Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Selebriti bantu lariskan produk Posted: Selebriti bantu lariskan produkOleh HAFIZ AHMAD GOLONGAN selebriti sering mendapat perhatian kerana mereka sentiasa tampil anggun dan mempesona. Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika mereka acapkali dilantik sebagai duta produk kecantikan, kesihatan atau fesyen. Kelibat selebriti dalam iklan media cetak atau elektronik mampu menarik perhatian masyarakat mendekati produk atau jenama masing-masing. Tidak kira dunia seni antarabangsa mahupun tempatan, golongan selebriti mudah menjana sumber kewangan melalui kontrak yang diikat bersama syarikat tertentu. Kontrak-kontrak itu pasti memberi pulangan lumayan kepada mereka. Baru-baru ini, penyanyi lagu Single Ladies, Beyonce Knowles mendapat kontrak bernilai AS$50 juta (RM157 juta) untuk menjadi duta produk syarikat minuman Pepsi. Walaupun jumlah itu sangat mustahil untuk digapai selebriti tempatan, namun ia membuktikan betapa besar pengaruh seorang selebriti dalam dunia perniagaan. Sebelum ini, Pepsi pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti antarabangsa seperti Britney Spears, Michael Jackson, David Beckham dan Kanye West. Baru tiga tahun menceburi dunia hiburan, pelakon Izara Aishah sudah dilamar sebagai jurucakap produk minuman kesihatan dan kecantikan, Innershine. Dia mula dikenali beberapa tahun lalu iaitu menerusi drama Vanilla Coklat . Model jelita Selaku duta produk telah meletakkan nama aktres muda itu sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menyandang gelaran sama termasuklah penyanyi Camelia, Maya Karin dan Ziana Zain. "Walaupun menggantikan tempat Maya, saya langsung tidak beranggapan mempunyai taraf yang sama dengan pelakon senior itu kerana masih terlalu hijau dalam industri ini," ujarnya pada majlis pelancaran baru-baru ini. Dia bakal menghiasi kempen-kempen iklan dan sesi promosi di seluruh negara. Izara berkata, Innershine banyak membantunya untuk kekal segar ketika berada di lokasi penggambaran. Ia juga membuatkan wajah berseri melalui minuman secara konsisten. "Kandungannya kaya dengan serat pemakanan serta Vitamin C amat sesuai untuk wanita yang sentiasa bergerak aktif memandangkan ia bukan sahaja menyerikan wajah tetapi memelihara dalaman kulit agar bersih," kata Izara.
Pemilihan Izara bertepatan dengan konsep Innershine Pati Prun dengan camu camu kerana model jelita itu membawa imej seorang wanita moden yang mementingkan kulit lembut, berseri dan semula jadi seiring dengan impian serta objektif Innershine. "Izara sememangnya sesuai menjadi duta Innershine kerana mempunyai kecantikan asli dan keyakinan diri sekali gus mampu menguatkan imej produk kami," ujar Naib Presiden dan Pengurus Besar Cerebos (M) Sdn. Bhd., Koh Joo Siang. Tambah Joo Siang, Izara mewakili wanita muda hari ini yang giat berusaha demi mencapai matlamat hidup sendiri dan mampu menguruskan kehidupannya dengan baik. Jualan meningkat Dalam pada itu walau sudah tidak bersama Innershine, khidmat Maya sebagai duta produk ternyata sangat meriah. Syarikat yang mengeluarkan tilam yang menyokong kesihatan tulang iaitu Vono antara yang meletakkan kepercayaan kepada Maya sebagai jurucakap produk itu. Kontrak pelakon Pisau Cukur itu disambung setahun lagi selepas bekerjasama sejak tahun 2010. Maya mengakui amat selektif dalam memilih produk yang ingin menjadikannya sebagai duta namun selepas yakin dengan jenama itu, Maya tidak ragu-ragu untuk meneruskan kontrak. "Saya akan terus bekerjasama bersama produk yang berkualiti dan memberi manfaat kepada masyarakat. Ia sesuatu yang baik apabila dapat memperkenalkan jenama yang bagus selain harga yang berpatutan kepada pengguna," ujarnya. Tidak dinafikan kelibat Maya berjaya menarik perhatian masyarakat apabila penjualan tilam Vono meningkat sejak dia menjadi duta produk tersebut. "Maya membantu Vono menjadi jenama kegemaran di Malaysia. Kami yakin melalui penyambungan kontrak ini, dia akan menarik lebih ramai pengguna di Malaysia," ujar Presiden Perniagaan Rantau Slumberland, Wong Wai Hong. Tambahnya, selama empat tahun Maya menjadi duta Vono, hasil penjualan meningkat sebanyak 15 peratus. Ia menunjukkan pengguna yakin dengan jenama itu sebagai refleksi kepada imej bersih Maya sepanjang berada dalam industri hiburan tempatan dan antarabangsa. Keanggunan dan kewibawaan Maya juga pernah menghiasi beberapa jenama dan produk lain seperti Loreal, Pantene, Celcom dan Tag Heuer. | |
Posted: Bahang couture merahOleh ALIF ABU BAKAR
WARNA merah melatari keseluruhan 17 helaian koleksi couture pereka duo AzuraAzwa. Pada pertunjukan fesyen bertemakan The Amazing Red: Kurung, Kebaya & Hijab yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur itu menyaksikan pasangan adik-beradik tersebut berjaya menghamparkan rekaan-rekaan yang elegan. Mengambil inspirasi daripada hidupan marin, dres bersama item signatur AzuraAzwa, turban dipentaskan oleh model-model jelita dan para peserta rancangan realiti televisyen Astro, Gadis Muka 2 (GM2) serta selebriti popular, Dynas Mokhtar. "Elemen marin dapat dilihat ketara pada rekaan turban kami. Lapisan turban dengan teknik berombak dibentuk seakan-akan alga laut. "Disebabkan bahagian kepala telah sarat dengan turban bersaiz besar, dres pula kami minimumkan dari segi penggunaan perincian. Renda dan manik diaplikasikan secara ringkas," ujar Azura Liyana Azmi, 28, ketika ditemui di The Weld. Menggunakan rona merah pelbagai seperti merah cili dan merah darah, AzuraAzwa turut mengambil hitam bagi mencipta kesepadanan. Jelas Azwa Elena Azmi, 25, pula, mereka banyak menggunakan material berupa sifon dan sutera untuk koleksi kali ini. Bagi menambah sensasi feminin, potongan bahagian bawah kain sengaja dibiarkan meleret. "Koleksi ini dijual pada harga bermula RM2,000 ke atas dan disasarkan kepada wanita berumur 21 hingga 45 tahun," tambah Azwa. Selain AzuraAzwa, majlis pada petang itu turut melibatkan puluhan artis wanita tanah air yang memperagakan busana rona merah pereka pilihan masing-masing. Antara yang mencuri tumpuan ialah Rozita Che Wan, Ning Baizura, Datin Sofea Jane dan Vanidah Imran yang elegan dalam persalinan hasil kerja pereka Rizman Ruzaini. Aktres yang sedang meningkat naik, Emma Maembong pula kelihatan comel mengenakan busana Nazleen Noor manakala adiknya, Chacha Maembong hadir menawan dalam rekaan Hazwani Osman. | |
Posted: Jambang lambang maskulinKADAR pertumbuhan bulu wajah bergantung kepada genetik seseorang. LELAKI dengan jambang memang tampak maskulin. Tambahan pula apabila si jejaka secara semula jadi dianugerahkan rupa kacak dan kulit yang bersih, pasti aura kelelakian itu menyerlah dengan bulu yang tumbuh di tepi kiri dan kanan sisi pipi serta dagu. Namun, tidak semua lelaki dikurniakan jambang. Ada yang sekadar berpuas hati dengan janggut dan misai. Ada pula kategori yang bebas tanpa sebarang bulu pada muka. Bagaimanapun, sebenarnya rata-rata lelaki memang menyimpan hasrat memiliki jambang. Kadar pertumbuhan bulu wajah bergantung kepada genetik seseorang tetapi sekiranya anda mahu membentuk gaya berjambang, anda boleh mengikuti pelbagai teknik yang berbeza: Jaga wajah Cuba gantikan lapisan kulit wajah anda menerusi teknik pengelupasan. Gunakan lulur atau produk pengelupasan khusus untuk lelaki. Menyingkirkan sel kulit mati dapat merangsang pertumbuhan bulu muka baharu. Aplikasikan topeng pengelupasan pada wajah dan biarkan selama 10 hingga 30 minit sebelum dibilas. Jaga kebersihan kulit. Cuci muka dengan air suam menggunakan pencuci muka bersesuaian dengan jenis kulit setiap pagi dan malam. Kulit yang bersih menggalakkan pertumbuhan bulu halus. Gunakan krim atau pelembap dengan ektsrak kayu putih (eucalyptus). Bahan itu membantu bulu muka tumbuh lebih pantas. Periksa bulu wajah yang tidak subur. Jambang tidak akan tumbuh sekata jika terdapat bulu jenis sebegitu. Rehat secukupnya. Tidur dapat membaiki sel kulit rosak secara semula jadi, sekali gus menggalakkan pertumbuhan jambang. Tangani tekanan secara sihat. Jambang akan tumbuh lebih cepat ketika anda relaks. Kebanyakan pakar kecantikan dan kesihatan percaya bahawa bulu atau rambut gugur disebabkan tekanan. KEKACANG antara sumber protein yang baik untuk merangsang pertumbuhan jambang. Vitamin dan makanan tambahan Ambil biotin setiap hari. Makanan tambahan itu sangat terkenal dalam meningkatkan pertumbuhan rambut dan kuku. Gunakan 2.5 miligram biotin secara rutin bagi mendapatkan jambang dengan pantas. Gabungkan vitamin B di dalam rejim diet anda. Vitamin B1, B6 dan B12 antara yang berkesan bagi membantu pertumbuhan bulu wajah. Tingkatkan jumlah protein dalam pemakanan. Ia boleh diperoleh daripada daging, telur dan kekacang. Jangan abaikan kepentingan buah-buahan dan sayur-sayuran. Bulu atau rambut tidak boleh tumbuh dengan baik tanpa nutrisi seimbang. Jangan cukur Elakkan daripada mencukur atau membentuk jambang. Jika anda mahu bulu wajah tumbuh cepat, biarkan ia tumbuh secara semula jadi. Anda akan berpeluang merapi jambang itu dalam tempoh empat hingga enam minggu selepas ia memenuhi wajah. Abaikan kepercayaan yang mengatakan mencukur janggut dan jambang dengan kerap dapat membuatkan bulu wajah tumbuh lebih lebat dan pantas. Tiada bukti saintifik bagi menyokong kenyataan tersebut. Mencukur jambang hanya mengurangkan jumlah bulu pada wajah bukannya menambah kadar pertumbuhan bulu. Bersedia dengan kewujudan bulu muka yang kasar. Tidak semua bulu muka tumbuh dengan sekata dan ia secara tidak langsung mengundang kerengasaan dan kegatalan. Sapu krim hidrokortison pada wajah secara harian dalam tempoh pertumbuhan jambang. Ia dapat membantu mengurangkan gatal dan steroid di dalam hidrokortison juga mempercepatkan pertumbuhan bulu muka. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |