Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 5,885 dapat rawatan buah pinggang
- Dewan SMK Ledang dijangka siap Julai ini
- Seramai 234 murid SK Kempas sertai kursus jawab soalan UPSR
5,885 dapat rawatan buah pinggang Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT Azmi Shapie (tengah) dan Selahuddeen Abdul Aziz (kanan) melawat sudut pameran pada Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Jabatan Kesihatan Negeri Johor 2013 di Dewan Saujana HPSF, Muar, Johor, baru-baru ini. MUAR 13 Mei - Seramai 5,885 pesakit buah pinggang dari Muar, Batu Pahat, Segamat dan Ledang menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini sepanjang tahun lalu. Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Izam Suleiman berkata, HPSF kini menjadi pusat rujukan nefrologi atau bidang kajian dan rawatan buah pinggang untuk Hospital Tangkak, Ledang, Hospital Segamat dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. "Pada 2012, unit ini memberikan rawatan kepada 1,888 pesakit buah pinggang di wad dengan menjalani 10,485 sesi dialisis. Di klinik nefrologi pula merawat 3,997 pesakit dengan menjalankan 1,042 prosedur akses dialisis dan 54 biopsi buah pinggang. "Sementara itu, selain 137 pesakit kategori penyakit buah pinggang tahap akhir (ESRD) yang menjalani dialisis jangka masa panjang, HPSF juga menyediakan rawatan untuk masalah akut bagi 400 pesakit ESRD dari unit dialisis swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Muar dan Ledang," katanya. Beliau menyatakan perkara itu dalam majlis sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia Jabatan Kesihatan Negeri Johor 2013 di Dewan Saujana HPSF baru-baru ini. Yang turut hadir Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azmi Shapie dan Pengarah HPSF, Dr. Selahuddeen Abdul Aziz. Izam berkata, penyakit buah pinggang kini semakin menular, sukar dikesan dan memerlukan kos tinggi untuk dirawat serta memberikan impak besar terhadap kehidupan pesakit dalam semua aspek. Justeru, penganjuran sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia diharap dapat memberikan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang bahaya dan risiko penyakit itu yang berpunca daripada diabetes dan tekanan darah tinggi. |
Dewan SMK Ledang dijangka siap Julai ini Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK Pengetuanya, Mohd. Ibrahim Adzrai berkata, dewan berkenaan yang mampu menampung 1,400 pelajar itu dinamakan Dewan Dato' Abdul Ghani Othman sebagai menghargai dan penghormatan kepada bekas Menteri Besar Johor itu yang merupakan penggerak utama projek tersebut. "Projek ini dimulakan pada Mac 2012 dan dijangka siap beberapa bulan lagi. Awalnya Abdul Ghani meluluskan RM1 juta sebelum ditambah RM300,000 lagi. Dewan ini akan membolehkan banyak program dijalankan termasuk aktiviti kokurikulum. "Kita juga akan menjalankan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun ini di dalam dewan tersebut. Ini merupakan dewan tertutup pertama yang dilengkapkan dengan sistem penghawa dingin di daerah ini," katanya ketika ditemui di sini. Mohd. Ibrahim berkata, pihaknya tidak akan mengehadkan penggunaan serta fungsi dewan berkenaan untuk kegunaan SMK Ledang sahaja, sebaliknya membenarkannya untuk disewa orang awam yang berminat menganjurkan program atau majlis perkahwinan. Sementara itu, beliau memberitahu, keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 yang mencatatkan kelulusan 100 peratus selama 12 tahun berturut-turut membolehkan sekolah tersebut diiktiraf kedua terbaik pencapaiannya di daerah ini. Justeru, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan pencapaian pada tahun ini dengan kerja keras 104 tenaga pengajar serta sokongan padu daripada ibu bapa. |
Seramai 234 murid SK Kempas sertai kursus jawab soalan UPSR Posted: 13 May 2013 12:22 PM PDT SERAMAI 234 murid tahun enam SK Kempas mengikuti Program Teknik Menjawab sebagai persediaan menghadapi UPSR di Hotel M Suite, Johor Bahru, Johor, kelmarin. JOHOR BAHRU 13 Mei - Seramai 234 murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kempas mengikuti Program Teknik Menjawab soalan peperiksaan yang diadakan di Hotel M. Suites, di sini semalam. Program tersebut diadakan sebagai persiapan bagi calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013. Guru Besar SK Kempas, Fuziah Hasan berkata, program tersebut bertujuan menyuntik semangat peserta untuk terus memberikan yang terbaik semasa menghadapi peperiksaan itu nanti. "Program selama dua hari yang bermula semalam dikhususkan bagi murid-murid yang bakal menghadapi UPSR. "Sepanjang program tersebut seramai empat guru pakar diundang bagi memberikan tips serta teknik menjawab dengan berkesan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Fuziah berkata, sumbangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta kepimpinan Yang Dipertuanya, Nazlen Jabar telah membantu meningkatkan prestasi murid-murid dengan adanya program seperti itu. Sebanyak empat mata pelajaran diajar kepada murid-murid tersebut iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. Bagi Mohamad Fairuz Nizam, 12, program berkenaan amat berkesan kerana guru yang mengajar memberikan tips serta teknik menjawab dengan betul. "Saya gembira dapat mengikuti program ini kerana memberikan satu semangat baru apabila menghadapi peperiksaan sebenar," katanya. Seorang lagi peserta, Aminah Isnaini Saat, 12, mengakui beberapa teknik menjawab yang diajar oleh guru-guru yang berpengalaman amat membantunya menjawab soalan peperiksaan sebenar nanti. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |