{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Pusat jual-jualan barangan terpakai

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh MUHAMMAD ZIKRI
editor.johor@utusan.com.my

Pusat perniagaan jualan barangan terpakai di Simpang Empat Benut, Pontian yang mula mendapat perhatian daripada pengunjung tempatan dan luar Johor.

PONTIAN 13 Jun - Simpang Empat Benut kini begitu sinonim dengan pusat penjualan pelbagai barangan terpakai atau second hand yang mula beroperasi mulai pukul 9 malam hingga 2 pagi.

Pelbagai barangan dengan harga serendah RM1 hingga ratusan ringgit yang dibawa khas dari Singapura dijual di sini bagi memenuhi permintaan pelbagai lapisan masyarakat.

Antara barangan tersebut termasuk kasut, barangan elektrik, pakaian, langsir, pinggan mangkuk, basikal, permainan kanak-kanak, beg tangan dan aksesori wanita yang sentiasa memeriahkan suasana malam di kawasan perniagaan tersebut sejak sedekad lalu.

Menurut pengasas pusat perniagaan tersebut, Ali C. Ain, 45, sambutan yang diberikan oleh orang ramai telah menyuntik semangatnya dan lima peniaga lain untuk terus berusaha mempelbagaikan barangan pada setiap masa.

Katanya, permintaan barangan terpakai berjenama seperti produk kulit dan kasut terus menjadi daya tarikan orang ramai terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

Para peniaga akan mengambil barangan di Singapura pada Ahad dan Rabu bagi memastikan kedai mereka sentiasa menawarkan 'barangan panas' yang menjadi rebutan ramai.

"Kedai kami merupakan penyeri malam bagi Simpang Empat Benut yang menjadi laluan penting keluar dan masuk ke Lebuh Raya Utara-Selatan.

"Kini keadaan semakin meriah dengan adanya Pusat Perdagangan Baharu Benut, sekali gus menyumbang kepada suasana malam yang lebih menarik selepas mereka pergi membeli-belah mahupun selepas makan malam," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ali memberitahu, perniagaan mereka turut menarik perhatian masyarakat di luar Pontian yang memberikan sokongan dengan sama-sama turun ke Simpang Empat sebelum meninggalkan tanah di penghujung benua Asia itu.

Pembeli katanya, tidak perlu bimbang kerana para peniaga bersedia memberikan harga berpatutan dengan nilai barangan dijual agar mereka tidak merasa hampa apabila berkunjung ke sini.

"Jangan merasa segan dan malu untuk membeli barangan terpakai ini yang sebenarnya masih boleh digunakan mengikut kesesuaian seperti basikal kanak-kanak, basikal orang dewasa, radio, televisyen, periuk nasi dan sebagainya," katanya.

Bagi Abd. Latif Rostam, 64, yang telah 20 tahun menjual pelbagai barangan terpakai di situ, sambutan diberikan penduduk amat membanggakan.

Menurutnya, pusat perniagaan tersebut mudah ditemui memandangkan terletak di persimpangan yang menjadi laluan dari Simpang Renggam dan Batu Pahat ke Pontian sebelum ke Johor Bahru.

Dia yakin masih ada pelanggan berminat untuk membeli produk terpakai termasuk barangan elektrik yang masih boleh berfungsi dengan baik sekiranya pandai memilih.

"Kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang ingin mendapatkan pelbagai barangan termasuk yang 'antik'.

''Walaupun kini terdapat banyak tempat menjual barangan terpakai, namun Simpang Empat Benut tetap mempunyai tarikan tersendiri memandangkan kedudukannya yang strategik bagi menarik orang ramai," katanya.

Sementara itu, seorang pelanggan, Norazuan Abu, 33, mengakui kerap mengunjungi pusat perniagaan itu bagi mendapatkan barangan yang masih elok dan 'baharu tiba' seperti kasut, barangan elektrik dan permainan kanak-kanak.

"Ada barangan yang masih cantik dan molek dipakai seperti kasut sukan, kasut untuk bekerja dengan harga yang mungkin tidak mampu dibeli ketika di luar, namun di sini boleh dibeli dengan harga RM15 hingga RM40," katanya.

Bagi Ishak Abu Bakar, 42, kawasan jualan tersebut seolah-olah telah menjadi tempat wajib persinggahan baginya apabila berada di situ.

"Tidak semua masyarakat luar bandar seperti kami ini mampu membeli barang baharu, namun dengan adanya pusat seperti ini memberikan kami banyak pilihan untuk membelinya mengikut kemampuan masing-masing," katanya.

Minda Jalin, 25, pekerja sebuah kilang di Rengit pula sering berkunjung bersama rakan-rakannya bagi mendapatkan barangan keperluan harian diminati seperti beg tangan, barangan elektrik dan kelengkapan dapur yang masih boleh digunakan memandangkan harga yang ditawarkan adalah cukup 'menarik' berbanding yang baharu.

Dia mengakui pusat perniagaan Simpang Empat Benut mudah dikenali serta kelihatan 'hidup' pada waktu malam hingga awal pagi kerana masih dikunjungi oleh ramai pelanggan.

Jailani Munajat, 50, juga tidak akan melepaskan peluang untuk singgah ke tempat tersebut sambil melihat barangan yang dijual serta bertemu pelbagai lapisan masyarakat.

Menurutnya, kehadiran ramai pengunjung dari Melaka, Kuala Lumpur, Muar, Batu Pahat dan Johor Bahru ke Pontian juga tidak ketinggalan melihat suasana malam di Pekan Benut.

"Kawasan ini juga bolehkan dikatakan sebagai mini uptown Benut yang menawarkan pelbagai barangan terpakai termasuk perabot yang masih cantik dan elok digunakan," katanya.

26 anggota IPD Muar naik pangkat

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

MUAR 13 Jun - Seramai 26 anggota Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dinaikkan pangkat berkuat kuasa awal bulan ini ekoran prestasi cemerlang.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Supritendan Sahadan Jaafar berkata, daripada jumlah berkenaan, tiga anggota dinaikkan pangkat dari sarjan kepada sarjan mejar, sarjan (14) dan koperal (9).

Sahadan berkata, upacara pemakaian pangkat itu disempurnakan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Sharif di Ibu Pejabat Kontinjen Johor pada 7 Jun lalu.

"Kenaikan pangkat ini adalah bagi menghargai khidmat cemerlang serta bakti yang dicurahkan anggota berkenaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat terutama di daerah Muar selama ini.

"Kenaikan pangkat ini untuk menghargai jasa cemerlang mereka dalam membantu PDRM menjaga keamanan negara. Kita harap pengiktirafan ini dapat menaikkan lagi semangat anggota lain untuk terus bekerja keras, sekali gus memberi perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya perkembangan kes seorang penjual tiket feri yang ditembak mati di taman permainan di Taman Sri Temiang, 6 Jun lalu, Sahadan berkata, setakat ini belum ada tangkapan dilakukan pihaknya.

"Siasatan masih dijalankan dan kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian berkenaan supaya tampil ke balai polis berhampiran," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Tee Chai Heng, 51, maut selepas terkena satu das tembakan di belakang kepalanya.

Mayatnya ditemui dalam keadaan terlentang tanpa baju oleh jirannya selepas terdengar bunyi letupan dari taman permainan berkenaan yang terletak kira-kira 30 meter dari rumahnya.

Siasatan awal pihak polis menjumpai sebutir kelongsong peluru pistol 9 milimiter (mm) jenis automatik di tempat kejadian, namun senjata yang digunakan tidak dijumpai.

10 warga emas, OKU terima bantuan Ramadan

Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru menyampaikan sumbangan bantuan Ramadan kepada warga emas di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 13 Jun - Seramai 10 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di Kampung Melayu Majidee, di sini adalah antara yang terawal menerima bantuan sempena ibadah puasa tidak lama lagi menerusi Program Sumbangan Menjelang Ramadan di dewan raya kampung tersebut.

Kegembiraan jelas terpancar di wajah penerima apabila masing-masing mendapat sumbangan berupa wang tunai dan barang keperluan dapur dalam program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Johor Bahru itu.

Antara penerima tersebut ialah Wan Khadijah Wan Mansor, 76, yang pertama kali berpuasa di kediamannya di Jalan Askar di sini tanpa suami yang meninggal dunia pada Syawal tahun lalu.

"Mak cik bersyukur terima bantuan ini kerana selepas kematian suami tahun lepas, mak cik tinggal dengan anak sulung serta cucu-cucu. Ini kali pertama mak cik menerima bantuan sebegini, apatah lagi bulan depan mak cik kena puasa sendiri," katanya.

Seorang lagi penerima, Azizah Karno, 64, bersyukur apabila bantuan awal itu membolehkannya melakukan persiapan menghadapi Ramadan yang dijangka bermula 10 Julai ini.

"Alhamdulillah hari ini saya sekeluarga menerima bantuan barang-barang dapur dan ia sumbangan pertama diterima daripada pihak yang prihatin. Sedikit sebanyak sumbangan ini meringankan beban kesusahan yang saya alami apabila tibanya Ramadan nanti," katanya.

Kesemua sumbangan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Puteri, Datuk Adam Sumiru yang turut dihadiri Pengerusi Komuniti 1Malaysia Kampung Melayu Majidee, Mohamed Hairudin Abdul Hamid.

Adam berharap sumbangan tersebut dapat mengurangkan beban penerima dalam menempuh ibadah puasa nanti.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa sebanyak 35 buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Puteri bakal dibaik pulih menerusi peruntukan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya penduduk dapat hidup dengan lebih selesa.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat