Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kakitangan HUSM cipta Lolimex
- Pengayuh beca mahukan pembelaan kerajaan Pas
- Penjara Pengkalan Chepa sasar jualan produk RM1.5 juta
Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT Oleh ASMA HANIM MAHMOOD Azlina Majid (tiga dari kanan) bersama ahli kumpulannya dan Lolimex yang menjuarai kategori teknikal KIK 2013 peringkat Kampus Kesihatan USM di Kota Bharu, semalam. KOTA BHARU 14 Mei - Kumpulan Evo Rehab dari Unit Pemulihan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menjuarai kategori teknikal Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2013 peringkat Kampus Kesihatan USM dengan ciptaan alat senaman mereka Lolimex. Ketua Kumpulan Evo Rehab, Azlina Majid berkata, alat senaman daya tujahan yang diperbuat daripada aluminium dan menggunakan getah pemberat tersebut berfungsi untuk menguatkan anggota bawah badan pesakit seperti paha, lutut, betis dan buku lali. Beliau berkata, berbanding peralatan senaman dengan fungsi serupa iaitu Shuttle Exerciser yang disediakan di hospital bernilai lebih RM20,000 setiap satu, pembikinan Lolimex pula membabitkan perbelanjaan kira-kira RM200 sahaja. Jelasnya, dengan bimbingan fasilitator yang juga pegawai fisioterapi kanan, Mohd. Zamani Mamat, kumpulan dianggotai sembilan kakitangan Unit Pemulihan HUSM, mula mengasah idea sejak awal tahun lalu untuk mencipta Lolimex bagi mengatasi kesukaran dihadapi pesakit yang terpaksa menunggu giliran menggunakan peralatan senaman di unit itu. "Pesakit yang mengalami komplikasi akibat tulang patah, serangan angin ahmar, kecederaan sukan dan sebagainya perlu menjalani sesi terapi beberapa kali seminggu untuk memulihkan dan menguatkan semula otot anggota bawah badan. "Setiap hari unit kami hanya berupaya memberikan peluang kepada kira-kira 20 hingga 24 pesakit sahaja menggunakan Shuttle Exerciser yang digunakan secara optimum untuk sesi terapi selama 20 minit setiap orang. "Penggunaan alat senaman yang menumpukan kepada daya tujahan ini amat diperlukan untuk membantu proses pemulihan tetapi kami hanya mempunyai sebuah Shuttle Exerciser, di samping beberapa alatan lain, sebab itulah timbul idea mencipta alat serupa yang lebih kos efektif, kecil dan mobil serta mampu dimiliki pesakit," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah Konvensyen KIK 2013 peringkat Kampus Kesihatan USM yang disempurnakan Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Datuk Dr. Mafauzy Mohamed di sini hari ini. Menurut Azlina lagi, Lolimex dilengkapkan dengan roda dan mampu dibawa ke mana-mana serta boleh digunakan pesakit dalam pelbagai posisi sama ada duduk, berbaring, malah ketika berada di atas kerusi roda mereka sendiri. "Pesakit yang menggunakan alat ini boleh membuat tolakan atau tujahan dari berat tiga kilogram hingga 18 kilogram mengikut kemampuan mereka," katanya. Kumpulan Lateral dari Dewan Bedah HUSM dinobat sebagai naib johan kategori teknikal, manakala johan kategori pengurusan (kumpulan Protech dari Pusat Pengajian Sains Perubatan) dan naib johan, (pengurusan Excel 7 dari Perpustakaan Hamdan Tahir). Sebanyak lapan kumpulan telah mengambil bahagian dalam konvensyen kali ini dan penghakiman diketuai Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Mahadi Hasbullah. Turut hadir Pengarah HUSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur program, Datuk Dr. Zaidun Kamari. |
Pengayuh beca mahukan pembelaan kerajaan Pas Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT KOTA BHARU 14 Mei - Pengayuh beca yang ibarat 'hidup segan mati tak mahu' meminta kerajaan Pas Kelantan yang kembali diberi mandat oleh rakyat para Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) 5 Mei lalu, membela nasib mereka. Rata-rata pengayuh beca terbabit terdiri daripada golongan warga emas turut mengharapkan agar kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dapat mewujudkan sebuah kedai untuk membantu mereka membaiki beca yang rosak. Mereka turut berharap kerajaan negeri dapat menyediakan peruntukan bagi menghias beca untuk menarik pelanggan khususnya pelancong asing. Seorang pengayuh beca, Samad Said, 65, berkata, selama ini nasib dan masa depan pengayuh beca di daerah ini kurang mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri. "Kami amat memerlukan bantuan dari segi kewangan mahupun kemudahan untuk membaiki beca kerana pendapatan kami yang sangat berkurangan pada masa sekarang menyebabkan kami tidak mampu untuk membaikinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Samad berkata, dia sudah 40 tahun membawa beca bagi menyara kehidupannya sekeluarga dan perkembangan masa kini menyaksikan sektor berkenaan semakin dilupakan tanpa diberikan pembelaan sewajarnya oleh kerajaan negeri. Seorang lagi pengayuh beca, Mohamad Junuh Salleh, 73, berkata, sebelum ini bantuan banyak disalurkan oleh Kerajaan Pusat, tetapi kerajaan negeri kurang memberikan pembelaan kepada pengayuh beca sepertinya. "Saya harap dengan kerajaan baru sekarang, pihak yang bertanggungjawab perlulah memberi pelbagai jenis bantuan kepada kami. Jika tidak dapat beri bantuan beca baru sekurang-kurangnya mereka mesti menyediakan kedai untuk kami membaiki beca dan dikenakan dengan bayaran murah," ujarnya. Ismail Dollah, 64, pula turut berharap, kerajaan negeri dapat membantu pengayuh beca sepertinya membaiki kehidupan mereka. "Saya berharap kerajaan negeri dalam memberikan peruntukan kepada kami untuk menghias beca bagi menarik lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan ini," katanya yang tinggal di Ketereh. Harapan sama disuarakan oleh Hamzah Awang Man, 70, agar kerajaan negeri dapat menyediakan peruntukan khas kepada pengayuh beca di negeri ini mengembangkan lagi kerjaya mereka. "Mungkin kerajaan negeri boleh menyediakan peruntukkan sebanyak RM300 sebulan untuk kami meningkatkan lagi perkhidmatan agar orang ramai tidak malu menggunakan beca sebagai pengangkutan alternatif mereka. "Pengangkutan beca yang diibaratkan 'hidup segan mati tak mahu' menyebabkan orang ramai tidak memandang beca sebagai pengangkutan yang selesa," katanya. |
Penjara Pengkalan Chepa sasar jualan produk RM1.5 juta Posted: 14 May 2013 11:49 AM PDT KOTA BHARU 14 Mei - Institusi Penjara Pengkalan Chepa akan menambah kepelbagaian produk yang dihasilkan penghuninya untuk mencapai sasaran jualan sebanyak RM1.5 juta atau sekurang-kurangnya RM1 juta pada tahun ini. Pengarahnya, Zawari Abdul Rashid berkata, sasaran itu mampu dicapai dengan kerja keras daripada banduan dan kakitangan kerana infrastruktur di penjara itu sangat baik terutama bengkel pastri yang luas. "Kalau lihat pengalaman saya dulu, saya pernah mencapai jualan produk penjara sehingga RM1.2 juta, jadi tahun ini saya mahu kita bersama-sama mencapai sasaran RM1.5 juta jualan. "Saya tidak mahu kita fikirkan pasal RM10,000 atau RM30,000 kerana saya tengok bengkel pastri di sini besar jadi sepatutnya sasaran kita lebih tinggi selepas ini," katanya berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini semalam. Zawari sebelum ini merupakan Pengarah Penjara Poko Sena, Kedah dan beliau mengambil alih jawatan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa daripada Husin Johari yang bertukar ke Penjara Kajang, Selangor berkuat kuasa hari ini. Majlis menandatangani dokumen serah terima tugas antara kedua-dua pihak disaksikan oleh Pengarah Penjara Bentong, Abdul Aziz Abdul Razak. Mengulas mengenai perpindahannya, Zawari berkata, beliau bersedia menggalas tugas yang diberikan dan tidak pernah mengeluh sebaliknya setia kepada arahan ketua sepanjang masa untuk memastikan kualiti kerja terbaik. Sehubungan itu, beliau menyeru semua kakitangan Penjara Pengkalan Chepa supaya selepas ini lebih fokus dan menghasilkan kualiti kerja terbaik untuk memastikan penjara itu menjadi antara yang terbaik di negara ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |