Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Tradisi beli-belah di Pasar Payang
- Survival bot penambang Kuala Terengganu
- Dilema badak Afrika di hutan China
Tradisi beli-belah di Pasar Payang Posted: Tradisi beli-belah di Pasar PayangBUAH-BUAHAN tempatan khususnya pisang memenuhi kaki lima kawasan di luar pasar usang itu. Turut kelihatan kelapa dan ubi keledek yang masih segar. Para peniaga yang kebanyakannya sudah mencecah umur 60 tahun ke atas masih lantang memanggil orang yang lalu-lalang di depan mereka. "Buah ini mak cik bawa dari rumah sendiri," kongsi seorang peniaga wanita di kaki lima itu ketika ditanya seorang pembeli. Beralaskan guni plastik, barangan jualan peniaga di kawasan luar Pasar Besar Kedai Payang itu dapat diperoleh pada awal pagi. Penjual-penjual pula duduk bersimpuh di atas lantai pasar tanpa peduli basah atau panas, mereka selesa dalam keadaan demikian sejak berpuluh tahun lamanya. Mungkin keindahan Pasar Payang di Kuala Terengganu itu terletak pada pemandangan klasik tersebut. Tiada kemodenan selari melatari segenap inci kompleks pasar dua tingkat itu. Segalanya tampak asli dan sifat itu menjadi tarikan paling berharga kepada pelancong asing. Memasuki ruangan dalaman pasar kebanggaan negeri Darul Iman itu, suasana hingar-bingar terus menjemput tetamu. Proses jual beli berjalan dalam suasana muhibah. Paling penting, peniaga masih mengekalkan dialek negeri sekali gus mencerminkan ketinggian budi rakyat Terengganu. Pelbagai barangan harian seperti sayur-sayuran, ikan, ayam, keropok malah kain batik dapat dibeli di Pasar Payang. Bukan sahaja barangan di sini asli kualitinya malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah berbanding pasar raya moden. Di mana anda boleh mendapatkan salad berharga RM2? Zon sayur-sayuran pasar tersebut juga bakal menemukan anda kepada variasi sayur kampung yang segar. Pucuk asam gelugur dan serai kayu dijual pada harga RM1 secekak. "Ulam pun banyak di sini seperti pegaga dan ulam raja. Saya ambil daripada pembekal dan selalunya pukul 2 petang semuanya habis dijual," ujar Jaharah Besar, 58, peniaga sayur yang telah 20 tahun berniaga di Pasar Payang. Kehijauan sayuran di kedai kecil Jaharah dapat dilihat jelas dengan limpahan cahaya mentari yang masuk terus dari lubang yang terbentuk di atas bumbung bangunan pasar itu, menandakan keuzuran binaan bangunan pasar tersebut. "Kalau hujan, memang air masuk terus tapi saya tak bimbang sebab sayur-sayur ini suka basah. Namun kalau pasar ini dimodenkan, saya tidak menolak kerana baharu itu lebih bagus," tambah Jaharah yang menyewa tapak perniagaan itu dengan membayar RM1 setiap hari. BECA masih menjadi pengangkutan berguna penduduk tempatan untuk ke Pasar Payang. Pelancong jatuh Meneroka zon basah Pasar Payang, pandangan pasti terpana kepada keindahan Laut China Selatan yang membelakangi pasar tersebut. Bot-bot nelayan dengan hasil tangkapan singgah terus ke jeti kecil yang bersambung dengan pasar basah di situ. Ikan tempatan pelbagai jenis seperti ikan air itam dan kerapu diserahkan terus kepada peniaga tanpa melibatkan orang tengah. Atas sebab itu, kesegaran hasil laut di Pasar Payang tiada tolok bandingnya dan menjadi pilihan utama penduduk setempat. Bagaimanapun kedaifan pasar basah itu sangat ketara. Lantai simen yang basah membuatkan pengunjung berjalan dengan berhati-hati, bimbang permukaan licin mendorong mereka jatuh. "Dua kali saya melihat pelancong asing jatuh sebab lantai licin. Saya dan peniaga pasar basah di sini akui kebersihan memang menjadi masalah. Jika dibandingkan dengan pasar di Chabang Tiga, pasar kami paling selekeh. "Lantai pasar ini tidak pernah digantikan dengan mozek malah saluran air juga tidak diperbaiki. Kami semua tidak menolak sebarang perubahan dan sangat menyokong pembaharuan menaik taraf keadaan pasar. "Namun untuk berpindah ke Chabang Tiga itu agak berat," luah Mahadi Ibrahim, 44, yang merupakan generasi ketiga keluarganya yang berniaga di Pasar Payang. Tidak lama lagi, pasar basah di Pasar Payang akan dipisahkan dan ditempatkan di Chabang Tiga. Cadangan itu dilaksanakan sejajar hasrat kerajaan negeri membina kompleks bersepadu melibatkan pasar baharu empat tingkat, hotel dan pangsapuri di atas tapak asal Pasar Payang. "Hampir 99 peratus peniaga di sini tidak setuju dengan perpindahan itu kerana lokasi sekarang sangat strategik memandangkan kedudukannya yang berhampiran laut," tambah Mahadi yang memberitahu kebanyakan hasil laut datangnya dari Pulau Redang dan perairan Besut. Selain kekayaan pekerti desa yang masih diterapkan peniaga di Pasar Payang, ukhuwah sesama peniaga juga menyentuh hati pengunjung. Kalau anda berkunjung ke sebuah kedai menjual keropok ikan dan mencari keropok cap tertentu, kedai itu tidak berat hati untuk meminta anda ke kedai sebelah jika mereka tiada barangan itu. Bagi mereka, keuntungan boleh dicari tetapi sepakat sebuah keluarga di Pasar Payang itu tidak boleh diganti. Nilai itu didedahkan seorang peniaga buah jambu dan keropok lekor, Hayati Mat Zin, 45, ketika ditemui Kosmo! di Pasar Payang baru-baru ini. Cerita pembangunan semula pasar itu tidak begitu mengusik sensitiviti mereka kerana semuanya bersedia untuk menerima perubahan. Namun berita berkenaan perpecahan pasar basah daripada pasar asal merundung kecewa para peniaga. "Hidup saya memang di pasar ini daripada kecil. Saya membesar di Pasar Payang sejak jam besar di sebelah pasar ini masih belum dialihkan. Para peniaga di sini pun sudah seperti keluarga sendiri. "Memang kami tidak mahu berpisah," penuh harapan hasrat Hayati yang merupakan seorang ibu tunggal dan kini bekerja keras bagi membesarkan 10 anaknya. IKAN yang diperoleh terus dari laut menjadi pilihan kegemaran penduduk setempat. Keagungan batik Menaiki tangga ke tingkat dua pasar tersebut, pengunjung bakal bertemu lot-lot kedai menjual barangan kraf tangan dan item signatur Terengganu, batik. Lorong-lorong sempit yang menjadi laluan utama ruangan atas Pasar Payang menyebabkan kelancaran pergerakan sedikit terbatas. Ruang terhad tingkat dua itu bagaimanapun tidak menyekat keterujaan pengunjung untuk singgah di kedai-kedai yang menjual kain bermotif batik. Sejak sekian lama, Pasar Payang menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara kerana kualiti tinggi batik yang dijual di situ. "Orang luar ramai membeli batik di sini dan ia menjadi antara promosi terpenting pelancongan di Terengganu. Kami sangat menjaga kualiti batik di sini dan memang ia dihasilkan sendiri secara halus," cerita pekerja di sebuah kedai batik di Pasar Payang, Suriani Bidi, 30. Barangkali atas faktor perbezaan barangan jualan, hampir semua kedai di tingkat dua Pasar Payang dilengkapi penghawa dingin dan diubah suai tanpa berpandukan keseragaman. Sewa sebulan bernilai RM300 juga dirasakan agak tinggi berbanding lot kedai di tingkat bawah. Tambah Suriani: "Semua kerja pengubahsuaian kedai dilakukan sendiri peniaga. Kami perlu utamakan keselesaan pelanggan yang datang membeli kain di sini. "Namun cadangan untuk menambah beberapa bahagian kepada pasar sedia ada kurang dipersetujui peniaga. Bukan kami menolak pembaharuan, malah semua akan gembira jika pasar ini diperbaiki dan dimodenkan." |
Survival bot penambang Kuala Terengganu Posted: Survival bot penambang Kuala TerengganuBOT penambang mampu memendekkan jarak perjalanan dari Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu. SEAWAL pukul 7.30 pagi, jeti penambang di Seberang Takir, Kuala Terengganu mula dipenuhi penduduk setempat. Ada yang menjinjing bakul untuk ke pasar dan segelintir yang lain pula berpakaian kemas untuk ke tempat kerja. Kemudahan bot penambang di perkampungan nelayan Seberang Takir ke pusat bandar Kuala Terengganu itu telah lama menjadi pengangkutan tradisional pilihan mereka. Dengan bayaran RM1 sehala, penumpang dapat tiba ke destinasi dengan lebih pantas berbanding jalan darat. "Kalau naik bot ini kita boleh sampai ke bandar dalam tempoh kira-kira lima hingga 10 minit. Biasa kalau naik motosikal kita akan tiba dalam masa 15 minit. "Perjalanan menaiki kereta pula jika dicampur kesesakan lalu lintas boleh mencecah 20 hingga 30 minit," kongsi seorang penumpang, Suriati Mohd. ketika ditemui Kosmo! di jeti bot penambang Taman Shahbandar, Kuala Terengganu. Selama tiga tahun, Suriati menjadi penumpang harian bot penambang tersebut. Wanita berusia 30 tahun itu menaiki bot dari rumahnya di Seberang Takir ke Taman Shahbandar setiap pagi dan petang untuk ke tempat kerja lamanya di lot kedai baharu yang terletak di belakang Pasar Besar Kedai Payang. "Dahulu tambangnya hanya 50 sen," tambah Suriati yang dilihat membawa beberapa beg plastik berisi barangan dapur yang dibeli di Pasar Payang. Selain faktor masa dan penjimatan kos pengangkutan, Suriati juga menggemari suasana yang dirasai ketika berada dalam bot penambang. Kesejukan angin Laut China Selatan yang menyentuh wajah dan tubuh menghadirkan rasa nyaman yang cukup menyegarkan. Dianggarkan kira-kira 20 buah bot penambang beroperasi setiap hari bermula pukul 6 pagi hingga 7 malam. Namun operasi membawa penumpang bot dari jeti Seberang Takir menuju ke jeti Taman Shahbandar tamat pada pukul 6 petang. KEDUDUKAN jeti bot penambang terletak bersebelahan jeti utama ke Pulau Redang di Taman Shahbandar. Anak muda Saat kaki melangkah masuk ke dalam bot yang boleh memuatkan kira-kira 40 penumpang itu, tumpuan pasti terarah kepada golongan warga emas yang membawa pelbagai barangan harian yang dibeli dari bandar. Kelibat anak-anak muda pula tidak kelihatan dan jika ada pun, kanak-kanak yang setia menemani ibu bapa atau datuk nenek mereka ke pasar. Timbul persoalan, adakah pengangkutan air itu tidak lagi digemari golongan belia? Seorang penumpang muda, Mohd. Nasaruddin Mohd. Aziz memberitahu: "Hari ini merupakan kali pertama saya menaiki bot penambang dalam tempoh hampir 20 tahun. "Kali terakhir saya menaiki bot ini ketika umur tujuh tahun ketika menemani mak cik saya membeli kuih di jeti Seberang Takir. "Dahulu memang kerap menaiki bot ini sebab kuih yang dijual di Seberang Takir sangat terkenal dengan keenakannya. Lagi pun ketika itu keluarga saya masih menetap di Kampung Tanjung Pantai yang terletak berhampiran dengan jeti Taman Shahbandar. "Saya dan mak cik menaiki beca atau berjalan kaki dari rumah ke jeti," singkap Mohd. Nasaruddin yang kini menetap di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir. Tambah lelaki berusia 25 tahun itu, orang muda di Kuala Terengganu jarang memilih pengangkutan air tersebut. Jika ada pun penduduk yang tinggal berdekatan dengan jeti Seberang Takir yang tidak memiliki kenderaan. "Orang sekarang ramai sudah berkereta. Ia lebih mudah dan praktikal untuk membawa barang yang dibeli di bandar," kata Mohd. Nasaruddin. Bagaimanapun pengalaman menaiki bot penambang itu semula mengundang memori kanak-kanak yang cukup manis untuk dikenang Mohd. Nasaruddin. Baginya, meskipun wujud kenderaan darat, bot penambang masih perlu dikekalkan. "Sejujurnya saya gembira bot penambang ini masih ada sehingga ke hari ini. Ia perlu diteruskan kerana ia telah sebati dengan imej Pasar Payang yang menjadi sebahagian besar warisan utama Terengganu," tutur Mohd. Nasaruddin. Selain beroperasi membawa penumpang secara harian, bot di jeti penambang itu juga sedia untuk disewa bagi tujuan bersiar-siar menyusuri Sungai Terengganu. Caj bagi khidmat itu ditetapkan pada harga RM40 bagi tempoh satu jam. Bersebelahan jeti penambang Taman Shahbandar itu pula terletaknya jeti bagi membawa orang ramai ke destinasi percutian terkenal Terengganu, Pulau Redang. - ALIF ABU BAKAR |
Dilema badak Afrika di hutan China Posted: Dilema badak Afrika di hutan ChinaRAMAI aktivis berpendapat badak Afrika tidak mampu hidup di hutan China tanpa penjagaan dan pemakanan yang rapi. DI dalam hutan hujan tropika China, tujuh ekor badak Afrika dikatakan menunggu waktu untuk dilepaskan ke hutan. Bagaimanapun, perkembangan perdagangan sumbu badak di negara itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan haiwan tersebut. Ketibaan haiwan-haiwan itu di Taman Hutan Negara Pu'er yang terletak di wilayah Yunan, barat daya China turut diberikan publisiti meluas. Imej badak Afrika tersebut yang diturunkan dari dalam kandang menggunakan kren ditayangkan di kaca televisyen. Tetapi pengkritik mengatakan lebih 150 ekor badak Afrika yang telah dibawa ke China sejak beberapa tahun lalu bakal melalui kehidupan sukar di dalam persekitaran hutan tersebut. Situasi itu secara tidak langsung menimbulkan keraguan terhadap tujuan sebenar projek berkenaan. "Badak-badak itu tidak boleh dilihat oleh orang ramai. Anda juga tidak boleh melawatnya," kata penjaga haiwan, Qian Fuchun kepada AFP. Majikannya, Kumpulan Mekong telah mengubah hutan yang masih tidak terusik dengan keluasan 23,800 hektar itu menjadi rumah kepada ratusan spesies burung dan cicak yang jarang ditemui kepada destinasi pelancongan. Di Afrika Selatan, pengunjung yang datang ke taman negara biasanya tidak dibenarkan keluar dari kenderaan dan mereka harus ditemani renjer bersenjata. Namun, lakaran di dinding pejabat Qian menunjukkan pelawat bersiar-siar dengan bebas di kawasan badak kelabu yang tertera papan tanda bertulis zon melihat badak di sebatang pokok. Selain itu, krew AFP turut melihat para pekerja mengukir jalan merentasi hutan untuk membina lokasi rumah percutian keluarga. "Kami harap badak-badak ini boleh membiak di sini. Itu matlamat utama kami. Kami akan bertanggungjawab melepaskan kawanan haiwan itu ke hutan. Projek ini adalah mengenai penyelidikan saitifik," jelas Qian. Skim ini dibuat kerana berlakunya peningkatan pemburuan badak putih Afrika. Permintaan sumbu badak yang tinggi bagi tujuan perubatan tradisional di Asia Tenggara dan China menyebabkan haiwan tersebut dibunuh secara meluas walaupun Beijing mengharamkan penggunaannya pada tahun 1993. Menurut laporan harga terbaharu di Vietnam, pasaran utama untuk sumbu badak menjadikan serbuknya lebih mahal daripada emas. Badak putih diklasifikasi sebagai spesies hampir terancam dengan populasi yang tinggal kira-kira 20,000 di hutan, namun kerajaan Afrika Selatan mengatakan pemburuan meningkat daripada 13 haiwan pada 2007 kepada 668 tahun lalu. KUMPULAN Mekong mendakwa badak Afrika dibawa ke China untuk tujuan penyelidikan. Penternakan komersial badak Badak Asia yang dimiliki China, spesies berbeza telah diburu sehingga pupus sekitar seabad yang lalu. Menurut data daripada Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (CITES) yang mengawal perniagaan hidupan liar global, China mengimport lebih daripada 150 badak putih dari Afrika Selatan sejak 2007 hingga 2012. Eksport badak hidup untuk ke destinasi yang sesuai dibenarkan di bawah CITES, namun rahsia mengenai projek China mengundang kerisauan. Menurut laporan akhbar China-Daily, badak di Yunan berusia antara enam dan lapan tahun. Ia diimport dari Afrika Selatan pada 2010 dan dipelihara di taman hidupan liar di bandar itu sehingga dipindahkan ke hutan. Sementara itu, pakar badak di kumpulan pemuliharaan haiwan Traffic, Tom Milliken memberitahu, hutan di China amat tidak sesuai untuk haiwan tersebut. "Haiwan-haiwan ini tidak akan mampu hidup lama di hutan hujan. Kita perlu mengambil berat tentang nutrisi dan keupayaan kumpulan badak tersebut untuk menghadapi perubahan habitat sedemikian. "Jika kita tidak menyediakan makanan tambahan, ia mungkin kelaparan. Ini bukan satu pemuliharaan," luah Milliken. Kebimbangan Milliken kemudian telah disuarakan pakar-pakar China. Profesor Ekologi di Universiti Normal Beijing, Zhang Li memberitahu media tempatan: "Ini adalah satu projek penternakan badak yang beroperasi secara komersial dan bukannya usaha akademik." Kumpulan Mekong bagaimanapun tidak mahu memberi sebarang komen kepada AFP sejak beberapa minggu lalu. Dalam pada itu, pihak berkuasa wilayah berkata, taman itu telah dibina dengan kebenaran dan enggan mengulas lanjut. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |