ini, kita terpaksa buat selepas pukul 7 malam," getusnya. Ditanya pula sejauh manakah keterbukaan Redza berhubung kisah peribadi, keluarga dan dunia lain selain berlakon, jawab Redza, dia meletakkan sedikit batasan kepada peminat dan media. "Perkara peribadi saya letakkan sedikit saja toleransi untuk dipaparkan kepada umum kerana saya tidak begitu selesa membincangkannya kepada umum. "Tiada apa-apa pun yang menarik mengenai kehidupan saya. Hidup saya normal seperti orang lain, kalau tiada projek teater atau filem saya akan meluangkan masa bersama keluarga, "tuturnya. Tambah Redza: "Tapi mahu atau tidak orang akan mengenali saya juga akhirnya dan saya perlu menjaga kelakuan serta lebih berhati-hati." Bagi yang terlepas perkembangan kehidupan Redza, pelakon yang terkenal dengan watak Faqir menerusi filem Pisau Cukur itu telah mempunyai seorang cahaya mata bernama Ali yang kini berusia setahun hasil perkongsian hidup dengan Aidira Khaidir dua tahun lalu. Kerja percuma Menyeimbangkan dua dunia iaitu berlakon dan seorang pekerja profesional di sebuah institusi kewangan kata Redza tidak susah asalkan didorong oleh minat. "Sesetengah orang akan bercuti pada hari minggu tapi tidak bagi saya kerana hanya waktu itu saya berpeluang melakukan perkara yang saya suka iaitu berlakon. "Saya berlakon bukan untuk duit. Malah, banyak projek saya lakukan secara percuma kerana minat. Kerja tetap saya adalah prioriti. Kadangkala saya terpaksa menolak lima tawaran serentak dalam satu-satu masa," jelasnya. Redza menyifatkan berlakon memberikannya kepuasan dan pengalaman yang sukar diperoleh daripada bidang lain. "Seni lakonan memuaskan hati saya dan mencipta kemahiran yang saya tidak boleh dapat dari tempat lain malah berlakon memberikan kesan luar biasa untuk berfikir lebih meluas. Bagi saya, seni itu boleh belajar. "Saya kagum dengan individu yang hebat berlakon kerana bidang itu membentuk keyakinan dan mencipta perspektif serta jaringan sosial baharu," ujar Redza yang tidak menyifatkan berlakon sebagai kerja separuh masa.
KIL Berdebar dalam masa sama takut menantikan filem pertama yang meletakkan Redza dalam posisi pelakon utama tidak melemahkan semangatnya untuk terus terbabit dalam bidang seni. "Banyak reaksi telah timbul sejak filem KIL ditayangkan kepada pihak media. Ada yang mengatakan muka saya dan Cristina terlalu urban dan intipati cerita yang tidak sesuai dengan masyarakat Timur. "Namun, saya tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana prinsip saya, selagi penonton tidak menyaksikan sendiri sesebuah naskhah filem jangan sesekali membuat spekulasi. Bayar (tiket) dulu barulah kritik!" tegasnya. Kata Redza sesebuah filem yang mengutip hasil jualan pecah panggung tidak menentukan sesebuah karya itu bagus, memandangkan industri filem tiada kompas tetap untuk dijadikan panduan. "Kerjaya sebagai pelakon sebenarnya untuk memuaskan hati pengarah, bukannya penonton. Pengarah mengawal segalanya dan penonton tidak boleh terlalu mudah untuk menilai sesebuah filem itu bagus atau tidak. "Filem tidak menarik adalah cita rasa, bagus atau tidak adalah objektif," katanya. | |
Posted: Kuasa memilih hak mutlak QueOleh NURUL NAFISAH MAZLAN QUE bersama sebahagian pelakon kanak-kanak Budak Johor kini giat menjalani penggambaran telemovie bercorak sukan bola sepak tersebut. KIRA-KIRA dua tahun lalu, pelakon berbakat besar, Que Haidar pernah meluahkan hasratnya untuk bersara dari dunia hiburan kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan dan keluarganya. Namun, sebaliknya pula berlaku apabila Que atau nama sebenarnya, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 34, telah berubah fikiran apabila kembali beraksi di dalam sebuah telefilem arahan Hashim Rejab iaitu Budak Johor. Bertemu dengan Que Haidar ketika dia menjalani penggambaraan di Segambut, Selangor baru-baru ini, Que memberikan respons tentang apakah yang membuatkannya ingin kembali berkecimpung di dalam dunia seni yang sudah lebih 20 tahun diceburinya. Ikuti temu bual Kosmo! bersama Que. Kosmo!: Que Haidar, kenapakah anda kembali berlakon, terutamanya dalam telemovie? QUE HAIDAR: Memang saya ada membuat pengumuman itu, tetapi apabila Hashim Rejab datang kepada saya dan tunjukkan skrip telemovie Budak Johor tiba-tiba hati saya terbuka untuk menerimanya. Mungkin jodoh saya bersama naskhah ini kuat (jelas Que sambil ketawa). Sejauh mana keseriusan anda dalam bidang lakonan sebenarnya? Tidakkah ia memberi impak kepada kerjaya anda kerana dengan kembalinya anda ke dalam dunia hiburan, ia seperti anda cakap tak serupa bikin? Sebenarnya lakonan adalah jiwa saya. Apabila saya rasa cerita itu bagus dan kebetulan watak yang ditawarkan itu belum pernah saya lakonkan lagi, jadi apa salahnya saya ingin mencuba. Seperti dalam naskhah ini, saya pertama kali membawa watak jurulatih bola kepada pasukan kanak-kanak bernama Atan. Saya fikir ini sesuatu yang baharu buat saya, jadi saya terima. Jujurnya, sebelum ini ada juga produksi lain cuba melamar, tetapi saya menolak kerana merasakan tidak sesuai. Bagaimanapun, kali ini tidak kerana kuasa memilih terletak di tangan saya. Apakah kekuatan cerita Budak Johor ini sehingga membuatkan hati anda terbuka? Pertama sekali apabila saya membaca skrip cerita ini, saya dapat rasakan yang jalan cerita ini ada persamaan seperti filem kesukaan saya iaitu Kami lakonan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad. Ia tentang semangat juang untuk berjaya. Sebab itu saya tidak memerlukan masa yang lama untuk bersetuju berlakon telefilem ini.
Jadi selepas ini, jika ada pengarah lain ingin mengambil anda untuk berlakon di bawah arahan mereka, adakah anda akan mempertimbangkannya? Ya, tengoklah bagaimana kerana saya akan lebih memilih dan demand dengan watak yang ditawarkan. Sebenarnya, saya ingin sekali digandingkan dengan pelakon hebat seperti Sidi Oraza dan Ellie Suriati. Jika ada yang tawarkan gandingan ini, saya tidak mungkin menolaknya. Selepas telefilem ini, adakah mana-mana lagi tawaran berlakon yang telah anda terima? Ada, tetapi ia masih dalam peringkat perbincangan. Jika tiada apa-apa halangan saya mungkin berlakon di bawah arahan pengarah filem Bunohan iaitu Din Said. Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan untuk berlakon di bawah arahan beliau dan nampaknya hasrat saya seperti menjadi kenyataan. Tunggu sahaja pada hujung tahun ini. Menyentuh mengenai kehidupan peribadi bersama isteri (Linda Jasmine), bagaimanakah dengan perkembangan keluarga anda? Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya bahagia bersama mereka. Jika tiada aral, saya dan Linda ingin menghantar anak sulung, Qalif ke Amerika Syarikat pada tahun depan untuk bersekolah di sana dan menetap bersama kakak Linda. Anak kedua, Tengku Ratu pula akan memasuki kelas tarian balet. Selain berlakon dan menjalankan perniagaan, apa lagi yang sedang anda lakukan sekarang ini? Tiada. Kalau tiada kerja saya selesa berada di rumah menjaga anak-anak. Walaupun ada dua orang pembantu rumah, saya dan Linda akan bergilir-gilir untuk memastikan salah seorang daripada kami duduk di rumah. Bergantung kepada kesibukan masing-masing. | |
Posted: Zahid kahwin 7 JunOleh KHAIRUL AMRI HASSAN ZAHID dan Sarah Julifa mula berkenalan pada sambutan Aidilfitri tahun lepas. MENJAWAB segala teka-teki yang selama ini bermain-main di minda peminat, juara Akademi Fantasia musim kedua, Zahid mengakui akan menamatkan zaman bujangnya pada awal bulan Jun nanti. Kata Zahid atau nama sebenarnya Ahmad Zahid Baharuddin, 32, dia akan mengahwini gadis bernama Sarah Julifa Jusoh yang telah dikenalinya setahun lalu. "Ya, memang benar saya akan berkahwin tidak lama lagi. Kami telah berkenalan sejak tahun lalu dan memutuskan untuk berkahwin pada 7 Jun ini. "Majlis pernikahan akan diadakan di rumah sebelah perempuan di Teluk Intan, Perak dan resepsi akan berlangsung pada 8 Jun di rumah pengantin perempuan. "Kemudian, majlis resepsi di sebelah pengantin lelaki akan berlangsung pada 15 Jun juga di Teluk Intan, Perak," ujarnya yang ditemui ketika sidang akhbar pengumuman Akademi Fantasia 2013 di The Venue, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini. Berkenalan di Twitter Menurut Zahid lagi, persiapan menjelang hari bahagianya telah dilakukan serba sedikit, biarpun agak kelam-kabut kerana ia dilakukan pada saat akhir. "Saya sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami dan inilah masa yang paling sesuai. Saya berharap tidak akan timbul sebarang masalah selepas ini," katanya. Perkenalan antara Zahid dan Sarah Julifa, 25, bermula ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun lalu selepas beberapa ketika berinteraksi melalui laman sosial Twitter. Malah, sepanjang perkenalan Zahid tidak pernah mengetahui bahawa Sarah Julifa bekerja di bawah satu bumbung dengannya iaitu di Astro. Gulai lemak ayam Ditanya akan kriteria gadis itu yang telah menambat hatinya, jawab Zahid sikap Sarah Julifa yang memahami kerjayanya sebagai seorang artis mengeratkan hubungan mereka sebagai pasangan kekasih. "Dia seorang yang sangat memahami kerjaya saya dan mampu berdikari. Tanpa disedari dia sekali gus telah mengubah kehidupan saya menjadi lebih teratur dan pandai menguruskan masa. Memang dia memiliki peranan sebagai seorang isteri yang selama ini saya cari," katanya. Zahid menjelaskan mereka mungkin bertunang sama ada sehari atau hari yang sama sebelum bernikah kerana ingin mengelakkan hubungan mereka menjadi terlalu lama. "Saya malas bercinta lama-lama kerana saya tahu akan timbul banyak cabaran. Dia telah lulus ujian pertama saya untuk memasak gulai lemak ayam dan saya teruja menantikan hari bahagia saya bersamanya," luah Zahid. Sebelum ini, penyampai radio Era FM itu pernah dilaporkan menjalin hubungan dengan penyanyi Nita Hamzah sebelum digosipkan akan berkahwin dengan seorang kerabat diraja Pahang, Tengku Nurul Mardiana namun, Zahid menepis semua dakwaan itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |