Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Keterujaan di Sanrio Hello Kitty Posted: Keterujaan di Sanrio Hello KittyMINATNYA terhadap watak animasi Hello Kitty berputik sejak tahun lalu sebaik terpandang sebuah kalkulator comel berona merah jambu. Kalkulator itu dihiasi reben di bahagian tepinya berserta gambar Hello Kitty. Sejak itu, apa sahaja barang-barang Hello Kitty mula mencuri perhatiannya. Namun, tidak semua barang yang ditemui terus dibeli Norhusna Abdul Rashid, 24, kerana harganya yang agak mahal. Menurut Norhusna, faktor yang menyebabkannya meminati watak animasi itu dipengaruhi oleh kecenderungannya terhadap warna merah jambu. "Kebanyakan barang Hello Kitty ini mahal, jadi saya perlu mengumpul duit terlebih dulu sebelum membelinya. "Boleh dikatakan kebanyakan barangan Hello Kitty dibeli sendiri selain pemberian ibu, Normah Habeeb yang tahu mengenai minat saya terhadap Hello Kitty," katanya yang telah menghabiskan hampir RM700 bagi memenuhi keinginannya. Anak tunggal yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak merasakan bahawa minatnya itu bersifat keanak-anakan kerana setiap koleksi barangan Hello Kitty mempunyai rekaan khusus untuk golongan dewasa dan kanak-kanak. Minat Norhusna diterima baik oleh ahli keluarga terutama Normah yang selalu menghadiahkan barangan Hello Kitty kepadanya. "Suami pun tidak kisah dengan keterujaan saya terhadap Hello Kitty, malah anak saya yang berusia dua tahun pun memahaminya dan tidak pernah mengganggu barang-barang Hello Kitty milik saya. "Barang Hello Kitty yang paling saya sayang ialah beg tangan pemberian ibu sempena hari lahir saya tahun lalu," ujarnya sambil memberitahu beg tersebut sering dibawa ke mana-mana. Antara koleksi barangan Hello Kitty dalam simpanan ibu kepada seorang anak itu ialah pengecas mudah alih, kotak sabun, dompet, cermin, kasut dalam rumah dan lampu meja. Selain itu, beliau juga menyimpan bingkai gambar, telefon bimbit, jam tangan, rantai, pin rambut dan sebagainya. PERSEMBAHAN pentas dan pelbagai jenis permainan pasti membuatkan persinggahan di Sanrio Hello Kitty lebih menyeronokkan. Teruja dengan kewujudan Sanrio Hello Kitty Town di Taman Tema Keluarga Puteri Harbour di Nusajaya, Johor Bahru, Johor, Norhusna memasang impian untuk ke sana suatu hari nanti. Pada bulan Mac lalu, penulis berpeluang berkunjung ke Sanrio Hello Kitty Town bagi memenuhi undangan pihak Themed Attractions and Resorts Sdn. Bhd. Walaupun Hello Kitty tidak termasuk dalam senarai animasi kegemaran penulis, saat melangkah masuk ke Sanrio Hello Kitty Town, ia seolah-olah mesin pengembara masa lalu yang membawa penulis ke zaman kanak-kanak. Lebih mengujakan apabila kedatangan kami disambut mesra oleh maskot Hello Kitty dan Dear Daniel di pintu masuk Sanrio Hello Kitty Town. Selain kanak-kanak, orang dewasa juga teruja merakamkan gambar kenang-kenangan bersama maskot tersebut. Melangkah masuk, segala-galanya ada di depan mata. Antaranya termasuklah permainan tunggangan cawan Wishful Studio, Dream Photo Garden, rumah Kitty, Black Wonder serta bilik parti Apple dan Strawberi. Di Wishful Studio, pengunjung terutamanya kanak-kanak boleh melakukan aktiviti merias kuku, mencipta barangan kemas, menghias biskut dan menyarung kostum watak Sanrio. Penulis mendekati seorang kanak-kanak lelaki bernama Christopher Dswari, 12, dari Jakarta, Indonesia yang sibuk mewarnakan kukunya. "Sudah tentu seronok berada di sini kerana dapat bermain dengan bebas tanpa merisaukan ibu bapa. "Jika di Indonesia saya mewarnakan kuku, memasang loket pada rantai dan membuat biskut, pasti saya ditertawakan oleh rakan-rakan, tetapi di sini saya berpeluang membuat semua ini kerana semua orang melakukan perkara yang sama," katanya sambil tersenyum riang. Lebih menarik, pengunjung diberi kesempatan melawat rumah Kitty yang mempunyai susun atur menarik. Terdapat enam bahagian dalam rumah Kitty iaitu ruang tamu, dapur, bilik air, bilik Kitty, bilik rahsia dan bilik Mimmy. Jika terasa penat dan lapar, para pengunjung boleh menikmati minuman dan pastri bertemakan Hello Kitty yang lazat seperti jeli dan wafel Hello Kitty di Red Bow Cafe atau di Cinnamoroll Cafe. DI The Little Big Club, kanak-kanak pasti seronok mencuba pelbagai jenis permainan. Hello Kitty Town "Tempat ini sangat sesuai dikunjungi oleh kanak-kanak. Ia memberikan pengalaman baharu yang sangat menarik. "Ia bukan saja memberikan keseronokan dalam bentuk hiburan semata-mata, malah merangsang perkembangan otak dengan membuat rantai, biskut dan sebagainya. Pada masa yang sama ia turut memupuk hubungan antara ibu dan anak dengan lebih rapat," kata Santy Irdawati Saharan, 30, dari Kota Kinabalu, Sabah. Pendapat tersebut turut dikongsi oleh pelancong Indonesia, Hanny Setiawan, 37, yang datang bersama saudara kembarnya dan anak-anak. "Berbaloi datang ke sini dan ia sangat menyeronokkan," ujarnya sambil membantu memakaikan rantai untuk anaknya Aurelia Dinata, 9. Andai anak anda bukan penggemar Hello Kitty, destinasi karakter lain seperti Bob the Builder, Barney, Angelina Ballerina, Pingu serta Thomas & Friends yang terletak di aras dua dan tiga harus dikunjungi. Inilah kali pertama lima watak global yang dikenali sebagai The Little Big Club ditempatkan di dalam taman tarikan bertema tunggal. Ia sekali gus menambahkan lagi keaslian dan ciri eksklusif Taman Tema Keluarga Puteri Harbour. The Little Big Club menampilkan pelbagai permainan tunggangan dan aktiviti interaktif berdasarkan tema watak HIT Entertainment. Ciri utama taman tema tersebut ialah kepelbagaian permainan tunggangan yang menakjubkan dan interaktif untuk kanak-kanak daripada tunggangan Bob's Can-Do Crew sehinggalah tunggangan pengaut. Bina rumah dengan Bob Kanak-kanak juga dapat mengunjungi Bob's BIG Play Structure dan Build with Bob Interactive Playhouse yang memberi peluang kepada mereka untuk membantu pembinaan rumah di Bobsville. Di situ mereka boleh membantu Bob meletakkan batu-bata, memasang rangka pintu dan tingkap, menyusun dapur dan bilik air. The Little Big Club juga menampilkan Barney dan rakan-rakan yang mengadakan persembahan secara langsung. Pengunjung berpeluang menikmati keseronokan ketika berada di set permainan serupa seperti yang ditayangkandalam siri televisyen.
Tarikan lain yang menonjol ialah Angelina's Camembert Academy yang menampilkan permainan interaktif seperti Dodgeball, Musical Squares dan Bug Invasion untuk peminat Angelina Ballerina. Terdapat juga kelas tarian yang diadakan menggunakan imej janaan komputer (CGI) Angelina Ballerina dan rakan-rakannya Miss Mimi, Vici, Gracie dan A.Z. Kanak-kanak akan diajar untuk melakukan gerakan tarian yang menyeronokkan. Aras tiga menampilkan watak Thomas & Friends yang menawarkan pelbagai permainan tunggangan termasuklah kereta bamper klasik. Pengunjung juga dapat menaiki Bertie The Bus, Harold's Helitours, Colin Crane Drop dan mengunjungi Stesen Permainan Sir Tophammhatt. Kedengaran jeritan dan tawa riang kanak-kanak yang mencuba pelbagai permainan di situ. Terdapat juga bilik parti Thomas & Friends untuk kanak-kanak menyambut hari lahir bertema yang menyeronokkan bersama watak kegemaran mereka. Pengunjung juga berkesempatan mencuba dinding pembelajaran sensor dan tunggangan serta simulator papan salji. Semua tarikan ini terdapat di aras dua. Sungguhpun penulis dan rakan media lain tidak termasuk dalam kategori kanak-kanak, kami begitu teruja dan menjadi 'kanak-kanak' bermain beberapa permainan yang disediakan. | |
Kelainan menjamu selera di Lat's Place Posted: Kelainan menjamu selera di Lat's PlaceINILAH rupa hidangan pembuka selera yang dinamakan Meor's Hot and Cold Platter. RASA penat akibat perjalanan dari Kuala Lumpur ke Taman Tema Keluarga Puteri Harbour, Nusajaya, Johor yang mengambil masa lebih kurang lima jam terubat apabila kehadiran kami disambut mesra kakitangan Lat's Place. Melangkah masuk ke Lat's Place mengembalikan nostalgia kehidupan di kampung dengan bunyi cengkerik dan siulan burung walaupun ia hanya menggunakan audio. Dari pintu masuk sehinggalah rombongan media dipersilakan duduk, senyuman manis petugas tidak lekang dilemparkan kepada kami. Makanan dihidang dengan tudung saji comel membuatkan penulis tidak sabar menjamah hidangan pembuka selera berupa otak-otak, kerabu mangga dan udang bersama tembikai susu. Hidangan lazat itu mungkin sama seperti di tempat lain, namun Lat's Place ada kelainan yang mahu ditonjolkan. Di Lat's Place, pengunjung akan melalui pengalaman dihidangkan sajian dengan cara yang unik dan menghiburkan. Ala drama muzikal bersiri Glee, kakitangan Lat's Place menyanyi sambil menari apabila menghidangkan makanan kepada pengunjung. Ya, ia pengalaman baharu bukan sahaja kepada penulis, bahkan tetamu yang singgah di Lat's Place. Sambil menjamu selera, muncul watak-watak kartun Lat seperti Pak Ali, Mrs. Hew, Tong, Anna, Meor dan Rani pada beberapa layar yang mengelilingi kawasan menjamu selera. Bukan sekadar watak pegun biasa, watak-watak itu berinteraksi dengan pengunjung seolah-olah mereka melihat apa yang kami sedang lakukan. Tidak lama kemudian kedengaran bunyi beduk yang mengiringi masuk empat kakitangan lelaki dan wanita bersama pongkes, jala serta bubu memulakan nyanyian selamat datang mengalu-alukan kehadiran kami. HIDANGAN pembuka selera untuk kanak-kanak yang menyelerakan. Menurut Pengurus Besar Themed Attractions and Resort (TAR) PH Holdings Sdn. Bhd., Peter Xavier, Lat's Place yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada Februari lalu merupakan sebuah restoran yang mengangkat tema animasi. "Ia mengetengahkan serta menghidupkan watak-watak kesayangan kartunis tersohor Datuk Mohd. Nor Khalid atau Datuk Lat. "Konsep muzikal di Lat's Place memberikan pengunjung pengalaman menikmati hidangan dalam suasana interaktif berlatarbelakangkan kisah-kisah Lat yang bertemakan sebuah kenduri masyarakat Malaysia dan aktiviti-aktiviti komuniti," katanya sambil memberitahu Lat's Place merupakan restoran tema animasi pertama seumpamanya di Malaysia. Tambahnya, konsep muzikal membolehkan penonton dan kakitangan Lat's Place untuk berinteraksi dalam suasana menyeronokkan. "Lat's Place menerima maklum balas positif daripada pelanggan yang memuji keunikan konsep ini. Kami menjangkakan lebih ramai pengunjung pada bulan-bulan akan datang," ujarnya. Sesi menjamu selera interaktif itu yang mengambil masa 80 minit benar-benar menghiburkan. Pengunjung yang sporting turut diajak menari joget lambak dan menyanyikan lagu Can Mali Can pada penutup persembahan. - NURUL IZZA ROSLY | |
Posted: Pasaran global kopi VietnamDIEM melihat pokok kopi yang ditanam di ladangnya di Buon Ma Thuot, Vietnam. KEBANYAKAN pekebun kopi di Vietnam tidak pernah mendengar double tall skinny latte, tetapi mereka boleh memberitahu anda harga biji kopi yang sering kali bermain dalam fikiran mereka. Bermula daripada sistem pengairan Israel berteknologi tinggi hingga ke harga terkini bagi komoditi tersebut yang disemak melalui khidmat pesanan ringkas, pertanian kopi di Central Highlands, Vietnam semakin berkembang maju sejak Perancis memperkenalkan tanaman kopi di negara Indo-China itu lebih satu abad lalu. "Sebelum ini, saya membawa kopi untuk dijual di pasar dengan menggunakan basikal tetapi kini saya perlu menyemak harga biji kopi terlebih dahulu melalui telefon bimbit sebelum memulakan perjalanan," kata seorang pekebun berusia 44 tahun, Ama Diem. Dengan menghantar mesej CA ke nombor 8288 dari mana-mana telefon mudah alih di Vietnam, para pekebun akan menerima harga biji kopi Robusta di London dan harga biji kopi Arabica di New York daripada firma bekalan data. Para pekebun yang peka dengan harga komoditi kedua paling banyak didagangkan di dunia selepas minyak itu mampu menjana pendapatan lebih dengan cepat. "Kami hanya menjual kopi di pasaran apabila betul-betul yakin ia dapat dijual pada harga yang tinggi. "Kami membuat semakan harga banyak kali sebelum menjualnya," kata Diem kepada AFP di ladang kopinya di Buon Ma Thuot. Pasaran global Pekebun kopi di Vietnam telah mengubah pasaran global. Jika anda mengambil secawan kopi pagi ini, kemungkinan besar anda merasai kenikmatan biji kopi Vietnam atas jenama Nestle dan Britain's Costa Coffee yang merupakan antara pembeli utama. Pada tahun 1980, Vietnam menyumbang kurang daripada 0.1 peratus, namun ia meningkat kepada kira-kira 13 peratus pada tahun 2000. Pertumbuhan mendadak itu menyebabkan kejatuhan harga kopi dunia pada tahun 1990-an. Bagaimanapun, ada harga yang perlu dibayar apabila berlakunya kebangkitan tanaman seperti kopi di Central Highlands. Segelintir minoriti pribumi telah kehilangan tanah mereka kerana memberi laluan kepada ladang berskala besar yang diusahakan sebahagian besarnya etnik Kinh yang berhijrah ke rantau tersebut. Kini, negara komunis itu menjadi pengeluar kopi kedua terbesar dunia, tetapi ia dilihat sebagai pengeluar pada skala besar dan bukannya dari segi kualiti. Rasa pahit Robusta telah memenangi beberapa anugerah di peringkat antarabangsa. Kopi tersebut kebanyakannya dieksport sebagai biji kopi mentah. "Kopi Vietnam merupakan satu fenomena yang menakjubkan," kata Jonathan Clark yang merupakan Ketua Pengarah Pengeksport Kopi Dakman. Katanya, eksport melonjak tinggi tahun lalu hampir menyaingi Brazil yang merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar dunia. Tahun lalu, Vietnam mengeksport 1.73 juta tan kopi bernilai $3.67 bilion (RM10.97 bilion) dan menyumbang lebih 50 peratus daripada Robusta di dunia yang digunakan untuk membuat kopi segera atau campuran. PARA pekerja memasukkan biji kopi dalam plastik di sebuah kilang di Vietnam. Intai peluang Clark memberitahu, penggunaan kopi di Asia semakin meningkat. Syarikat-syarikat pemanggang kopi turut mengintai peluang di negara kos rendah yang tidak mengenakan sebarang cukai ke atas eksport kopi untuk menjalankan operasi mereka di rantau ini. Presiden Starbucks Asia Pasifik, Jinlong Wang memberitahu, ekoran penggunaan kopi yang terbantut di Barat, Vietnam menyasarkan pencinta kopi daripada golongan kelas pertengahan. Starbucks membuka premis pertamanya di selatan Bandar Raya Ho Chi Minh Februari lalu dan bakal membuka beratus-ratus lagi pada masa akan datang di negara tersebut. Tanah gunung berapi di Vietnam sangat sesuai untuk penanaman kopi yang mendapat permintaan tinggi. Menurut Raja Kopi Vietnam, Dang Le Nguyen Vu, peminat kopi lebih banyak menggunakan jenis Arabica yang mengandungi 1.5 peratus kafein. Ia menyamai 2.5 peratus kekuatan Robusta. Pengasas kepada penanaman kopi gergasi tempatan, Trung Nguyen yang mempunyai 55 premis minuman kopi di Vietnam dan lima di Singapura begitu teruja meletakkan kopi Robusta Vietnam di peta dunia. "Robusta bukanlah berkualiti rendah. Cuma, apa yang berlaku di seluruh dunia kini ialah mereka telah belajar untuk menikmati kopi Arabica," kata Vu dalam satu temu bual di Kampung Trung Nguyen di Buon Ma Thuot, Vietnam. Sebahagian besar tugas syarikat Trung Nguyen adalah untuk meningkatkan kualiti biji kopi tempatan, bekerja dengan pekebun bagi memperkenalkan sistem pengairan berteknologi tinggi, mengurangkan penggunaan racun perosak dan meningkatkan pendapatan mereka. Trung Nguyen sudah mengeksport kopi ke 60 buah negara. Sementara itu, Ngunyen Vu memberitahu, kewujudan kafe Starbucks di Vietnam telah meningkatkan keazamannya untuk membuka beberapa kafe di Amerika Syarikat. Kafe tersebut akan menawarkan cara tradisional orang Vietnam menikmati kopi pekat yang dibancuh di dalam bekas penapis individu. "Kita mesti dapat mengatasi Starbucks. Kita harus menawarkan sesuatu yang lebih menarik bagi pengguna di Amerika Syarikat. "Saya mahu seluruh dunia memahami bahawa kopi orang Vietnam adalah terbaik, terbersih dan paling istimewa," ujar Vu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |