Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- 'Saya memang gila-gila' - Sakinah
- 'Bercinta jangan sampai lupa daratan' - Bade
- Elyana nafi hidap kanser
'Saya memang gila-gila' - Sakinah Posted: 'Saya memang gila-gila' - SakinahSHARIFAH SAKINAH, sekali pandang wajahnya cukup manis, ditambah dengan ketinggian yang dimilikinya. Gayanya di hadapan lensa kamera persis seorang model profesional. Namun, apabila dia berceloteh, gelak tawa pasti menyambut, terserlah jelas perangai gila-gilanya. Sakinah faham 'isi' pertemuan kami pada petang Isnin lalu. Ia tentu berkisar tentang klip video Keek yang dimuat naiknya sejak beberapa bulan lalu. Perkara pertama yang diberitahu wanita ini, dia mengaku dirinya tidak popular menyebabkan dia memuat naik video ke laman sosial itu dengan sangkaan tiada siapa yang akan peduli. Bagaimanapun, jangkaannya meleset. Klip video pertama yang ada menyebut tentang warna pakaian dalam yang dipakainya dikritik ramai. Video seterusnya yang dimuat naik juga mendapat reaksi yang sama. Ada yang menganggap Sakinah tidak peka kerana video itu dikatakan berunsur lucah tetapi ada juga yang menyukainya kerana menganggapnya sebagai lawak dan hiburan semata-mata. "Bagi saya, memuat naik video yang gila-gila ke dalam Keek merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Itulah diri saya. Tetapi reaksi yang luar biasa daripada orang ramai membuatkan saya terkejut. SAKINAH tidak kisah dengan pandangan khalayak terhadap dirinya. Dia hanya ingin menjadi dirinya sendiri. "Saya ingatkan tiada siapa yang ambil peduli tentang saya sebab itulah saya berani buat video yang sebegitu. Bila video itu keluar, banyak pula komen negatif mengenai saya. "Saya akui memang terkejut dan rasa bersalah pada mulanya tetapi lama-kelamaan saya sudah tidak kisah apa orang ingin kata tentang diri saya," balasnya. Walaupun dikritik kurang bijak dan tidak sopan, Sakinah terus memuat naik video sebegitu dengan niat untuk menghiburkan orang yang menontonnya. "Dalam drama Mimpi Sampai Ke Bintang, saya bawa watak seorang wanita yang kurang cerdik, jadi saya tidak kisah kalau orang nak kata saya bodoh atau gila. Memang saya seorang yang gila-gila dan nakal, sebab itu saya suka kacau orang serta menghiburkan orang di sekeliling. "Selagi video itu menghiburkan dan tidak melampaui batas, saya akan terus melakukannya," jawabnya. Diakui, sejak kontroversi video Sakinah di laman Keek, tiba-tiba sahaja namanya menjadi popular. Malah setiap video yang dimuat naik olehnya pasti ditonton ramai orang. Namun, lain pula pendapat Sakinah yang mengatakan kehidupan dan kerjayanya sama sahaja seperti dahulu. "Popular ke saya? Saya rasa sama saja, tidak ada perubahan. Mungkin saya popular di laman sosial kerana berjaya menarik perhatian tetapi kerjaya saya masih seperti dulu. SELAIN berlakon, Sakinah bercadang untuk mencuba bidang pengacaraan. "Tawaran berlakon masih ada dan saya juga sibuk dengan penggambaran drama. Semuanya masih seperti biasa. Saya bukannya mencari populariti atau perhatian dengan video tersebut. Itu bukan cara saya untuk popular," luahnya serius. Dua orang kakaknya yang juga selebriti, Sharifah Norhaslinda dan Sharifah Shahira selalu menasihatinya supaya mengawal tindak-tanduknya, tetapi mereka tidak pernah memarahinya hanya disebabkan memuat naik video yang dikritik ramai itu. "Dua orang kakak saya sangat faham dengan perangai saya. Kak Shira tidak marah, tetapi minta saya supaya mendiamkan diri buat seketika sehingga kontroversi itu reda. "Dia tidak pernah menghalang saya daripada memuat naik video yang seterusnya. Pesannya jangan kerap sangat memuat naik video yang terlalu gila-gila sebab nanti orang menyampah," tuturnya. |
'Bercinta jangan sampai lupa daratan' - Bade Posted: 'Bercinta jangan sampai lupa daratan' - BadeOleh MOHD. YUNUS YAKKUB KIRI: Sakinah dan Syamiel menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu. TERKENAL dengan sifat kegilaannya dalam memuat naik klip video nakal menerusi laman Keek, aktres Sharifah Sakinah, 24, kini popular dalam sekelip mata. Namanya semakin hangat apabila dia diketahui umum menjalinkan hubungan cinta dengan Mohd. Syamiel Equan, 22, iaitu anak pasangan dua pengarah filem terkenal, Badarudin Azmi dan Erma Fatima. Justeru, adakah Bade merestui hubungan cinta Sakinah dan Syamiel dalam usia yang boleh dianggap muda itu? Ikuti temu bual Kosmo! bersama Bade ketika dia ditemui di lokasi penggambaraan filem Sindiket di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pangkalan Sabah di Kota Kinabalu baru-baru ini. Kosmo! : Adakah anda tahu hubungan cinta Sakinah dan Syamiel? BADE: Ya, saya tahu mereka telah bercinta sejak setahun lalu. Sebagai bapa kepada Syamiel, adakah anda ada halangan terhadap hubungan itu? Tiada masalah bagi saya untuk tidak terima Sakinah (sebagai kekasih Syamiel), walaupun dia berperangai gila-gila kerana mereka saling mencintai. Jadi, ini bermakna anda merestui mereka berdua? Setiap orang apabila tiba pada satu peringkat usia seperti mereka semestinya akan mengalami perasaan untuk bercinta dan menyintai. Begitu juga dengan saya yang pernah melalui fasa tersebut. Mungkin itu akan membuatkan mereka jadi lebih dewasa. Apa maksud anda dengan menjadi lebih dewasa? Seperti yang saya katakan tadi, manusia akan bercinta. Saya percaya kepada Sakinah, tambahan pula dia lebih matang daripada anak saya. Saya tidak tahu apakah tarikan Syamiel sampaikan Sakinah jatuh cinta. Sakinah dikenali sebagai gadis yang gila-gila. Dari sudut mana anda melihat kematangannya? Saya kenal Sakinah kerana dia pernah membintangi drama arahan saya, Planet Kiara. Bagi saya, kalau mereka hendak bercinta, itu hak mereka. Apa yang penting, jangan sampai lupa daratan. BADE (bersama isteri, Erma Fatima) menganggap percintaan antara Sakinah dan anak mereka Syamiel sebagai satu proses biasa yang akan mematangkan seseorang. Maksudnya? Syamiel dan Sakinah mempunyai tanggungjawab masing-masing. Mereka seharusnya bijak mengatur dan mengawal jadual profesion yang diceburi. Perkara utama yang mesti ada dalam diri mereka tentulah disiplin. Kalau mereka lupa akan hal itu, buruk padahnya. Kita beralih kepada topik lain pula. Apa perkembangan filem terbaharu arahan anda, Sindiket? Alhamdulillah, buat masa ini semuanya terkawal dan berjalan lancar. Biarpun terdapat sedikit kekangan dari segi jadual, kami dapat selesaikannya dengan bijak. Semua pelakon dan kru juga faham peranan masing-masing. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia khususnya dari sudut kelengkapan dan peralatan. Kenapa Sabah dipilih sebagai lokasi utama filem ini? Apa yang ingin ditonjolkan sebenarnya? Berdasarkan kajian saya, Sabah antara tempat kegiatan pemerdagangan manusia di Malaysia. Jadi, sudah pasti negeri ini dipilih. Sebenarnya karya asalnya dibuat oleh rakan saya dan kemudian diolah semula berdasarkan situasi semasa. Skrip filem ini saya siapkan sendiri dalam masa seminggu. Kalau tidak silap, Sindiket juga menggunakan khidmat pelakon Indonesia? Ya, betul kerana kita mahukan suasana filem itu hidup terutama semasa penggambaraan di Pulau Sebatik, Kalimantan, Indonesia. Antara pelakon Indonesia yang terlibat dalam Sindiket ialah Hardy Hartono dan Danny Agus selain Wangi Julianda daripada kumpulan The Fabulous Cats. |
Posted: Elyana nafi hidap kanserOleh RONI HIDAYAT RIDWAN ELYANA menafikan spekulasi yang mendakwa dirinya menghidap kanser sehingga dia dan suaminya, Khairul Anuar terpaksa pergi menunaikan umrah bulan lalu. KETIKA ini kisah mengenai artis berbakat besar iaitu pelakon dan penyanyi Erneelya Elyana Emrizal atau lebih popular dengan panggilan Elyana agak jarang kedengaran. Kelihatan seperti memencilkan diri daripada industri hiburan, tiba-tiba ada sumber yang menyatakan penyanyi itu kini sedang bertarung dengan penyakit kanser. Namun begitu, sumber berkenaan tidak menyatakan jenis kanser yang dihidapnya. Apa yang lebih mengejutkan, akibat penyakit yang dideritainya itu membuatkan Elyana pergi mengerjakan umrah baru-baru ini dan berdoa di depan Kaabah agar penyakitnya itu sembuh. Bagi mendapatkan cerita yang sebenar, Kosmo! menghubungi Elyana yang sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang kerana ingin pergi bercuti bersama ibu dan kakaknya ke Vietnam. Kosmo!: Rasanya sudah agak lama tidak mendengar perkembangan Elyana. Apakah aktiviti anda sekarang? ELYANA: Buat masa ini saya sedang sibuk dengan proses pembikinan album terbaharu yang dijangka dilancarkan pada tahun ini. Ia merupakan album yang kelima selepas Jaga Diriku yang dihasilkan pada tahun 2007. Minta maaf, saya ingin bertanya tentang kesahihan berita ini. Betulkah anda sedang menghidap penyakit kanser? Sakit kanser? Rasanya sekarang saya masih sihat dan tidak menghidap sebarang penyakit kritikal. Kalau setakat demam itu memang ada, tetapi tidak pula mengalami penyakit kronik seperti kanser. Ada orang kata pemergian anda ke Mekah untuk mengerjakan umrah tempoh hari kerana mahu berdoa di depan Kaabah agar penyakit itu cepat sembuh. Boleh komen sedikit? Sebenarnya pemergian saya ke Mekah bersama suami merupakan undangan daripada pihak produksi rancangan Romantika yang akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini. Secara jujurnya saya agak terkejut dan ia undangan pada saat-saat akhir. Sebelum ini rancangan tersebut menyiarkan pasangan selebriti yang bercuti di tempat percutian yang menarik, tetapi apabila tiba giliran saya mereka buat keputusan untuk membawa kami ke Mekah dan saya rasa sangat bertuah. Biasanya kebanyakan artis wanita yang pulang dari Mekah, pasti mereka akan membuat perubahan terutamanya tampil bertudung. Bagaimana pula dengan imej anda selepas mengerjakan umrah? Secara jujurnya saya masih lagi tampil seperti biasa, namun sentiasa berdoa agar terbuka pintu hati untuk bertudung nanti. Buat masa ini saya mahu menjaga solat terlebih dahulu. Berkenaan dengan pembikinan album, apa yang membuatkan anda mahu kembali muncul dengan album baharu? Penerbitan album ini merupakan permintaan daripada peminat yang selalu bertanya tentang produk terbaharu saya. Lagipun kali terakhir saya menghasilkan album ialah kira-kira enam tahun lalu. Selain itu, saya rindu untuk masuk semula ke studio rakaman setelah lama tidak berbuat demikian. Perancangan ini sudah lama dibuat, namun masa selalu tidak mengizinkan. Boleh ceritakan tentang album berkenaan? Setakat ini sudah ada dua buah lagu yang saya rakam, termasuk single yang dirakamkan pada dua tahun lepas berjudul Sewaktu Dulu-Dulu. Secara keseluruhannya ada 10 buah lagu yang akan dimuatkan dalam album itu. Berkenaan dengan konsep pula, saya masih lagi mengekalkan muzik Pop Rock. Tetapi kali ini susunan muzik dan lirik untuk setiap lagu menjadi lebih matang dan bersesuaian dengan usia saya sekarang yang sudah menjangkau 26 tahun. Bagaimana pula dengan aktiviti lakonan? Saya mahu memperlahankan aktiviti lakonan kerana ingin memberikan lebih tumpuan kepada pembikinan album baharu saya ini. Selepas album tersebut disiapkan, barulah saya akan aktif semula. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |