{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Hati

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Hati


Detik berharga sepanjang kembara

Posted: 03 Jun 2013 08:08 AM PDT

Benar, fizikal dan mental seseorang wanita sentiasa menjadi isu gender yang tidak berkesudahan. Malah, ada juga sesetengah perkara dianggap tidak sesuai dilakukan wanita kerana dikatakan melanggar resam alam.

Walau sesukar mana pun halangan yang berjaya ditempuh, keupayaan wanita masih dipandang sepi berikutan masyarakat masih terikat dengan perspektif kuno yang diperturunkan daripada generasi ke generasi.

Biarlah apa orang cakap dan anggap kerana Jaime Dempsey berusaha mendepani stigma itu menerusi kembaranya menunggang motosikal besar ke beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

Meskipun ditemani kru penerbitan sepanjang penggambaran program dokumentari kembara bermotor Ride N' Seek (bersiaran 10 Jun ini, 10 malam di saluran History, Astro 555), Jaime memilih untuk menunggang sendirian dan menguruskan motosikalnya sendiri.

Foto

BERPELUANG mendekati buaya usia ratusan tahun.

Foto

PELBAGAI aksi dicuba Jaime.

Foto

INSPIRASI untuk wanita.


"Kru sentiasa ada bersama untuk melakukan penggambaran, tapi seboleh mungkin saya cuba atasi halangan sendirian kerana ia dapat memberi peluang untuk saya mencabar kemampuan diri.


"Bukan sombong atau angkuh, tapi saya percaya setiap wanita perlu berdiri untuk dirinya sendiri dan cuba kurangkan tabiat bergantung pada orang lain.

"Tidak selamanya kita ditemani keluarga atau rakan di sekeliling, jadi apabila muncul masalah pasti kita boleh hadapinya jika sudah terbiasa melakukannya sendiri," ujar Jamie.

Terbabit dalam aktiviti yang dikuasai lelaki bukan saja membantu meningkatkan keyakinan dirinya, malah menunjukkan kepada kaum Adam bahawa wanita berhak diberi penghormatan atas keupayaan serta kejayaan yang ditunjukkan.

"Berada dalam kelab eksklusif lelaki seperti aktiviti permotoran ini tidak hanya memberikan wanita kelebihan, tapi lebih kepada tanda hormat sesama gender.

"Saya tidak menganggap ia satu keistimewaan, tapi saya dapati lebih ramai mula menunjukkan rasa hormat pada apa yang saya lakukan. Saya rasakan wanita perlu buktikan kemampuan mereka jika ingin mendapatkan rasa hormat itu.

"Ia membuatkan diri saya lebih baik, bangga dan lebih berkuasa dalam mengawal situasi," tegasnya.

Jaime mula aktif bermotosikal sejak lapan tahun lalu dan pernah memiliki motosikal Yamaha XS650 serta Harley Iron 883 sebelum beralih ke Ducati Monster 695.

Antara aktiviti kembaranya ialah menunggang motosikal sejauh 3,000 batu ke pantai barat Amerika Syarikat bersama kumpulan penunggang SoCal.

Dalam Ride N' Seek, wanita kelahiran Illinois ini memulakan perjalanannya dengan menunggang motosikal Harley Davidson Sportster 48 dari Johor lalu menuju ke utara dengan melewati Pahang, Terengganu, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Selangor sebelum menamatkannya di Melaka.

Melihatkan kepada lebih 15 tatu di tubuhnya, pasti ia menarik lebih banyak perhatian dalam kalangan penduduk tempatan di kawasan persinggahannya.

"Menariknya, mereka lebih berminat dengan motosikal saya berbanding diri saya sendiri!

"Tapi mereka semua peramah dan bertanyakan bermacam soalan khususnya apabila saya singgah di kawasan kampung. Ramai bertanyakan mengenai diri saya dan ada yang menyentuh tatu saya untuk merasakan sama ada kulit saya licin atau tidak.

"Saya tidak sangka mendapat sambutan baik seperti ini. Ia antara detik yang paling saya gemari iaitu saat bergaul dengan masyarakat tempatan dan mempelajari budaya mereka. Ia juga antara detik berharga yang saya kutip sepanjang kembara ini," jelasnya.

Ditanya mengenai laluan kegemarannya sepanjang kembara ini, dengan pantas Jaime menjawab Bukit Fraser.

"Saya 'adrenaline junkie' dan laluan di Bukit Fraser agak panjang serta bengkang-bengkok. Saya suka menunggang laju dalam keadaan jalan seperti itu. Ia amat mengujakan!

"Selain itu, saya juga singgah di kawasan air terjun. Walaupun tiada dalam jadual, saya akan heret kru untuk singgah setiap kali ternampak papan tanda ke kawasan itu," katanya.

Pada masa sama, jelas Jaime, pengalaman pertamanya sebagai hos atau pengacara bagi program ini turut membuka lembaran baru dalam hidupnya.

Jaime menyifatkan Ride N' Seek menyerlahkan sisi berbeza dalam dirinya yang selama ini dianggap mustahil.

"Saya melakukan sesuatu yang sebelum ini saya rasakan di luar kemampuan. Saya berpeluang memberi makan kepada buaya berusia 130 tahun, menerbangkan pesawat satu enjin Cessna, memandu uji kereta Formula di litar dan berenang bersama sekumpulan ikan.

"Jika tidak kerana program ini, mungkin saya masih berada di Amerika dan tidak pasti apa yang saya lakukan di sana," katanya.

Bekas jurufoto, jurugaya dan pereka fesyen ini tidak ketinggalan menyuarakan harapannya agar wanita yang menonton program ini mendapat inspirasi untuk bergiat aktif dalam aktiviti permotoran.

"Di Amerika, sukar untuk mencari geng wanita yang gemarkan aktiviti ini. Tapi di Malaysia saya dengar ada beberapa kumpulan penunggang motosikal wanita dan mereka aktif melakukan bermacam program.

"Ia satu perkembangan positif dan saya harap dengan tersiarnya Ride N' Seek kelak penonton khususnya wanita menyertai aktiviti seperti ini. Ia bukan saja untuk keseronokan dan kepuasan diri, malah sebenarnya menguji tahap kekuatan mental serta fizikal kita," katanya mengakhiri bicara.

Nota kembara Jaime

1. Johor

Jaime bertemu kumpulan Big Loud Rides (BLR) yang memberikannya maklumat mengenai aktiviti yang boleh dilakukan di Johor. BLR mencadangkan Jaime mencuba litar lumba Pasir Gudang yang pernah digunakan bintang legenda seperti juara dunia, Mick Doohan dan Ken Roberts Jr.

Jaime seterusnya menerima tunjuk ajar daripada bekas pelumba Formula Satu Malaysia, Alex Yoong sebelum memandu kereta Formula di litar. Dia juga singgah di ladang ternak buaya dan memberi makanan kepada buaya berusia 130 tahun.

2. Pahang - Terengganu

Bersiar-siar di Pekan dan singgah meluncur air di Pantai Balok, Cherating. Jaime juga berpeluang menunggang motosikal merentasi angin dan cuba menerbangkan layang-layang di tepi pantai.

Perjalanan diteruskan ke Kuala Terengganu dan singgah di Masjid Kristal bagi mempelajari mengenai Islam. Jaime kemudiannya ke Tasik Kenyir dan dapat berenang bersama sekumpulan ikan.

3. Kelantan

Jaime bertemu dengan ahli sejarah veteran yang menunjukkannya tinggalan antik antaranya pokok tua yang masih mempunyai kesan peluru. Jaime turut dimaklumkan bahawa Perang Pasifik sebenarnya tercetus di Kelantan.

Tidak lengkap ke negeri Cik Siti Wan Kembang jika tidak mempelajari seni pembuatan wau, songket dan batik. Jaime turut mencuba sesi urutan tradisional Melayu dan merasai hidangan ikan keli besar.

4. Pulau Pinang - Perak

Mengharungi pengembaraan kolonial dengan bersiar-siar di Georgetown dan bermalam di sebuah hotel warisan. Jaime ke Batu Ferringhi pula bagi menikmati asam laksa yang disenaraikan oleh CNN sebagai hidangan ketujuh daripada 10 makanan paling menyelerakan di dunia.

Ketika menuju ke Ipoh, Jaime bertemu Marcus Ozwald dan rakannya lalu merasai pengalaman mengendalikan kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan diteruskan ke Sungai Bernam dan Jaime berpeluang menerbangkan pesawat satu enjin Cessna selama dua jam.

5. Selangor

Setelah turun dari Bukit Fraser, Jaime singgah di lokasi yang dipercayai tempat pembunuhan Henry Gurney. Sempat singgah di Raub dan bermalam di Inap Desa 8 Ekar.

Jaime tidak ketinggalan mencuba permainan Bola Zorb.

6. Melaka

Bertemu dengan penyanyi dan pengacara popular, Sarimah yang membawanya ke lokasi makanan menarik sekitar Melaka. Jaime seterusnya berkenalan dengan kumpulan Red Warriors yang menampilkan kumpulan wanita melakukan aksi ngeri.

Jaime turut menikmati hidangan Nyonya di restoran Bibik Kim Neo, pelakon tempatan yang popular dengan watak Bibik Nyonya pada era 1990-an.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Rak Buku: Detik indah pasangan unik

Posted: 03 Jun 2013 07:50 AM PDT

Membaca naskhah Sophie Kinsella bagaikan mene­rima hadiah pada Hari Kekasih. Itulah yang penulis rasakan setiap kali munculnya nukilan baru penulis dari London ini.

Biarpun I've Got Your Number bukan naskhah terkininya, ia masih me­ngekalkan identiti penulisan Sophie yang menjurus kepada watak heroin lucu dan hidup dalam keadaan serba tidak kena.

Ia bukanlah sesuatu yang negatif kerana bagi penulis, Sophie berjaya membuatkan pembacanya ralit menghabiskan setiap bab hingga terlupa seketika hiruk-pikuk alam sekeliling.

I've Got Your Number memulakan kisah heroinnya, Poppy Wyatt, pakar fisioterapi yang bertunang dengan teman lelakinya, Magnus, seorang pensyarah selebriti di sebuah universiti terkemuka England.


Berbanding Poppy, Magnus dilahirkan dalam kalangan keluarga akademik. Ibu dan bapa lelaki itu dekan berkaliber yang pernah memenangi beberapa anugerah antarabangsa.


Hubungan mereka mula berdepan bahaya apabila Pop­py kehilangan cincin pertunangannya ketika menghadiri majlis praperkahwinan di hotel yang dianjurkan sekumpulan teman rapatnya.

Keadaan lebih buruk apabila telefon bimbitnya pula diragut hingga menyukarkan Poppy kerana semua nombor dan maklumat disimpan di dalamnya.

Bagaimanapun, Poppy secara tidak sengaja terjumpa telefon bimbit lain dalam tong sampah di lobi hotel yang rupanya milik bekas pembantu peribadi Sam Roxton, seorang eksekutif kanan di firma perundingan popular.

Komplikasi dan tekanan mula berlaku antara Poppy dan Sam hinggalah wanita itu berjaya meyakinkan eksekutif kacak itu untuk meminjamkan telefon­nya hinggalah cincin Poppy ditemui semula.

Sebaik saja pembaca mula mendalami senario ini, wujud rasa teruja untuk mengetahui apa yang bakal dihidangkan Sophie.

Pada masa sama, terbit rasa janggal terutama apabila individu berlainan jantina yang tidak dikenali saling berkongsi alat komunikasi.

Menurut perjanjian mereka, Poppy akan menghantar semua e-mel dan pesanan teks yang diterimanya dalam telefon bimbit itu kepada e-mel peribadi Sam.

Ada beberapa ketika Pop­py cuba bertindak sendirian dengan membalas e-mel serta pesanan teks itu hingga mencetuskan konflik lain dalam kehidupan mereka.

Bermula dengan pesanan teks dalam nada profesional, Sam dan Poppy akhirnya mula selesa antara satu sama lain hingga masing-masing tidak kisah memberi tip untuk menangani masalah bersama pasangan kekasih masing-masing.

Plot akhirnya agak klise kerana Poppy dan Sam kemudiannya saling jatuh cinta, tapi terpaksa berdepan pula beberapa halangan sebelum mereka dapat hidup bersama.

Apapun yang menariknya, Poppy pasti menitipkan nota kaki - 112 semuanya - setiap kali berbalas pesanan dengan Sam, lalu menjadikannya antara momen comel pasangan unik ini.

INFO:

Judul: I've Got Your Number
Penulis: Sophie Kinsella
Penerbit: Random House
Harga: RM33.90

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/03

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat