Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Tubuh akademi asah bakat muda
- MDS rampas barangan peniaga
- Utusan Malaysia percuma di karnival halal Batu Pahat mulai hari ini
Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED Sheikh Khalid Sheikh Omar (kanan) melihat pemainnya berlatih mengawal bola dan membuat hantaran kepada rakan semasa sesi latihan di Batu Pahat, baru-baru ini. BATU PAHAT 27 Jun - Melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Peribahasa Melayu itu bermaksud jika mendidik anak biarlah sedari mereka kecil lagi kerana mudah diajar dan dibentuk. Berpegang pada pepatah itu dan semangat kesukanan yang tinggi serta ingin menaikkan martabat sukan bola sepak di daerah ini, seorang ahli perniagaan dan rakan-rakannya mewujudkan sebuah akademi bola sepak secara tidak rasmi. Dikenali sebagai Footwork Skills, akademi itu ditubuhkan pada awal tahun lalu oleh Norisham Abdullah dengan menjadikan padang berhampiran Dataran Penggaram sebagai lokasi pemilihan dan latihan setelah niat murni mereka direstui Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP). Bermula dengan pengambilan pemain di bawah umur 12 tahun, lebih 80 kanak-kanak lelaki diberi pendedahan dan diasah bakat mereka dan kini selepas berusia setahun, akademi itu berjaya membentuk sebuah pasukan terdiri daripada murid di bawah 12 tahun. Norisham yang juga Penasihat Footwork Skills berkata, bagi meneruskan kesinambungan pemain yang menjangkau usia 13 tahun, pihaknya perlu mewujudkan pasukan bawah 14 tahun pada tahun ini. Bercerita lebih lanjut beliau memberitahu, akademi bola sepak tunggal yang wujud di daerah tersebut tidak dikendalikan beliau seorang tetapi mendapat sokongan rakan-rakan yang berpengetahuan tinggi dalam sukan bola sepak iaitu Khairul Zaman (seorang guru) dan Sheikh Khalid Sheikh Omar. "Dalam memastikan kelab atau akademi ini terus wujud dan relevan, kami bekerjasama mencari dana selain mengajar, memberi pendedahan dan mencungkil bakat kanak-kanak di sini. "Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran iaitu dengan tidak mengenakan yuran terhadap pemain, tetapi setakat ini Footwork Skills masih mampu bergerak dengan sokongan dan bantuan pihak yang menyalurkan sumbangan dan tajaan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurutnya, akademi itu ditubuhkan bukan untuk mengaut keuntungan, sebaliknya ingin melahirkan pemain bola sepak yang mampu mencurah bakti kepada negara suatu hari nanti. Norisham berkata, selain mencungkil bakat dengan membawa kanak-kanak mengenali bola sepak dengan lebih dekat, fokus penting pihaknya adalah mendisiplinkan pemain, mewujudkan sikap patriotisme dan semangat berpasukan. "Saya tidak nafikan bahawa dalam setiap akademi, pemain akan didedahkan dengan kemahiran, cara permainan, mengawal bola, stamina dan peraturan bersukan selain menjadikan mereka seorang pemain bola sepak sebenar. "Tetapi di sebalik semua itu, tiga pembentukan yang akan membawa kejayaan kepada kanak-kanak ini dalam semua bidang termasuk pembelajarannya ialah disiplin diri, patriotisme dan semangat berpasukan atau saling membantu," katanya. Berikutan itu, ibu bapa dinasihatkan tidak khuatir untuk menghantar anak-anak menyertai akademi bola sepak di mana-mana sahaja kerana ia adalah asas pembentukan disiplin dan hala tuju masa depan. Selain itu, pembentukan pemain melalui akademi bola sepak merupakan satu anjakan paradigma terhadap sukan itu khususnya di daerah ini yang jauh dari bandar. Norisham berkata, kedua-dua pasukan yang ditubuhkan dengan diperkuat oleh anak jati Batu Pahat akan didedahkan melalui cabaran Liga 1MCC yang diadakan setiap tahun di Sungai Buloh, Selangor selain perlawanan persahabatan. "Pada tahun lalu, Footwork Skills telah mengambil bahagian dalam cabaran 1MCC, namun berdepan dengan pasukan mantap dari akademi sekitar Lembah Klang yang dilatih sejak bertahun lalu. "Bagaimanapun, kekuatan lawan tidak boleh dijadikan halangan berterusan kerana pasukan yang muncul juara juga bertukar setiap tahun dan ia membuktikan pasukan lain mampu tampil sebagai juara atau naib juara," katanya. Bagaimanapun, pihaknya menyeru masyarakat di daerah ini supaya bersama membantu menyerlahkan bakat anak-anak mereka dalam sukan bola sepak seiring dengan penampilan bergaya pasukan Johor Darul Takzim ketika ini. "Untuk menjayakan akademi ini, cukuplah jika keluarga yang menghantar anak mereka mampu memberikan sumbangan bagi menyalurkan elaun kepada jurulatih selain membolehkan pasukan mengikuti lebih banyak liga, pertandingan dan perlawanan persahabatan. "Ia bukan tugas yang berat kepada ibu bapa, sebaliknya bakat yang ada pada kanak-kanak itu akan memberikan kepuasan terhadap penjaganya jika ia dapat diserlahkan ke peringkat lebih tinggi," katanya. |
Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT Oleh MOHAMED SAARI Anggota penguat kuasa Majlis Daerah Segamat memunggah barangan yang dirampas ketika operasi di Pasar Awam Segamat, kelmarin. SEGAMAT 27 Jun - Majlis Daerah Segamat (MDS) mengeluarkan 12 saman dan merampas sayur-sayuran milik para peniaga dalam operasi bersepadu di sekitar Pasar Awam Segamat semalam. Setiausaha MDS, Fadhly Suffian Laili berkata, operasi yang disertai 20 pegawai dan anggota dari beberapa jabatan di bawah MDS bertujuan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar undang-undang kecil MDS. "Operasi ini merupakan operasi menyeluruh. Kami akan angkut barang-barang peniaga di sini yang diletakkan di kaki lima seperti bakul dan tong ikan kerana menghalang laluan pelanggan selain mengeluarkan saman kenderaan disebabkan pelbagai kesalahan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Menurutnya, MDS sebelum ini telah memberi amaran kepada peniaga di pasar awam berkenaan supaya mematuhi arahan dan peraturan yang ditetapkan, namun masih ramai yang tidak mengendahkannya. Malah ada segelintir peniaga yang berniaga secara haram dan meletakkan barang perniagaan di tempat yang tidak dibenarkan seperti di atas suis elektrik utama pasar awam tersebut. Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukan peniaga adalah menghalang suis kerana dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya seperti litar pintas dan kebakaran dan ia akan merumitkan pihak keselamatan jika berlaku kejadian tidak diingini. Selain itu, MDS turut menerima rungutan daripada pekerja SWM Environment Sdn. Bhd. yang mengalami kesukaran untuk membasuh dan membersihkan pasar awam berkenaan kerana terhalang oleh barangan perniagaan peniaga. Menurutnya, peniaga yang mahukan kembali barangan jualan mereka hendaklah membayar sejumlah denda kepada MDS sebagai pengajaran. Dalam masa sama, MDS turut mengeluarkan saman kenderaan di sekitar pasar awam tersebut kerana terdapat pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan seperti tidak mempamerkan kupon letak kenderaan, meletakkan kenderaan di kawasan larangan, mengganggu lalu lintas dan meletakkan kenderaan di lorong belakang. "Kami akan melakukan operasi seperti ini secara berterusan kerana masih ramai pemandu yang meletakkan kenderaan mereka secara sesuka hati dan mengganggu lalu lintas. "Pada masa sama, kita mengharapkan masyarakat khususnya pengunjung pasar awam ini supaya lebih berdisiplin dan meletakkan kenderaan mengikut petak yang disediakan sebagai alternatif mengelak daripada disaman," katanya. Kesemua barangan yang dirampas seperti sayur akan disimpan selama dua hari di dalam setor MDS. Jika dalam tempoh tersebut sayur tersebut tidak dituntut, pihak MDS akan melupuskannya. |
Utusan Malaysia percuma di karnival halal Batu Pahat mulai hari ini Posted: 27 Jun 2013 12:02 PM PDT RAMLY Jusoh (tengah) bersama dua pegawai JAIT menunjukkan Direktori Halal dan Panel Pengesahan Halal, semalam. JOHOR BAHRU 27 Jun - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menaja sebanyak 4,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia sempena Karnival Kepenggunaan Halal dan Keusahawanan peringkat negeri yang diadakan di Dataran Penggaram, Batu Pahat mulai esok. Timbalan Pengarah Operasi JAIJ, Ramly Jusoh berkata, karnival tiga hari yang diadakan kali kelima itu dijadual dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pukul 8.30 malam esok. Beliau berkata, pelbagai program diatur sepanjang karnival yang menyediakan 60 gerai pameran disertai jabatan, agensi kerajaan serta usahawan yang mempamerkan serta menjual pelbagai produk halal. Menurutnya, sebanyak 100 syarikat tempatan yang mengusahakan produk makanan, minuman, bahan gunaan, perbankan dan sebagainya menyertai karnival yang dijangka dihadiri kira-kira 40,000 pengunjung. Ramly berkata, antara acara menarik termasuk Konsert Dikir Bersama UNIC dan Ustaz Syed Abdul Kadir Alijoofre, slot bersama Aman Palestin, Kempen Berzakat dan Saham Wakaf Johor, pertandingan kompang berirama, pertandingan gubahan kek dan forum halal. "Tujuan utama kita mengadakan karnival ini bagi menggalakkan pengusaha restoran dan gerai-gerai makan memiliki sijil halal dengan proses untuk mendapatkan sijil tersebut kini begitu mudah iaitu boleh memohon menerusi dalam talian. "Maknanya, pengusaha terbabit tidak perlu datang ke pejabat sebaliknya mereka boleh memohon pada bila-bila masa yang mereka suka dan boleh mendapat maklum balas berhubung status permohonan tersebut menerusi dalam talian juga," katanya di sini hari ini. Karnival tersebut juga diyakini dapat meningkatkan kesedaran kepada pengguna untuk menimba maklumat tentang produk halal yang telah dibangunkan oleh pihak industri. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |