Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 14 Jun 2013 04:54 PM PDT Zaman untuk mengejar glamor dan populariti sudah berlalu. Jika dulu, dia bekerja keras membina nama, kini wajah pelakon jelita Airis Yasmin semakin jarang muncul di televisyen. Ke mana agaknya Airis menghilang? Mungkinkah dia sudah merajuk dengan bidang seni? Malah, ada cerita yang mendakwa Airis sudah bersara dari bidang seni kerana kecewa bakat seninya tidak dihargai orang. Dalam pertemuan dengan RAP di Studio Balai Berita untuk mempromosikan filem lakonannya Tokak baru-baru ini, pemilik nama sebenar Yasmin Md Isa, 33, ini menafikan cerita dirinya sudah bersara dari bidang lakonan. "Saya belum terfikir nak bersara dari bidang seni ia sudah menjadi darah daging, sejak 2006. Terus terang, saya menceburi dunia seni kerana minat mendalam dan bakat sedia ada. Cuma, saya terpaksa memperlahankan aktiviti seni seketika, sejak empat tahun lalu kerana terikat dengan komitmen lain.
"Saya terima tawaran buat cerita ini kerana tertarik dengan skrip dan mesej yang ingin disampaikan pada penonton. Saya sudah kenal Sabree sebagai pelakon tetapi ini kali pertama saya bekerja dengannya dalam filem. "Sepanjang bekerja dengannya dia juga seorang yang mudah dibawa berbincang dan bersedia menerima idea dari pelakon. Dia juga tahu apa yang dia nak paparkan dalam filem ini. Selepas sesi pratonton filem Tokak bersama pihak media, saya lihat hasil karyanya boleh tahan dan mampu menghiburkan penonton," katanya. Ditanya cabaran melakonkan watak Azean, kata Airis, dia sudah berusaha berikan yang terbaik mengikut kemampuannya. "Saya tiada masalah untuk menjiwai watak Azean seperti dikehendaki pengarah. Cabaran yang dihadapi lebih pada aspek fizikal kerana saya perlu melakonkan babak Azean yang banyak berlari kerana dikejar hantu dalam filem ini. "Pada masa sama, saya sudah melakukan yang terbaik dan selepas itu serahkan pada penonton untuk menilai hasilnya," katanya. Bagaimanapun, Airis akui berdebar menanti reaksi penonton pada filem Tokak yang bakal menjengah pawagam seluruh tanah air bermula 20 Jun ini. "Sebenarnya, sudah dua tahun filem Tokak diperap sebab itu saya tidak sabar menanti tayangannya di pawagam. Saya juga berdebar menanti tayangan filem ini selepas 'trauma' apabila tiga filem lakonan saya iaitu Sereem, Syy...Dia Datang, Ee... Hantu masih belum ditayangkan di pawagam sampai sekarang. "Justeru, saya sangat bersyukur kerana akhirnya filem Tokak bakal menjengah pawagam walaupun berdepan pelbagai masalah sebelum ini," katanya. Filem yang akan ditayangkan di 40 pawagam ini menampilkan barisan pelakon seperti Faiz Raja Lawak, Diana Johor, Julia Ziegler, Abon, Kazar dan Lana Nordin. Apapun kini, kata Airis yang sudah berlakon dalam lebih 20 drama dan telefilem, sampai masanya dia lebih selektif dalam memilih watak ditawarkan dalam lakonan. Manakala, filem lakonannya sebelum ini ialah Aku Tak Bodoh dan Janin. Pada tahun ini juga Airis sempat berlakon dalam beberapa filem dan drama untuk mengubat rindu pada bidang lakonan. Antaranya, filem Chow Kit, drama Embargo, Dalam Karya Ada Cinta, Janji Shirah dan Perempuan Neraka yang sudah pun ditayangkan di TV. "Saya menanti watak lebih mencabar dan mampu mengembalikan semula nama dalam lakonan. Selain itu, saya impi untuk bekerjasama dengan pengarah hebat seperti Osman Ali, Khabir Bhatia dan pengarah muda Syamsul Yusof. Saya juga ingin bergandingan dengan aktor popular Shaheizy Sam selepas ini. "Namun, saya tetap pastikan tahap kesihatan diutamakan dalam segala hal kerana saya masih mendapat rawatan untuk penyakit asma kronik serta berlakon ikut kemampuan diri," katanya. Tidak serik berkahwin lagi Jika nak diikutkan, sudah 12 tahun, Airis memegang status solo dan ibu tunggal kepada anak remaja, Salma Nurdina, 13. Malah, Airis yang sudah memiliki teman istimewa mengakui dia juga tidak serik untuk berkahwin lagi. Setakat ini, hubungan Airis dan teman istimewanya yang juga seorang ahli perniagaan itu sudah mencecah hampir empat tahun. "Siapa yang tidak ingin berkahwin dan membina keluarga? Sebagai wanita yang pernah bercerai, saya mencari suami yang mampu membimbing saya menjadi isteri yang baik dan beriman kepada Allah SWT. Malah, anak dara saya juga tidak sabar untuk memiliki adik kerana dia sunyi bila di rumah. "Tapi banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk soal kewangan. Sebagai insan biasa, soal jodoh ini, saya serahkan pada ketentuan Tuhan." Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/14 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |