Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Orang Jepun pandai baca tulisan jawi Posted: Orang Jepun pandai baca tulisan jawi"BAHASA Melayu dan tulisan Jawi sangat dekat dengan diri saya. Rugi jika anak-anak muda sekarang tidak merasai keindahan yang merangkumi sosio budaya tradisi nenek moyang mereka," ujar Prof. Madya Dr. Yamamoto Hiroyuki, 46. Sekali imbas, pasti ramai yang tidak menyangka lelaki warganegara Jepun itu mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Kebangsaan. Malah patah bicaranya lebih Melayu, jika dibandingkan dengan sesetengah remaja kelahiran Malaysia sendiri. "Rasa kecintaan kepada bahasa Melayu itu terbit apabila saya mengikuti program pertukaran pelajar ketika berusia 17 tahun," ujarnya memulakan butir bicara. "Saya tinggal di Malaysia bersama keluarga angkat berketurunan Baba Nyonya dari Melaka iaitu Henry Tan di Kluang, Johor dan bersekolah tingkatan enam atas di Sekolah Tinggi Kluang," imbas pensyarah di Centre for Integrated Area Studies (CIAS), Universiti Kyoto, Jepun. Institusi pengajian kedua tertua di negara Matahari Terbit itu merupakan antara universiti terbaik di Asia. Ia melahirkan ramai pengkaji yang diiktiraf setinggi Anugerah Nobel sebanyak lapan kali. Selama setahun berada di Malaysia, ia banyak membuka mata dan hati Yamamoto untuk mempelajari budaya dan sastera yang merangkumi bumi nusantara. "Tempoh masa itu belum cukup buat saya untuk memahami secara mendalam susur galur dunia Melayu Nusantara," ujar Yamamoto ketika ditemui di majlis Kajian Manuskrip Jawi anjuran bersama Klasika Media, Kota Buku dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Jumaah, UTM, Kuala Lumpur baru-baru ini. Justeru, ketika menuntut di Universiti Tokyo, anak kelahiran Chiba, Jepun itu mengambil kursus bahasa Melayu Indonesia selain memperbanyakkan pembacaan naskhah-naskhah lama. Pembacaannya itu juga atas tuntutan jurusan yang diambil iaitu sejarah perkembangan kebudayaan dan nasionalisme di negara-negara Islam sekitar Asia Tenggara. SALAH satu projek terbaharu Yamamoto bagi mendukung serta menguasai lagi tulisan Jawi adalah dengan menterjemah 10,000 muka surat majalah Qalam ke tulisan rumi. Kembali sebagai pensyarah Selepas menamatkan pelajaran di Universiti Tokyo, dia kembali ke Malaysia pada tahun 1998. Kali ini, dia datang sebagai seorang pendidik di samping mempelajari sejarah dan struktur budaya khususnya di Sabah. "Sewaktu berada di Sabah, saya tinggal bersama keluarga angkat daripada suku kaum Melayu Brunei ketika menjadi pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) iaitu Awang Ahmad Awang Piut di Membakut, Sabah. "Saya bertugas sebagai pensyarah di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), UMS selama tiga tahun. Kuliah pengajaran saya meliputi sejarah moden Sabah serta Tamadun Islam dan Tamadun Asia," tambah Yamamoto. Pada masa sama, jangka masa itu digunakan sebaiknya Yamamoto untuk mendekati masyarakat setempat dan mengeratkan lagi hubungan bersama mereka. Yamamoto banyak membuat kajian mengenai cara kehidupan kaum etnik, ekonomi dan semangat nasionalisme yang berada dalam kelompok masyarakat Sabah. Melalui pengamatan celiknya itu, terhasil beberapa buah buku ilmiah yang kini menjadi rujukan pelajar-pelajar pengajian tinggi. Antara kajian Yamamoto yang diterbitkan ialah Harvesting an Identity (2002), Foreigners' Nationalism in Malaysia: Donald Stephens and K. Bali in Making of Sabah Nationhood (2001) dan From Bornean Federation to Malaysia: Analysis of 'Stephens' Merdeka Plan (1999). "Saya memilih Malaysia khususnya Sabah kerana saya fikir Malaysia akan menjadi teladan untuk dunia dari segi pembentukan masyarakat majmuk. "Keunikan atau kekuatan masyarakat Malaysia pada saya adalah percampuran atau pengubahsuaian unsur kebudayaan dalam masyarakat seperti bahasa, makanan, pakaian, cara hidup dan lain-lain," jelas Yamamoto. Akuinya lagi, unsur budaya diwarisi daripada asal-usul tamadun masing-masing, seperti cara hidup orang Melayu dipengaruhi oleh cara hidup wilayah Arab, orang Cina dari negara China dan orang India dari negara India. Namun begitu, setiap kaum tidak hanya menyalinkan amalan di wilayah-wilayah tersebut, tetapi menyesuaikan dengan keadaan tempatan. Karya-karya sastera tulisan anak tempatan seperti K. Bali dan Amil Jaya juga menjadi rujukan tambahan kepada Yamamoto yang dianggapnya berjaya membawa mesej perpaduan kesepaduan hidup masyarakat majmuk. "Mengambil contoh tulisan-tulisan Amil Jaya yang banyak mengutarakan persoalan mengenai pertembungan hidup yang berbeza pegangan kepercayaan di Sabah. Ia tidak diakhiri dengan pergaduhan atau pertengkaran, malah penduduknya sepakat hidup secara aman," jelas Yamamoto. YAMAMOTO (kanan) bersama keluarga angkatnya, famili Awang Awang Piut (dua dari kanan) di Membakut, Sabah. Dia kini dalam usaha untuk menterjemahkan majalah Qalam keluaran tahun 1950-an hingga 1960-an kepada tulisan rumi. Projek itu diusahakan sejak dua tahun bersama Klasika Media yang berpusat di Kuala Lumpur. "Ia mengambil masa panjang kerana tulisan Jawi yang digunakan menggunakan bahasa lama. Oleh demikian saya mendapatkan bantuan daripada Klasika Media untuk proses transliterasi. Setakat ini hampir separuh daripada 10,000 muka surat telah diterjemahkan," ujarnya. Menurut Yamamoto, majalah Qalam dipilih kerana tempoh masa penerbitan naskhah itu menunjukkan semangat nasionalisme yang tinggi di Semenanjung Malaysia. Belajar membaca Jawi Klasika Media merupakan sebuah kegiatan perniagaan yang berasaskan penyelidikan dan penerbitan khazanah khususnya dalam bidang Jawi. Walaupun belum berapa mahir dalam manuskrip Jawi, Yamamoto boleh membaca Jawi dengan baik hasil pembelajarannya sendiri. "Saya belajar membaca Jawi berpandukan buku-buku seperti Belajar Tulisan Jawi terbitan Fajar Bakti tahun 1977 dan juga buku-buku tulisan pendeta Za'ba," kata Yamamoto. Dia berpendapat tulisan Jawi perlu dipermudahkan supaya golongan muda mudah mendekati warisan berharga tersebut. "Di negara Jepun sendiri, jelasnya, beberapa aksara klasik sudah dimodenkan kerana tidak lagi dapat difahami oleh generasi muda," jelas Yamamoto. Dia berpendapat bahawa ramai yang menganggap amalan pemodenan itu sebagai satu kecacatan kerana tidak mengikut amalan asal atau tulen. "Saya melihat bahasa Melayu semakin berkembang dan selari dengan arus modenisasi. Penerapan bahasa-bahasa luar perlu dilihat sebagai satu proses perkembangan linguistik yang positif untuk kelangsungannya," ujar Yamamoto mengulas survival bahasa Melayu dan tulisan Jawi dalam kemajuan dunia moden. | |
Perjuangan politik Imelda Marcos Posted: Perjuangan politik Imelda MarcosPADA usia 83 tahun, Imelda masih mampu berpenampilan anggun dan mempesona. PESTA yang berlangsung di Paoay, sebuah pekan kecil yang terletak di Filipina pada malam itu dipenuhi penduduk setempat. Mereka kebanyakannya merupakan penyokong setia bekas Presiden Filipina pada tahun 1965 sehingga 1986 iaitu mendiang Ferdinand Marcos. Kehadiran isteri Marcos, Imelda Marcos yang masih menawan dalam persalinan signaturnya, gaun kupu-kupu merah jambu menambah kemeriahan sambutan tersebut lebih-lebih lagi apabila Imelda menunjukkan keterbukaannya dengan menyertai orang ramai menari. Meskipun telah lama mencecah usia emas, wanita berumur 83 tahun itu masih aktif berkempen bagi mempertahankan kerusi parlimen yang dipegangnya menerusi pilihan raya Filipina yang berlangsung hari ini. Kemenangan amat penting buat Imelda agar legasi kebangkitan politik yang dilalui keluarganya mampu diteruskan. "Agak lucu kerana semakin tua, saya berasa lebih komited dan yakin untuk menempa kejayaan dalam dunia politik," ujar Imelda kepada AFP. Imelda diramalkan mampu mengekalkan posisinya selepas pertama kali terpilih menyertai Kongres pada tahun 2010 mewakili sebahagian wilayah Ilocos Norte. Majoriti penduduk di kawasan itu dilihat masih setia menyokong perjuangan politik keluarga Marcos meskipun diasak pelbagai kontroversi. Namun, Imelda mempunyai rencana yang lebih besar. Kepulangan keluarganya ke kediaman presiden menjadi percaturan utamanya. Anak lelakinya, Ferdinand Marcos Jr yang kini selesa dalam Senat dikhabarkan sedang berusaha merebut kerusi presiden pada pilihan raya 2016. "Anda sentiasa memasang impian untuk anak-anak dan sekiranya mereka mampu memimpin rakyat selaku presiden, ia adalah lebih baik," dedah Imelda saat ditanya tentang cita-cita anak lelakinya itu bagi memegang posisi Presiden Filipina. Ferdinand Jr atau ramah dengan gelaran Bongbong dilihat berpotensi sebagai calon presiden negara itu pada masa akan datang selepas satu dalam tiga pengundi memilihnya ke Dewan Senat bagi mengisi penggal enam tahun pada tahun 2010. Revolusi rakyat Kuasa politik keluarga Marcos hampir terkubur sejak tahun 1986. Jutaan rakyat Filipina memenuhi jalanan memperjuangkan revolusi rakyat sekali gus menamatkan kepimpinan dua dekad Ferdinand ke atas negara itu sehingga memaksa beliau dan keluarganya hidup dalam buangan di Amerika Syarikat (AS). Ferdinand Marcos, Imelda dan kroni-kroni mereka dituduh menggelapkan berbilion dolar wang negara. Pejuang hak kemanusiaan menyatakan, ribuan pengkritik rejim tersebut dibunuh atau dipenjarakan sementara pelaksanaan undang-undang tentera memaksa media menutup mulut.
Kempen Sepanjang minggu lalu, Imelda giat berkempen merentasi daerah-daerah bagi meraih sokongan rakyat. Di setiap pekan yang dilawati, petugas media dibawa melawati pusat keibuan (mothering centre) dan klinik-klinik kecil berdinding konkrit yang dibina Imelda di setiap daerah dalam wilayah pegangannya. Pusat tersebut menawarkan servis kesihatan yang pelbagai termasuk latihan pembuatan kraf tangan. Di setiap pusat keibuan yang disinggah, Imelda menunjukkan sifat mesra rakyatnya dengan mendukung bayi dan berkongsi jenaka bersama beberapa warga emas di situ. Dua pembantu beliau yang menggalas beg berwarna merah pula mengagihkan alat permainan kepada kanak-kanak dan sedikit duit kepada penyokong dewasa. Seorang wanita warga emas, Honesia Aknam dari Nueva Era memberitahu, dia masih meletakkan kepercayaan sepenuhnya ke atas Imelda. Honesia turut menunjukkan not 500 peso (RM36) yang dikatakan diselitkan ke dalam tangannya oleh pembantu Imelda. "Saya tidak melihatnya untuk beberapa tahun. Imelda masih cantik dan kelihatan muda," tambah Honesia. Seorang paderi katolik, Danilo Laeda berkata, keluarga Marcos amat disanjungi atas pembangunan infrastruktur seperti sistem jalan raya yang efisien dan sikap dermawan mereka terutamanya ketika era Ferdinand Marcos. "Rakyat melihat Bongbong sebagai pewaris legasi mendiang bapanya," ujar Danilo yang berkhidmat di gereja pekan San Nicolas. Bagaimanapun, Danilo turut memberitahu bahawa timbul cerita kurang enak yang mengatakan keluarga Marcos membelanjakan duit yang banyak bagi membeli undi penduduk setempat. Imelda bagaimanapun menafikan setiap tuduhan lawannya. Katanya: "Saya sentiasa menjadikan setiap kritikan sebagai satu nasihat. Namun, kadangkala kritikan itu menjadi nasihat yang tidak munasabah. Saya tidak akan sesekali membenarkan kenyataan negatif seperti ini menggugat usaha saya selama ini." |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |