Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Rakyat bantah Piala Konfederasi
- Kastam rampas 213 tapak kaki beruang
- Makmal biak katak damak beracun
Rakyat bantah Piala Konfederasi Posted: Rakyat bantah Piala Konfederasi
RIO DE JANEIRO - Sejumlah belia bertempur dengan polis di sini kelmarin selepas lebih 200,000 orang berhimpun di beberapa bandar raya utama di Brazil bagi membantah perbelanjaan berbilion-bilion dolar untuk Piala Konfederasi di samping kenaikan tambang pengangkutan awam. Secara keseluruhannya, tunjuk perasaan yang terbesar di Brazil dalam tempoh 20 tahun itu berlangsung secara aman. Penunjuk perasaan berang kerana pemerintah berbelanja besar sebagai persiapan untuk menganjurkan Piala Konfederasi dan Piala Dunia pada tahun depan. Brazil merupakan tuan rumah kepada dua piala utama dalam sukan bolasepak itu. Penduduk miskin dan golongan kaya di Brazil dipisahkan oleh jurang sosial dan ekonomi yang ketara. Beberapa kes vandalisme dilaporkan di bandar raya ini dan Porto Alegre manakala seorang remaja berusia 18 tahun berada dalam keadaan stabil di Hospital Belo Horizonte selepas terjatuh daripada sebuah jejantas semasa menunjuk perasaan. Polis menggunakan gas pemedih mata, penyembur lada dan peluru getah untuk menyuraikan sekumpulan belia bertopeng yang bertindak liar berhampiran dewan undangan negeri Rio. PENUNJUK perasaan berarak di bandar raya Sao Paolo, Brazil kelmarin. Lima anggota polis cedera manakala sebuah kenderaan dibakar dalam kejadian tersebut. Di tempat-tempat lain di bandar raya ini yang menjadi tuan rumah Piala Konfederasi, sekitar 100,000 orang berarak ke pusat bandar. Di ibu kota Brazil, Brasilia pula lebih 200 belia menawan bangunan Kongres untuk seketika sebelum mereka beredar selepas dipujuk oleh pihak polis. Tidak lama kemudian, sekitar 5,000 belia membentuk rantaian manusia di sekeliling bangunan tersebut. Di bandar raya Sao Paulo, kira-kira 65,000 orang menyertai perarakan aman tanpa insiden kekacauan seperti yang berlaku dalam protes serupa minggu lalu. "Bantahan aman dibenarkan di sisi undang-undang negara ini," kata Presiden Brazil, Dilma Rousseff. Di beberapa tempat lain di Brazil, sekitar 30,000 penunjuk perasaan berarak di Belo Horizonte, 10,000 orang Curitiba dan 10,000 lagi di Belem. "Saya berarak untuk menyatakan bahawa Brazil bukan hanya tentang bola sepak atau parti seperti tanggapan orang luar. "Kami juga bimbang seperti kekurangan pelaburan dalam sektor penting, terutamanya kesihatan dan pendidikan," kata seorang peguam berusia 24 tahun di Rio, Daiana Venancio. Terdahulu, Menteri Sukan, Aldo Rebelo memberi amaran bahawa pihak berkuasa tidak akan membenarkan penunjuk perasaan mengganggu kejohanan bola sepak antarabangsa di Brazil. Protes itu juga diadakan bagi membantah tambang pengangkutan tren awam yang meningkat daripada AS$1.50 (RM4.70) kepada AS$1.60 (RM5) di Sao Paulo sejak 10 hari lalu. Piala Konfederasi berlangsung dari 15 hingga 30 Jun ini manakala Piala Dunia 2014 pula bermula pada 12 Jun tahun depan. - AFP | ||
Kastam rampas 213 tapak kaki beruang Posted: Kastam rampas 213 tapak kaki beruang
MANZHOULI - Pasukan kastam di wilayah autonomi Inner Mongolia, China merampas sejumlah 213 tapak kaki beruang yang diseludup oleh dua lelaki warga Rusia di sini kelmarin. Seorang pegawai kastam tempatan, Sun Rongxin berkata, tapak kaki beruang itu disembunyikan di dalam sebuah van yang dinaiki suspek di wilayah tersebut pada 22 Mei lalu. Menurutnya, rampasan itu merupakan yang terbesar pernah dilakukan anggota kastam Inner Mongolia setakat ini. Tambah Rongxin, kedua-dua suspek kini ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat bagi mengetahui lokasi penghantaran tapak kaki beruang berkenaan. Jelasnya, tapak kaki beruang itu disembunyikan di dalam roda dan tayar ganti van tersebut. Siasatan lanjut mendapati, tapak kaki beruang tersebut berasal daripada spesies beruang coklat yang dilindungi di China. Pasukan kastam berkata, sekilogram tapak kaki beruang di Rusia berharga AS$63 (RM198). Bagaimanapun harga tapak kaki beruang di China naik 10 kali ganda. - Agensi | ||
Makmal biak katak damak beracun Posted: Makmal biak katak damak beracunRACUN katak berwarna biru ini mampu membunuh 10 orang pada satu-satu masa. LONDON - Sekumpulan pakar di Britain berjaya membiak spesies katak antara paling berbisa di dunia, lapor akhbar dalam talian, MailOnline kelmarin. Spesies amfibia yang jarang ditemui itu mampu membunuh 10 orang pada satu-satu masa dengan bisanya. Dinamakan blue poison dart frog atau katak damak beracun, spesies sepanjang 2.5 sentimeter itu hidup dalam hutan tropika di Costa Rica dan Brazil. Katak tersebut semakin pupus ekoran habitatnya musnah akibat aktiviti pembalakan dan pertanian. Usaha pembiakan spesies itu dilakukan oleh sekumpulan pakar dari Kolej Walford dan North Shropshire. - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |