Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 11 Jun 2013 01:34 PM PDT Melakonkan watak Superman atau Clark Kent pastinya menjadi impian ramai aktor lantaran betapa jenama itu sendiri disanjungi sejak wujudnya karakter itu pada 1938. Apapun, jelas bukan mudah untuk mencari aktor sesuai disebabkan karakter, keperibadian dan bentuk badan Superman itu memang tersendiri. Tidak semua aktor padan dengan kriteria dikehendaki itu kerana perlu benar-benar menggambarkan Clark Kent. Pernah diterbitkan dalam pelbagai versi, antara yang pernah mendapat kepercayaan membawa watak itu termasuklah Christopher Reeve, Tom Welling, Dean Cain, George Reeves dan Brandon Routh. Terbaru Henry Cavill pula dipilih memegang watak itu dalam Man of Steel. Cavill atau nama penuhnya Henry William Dalgliesh Cavill, 30, adalah seorang aktor British yang bukan saja popular dalam bidang lakonan malah mencipta nama antara model terbaik dunia. MAN of Steel rungkai kisah Superman sejak kecil. CAVILL memiliki tubuh badan yang cukup sempurna untuk watak Superman. AMY Adams sebagai heroin.
Nyata, transformasi fizikal sebegitu bukan tugasan mudah buatnya dan menyifatkan proses yang diambil satu kesengsaraan buatnya namun pada masa sama mendapat pengalaman mengagumkan. "Sepanjang tempoh masa latihan itu, saya berguru dengan Mark Twight yang menjadi jurulatih dalam filem 300. Memang intensif sekali proses itu dan Mark menyuruh saya melakukan pelbagai jenis rutin latihan bagi meningkatkan tahap kecergasan saya. "Seperti yang Hugh Jackman usahakan untuk watak Wolverine, sebagai permulaan saya perlu disiplin dalam diet dan kena mengambil 5,000 kalori sehari selain perlu terus bersenam bagi menambah 22 kilogram otot untuk mendapat bentuk badan berkenaan. "Saya kena melakukan semua itu selama dua jam setengah setiap hari dan perlu berkerja keras meskipun melangkau tahap ketahanan normal saya semata-mata mahu jadi seperti Superman," katanya. Pada 2004, Cavill sepatutnya hampir mendapat watak itu untuk filem Superman: Flyby namun terpaksa beralah apabila Brandon Routh mengambil-alih tempatnya. Semestinya terkilan apabila rezeki tidak berpihak padanya pada waktu itu, namun bukan alasan buatnya untuk berputus-asa serta terus berfikiran optimis. "Saya gembira dapat membuktikan walaupun saya pernah keciciran watak itu tidak bermakna saya tidak akan menjadi Superman. Kita tidak boleh menjadikan kegagalan lalu sebagai punca untuk beralah sebaliknya ambil perkara itu daripada sudut positif. "Ramai peminat di luar sana sangat mencintai watak ini dan kerana itu selain mendengar pendapat mereka, saya melakukan pelbagai kajian demi memastikan lakonan saya berkesan. "Apapun, saya perlu akui sangat bersyukur mendapat watak ini kerana kisah lalu banyak mengajar saya untuk sedia melepaskan sesuatu yang besar. Diberi kepercayaan semula untuk watak sebegini, memang satu peluang luar biasa dan sangat menggembirakan," katanya. Selain Man of Steel, Cavill yang memulakan kariernya pada 2001 pernah membintangi filem termasuklah Tristan & Isolde, Red Riding Hood, Stardust, Immortals dan The Cold Light of Day. Snyder ragu-ragu mahu arahkan Man of Steel Mula ditayangkan di pawagam tempatan esok, Man of Steel yang diarahkan Zack Snyder dan diterbitkan produser tersohor Christopher Nolan dan skrip oleh David S Goyer merungkai kisah zaman kecil Clark Kent berhadapan dengan kuasa luar biasanya. Sebagai budak kecil yang masih tidak tahu apa-apa, dia tempuhi perjalanan hidup dengan mengetahui dirinya tidak patut berada di Bumi. Namun, semangat adiwira dalam dirinya membuatkan dia tampil menyelamatkan dunia dan menjadi simbol harapan kepada manusia untuk bergantung padanya. Turut membintangi filem ini adalah calon Oscar, aktres hebat Amy Adams yang melakonkan watak Lois Lane, Michael Shannon sebagai Jeneral Zod, Diane Lane (Martha Kent), Russell Crowe (Jor-El), Antje Traue (Faora-Ul), Harry Lennix (Jeneral Swanwick), Richard Schiff (Dr. Emil Hamliton), Christopher Meloni (Colonel Nathan Hardy) dan Kevin Costner (Jonathan Kent). Tidak ketinggalan, Ayelet Zurer sebagai Lara Lor-Van, Laurence Fishburne (Perry White), Dylan Sprayberry (Clark Kent 13 tahun) dan Cooper Timberline (Clark Kent 9 tahun). Meskipun terkenal dengan kehebatan mengarahkan filem fantasi, Snyder mulanya ragu-ragu untuk memikul tanggungjawab menghidupkan cerita komik ke layar perak apatah lagi berkisarkan adiwira. "Tidak dinafikan, saya memang penggemar dan membesar dengan membaca komik serta Superman adalah antara adiwira kesukaan saya, namun saya tidak pasti mahu melakukannya atau tidak. "Paling saya takut bagaimana hendak menghidupkan watak itu dengan baik dan tidak pasti sampai mana saya boleh bawa kekuatan Superman. Bagaimanapun, skrip Goyer mengubah pemikiran saya dan mengambil cabaran itu. "Tanpa menyimpang daripada cerita asal dan tidak mengubah konsep bagaimana karakter Superman itu sendiri, penceritaan Goyer benar-benar membawa saya dalam pengembaraan luar biasa. Itulah sebab utama saya mahu melakukannya," katanya. Bagi menyerlahkan realistik filem itu, pengarah mengambil pendekatan membuat penggambaran dalam dua dimensi (2D) dan barulah menukar format kepada 3D. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |