{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Imbangi pembangunan rohani

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

Ahmad Maslan bersama graduan dalam Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor di Pontian, baru-baru ini.

PONTIAN 3 Jun - Kecemerlangan dalam pendidikan agama adalah penting bagi mengimbangi pembangunan rohani generasi muda Islam supaya sentiasa dibentengi iman dan takwa sekali gus mempunyai jati diri yang lengkap dalam mendepani cabaran masa kini.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, perkembangan mutakhir itu memperlihatkan golongan muda kehilangan jati diri walaupun menunjukkan pencapaian dan kecemerlangan dalam pendidikan.

"Penekanan yang diberikan kerajaan dalam pendidikan agama menunjukkan betapa pentingnya bidang itu sebagai panduan kepada mereka biarpun sejauh mana kejayaan dicapai.

"Kejayaan hari ini perlu ditingkatkan supaya umat Islam maju dalam ekonomi, kewangan, teknologi maklumat dan pelbagai bidang lain.

"Pendidikan mampu mengubah nasib seseorang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga bidang agama yang menawarkan pengajian sehingga ke peringkat universiti," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Darjah Khas Lulusan Tahun 2012 Sekolah Agama Kerajaan Johor bagi peringkat daerah Pontian di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pontian, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Agama Daerah Pontian, Abu Sani Kalam.

Seramai 596 pelajar sekolah agama darjah khas di Pontian menerima sijil sebagai tanda tamat pengajian di sekolah agama bermula dari darjah satu hingga ke darjah khas.

Dalam majlis tersebut, bekas pelajar Sekolah Agama Lebai Mohd. Yaacob 2, Ayer Baloi, Ainnur Aszrain Sabrina Asnan, 14, yang kini menuntut di MRSM tersebut dipilih sebagai pelajar terbaik selepas memperolehi keputusan tujuh agregat.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, lulusan sekolah agama merupakan penyambung kepada kelangsungan pendidikan agama di negara ini bagi terus mendidik serta melahirkan generasi muda Islam yang beriman pada masa depan.

"Peranan serta tanggungjawab mereka adalah sama penting bagi membangunkan negara ini mengikut bidang masing-masing walaupun tanpa segulung ijazah.

"Dengan ilmu yang ada, mereka boleh membantu keluarga masing-masing, rakan-rakan di tempat kerja mahupun masyarakat yang memerlukan," katanya.

Lima pelanggan Bank Rakyat menangi kempen langgan

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

BATU PAHAT 3 Jun - Lima pelanggan bertuah Bank Rakyat cawangan daerah ini berjaya membawa pulang pelbagai hadiah menarik selepas diumumkan memenangi Kempen Mega Langgan dan Menang anjuran bank tersebut, di sini semalam.

Ketua Wilayah Selatan Bank Rakyat, Mohd. Shaifuddin Abdullah berkata, kelima-lima pelanggan itu dipilih memenangi kempen yang berlangsung selama tiga bulan bermula Januari lalu itu secara cabutan undi.

Menurutnya, dalam cabutan itu, Norsheila Mahpol, 23, muncul sebagai pemenang pertama dan membawa pulang sebuah televisyen LED serta tempat kedua menjadi milik Mohd. Wizan Upawi, 40, yang memperolehi sebuah telefon bimbit.

Katanya, tempat ketiga hingga kelima iaitu , Abdullah Mingan, 58, Normadiah Mohd. Salleh, 53, dan Arina Abd. Rahman, 39, masing-masing mendapat baucar Akaun Simpanan-i bernilai RM500 setiap satu.

"Kesemua pemenang yang dipilih merupakan pelanggan daripada empat kategori perniagaan yang disediakan Bank Rakyat kepada pelanggan iaitu Pembiayaan Mikro, Ar-Rahnu, sewa beli dan pinjaman perumahan.

"Selain memberi galakkan dan pengiktirafan kepada pelanggan, Kempen Mega Langgan dan Menang juga merupakan inisiatif Bank Rakyat dalam mendekati pelanggan serta menjalankan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat," katanya dalam majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di sini.

Yang turut hadir, Pengurus Bank Rakyat Batu Pahat, Arizuan Adam.

Mohd. Shaifuddin berkata, selain itu, dalam majlis sama, Bank Rakyat daerah itu menyerahkan bantuan zakat bagi tahun 2012 kepada seorang mahasiswa Universiti Al Azhar, Mesir iaitu Zainabah Mohd. Tauhid sebanyak RM1,500

Katanya, Yayasan Bank Rakyat pula selain itu menyerahkan tajaan jersi pasukan bola sepak kepada Sekolah Kebangsaan Parit Raja dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Sin Hwa.

KRT digesa bergerak aktif pupuk perpaduan, jalinkan kerjasama

Posted: 03 Jun 2013 11:44 AM PDT

LABIS 3 Jun - Kawasan Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) di sini digesa untuk bergerak lebih aktif dalam usaha memupuk perpaduan dan jalinan kerjasama lebih erat dalam kalangan penduduk berbilang kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, terdapat KRT yang tidak begitu aktif menjalankan aktiviti bagi menyemai dan memupuk semangat perpaduan yang menjadi antara fungsi penting pembentukan KRT.

"Sebagai pertubuhan yang dekat dengan masyarakat, peranan KRT tidak harus terbatas kepada usaha mengwujudkan perpaduan dan suasana aman dalam komuniti sebaliknya harus dikembangkan sebagai badan yang oleh mendidik masyarakat.

"KRT juga boleh memainkan peranan sebagai satu badan yang dapat menyalurkan maklumat terkini dan tepat kepada rakyat terutama mengenai dasar serta inspirasi kerajaan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Jalinan Mesra KRT Perumahan Awam Labis, di sini malam tadi.

Menurut Mohd. Azahar, penjelasan berhubung isu semasa sekurang-kurangnya dapat memberi kefahaman serta menangkis fakta palsu yang disebar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kepada masyarakat.

Justeru, beliau meminta pemimpin dan ahli KRT sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan terutama dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang merupakan antara akses terbaik mendapat maklumat kerana perkembangan pantas dunia akan meninggalkan masyarakat yang tidak mengambil peduli tentang ilmu.

"Saya juga minta masyarakat terutama orang muda agar berhati-hati dan membuat penilaian bijak sebelum mempercayai sebarang maklumat dalam media baharu kerana pelbagai maklumat yang sengaja dipesongkan di internet mudah diperoleh," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat