Utusan Online - Kesihatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kesihatan |
Gangguan pemakanan masalah mental Posted: 28 May 2013 12:06 AM PDT Seperti gadis lain, pada usia 16 tahun, Soo Yun mula merasakan perasaan cinta dan ingin dicintai. Dalam diam dia menaruh hati pada seorang pelajar lelaki dalam kelasnya. Pada zahirnya Soo Yun seorang gadis yang comel. Cuma dia sedikit gempal, dengan berat badan 65 kilogram pada ketinggian 160 sentimeter. Malangnya dia dipandang 'gemuk' oleh lelaki yang amat diminatinya. Sejak itu Soo Yun berubah. Dia telah menjadi seorang yang membenci makanan berlarutan sehingga lapan bulan. Akhirnya Soo Yun dikejarkan ke hospital oleh ibu bapanya kerana berat badannya ketika itu hanya 29 kilogram. Si ibu pada mulanya hampir membawa anaknya ke Thailand untuk berubat dengan pengamal perubatan alternatif di sana kerana menyangka anaknya dirasuk syaitan. Manakan tidak, Soo Yun yang dulunya putih gebu kini hanya tinggal kulit kehitaman membaluti tulangnya. Kisah Soo Yun adalah kisah benar yang kisahnya diceritakan oleh perunding psikiatri dari Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh dan pakar pemakanan juga dari hospital yang sama, Lim Ai Leng. Setelah rawatan lanjut di hospital dan juga kaunseling, Soo Yun semakin pulih. Dia kini sudah setahun keluar dari wad dan gigih menambah berat badan sambil dipantau ibunya. Dr. Nor Hamidah berkata, jumlah pesakit anorexia nervosa (anorexia) dan bulimia nervosa (bulimia)di Malaysia tidak seteruk di negara seperti Amerika Syarikat, namun angkanya semakin meningkat tahun demi tahun. "Walaupun Malaysia dikatakan antara negara yang kadar obesitinya tinggi, tetapi kes bulimia dan anorexia menjadi satu senario membimbangkan," jelas beliau ketika sesi penerangan tentang anorexia dan bulimia di hospital tersebut baru-baru ini. Dr. Hamidah menerangkan anorexia dan bulimia sebenar boleh dianggap sebagai penyakit yang membabitkan gangguan tingkah laku pemakanan seseorang. "Anorexia nervosa dinamakan pada tahun 1868 oleh doktor William Gull. Masalah ini terjadi apabila seseorang itu mula mengehadkan dirinya kepada pemakanan. "Malah pesakit juga mempunyai cara khusus dalam memilih makanan. Mereka begitu teliti pada pemakanan yang mengandungi minyak, lemak dan tidak sesekali memilih makanan bergula yang selalunya terdapat dalam manisan," jelas Dr. Nor Hamidah. Ini merupakan satu simptom penyakit psikiatri dan dinilai apabila seseorang itu mengalami penurunan berat badan yang ketara (sekurang-kurangnya 15 peratus daripada berat badan asal). Golongan ini juga begitu takutkan obesiti dan kenaikan berat badan. "Bagi wanita yang mengalaminya, mereka ketiadaan sekurang-kurangnya tiga kitaran haid berturut-turut. Pola diet mereka makin hari makin minimum hingga jadi pembenci makanan dan sering menyalahgunakan ubat julap," ujar beliau. Menurut Dr. Nor Hamidah, menerusi statistik yang diperoleh, seramai 0.37-4.06 daripada 100,000 penduduk negara ini mengalami gangguan pemakanan ini dalam setahun. Daripada jumlah tersebut, satu hingga dua peratus adalah dalam kalangan remaja di sekolah dan pelajar universiti. "Jangan terkejut kerana lima hingga 10 peratus daripada jumlah penghidap penyakit gangguan pemakanan ini adalah lelaki. "Selain itu, golongan yang biasa terkena gangguan pemakanan ini adalah mereka yang datang daripada kelas atasan," ujarnya. Dr. Nor Hamidah juga memberitahu penyakit anorexia juga tidak mustahil berulang dalam sejarah keluarga. "Faktor genetik juga memainkan peranan apabila kajian Theander pada tahun 1970 mendapati enam hingga 10 peratus dalam saudara perempuan bagi pesakit anorexia. "Selain itu, faktor pekerjaan juga memainkan peranan terutama apabila tugasan mereka seperti sebagai model atau penari balet, menuntut mereka untuk sentiasa langsing dan kurus," katanya. Gejala psikiatri Apa yang dimaksudkan oleh Dr. Hamidah dengan penyakit adalah merujuk kepada sejenis gangguan psikiatri apabila individu terbabit mula menyekat makanan pada dirinya. "Pesakit anorexia adakalanya boleh menjadi simptom pesakit bulimia kerana mereka boleh memuntahkan semula makanan yang telah dimakan. "Simptom psikiatri menjadi lebih bahaya apabila pesakit mula mengasingkan diri daripada bersosial, timbul tanda-tanda kemurungan, gejala cemas dan menjadi sangat obses. "Pesakit bulimia juga akan menjurus kepada simptom gangguan psikiatri seperti kemurungan, cemas, impulsif, konflik seksual dan gangguan dalam keintiman. Gangguan ini memang boleh menjadi keterlaluan disertai dengan gangguan panik serta gangguan keresahan. "Jangan ingat hanya gangguan psikiatri saja boleh berlaku. Pesakit anorexia dan bulimia turut berhadapan dengan pelbagai komplikasi fizikal seperti dehidrasi, ketidakseimbangan elektrolit, kompromi jantung dengan pelbagai aritmia, gangguan motiliti gastro usus, masalah buah pinggang, kemandulan, kelahiran pra-matang, komplikasi peri-natal lain, hipotermia dan sebagainya. "Paling menyedihkan pesakit juga boleh berhadapan dengan serangan jantung lalu terus mengakibatkan kematian," ujarnya. Beliau turut memberitahu, pada satu kajian yang dilakukan oleh Theander (1985), mendapati bahawa gangguan pemakanan yang berterusan selama beberapa tahun telah mengakibatkan 18 peratus pesakit gangguan pemakanan ini mati akibat bunuh diri. Pemeriksaan fizikal Dr. Nor Hamidah turut menerangkan tatacara merawat pesakit gangguan pemakanan di kliniknya. Ia dimulakan dengan mewawancara dengan ahli keluarga sebelum beberapa tindakan lain yang dilakukan peringkat demi peringkat. "Paling penting ialah sokongan daripada ahli keluarga. Dalam proses rawatan, pakar akan pastikan penambahan berat badan yang mencukupi. "Dalam proses tersebut juga pesakit dan pakar akan berbincang tentang pelan pemakanan di samping rawatan psikologi untuk mendidik pesakit dan ahli keluarga. "Pakar juga akan memastikan kenaikan berat badan sebanyak 65 peratus daripada berat standard. "Sekiranya pesakit mengalami kemurungan yang teruk, dia akan ditahan di hospital sehingga berat sasaran dicapai," jelasnya. Sementara itu, Ai Leng yang merupakan pakar pemakanan di hospital yang sama berkata, dalam proses pemulihan pesakit gangguan pemakanan aneroxia dan bulimia, keseimbangan diet harian awal dengan sekurang-kurangnya 1,200 kalori setiap hari diperlukan. "Pemakanan pesakit akan diselia oleh seorang jururawat dan pakar pemakanan. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan 0.5 hingga satu kilogram penambahan berat dalam seminggu. Tempoh rawatan pula berlangsung antara 8 hingga 12 minggu," jelasnya. Dalam pada itu katanya, pakar pemakanan harus membina keyakinan dan hubungan rapat dengan pesakit agar mereka boleh menerima saranan serta nasihat. "Kami akan menerangkan pada mereka cara makan secara sihat. Nasihat bukan saja pada pesakit malah ahli keluarga mereka. "Pemantauan ahli keluarga amat penting bagi memulihkan pesakit sepenuhnya," kata Ai Leng. - NOOR FAZRINA KAMAL |
Pastikan kulit sentiasa lembap Posted: 28 May 2013 12:06 AM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR John Goh menerangkan mengenai fungsi sabun mandian Dove ketika pelancaran sabun mandian itu, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. KULIT merupakan penghadang yang melindungi tubuh daripada radiasi serta trauma mekanikal dan kimia. Kulit juga berfungsi mengawal suhu badan, sebagai deria, melindungi daripada jangkitan kuman serta sebagai cara berkomunikasi sosioseksual. Adalah penting untuk kita mempastikan kulit sentiasa lembap bagi mendapatkannya sihat dan nampak muda. Untuk itu, gunakan pelembap kulit yang sesuai dan cepat meresap ke dalam kulit. Jangan gunakan pelembap yang sebarangan kerana terdapat pelembap kulit yang hanya akan menyebabkan kulit menjadi rosak dan bertambah kering. Konsultan Dermatologis, Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr. Nazirin Ariffin berkata, kulit orang dewasa mengandungi 60 peratus kelembapan sementara bayi sebanyak 80 peratus. ''Jadi, semakin berusia seseorang itu kulitnya juga menjadi semakin kering. Oleh itu sentiasa gunakan pelembap kulit yang sesuai setiap hari bagi mengekalkan kelembapan. ''Bersenam juga membantu mendapatkan kulit yang cantik kerana apabila seseorang itu bersenam akan meningkatkan pengaliran darah ke kulit dan mengurangkan tekanan. ''Selain itu, tidur yang mencukupi juga penting kerana proses tidur membantu sel untuk bertenaga semula dan memberi kesan kepada kulit,'' kata Dr. Nazirin pada pelancaran sabun mandian Dove baharu dengan pelembap nutrium di Kuala Lumpur baru-baru ini. Beliau yang mempunyai pengkhususan dalam bidang Dermatitis Sentuhan dan Alahan, Kosmetik Dermatologi dan Pembedahan Dermatologi, berkata, selain penggunaan pelembap kulit pemakaian topi, payung atau penutup kepala dan baju berlengan panjang apabila keluar rumah juga sedikit sebanyak membantu mengekalkan kelembapan lebih lama. Ini kerana katanya, kulit yang terdedah pada sinar matahari secara terus bukan saja nampak kering bahkan mudah berkedut dan kusam. Menurut Dr. Nazirin, ramai yang tidak mengetahui bahawa merokok juga membuatkan kulit cepat menjadi kering dan nampak tua kerana perjalanan darah ke kulit tersekat. ''Amalkan banyak makan sayur-sayuran dan buah-buahan kerana kedua-duanya mengandungi air, vitamin dan mineral. ''Jika kulit kering, ia boleh dilembapkan semula dengan memakai pelembap kulit. Sebaik-baiknya gunakan dua atau tiga kali sehari,'' ujar Dr. Nazirin lagi. Sementara itu, Pengurus Aturan Penyelidikan dan Pembangunan, Penjagaan Kediaman dan Diri Unilever (M) Sdn. Bhd., John Goh berkata, mandian baharu Dove merupakan penemuan terkini dalam kategori sabun mandian badan yang mengandungi formula yang telah dipatenkan dengan teknologi pelembap nutrium. ''Mandian baru Dove adalah lebih berkhasiat berbanding susu. Ia mengandungi rumusan yang kaya dengan pelembap dan nutrisi semula jadi bagi menambah nutrien ke dalam kulit. ''Mandian badan biasa yang tidak mengandungi ramuan berkhasiat akan menyebabkan keadaan kulit kering dengan menanggalkan kelembapan semulajadi kulit. Sesetengah mandian badan biasa boleh merosakkan kandungan protein dan lipid di lapisan luar kulit semasa mandi. ''Pelembap dalam cecair mandian biasa akan berada di bahagian atas kulit buat sementara waktu. Namun pelembap nutrium baru akan menembusi permukaan lapisan epidermis kulit untuk memberikan khasiat kepada kulit dan menjadikan kelembapan kulit kekal lebih lama,'' kata Goh. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kesihatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |