Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT Oleh NOOR FAZRINA KAMAL Eja perkasakan diri dalam bidang kecantikan dan kesihatan. DIA memiliki tubuh yang langsing, tinggi lampai dan wajah yang cukup menarik untuk dijadikan tarikan komersial dalam dunia pengiklanan. Tetapi Nursyareeza Zainuddin, 21, mempunyai prinsip tersendiri. Bukan tidak mahu merebut peluang, namun bagi gadis kelahiran Pulau Mutiara ini setiap apa yang mahu diceburi perlulah berlandaskan ilmu dan pengetahuan yang secukupnya. Maka disebabkan itu juga Nursyareeza yang lebih selesa disapa Eja memilih bidang kecantikan dan kesihatan sebagai satu kursus pilihan setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Baginya, minat adalah satu kriteria utama untuk mencapai kejayaan tertinggi dalam bidang yang diceburi, apatah lagi bidang kecantikan dan kesihatan adalah dua elemen yang terlalu sukar untuk dipisahkan daripada wanita. Eja juga mengambil kesempatan ini memperkasakan dirinya menimba seberapa banyak pengetahuan daripada pensyarah yang sudah tentunya mempunyai ilmu dan pengalaman yang berharga untuk dikongsi. Anak bongsu daripada lima beradik ini juga menyatakan bahawa penglibatan awal dalam bidang kecantikan ini didorong ibunya. Pelajar diploma kecantikan dan kesihatan dari Kolej Geomatika ini juga yakin akan kemampuan dan bakat semula jadi yang dianugerahkan Ilahi kepada dirinya. "Kursus yang saya ambil memang memerlukan minat dan juga bakat. Bakat yang ada itu diasah lagi oleh pensyarah yang berpengalaman. Sebagai pelajar kecantikan, saya berpeluang mendalami ilmu urutan, solekan, penjagaan tubuh badan dan kesihatan yang sememangnya satu elemen penting dalam kehidupan setiap wanita. "Bayangkan pensyarah saya pernah memberi tugasan untuk membentuk kening yang cantik, sehingga 300 helaian kertas digunakan. "Sebagai pelajar, kami perlu melukis kening menggunakan alat solekan hanya di atas kertas. Walaupun ia betul-betul menguji tapi hasilnya memang mantap," jelas Eja yang ditemui di Studio Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Eja juga mengambil inisiatif sendiri memperkayakan ilmu dengan menambah bahan bacaan, penyelidikan menerusi internet malah turut menambah kenalan dalam kalangan mereka yang terlibat dalam industri kecantikan. Atas sebab itu jugalah Eja berjaya mendapat keputusan yang sangat baik pada semester lalu dengan markah 4.0 untuk setiap subjek. "Bakat itu datang dari dalam diri. sebagai pelajar kita sememangnya akan rasa sebati dengan jurusan yang kita ambil dan tidak rasa sesukar mana. "Memang kadangkala sebagai pelajar kita akan berhadapan tekanan dengan tugasan yang berlambak, tapi bila kita sedar, akhirnya tugasan yang banyak itulah menjadikan kita berbeza daripada mereka yang tidak mempunyai ilmu khusus dalam bidang yang diceburi. "Bidang yang dipelajari ini membolehkan saya memperuntukkan masa terluang dengan mencari rezeki sampingan sebagai jurusolek bebas. Namun impian saya sebenarnya mahu bergelar pensyarah dalam bidang kecantikan," jelas Eja yang mengagumi kecantikan supermodel Tyra Banks dan selebriti Paris Hilton. Eja turut tidak menafikan impiannya untuk membuka salon dan spa kerana kelayakan yang ada menjuruskan dirinya ke arah perniagaan sedemikian. "Persepsi Eja mengenai kecantikan ialah kecantikan itu sebenarnya dinilai daripada hati yang baik. Namun sebagai wanita memang perlu menjaga diri dan bagi saya amalan penjagaan kesihatan dan kecantikan bermula dengan tidur awal dan minum air kosong sebanyaknya serta mengurangkan pengambilan makanan berlemak dan berminyak," jelasnya yang juga bakal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di sebuah universiti di Indonesia tidak lama lagi. Selepas tamat SPM, Eja pernah terlibat dalam dunia peragaan dan minat tersebut telah bercambah sejak kecil. Katanya, dia menerima tawaran daripada agensi model dan latihan sementara menunggu panggilan ke kolej untuk mendapatkan pendapatan sampingan dan pengalaman. "Memang banyak pengalaman yang saya peroleh namun bagi saya sendiri tidaklah sampai ke tahap untuk menjadi model terkenal. Ia hanya sampingan dan minat semata-mata. "Bagi saya dunia glamor mempunyai cabaran yang tersendiri. Apa pun saya lebih suka mengambil pendekatan tiada manusia yang sempurna dan sebagai manusia lain kita tidak berhak menghukum cuma kita perlu memberi teguran dan semangat antara satu sama lain," jelas Eja. |
Posted: 18 Jun 2013 10:52 PM PDT Oleh MERAN ABU BAKAR Pakaian dan tudung: ARDINI DESIGN, Lot 151, tingkat bawah, pusat membeli-belah ampang park, kuala lumpur (03-21627112) MANIK, kristal, labuci, batu berkilauan dan sebagainya merupakan perincian dan hiasan yang mesti ada pada satu-satu rekaan fesyen pakaian mahupun tudung supaya tampak cantik dan eksklusif. Ada benarnya kerana pakaian atau tudung yang dihiasi dengan perincian seperti ini mudah menarik perhatian wanita yang memang sukakan kepada sesuatu yang cantik dan indah. Perincian yang cantik ini juga akan menjadikan sesuatu rekaan itu boleh dijual pada harga yang lebih sedikit. Ardini Design turut memilih perincian seperti manik, labuci dan batu berkilauan ini untuk rekaan fesyen dan tudung yang terkini. Setiap perincian dijahit dengan kemas dan teliti mengikut susunan dan warna manik atau labuci. Memilih rekaan fesyen yang kemas, selesa dan selamat dipakai oleh semua golongan usia, fabrik syifon menjadi pilihan kerana fabrik ini berjaya menampakkan sesuatu rekaan dan jahitan perincian lebih menarik dan bergaya. Rekaan terkini Ardini Design yang terletak di Ampang Park ini lebih menumpu kepada golongan muda kerana pemilihan warna-warna ceria seperti merah jambu, ungu samar, jingga muda dan sebagainya menampilkan kelembutan si pemakai. Pun tidak salah jika dipakai oleh semua golongan wanita kerana Ardini Design menyedari sesuatu rekaan itu bukan terhad untuk satu-satu golongan sahaja. Lagi pun terdapat beberapa warna yang boleh dipilih untuk setiap rekaan. Menariknya, gabungan dua atau tiga warna berbeza daripada fabrik polos atau fabrik polos dipadankan dengan corak polka dot kecil memberikan kelainan pada rekaan yang boleh diperoleh pada harga yang mampu dimiliki. Itulah kelebihan dan kelainan Ardini Design yang sememangnya dikenali kerana berani bermain dengan gabungan warna berbeza dengan diberi suntikan perincian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |