Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Kenangan sambut bayi atas troli Posted: Kenangan sambut bayi atas troliTANGISAN bayi silih berganti mengisi ruang wad 17 bilik di hospital bersalin paling terkenal di Kuala Lumpur itu. Seorang jururawat kelihatan mendukung seorang bayi yang baru lahir ke mesin penimbang sebelum menidurkannya di atas katil khas bayi. Selama lima dekad lalu, suasana dan emosi di wad bersalin Hospital Kuala Lumpur (HKL) ini hampir tidak berubah walaupun ia kini menggunakan peralatan berteknologi terbaharu. Wad itu juga dikenali sebagai Hospital Bersalin dan diletakkan di bawah Jabatan Obstetrik & Ginekologi HKL. Sebagai antara hospital bersalin yang terbesar dan tersibuk di dunia, sebanyak lebih 916,000 bayi telah dilahirkan di sini sejak ia dibuka secara rasmi pada 18 Januari 1963. Segala pahit manis dan suka duka yang terkait dengan hospital itu masih boleh didengar hingga ke hari ini. Biarpun ada cerita kurang enak tentang perkhidmatan dan layanan kakitangannya, ia tidak mencerminkan realiti di sebalik dinding hospital tersebut. Seorang ibu, Azlina Jaafar, 39, misalnya, mempercayai servis hospital bersalin HKL. Dia melahirkan anak pertama pada tahun 1998 di HKL tetapi bayinya itu meninggal dunia ketika berusia lima bulan dalam kandungan. Ironinya, empat lagi anak Azlina yang lain lahir di wad yang sama. Suami Azlina, Khairozzam Tumiran, 39, memberitahu, dia dapat melihat perubahan ketara dari segi infrastruktur dan perkhidmatan di wad tersebut. "Keselesaan dan kecekapan kakitangan mengendalikan proses sebelum, ketika dan selepas kelahiran membuatkan saya dan isteri memilih hospital ini," ujar Khairozzam yang teruja menyambut cahaya mata kelimanya pada 15 Januari lalu yang dilahirkan menerusi pembedahan. Seorang doktor yang bertugas di HKL, Dr. Juani Hayyan juga memilih hospital bersalin itu semasa melahirkan anak pertamanya. Kemunculan hospital swasta bertaraf lima bintang tidak menggugat keyakinan Juani terhadap perkhidmatan ibu dan bayi di HKL. KIRI: Kesabaran dan kepakaran yang seiring perlu dimiliki kakitangan hospital bersalin. Jururawat menjerit Sememangnya ada dakwaan bahawa layanan oleh jururawat bertugas kurang memuaskan. Kisah ibu baru bersalin dimarahi malah diherdik kakitangan wad berkenaan pernah menjadi topik perbualan hangat. Tetapi sejauh manakah kebenaran cerita tersebut? Ketua Jururawat, Rani Alagappan, 56, yang telah berkhidmat selama 21 tahun di wad tersebut menjelaskan, petugas tidak berniat untuk memarahi pesakit. Ia mungkin berlaku mengikut situasi tetapi bukan niat mereka untuk berbuat demikian. "Kerja kami ialah untuk menyelamatkan dua nyawa sekali gus iaitu ibu dan bayi. Ada ketikanya ibu-ibu terlalu letih dan mengantuk untuk melahirkan bayi dan situasi ini sangat berbahaya kepada mereka berdua. "Kami meninggikan suara agar ibu-ibu begini kembali sedar dan menaikkan semangat mereka. "Jika ia mengecilkan hati mereka sekali pun, kami tidak ralat kerana pada akhirnya ia untuk kebaikan ibu dan bayi terbabit," jelas Rani yang menambah, suntikan epidural juga kini ditawarkan di wad itu bagi mengurangkan kesakitan bersalin. Mengimbas situasi hospital bersalin HKL pada tahun 1990-an, Rani menyatakan ia sentiasa sibuk ditambah pula dengan kekangan bilangan kakitangan. Kekurangan bilik bersalin memaksa jururawat menyambut bayi di atas troli di koridor hospital. Bagaimanapun, ruang kecil untuk menampung bilangan pesakit yang ramai tidak pernah membuatkan kakitangan di situ mengeluh. Mereka bersengkang mata dan ada masanya terpaksa mengorbankan waktu rehat. "Pada waktu dahulu, kami hanya mempunyai pakar bedah dan kebanyakan kelahiran normal disambut jururawat yang bertauliah. Doktor meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kami. "Ibu yang bersalin normal ditempatkan di wad berisiko rendah dan ia dikendalikan bidan berdaftar. Kes-kes berisiko tinggi pula diletakkan di bangunan utama hospital bersalin. Namun hari ini tempat berisiko rendah telah ditutup dan semua kelahiran dilakukan di bangunan utama. "Selama bekerja di sini, saya masih ingat kes seorang ibu yang sakit hendak bersalin selama dua hari. Kami terpaksa pergi ke rumahnya tetapi bayinya tidak dapat diselamatkan. "Selepas itu, si ibu pula meninggal dunia," singkap Rani yang ingin mengingatkan masyarakat bahawa emosi jururawat juga terganggu sekiranya proses kelahiran tidak berjalan lancar. JUANI (kiri) bersama suaminya gembira menyambut kelahiran cahaya mata sulung mereka. Bayi luar nikah Menyentuh soal warga asing yang bersalin di HKL, penyelia jururawat, Looi Siew Cheng, 55, berkata pada masa ini, kira-kira 25 peratus pelanggan warga asing datang dari Myanmar. Trend tersebut mengubah dominasi warga asing Indonesia pada tahun 1990-an. Bagi memastikan kelancaran komunikasi semasa proses kelahiran, pihak hospital menyediakan tiga orang penterjemah bahasa Myanmar. Selain wad bersalin, perterjemah terbabit turut bertugas di beberapa jabatan lain di HKL. Sementara itu, sekiranya hospital lain khuatir untuk menerima gadis bawah umur yang hamil anak luar nikah, hospital bersalin HKL tidak pernah menolaknya. "Kami mempunyai klinik khas bagi remaja bawah umur. Kami membantu golongan sebegini atas dasar perubatan. Mengadili atau menghukum kesilapan mereka tidak termasuk dalam konteks profesionalisme kami," ujar Siew Cheng. Apabila wujudnya kes kelahiran seperti itu, tambah Siew Cheng, secara tidak langsung ia menarik perhatian orang awam khususnya pasangan suami isteri yang tidak dikurniakan zuriat. Kata Siew Cheng: "Kadang-kadang ada kes pesakit yang lari selepas melahirkan anak. Jadi ada sesetengah individu beranggapan kami mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas bayi yang dilahirkan tanpa kerelaan ibu-ibu ini. "Kami tidak boleh memberikan bayi-bayi itu kepada mereka yang berhajat untuk mengambil anak angkat. Segalanya perlu dilakukan melalui prosedur yang betul. "Disebabkan itu, kami membentuk hubungan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan beberapa organisasi berkaitan," jelas Siew Cheng. |
Posted: HKL tidak tolak pesakitHOSPITAL Kuala Lumpur banyak melahirkan pakar dalam bidang obstetrik dan ginekologi di negara ini. PEMBANGUNAN Malaysia menuju ke arah status negara maju dapat dilihat dari segi peningkatan infrastruktur, pendidikan dan penawaran perkhidmatan. Penubuhan hospital-hospital swasta juga membuktikan betapa pekanya kerajaan dalam meluaskan bidang perubatan sekali gus memberi pilihan kepada masyarakat. Meskipun dibanjiri hospital swasta, servis yang ditawarkan hospital kerajaan masih relevan dan terbaik. Contohnya ialah hospital bersalin di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Menurut Ketua Jabatan Obstetrik & Ginekologi (O&G) HKL, Datuk Dr. Ravindran Jegasothy, hospital bersalin HKL menjadi rujukan utama hospital-hospital lain di Malaysia apabila melibatkan kes bersalin berisiko tinggi. Jelas Ravindran, lokasi HKL yang terletak berhampiran Pusat Darah Negara dan Institut Jantung Negara itu menjadikannya pusat tumpuan terbaik bagi kandungan yang bermasalah. "Hospital bersalin ini juga mempunyai empat sub kepakaran yang tidak dipunyai hospital lain iaitu uroginekologi, ginaonkologi, unit pembiakan dan Maternal Fetal Medicine. Satu lagi kelebihan yang kami miliki ialah kami tidak pernah menolak pesakit. "Walaupun ada masanya katil yang disediakan tidak mencukupi, kami akan menampung pesakit tersebut dengan meminjam katil dari jabatan lain," ujar Ravindran. Berdasarkan statistik, purata kelahiran di HKL pada tahun 1970-an sehingga 2000 adalah kira-kira 25,000 bayi setahun. Kini jumlah itu merosot dalam lingkungan 12,000 kelahiran setahun. Selain menjadi tumpuan ibu mengandung, hospital bersalin itu juga menjadi gedung ilmu terpenting kepada pakar O&G di negara ini. Imbas Ravindran, beliau sendiri menjalani latihan di situ pada tahun 1984. Selepas menimba pengalaman, beliau akhirnya dilantik sebagai Ketua Jabatan O&G HKL pada tahun 2008. "Hospital bersalin HKL banyak berjasa kepada pakar-pakar O&G yang ada di negara kita hari ini. Majoriti daripada mereka menerima latihan awal di sini dan sehingga sekarang, pelajar perubatan khususnya dalam bidang O&G memilih HKL bagi menjalani praktikal," ujar Ravindran. Kos perubatan Sementara itu, menyentuh soal bayaran bagi servis bersalin di HKL, pasti ramai bersetuju bahawa caj yang dikenakan amat berpatutan. Pakar Sakit Puan dan Bersalin HKL, Dr. Ramadas Rajagovallu menyatakan, subsidi oleh kerajaan memberi banyak keuntungan kepada warganegara Malaysia. "Pesakit kelas ketiga hanya perlu membayar RM3 sehari untuk caj wad. Kumpulan ini juga hanya membayar RM10 untuk kos bersalin normal dan RM100 bagi kes melibatkan pembedahan. "Secara keseluruhan, caj maksimum bagi warganegara Malaysia yang duduk di kelas ketiga adalah RM500. Perlu diketahui juga bahawa keutamaan untuk tinggal di kelas pertama dan kedua adalah bergantung kepada kekosongan dan siapa yang memohon dahulu. "Dakwaan yang mengatakan hanya pekerja kerajaan diberi keutamaan terhadap kelas pertama adalah tidak benar kerana ia dibuka untuk semua lapisan masyarakat," jelas Ramadas. Bagaimanapun, Ramadas mengatakan caj yang dikenakan ke atas warga asing adalah berbeza. Warga asing yang duduk di kelas ketiga perlu membayar kos yang sama seperti pesakit rakyat Malaysia di kelas pertama. "Namun kami juga memberikan potongan 50 peratus kepada golongan pelarian," tambah Ramadas menutup bicara. - ALIF ABU BAKAR |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |