Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran
- Ribuan penunggang basikal berbogel
- AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft
Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran Posted: Hassan Rowhani janjikan pembaharuan di Iran
TEHERAN - Ulama berhaluan sederhana, Hassan Rowhani menyifatkan kemenangan beliau dalam pilihan raya Presiden Iran sebagai kemenangan menentang ekstremisme ketika ribuan penyokong keluar ke jalan-jalan raya untuk meraikan kemenangannya semalam. Akhbar-akhbar pro pembaharuan memuji Hassan sebagai "sheikh harapan" Iran. Menurut media tempatan, kemenangan beliau menjanjikan harapan baharu buat rakyat Iran selepas lapan tahun negara itu diperintah pemimpin konservatif, Mahmoud Ahmadinejad. Di ibu kota Iran di sini, berpuluh-puluh ribu orang keluar ke jalan - jalan raya sambil membawa gambar pemimpin berusia 64 tahun itu dan melaungkan slogan reformasi. "Pada malam ini, kita gembira kerana harapan wujud sekali lagi di Iran," kata seorang lelaki berusia 31 tahun yang dikenali sebagai Ashkan sambil membawa poster Hassan. Hassan diisytihar pemenang pilihan raya pada Jumaat lalu itu selepas memperoleh 50.68 peratus undi. Dalam kenyataan pertama selepas kemenangannya disahkan, beliau menggesa kuasa besar dunia agar menghormati Iran dan hak negara itu. "Kemenangan saya adalah kemenangan kebijaksanaan, kesederhanaan dan kemajuan ke atas ekstremisme," kata Hassan. Menteri Dalam Negeri, Mohammad Mostafa Najjar berkata, Hassan menewaskan lima calon konservatif dengan memperoleh 18.6 juta undi. Kemenangan besar itu dapat memastikan tiada pusingan kedua pada pilihan raya tersebut. Tempat kedua menjadi milik Datuk Bandar Teheran, Mohammad Baqer Qalibaf yang memperoleh cuma 6.07 juta undi. Mohammad berkata, seramai 36.7 juta orang atau 72.7 peratus daripada keseluruhan pemilih di negara itu keluar mengundi. Dalam perkembangan berkaitan, pemimpin agung Ayatollah Ali Khamenei mengucapkan tahniah kepada Hassan. Khamenei berkuasa membuat keputusan dalam semua isu strategik melibatkan Iran termasuk dasar nuklear negara itu. "Saya menggesa semua orang membantu presiden yang dipilih ini kerana beliau ialah presiden untuk seluruh rakyat Iran," kata Khamenei di laman webnya. Ucapan alu-aluan turut diberikan oleh ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Catherine Ashton. Ashton yang merupakan ketua perunding enam kuasa besar melibatkan isu program nuklear Iran berkata, beliau komited untuk bekerja dengan Hassan bagi mencari penyelesaian diplomatik segera berhubung isu nuklear Teheran. Namun, Israel yang merupakan seteru utama Iran mahu sekatan ke atas republik Islam itu diteruskan. Rejim Zionis memberi amaran bahawa hanya Khamenei yang yang berkuasa menentukan dasar nuklear Iran dan bukannya Presiden Iran. - AFP | |
Ribuan penunggang basikal berbogel Posted: Ribuan penunggang basikal berbogel
BANDAR RAYA MEXICO - Beribu-ribu penunjuk perasaan menunggang basikal dalam keadaan berbogel di sekitar jalan-jalan utama di sini kelmarin. Tindakan tersebut dilakukan bagi memprotes sikap buruk pemandu kenderaan bermotor terhadap penunggang basikal. Diadakan pada setiap tahun, acara antarabangsa itu berlangsung di sini buat kali kelapan. Ia merupakan sebahagian daripada acara Menunggang Basikal Berbogel Sedunia (WNBR) yang diadakan di 29 buah bandar di seluruh dunia sejak 2004. Acara tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan semasa berbasikal. Mereka berbasikal tanpa seurat benang untuk menunjukkan kerapuhan tubuh manusia. Selain itu, acara kontroversi itu turut bertujuan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap isu alam sekitar dengan menggalakkan mereka basikal berbanding memandu kereta. Gerakan WNBR bermula pada 12 Jun 2004 di Vancouver, Kanada. - Agensi | |
AS minta puluhan ribu data Facebook, Microsoft Posted: AS minta puluhan ribu data Facebook, MicrosoftGAMBAR pada 12 Jun lalu menunjukkan pusat simpanan data Facebook dekat bandar Lulea, Sweden. WASHINGTON - Gergasi internet Facebook dan Microsoft mengaku pihaknya menerima beribu-ribu permintaan data pengguna daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu. Namun, kedua-dua syarikat itu menyatakan yang mereka dilarang daripada mendedahkan bilangan permintaan maklumat berkaitan isu keselamatan negara. Pendedahan oleh Facebook dan Microsoft itu berlaku selepas kedua-dua firma berkenaan dikritik berhubung isu hak privasi pengguna internet. Ia susulan pendedahan oleh seorang pakar teknologi maklumat, Edward Snowden, 29, mengenai program pengintipan e-mel dan akaun pengguna internet oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan baru-baru ini. Menurut Facebook, pihaknya menerima antara 9,000 hingga 10,000 permintaan untuk data pengguna merangkumi 18,000 hingga 19,000 akaun sepanjang enam bulan terakhir pada tahun lalu. Sementara itu, Microsoft pula menyatakan, ia diminta mendedahkan antara 6,000 hingga 7,000 data melibatkan 31,000 hingga 32,000 akaun untuk tempoh sama. Permintaan tersebut termasuk waran jenayah, perintah mahkamah dan perintah-perintah lain. Namun, bilangan itu tidak termasuk permintaan data berhubung soal keselamatan dan siasatan mengenai suspek pengganas. Bercakap tentang pendedahan tersebut, ketua penasihat undang-undang Facebook, Ted Ullyot berkata, pihaknya bertindak secara 'agresif' bagi melindungi privasi lebih satu bilion ahlinya. "Kami kerap menolak mentah-mentah permintaan sebegitu atau meminta pihak berkuasa AS mengurangkannya atau kami memberikan data kurang daripada yang diminta," kata Ullyot. "Kami bertindak hanya untuk memenuhi keperluan undang-undang," tambahnya. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |