Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Ketua juruwang pasar raya didakwa pecah amanah Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT LEE Goit Siau (kanan) di Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, Kelantan, semalam. KOTA BHARU 19 Mei - Seorang ketua juruwang di sebuah pasar raya dekat sini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang tunai lebih RM500,000 pada Mac dan April tahun lalu. Tertuduh, Lee Goit Siau, 46, bagaimanapun tidak mengaku bersalah semasa dihadapkan di hadapan Hakim Mohd. Yusuff Yunus dan meminta dibicarakan. Mohd. Yusuff membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Jun depan untuk sebutan semula kes. Menurut pertuduhan, Goit Siau, sebagai orang yang diamanahkan untuk mengurus wang kutipan jualan pasar raya Econjaya (Kok Lanas) Sdn. Bhd. sebanyak RM504,156.32 didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu menyalah gunakan wang itu. Wanita dari Kok Lanas itu didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 4 Mac hingga 18 April tahun lalu di pasar raya berkenaan. Dia yang telah dibuang kerja, ditahan Rabu lalu dan didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Hamizah Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. |
Tiga pengedar dadah ke tali gantung Posted: 19 May 2013 11:23 AM PDT ALOR SETAR 19 Mei - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tiga lelaki selepas didapati bersalah mengedar 6.503 kilogram (kg) kanabis di Padang Serai, Kulim enam tahun lalu. Hakim, Datuk Zamani A. Rahim menjatuhkan hukuman mati itu ke atas ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohammad Fadzil Ali, 51, Shamsuri Said, 39, dan Mohd. Farid Rameli, 32, selepas mendapati keterangan pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Mohammad Fadzil, pemandu lori; Shamsuri, kelindan lori dan Mohd. Farid, pekerja bengkel dituduh melakukan perbuatan itu di tepi jalan arah Padang Serai ke Kulim dalam kawasan Kampung Permatang Tok Dik, Padang Serai, Kulim kira-kira pukul 9.45 malam pada 11 Oktober 2007. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud sementara tertuduh diwakili peguam, Burhanudeen Abdul Wahid. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |