Utusan Online - Rekreasi
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rekreasi |
BELIA FELDA TAKLUK ISLAND PEAK Posted: 27 Apr 2013 02:00 AM PDT GUNUNG Island Peak merupakan gunung teknikal di banjaran Himalaya. OLONGAN belia yang berwawasan sememangnya tidak pernah jemu memburu satu demi satu kejayaan yang bukan sahaja mengharumkan nama keluarga, agensi, malah turut melakar sejarah buat negara tercinta. Itulah yang dibuktikan oleh sekumpulan anak muda Felda dari seluruh negara yang kini dalam usaha menakluk puncak tertinggi dunia, Gunung Everest pada pertengahan bulan Mei ini. Memandangkan cabaran ke 'bumbung dunia' itu terlalu hebat, maka latihan intensif yang berterusan sejak tujuh bulan lalu diperhebatkan lagi dengan mendaki puncak-puncak berketinggian melebihi 6,000 meter dari paras laut (dpl). Terbaharu, sebanyak 11 pendaki yang terdiri daripada anak-anak Felda, pendaki sokongan dan jurulatih berjaya menawan puncak Gunung Island Peak di ketinggian 6,189 meter dpl. Terletak di banjaran Himalaya, Island Peak merupakan salah satu gunung-gunung teknikal yang kerap dijadikan tempat latihan pendaki seluruh dunia dalam usaha mereka menawan puncak Gunung Everest. Apa yang membanggakan adalah anak-anak Felda ini mencatatkan kejayaan pada usia yang masih muda iaitu kebanyakannya berumur 20-an. Lebih mengujakan apabila pendaki utama merangkap ketua program Everest Felda 2013, Siti Hanisah Sharuddin baru berusia 23 tahun. Walaupun gagal sampai ke puncak Island Peak kerana mengalami penyakit akut ketinggian (Acute Mountain Sickness, AMS), namun ia tidak mematahkan semangat juang yang dimilikinya. Menurut jurulatih program ini, Zainudin Lot, Siti Hanisah dari Felda Jelai 1, Gemas, Negeri Sembilan hanya berada kira-kira 89 meter dari puncak apabila terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk. "Siti Hanisah bersama seorang lagi jurulatih, Muhammad Illaham Ishak dan penunjuk arah, Jamling Bhote sampai di ketinggian 6,100 meter iaitu kurang 89 meter untuk tiba di puncak Island Peak. Oleh kerana cuaca semakin buruk, mereka akur dengan nasihat Jamling supaya berpatah balik," katanya menerusi e-mel kepada .com. Lima pendaki yang tiba awal ialah Mohd Asyraf Mohd Halim, 25, dari Felda Lok Heng Timur, Johor; Mohd Nasuha Shamsudin, 21, (Felda Tersang 3, Raub, Pahang); Zainudin; Mohd Aliff dan Mohd Ashaziq Abu Bakar. Selepas itu, beberapa pendaki lain menyusul menjejakkan kaki ke puncak, antaranya Muhammad Hafizudin Ibrahim, 22, (Felda Chini Timur, Pahang), Mohd Ashraaf Saleh, 23, (Felda Bukit Puchong, Triang, Pahang), Norhafizi Ishak, 23, (Bandar Tenggara, Kulai, Johor), Mohd Ederis Ramli, 24, (Felda Palong 9, Gemas, Negeri Sembilan), Mohamad Zahid Hashim 27, (Felda Keratong 7, Pahang) dan Ramli Abd Majid. "Ini merupakan kejayaan manis mereka sepanjang menjalani latihan di banjaran Himalaya," tambahnya. Mengulas kejayaan itu, Zainudin berkata, tepat pukul 2.20 pagi waktu Nepal, kumpulan pendaki Everest Felda 2013 memulakan langkah ke puncak Island Peak dari penginapan mereka di Chukhung yang terletak di ketinggian 4,750 meter dpl. Dalam keadaan suhu sepanjang pendakian antara -5 hingga -10 darjah celsius, pendaki cekal menghadapi cuaca sejuk yang ekstrem itu. Selepas berhempas pulas dan dengan rentak pendakian yang perlahan, kumpulan lima pendaki terawal tiba di puncak tepat pukul 1.30 tengah hari waktu Nepal iaitu selepas lebih 11 jam mendaki dari Chukhung. "Keadaan cuaca ketika kami tiba di puncak Island Peak masih lagi baik. Namun, tidak lama kemudian, sekelompok awan tebal bergerak menuju ke arah puncak," ujar Zainudin. Menurutnya, ketika itu kumpulan pendaki lain berada kira-kira 200 meter lagi untuk tiba di puncak. Berbekalkan semangat setiakawan yang tinggi, kelima-lima pendaki awal sanggup mengambil risiko menunggu pendaki lain tiba untuk bersama-sama meraikan kejayaan di puncak. "Kami terus menunggu demi memberi semangat kepada pendaki lain yang sedang berusaha menuju ke puncak," katanya yang melahirkan kesyukuran kerana akhirnya sebanyak 11 pendaki berjaya menjejakkan kaki di puncak Island Peak pada 14 April lalu. Mengimbas kembali latihan di banjaran Himalaya, sebanyak 18 anak-anak Felda termasuk pendaki sokongan dan jurulatih berlepas dari Kuala Lumpur ke Kathmandu, ibu negara Nepal pada 2 April 2013. Ketibaan mereka di bumi Nepal menandakan bermulanya misi mencipta sejarah bagi Felda untuk menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest setinggi 8,848 meter dari paras laut. Selepas menjalani beberapa fasa latihan intensif selama tujuh bulan di bawah kelolaan Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) yang dikendalikan oleh pendaki Everest 2004, Muhamad Muqharrabin Mokhtaruddin, kesemua pendaki disifatkan sudah cukup bersedia untuk membawa cabaran ke puncak Everest demi membuktikan bahawa segalanya mampu dilakukan oleh anak-anak muda Felda. Kumpulan pendaki utama seramai lima orang dijangka bergerak dari Kem Induk Everest ke Kem Satu, Kem Dua dan Kem Tiga pada 15 Mei ini demi merealisasikan matlamat memacakkan Jalur Gemilang dan bendera Felda di puncak Gunung Everest (8,848 meter) dpl. Ekspedisi Everest Felda 2013 yang dikelolakan KE7B ini mendapat sokongan penuh Felda Berhad, Felda Global Venture Holding dan Majlis Belia Felda Malaysia. - ROHANA MAN |
Jelajah ekstrem Gua Batu Maloi Posted: 25 Apr 2013 02:00 AM PDT Oleh ROHANA MAN ANTARA laluan yang ditempuh dalam penerokaan Gua Batu Maloi. MENDAKI gunung dan meneroka gua merupakan dua aktiviti yang bezanya seumpama langit dan bumi. Masing-masing mempunyai peminat tegar yang tersendiri. Namun tidak ada salahnya jika kedua-dua aktiviti lasak itu digabungkan dalam satu program atau ekspedisi yang sama. Ia tentu sahaja menjanjikan pengalaman unik dan lain daripada kebiasaan, seperti mana yang dilakukan oleh ahli Kelab Orang Gunung Kuala Lumpur (OGKL) pada 6 hingga 7 April 2013 yang lalu. Program 'dua dalam satu' itu meliputi eksplorasi Gua Batu Maloi dan mendaki Gunung Tampin yang terletak di dalam Hutan Simpan Gunung Tampin, Negeri Sembilan. Perjalanan kami bermula dari Kuala Lumpur pada petang 6 April lalu dan sebaik tiba di tapak perkhemahan Gua Batu Maloi, kami terus memulakan aktiviti barbeku. Program ini disertai 13 peserta termasuk urus setia kelab. Kami memulakan aktiviti meneroka ekstrem Gua Batu Maloi yang diketuai oleh penunjuk arah, Khazely Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Malik. Sebelum itu, pengurus tapak perkhemahan Gua Batu Maloi, Muhamad Nazri Ellango Abd. memberikan taklimat ringkas. Kumpulan kami digabungkan dengan dua kumpulan lain. Menurut Malik, keseluruhan jarak penerokaan gua adalah kira-kira 2.38 kilometer dari tapak perkhemahan. Dalam penerokaan itu, kami meredah sungai dan menempuh gua batu granit yang pelbagai saiz dari tapak perkhemahan sehingga ke check point 24. Eksplorasi kami bermula pada pukul 9.30 pagi dan awal perjalanan sekadar meredah sungai yang jernih dan sejuk airnya. Perjalanan diteruskan sehingga kami tiba di check point 3 yang mana, kami perlu menyusup masuk dan keluar dari celah batu yang agak sempit. Ada beberapa kawasan disediakan tali untuk memudahkan peserta program melepasi laluan curam di tepi batu besar yang berlumut. Memang unik pengalaman ini. Nampaknya meneroka gua batu granit lebih ekstrem berbanding gua batu kapur yang pernah dilakukan oleh kebanyakan daripada kami. Ini kerana kami perlu meniarap, merangkak, menyusup, mengiringkan badan, menundukkan kepala, mengengsot, dan mendaki batu-batu licin untuk naik ke kawasan yang lebih tinggi. Ada ketikanya, lubang gua yang mahu ditembusi agak mustahil bagi peserta bersaiz besar. Namun, dengan 'demonstrasi' yang dilakukan oleh Malik, kesemua peserta berjaya melepasi celah-celah rekahan batu yang sempit itu. Dalam penerokaan itu, kami singgah di gua kelawar, gua kapal dan gua Buddha yang mana kesemuanya memiliki keunikan tersendiri. Sebelum kami tiba di gua kelawar, Malik mengarahkan kami menutup lampu suluh. Katanya, cahaya terang akan membuatkan kelawar yang sedang bergayutan di bumbung gua berterbangan lari. AKTIVITI barbeku menghidupkan suasana malam yang santai di tapak perkhemahan Gua Batu Maloi. Bau kurang menyenangkan di dalam gua tidak menjadi masalah kepada kami untuk meneruskan perjalanan. Gua berikutnya adalah gua kapal yang mana imej seperti hujung sebuah kapal dapat dilihat dengan jelas. Layar yang masih 'kembang' juga boleh kelihatan jika diamati dengan teliti. Kami berehat agak lama di dalam gua kapal, sementara menunggu kesemua peserta berkumpul untuk mendengar taklimat berikutnya. Selesai taklimat, kumpulan kami yang berada di hadapan meneruskan penerokaan. Anak-anak ikan tengas yang banyak menarik perhatian kami. Ada peserta membawa roti untuk memberi ikan makan yang habitatnya adalah di dalam aliran sungai yang deras dan di celah-celah batu. Udang juga boleh ditemui, selain katak batu yang menurut Muhamad Nazri boleh mencapai saiz sebuah topi keledar! Kami juga berehat agak lama di dalam gua Buddha. Imej sami Buddha yang sedang bertafakur dapat dilihat di dinding batu. Di sebelahnya ialah isterinya yang mana kedua-dua imej itu terbentuk daripada lembapan air yang menitis dari bumbung gua. Setibanya kami di check point 12, kami keluar dari dunia gua yang gelap untuk menghirup udara sedar di permukaan sungai. Dikelilingi hutan menghijau, kami merehatkan diri buat seketika sambil menjamah makanan dan minuman ringan. Menurut Malik, laluan selepas check point ini lebih mudah dan tiada lagi laluan bawah batu yang perlu ditempuhi. Jarak di antara satu check point dengan satu check point juga lebih dekat dan kami mengakhiri penerokaan ekstrem Gua Batu Maloi tepat pukul 1 petang. Selepas sesi bergambar, kami meneruskan perjalanan balik ke tapak perkhemahan dengan mengikut trek hutan. Di pertengahan jalan, kami singgah di sebuah batu besar yang dikatakan 'kampung orang bunian'. "Inilah Batu Maloi. Dulu, ada gua yang menjadi tempat simpan pinggan mangkuk yang boleh dipinjamkan kepada penduduk kampung untuk kenduri. "Tapi, sekarang dah tak ada lagi," cerita Malik kepada kami. Untuk sampai ke puncak batu besar itu, kami terpaksa memanjat dengan menggunakan akar pokok. Di atasnya terdapat pokok pisang tunjuk langit yang belum berbuah. Oleh kerana kami akan mendaki Gunung Tampin pada hari yang sama, maka kami bergegas balik ke tapak perkhemahan untuk berkemas. Ternyata, penjelajahan gua yang lain daripada yang lain ini memberikan pengalaman baru kepada kami. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rekreasi To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |