{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Dalam Negeri

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Dalam Negeri


Tindakan Rektor Kuin letak jawatan serta-merta dikesali

Posted: 23 May 2013 03:38 AM PDT

BALING 23 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Tajul Urus Md. Zin hari ini meluahkan rasa kesal atas tindakan Rektor Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Datuk Dr. Jamil Osman yang meletak jawatan secara mendadak.

Katanya sekali pun kerajaan negeri kini diterajui Barisan Nasional (BN), Jamil sepatutnya lebih profesional dan mengetepikan perbezaan politik demi menangani masalah yang dihadapi Kuin.

"Pagi tadi saya berkesempatan melawat ke Kampus Mergong, Alor Setar dan bertemu dengan kesatuan pelajar. Ada dua rungutan utama iaitu berhubung kelayakan pensyarah dan juga kemudahan asrama serta surau yang perlu ditambah baik, manakala sebelah petang saya berkunjung ke kampus di Kuala Ketil di sini.

"Ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan dengan rektor, tetapi saya dimaklumkan tadi bahawa rektor sudah menghantar surat peletakan jawatan pada 20 haribulan lalu. Saya juga agak kecewa, sepatutnya rektor juga ada bersama hari ini," katanya ketika ditemui media selepas melawat kampus Kuin di Kuala Ketil.

Menurut Tajul Urus, beliau dimaklumkan oleh pihak pentadbiran Kuin peletakan jawatan Jamil berkuat kuasa pada hari beliau menghantar surat iaitu Isnin lepas.

Tajul Urus dipertanggungjawabkan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir untuk melihat masalah yang dihadapi Kuin serta mengemukakan penyelesaian yang menjamin kebajikan pelajar dan warga kerja Kuin.

Antara masalah berkenaan ialah dakwaan warga kerja Kuin bahawa pihak pengurusan menyeleweng kerana gagal melakukan caruman kepada pihak ketiga walaupun pemotongan gaji dicatat pada slip gaji mereka.

Kerajaan negeri dan Kuin juga terpaksa membayar pinjaman bank sebanyak RM46 juta setahun bagi pembinaan kampus induk di Kuala Ketil.

Kampus induk itu juga tidak mempunyai kemudahan asrama yang menyukarkan kehidupan pelajar yang terpaksa berpindah-randah.

BN Kedah mewarisi masalah itu yang timbul ketika Kedah diterajui Pas sejak 2008 hingga Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu.

Mengulas pelantikan rektor baharu, Tajul Urus berkata, seorang pentadbir akan ditempatkan di situ sementara menunggu pelantikan baharu oleh Lembaga Pengarah Kuin.

Mengenai hasil lawatannya hari ini, beliau berkata, ada beberapa perkara yang dibangkitkan termasuk mengenai kursus yang ditawarkan dan bilangan pelajar.

"Kita akan minta laporan menyeluruh daripada Kuin dan akan berjumpa dan berbincang dengan Menteri Besar untuk buat cadangan dan keputusan. Apa yang penting, kita mahu Kuin sama seperti kolej-kolej swasta terkemuka yang lain," katanya.

Beliau tidak menolak akan berlaku rombakan terhadap program yang ditawarkan Kuin jika tindakan itu memberi manfaat kepada Kuin.

Kuin kini mempunyai 6,000 pelajar dengan 1,500 daripadanya belajar di kampus Kuala Ketil yang mula dibuka awal tahun ini, manakala selebihnya masih berada di kampus lama di Mergong. - BERNAMA

Nombor pendaftaran baru KL mula W1A, akhir W9999A - Hishammuddin

Posted: 23 May 2013 03:16 AM PDT

PUTRAJAYA 23 Mei - Nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan siri nombor baharu iaitu W (nombor 1 sehingga 9999) dan berakhir A, dijangka pada Julai depan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini.

Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini mencapai nombor siri WYK 6xxx dan ia akan berakhir dengan siri nombor WYY 9999 dalam tempoh terdekat, berkemungkinan Julai ini. Katanya, terdapat 13 siri lagi sebelum mencapai siri nombor pendaftaran WYY.

"Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa siri nombor pendaftaran baharu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan W 1 A dan berakhir dengan W 9999 A.

"Siri berikutnya adalah W 1 B Sehingga W 9999 B, diikuti dengan W 1 C dan seterusnya," katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Setelah berakhir dengan siri nombor W 9999 Y, ia akan bersambung dengan WA 1-9999 A sehingga WY 1-9999 Y dan WAA 1-9999 A sehingga WAY 1-9999 Y.

Siri baharu ini akan berakhir dengan WYY 1-9999 Y.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berikrar untuk mempertingkatkan pengangkutan awam bandar dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Dengan kerjasama kementerian-kementerian yang berkaitan, saya yakin transformasi dapat dilaksanakan dan kehendak rakyat dan orang ramai akan dipenuhi," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan Kementerian Pengangkutan yang terdapat sembilan bahagian, lima unit dan 12 agensi akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat.

Beliau berkata, semua isu berhubung kait dengan Kementerian Pengangkutan di laut, udara dan darat akan diimbangi dan diberi perhatian, termasuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

"Ada isu yang memerlukan perhatian segera, sesetengahnya memerlukan keputusan kabinet sementara yang lain memerlukan keputusan pihak ketiga.

"Isunya banyak, bukan setakat AES. Saya melihat pada semua isu.

"Isu seperti AES tidak boleh ditentukan dalam tempoh sehari sahaja...Saya adalah Menteri Pengangkutan untuk negara ini dan bukan hanya untuk AES," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pelaksanaan AES apabila Jabatan Peguam Negara sebelum ini memutuskan untuk meneliti perkara berkaitan saman trafik yang dikeluarkan.

Pada Disember lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, langkah itu diambil berikutan kebimbangan pihak tertentu berhubung undang-undang dan perkara teknikal dan semua prosiding mahkamah yang berkaitan juga dibekukan sehingga kebimbangan berkenaan selesai. - BERNAMA

Citrawarna: Jalan sekitar Dataran Merdeka ditutup

Posted: 23 May 2013 03:09 AM PDT

KUALA LUMPUR 23 Mei - Beberapa jalan di sekitar Dataran Merdeka di sini akan ditutup mulai 7.30 malam hari ini sempena raptai penuh program Citrawarna 1Malaysia 2013.

Menurut kenyataan Polis Trafik Kuala Lumpur hari ini, jalan terlibat akan dibuka semula kepada pengguna jalan raya setelah acara tamat.

Jalan yang ditutup ialah Jalan Hishamuddin (dari arah Bulatan Hishamuddin), Jalan Raja, Jalan Mahkamah Persekutuan, persimpangan Jalan Lebuh Pasar Besar, Jalan Kasturi, persimpangan Jalan Medan Pasar, Jalan Tun Perak, Bulatan Dato" Onn (arah ke Jalan Tun Perak),Jalan Raja Laut, Jalan Isfahan, Persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Dang Wangi, persimpangan Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdulllah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.

"Pengguna jalan raya dinasihat supaya tidak melalui jalan-jalan yang terlibat bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya," menurut kenyataan itu.

Program promosi pelancongan tahunan Citrawarna 1Malaysia akan berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu ini. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat